21

Romance Series 40612

Kereta toyota Yaris berwarna red mica metallic itu berhenti tepat di dalam kotak parking yang tersedia. Gear diletakkan dalam keadaan parking kemudian brake tangan ditarik. Kepala disandarkan pada kepala kerusi kereta. Hari ini dia sedikit penat dengan jadual yang padat.

Selepas habis kelas petang, Dianne terus memandu menuju ke rumah keluarga Laila setelah terlalu lama rasanya Dianne asyik memberi alasan tiada masa untuk berkunjung ke situ. Sekeras-kerasnya hati Dianne namun tetap kalah jua dengan pujukan mama Qish dan papa Am.

Kesian pula apabila mereka berdua asyik mengadu rindu. Apatah lagi mengenangkan jasa mereka berdua keatasnya.

Dianne tebarkan pandangan ke luar tingkap kereta. Seketika terlepas keluhan dari bibir. Keluar rumah ketika cuaca cerah, pulang ke rumah pula cuaca berubah gelap.

Tote bagnya dibahagian sebelah tempat pemandu diambil, sempat beberapa barangan lain dimasukkan dengan cepat ke dalamnya. Baru sahaja tangannya mahu mematikan enjin kereta, dentingan bunyi mesej masuk menghentikan perlakuannya.

Dahi Dianne berkerut apabila menerima satu mesej dari nombor yang tidak dikenali. Dengan tanpa rasa curiga, jarinya menyentuh ikon mesej tersebut.

Namun sebaik sahaja pesanan itu dibuka, ia membangkitkan rasa tidak enak dalam diri.

'Rumah Sakit Jiwa Mentari, wad 2A1, 1:00 pagi. If you willing to know the truth, check it out yourself.'

Berkali iris matanya membaca pesanan tanpa kata sapaan itu. Jantung Dianne usah dikata, memalu kuat dinding hati. Rasa bimbang menguasai diri. Apa yang harus dia lakukan? Percaya dengan mesej tersebut atau abaikan saja?

Tetapi, kata hatinya kuat untuk mengikuti apa yang diarahkan di dalam mesej tersebut. Dianne ingin memeriksa sendiri untuk mengetahui kebenaran disebalik pesanan itu. Apakah ia sebuah hantaran kosong ataupun sebaliknya.

Ah, dia buntu!

Dianne mengerling sekilas angka jam yang terpapar di dashboard kereta, pukul 11.55 malam. Bersisa sejam lima minit lagi untuk angka itu berubah kepada satu pagi.

˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚ ˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚

Akhirnya, Dianne telahpun berbuat keputusan untuk mempercayai mesej yang diterima. Lama akal dan hatinya bergelut demi membuat satu keputusan muktamad. Maka, disinilah dia. Di hadapan bangunan rumah sakit yang menempatkan ibunya.

Detik angka tepat bertukar kepada jam 1:05 minit pagi, bermakna lima minit sudah melintasi jam yang dijanjikan sedangkan Dianne tiba disitu lebih kurang dua puluh minit yang lalu.

Jarinya mengetuk perlahan steering kereta. Bibir digigit lembut. Dalam ingin mengetahui kebenaran, sebenarnya rasa takut turut mengasak diri. Bagaimana kalau jika Dianne masuk nanti, dia hakikatnya ditipu atau dipermainkan?

Ah, kau harus berani Dianne! Ini melibatkan keselamatan ibu! Bisiknya dalam hati, cuba mencari keberanian.

Dengan secebis keberanian yang ada, Dianne membuka pintu kereta dan berjalan laju memasuki bangunan tersebut. Sempat kepalanya melingas kiri dan kanan bagi memerhati keadaan sekeliling.

Gelap dan sunyi. Tidak banyak kenderaan terparkir disitu, mungkin yang ada sekalipun milik pekerja di rumah sakit itu. Maklumlah, ini bukan waktu melawat.

Ding! Dong!

Sufi yang bertugas di di kaunter hadapan, segera mengangkat wajah apabila loceng pintu masuk berbunyi menandakan ada seseorang menolaknya. Mata gadis itu membulat memandang kehadiran Dianne di jam sebegini.

Tidak mempedulikan Sufi, Dianne membuka langkah laju untuk memasuki kebahagian lorong yang menempatkan bilik wad ibunya. Bagi Dianne tiada gunanya untuk meminta kebenaran daripada staf disitu kerana sudah tentu dia pasti akan dihalang kerana datang pada jam yang salah.

"Cik Dianne, sekarang bukan waktu melawat." Halang Sufi dengan langkah yang kelam kabut mengejar Dianne.

"Cik Dianne!" Panggil Sufi lagi lalu tangan Dianne sempat digapainya, secara tidak langsung memberhentikan langkah wanita itu.

"Jangan halang I Sufi! I cuma nak lawat ibu I!" Dianne tepis kuat tangan Sufi di pergelangan tangannya.

"Tapi sekarang bukan masa melawat, cik Dianne. Jangan sampai saya terpaksa panggil sekuriti," ujar Sufi.

"I bayar mahal setiap bulan dan ini layanan yang I dapat?" Balas Dianne sinis.

Sufi terdiam, otaknya seakan tidak berfungsi untuk berfikir cara bagi mengendalikan situasi ini. Tidak tunggu lama, Dianne berlari kecil menuju ke pintu wad 2A1. Sempat dia menarik nafas dalam sebelum pintu itu dibuka dengan luas.

Deg.

Jantung Dianne bagaikan berhenti. Matanya terpaku pada sosok tubuh yang turut sama sedang memandang dirinya. Figura itu, amat dia kenali walaupun cahaya suram menerangi kamar itu.

Lidahnya membisu dengan pelbagai persoalan bermain di minda. Dia tidak dapat menahan rasa terkejut. Tanpa dipaksa, cecair jernih mula berkumpul di birai mata.

Belum sempat Dianne mahu menggerakkan bibir, terasa tengkuknya dihentak dari arah belakang sebelum tubuhnya perlahan merebah. Dengan pandangan yang kabur Dianne lihat sosok itu berlari mendapatkannya sebelum pandangannya benar-benar bertukar gelap.

"Kau lambat Mike!" Nada itu tegang memarahi Mike sambil tubuh Dianne yang melemah dalam pelukkannya dikendong keluar dari bangunan itu, meninggalkan Mike yang sedang menunduk, sedar akan kesilapannya.

˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚ ˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚

Kelopak mata yang tertutup rapat itu dengan perlahan dibuka bersama dengan dahi yang berkerut. Helaian rambut yang menganggu dia wajah diselak ke tepi. Apabila sudah yakin mamainya hilang, Dianne bangkit dari perbaringan lalu duduk melunjur dengan kaki yang masih diselimuti comforter.

"Ahh," Dianne mendesis sakit seraya tangannya memegang bahagian tengkuk lalu diurut perlahan. Rasa sedikit ngilu.

Baru dia ingat malam tadi, entah siapalah bijak sangat pergi hentakkan tengkuknya hingga pengsan. Yang pastinya, orang itu sudah professional kerana tiada luka yang terhasil. Mungkin teknik itu dipelajari khas untuk memengsankan sesiapa.

Sekejap!

Banyak-banyak perkara mengejutkan yang terjadi malam tadi, itu perkara pertama yang diingat? Bukannya tentang sosok yang dilihat sedang berada di dalam wad ibu?

Isaac!

Dianne jelas melihat figura lelaki itu malam tadi! Berpakaian yang sama seperti di dalam gambar yang selalu Dianne dapat! Argh, bagaimana kau bisa terlupa Dianne!

Telefon yang berada di meja tepi katil, diambil dan nombor telefon Isaac didail pantas. Berkali Dianne ulangi perbuatan itu namun satupun tidak berjawab. Isaac sengaja mengelak ataupun lelaki itu benar-benar tidak sedar akan panggilannya? Padahal, selalunya lelaki itu pantang terlepas panggilan telefon darinya!

Argh, Isaac tak guna!

Dengan lekas, Dianne tolak ke tepi selimut tebal yang membalutinya lalu bergegas ke bilik air. Baru sahaja tangannya hendak memutarkan pili air, Dianne kembali tersedar bahawa dia sekarang berada di kediamannya sendiri.

Selepas buat dia pengsan, reti pula lelaki itu menghantarnya semula ke rumah ini? Jangan harap Dianne akan abaikan apa yang dia nampak malam tadi! Akan dia cari tahu sampai menemui kebenaran.

Benarlah desas-desus selama ini mengatakan keperibadian misteri si jutawan muda itu. Bahkan Dianne yang sering keluar masuk ke rumah lelaki itu saja belum cukup tahu tentang Tengku Isaac yang sebenar.

Silap Dianne, terlalu memandang remeh akan hal itu. Apa yang difikirkan sejak awal perkenalan adalah, kekayaan yang lumayan yang Isaac curahkan kepadanya.

Rupa-rupanya Isaac ada muslihat sendiri!

Usai mandi dan bersiap serba ringkas, Dianne aturkan langkah menuju ke arah kereta miliknya. Tanpa menunggu enjin kereta panas, kenderaan itu sudah laju membelah jalan raya yang agak lengang di pagi itu.

Tiba di destinasi yang dituju, Dianne menapak laju dan pintu kaca ditolak kasar. Tempat pertama yang dia tuju adalah rumah sakit mentari. Dianne perlu pastikan keadaan ibunya baik-baik saja setelah perihal malam tadi. Siapa tahu, Isaac ada apa-apakan ibunya?

Tidak mustahilkan?

"Cik Dianne," tegur Sufi yang lengkap beruniform putih itu. Dia teguk air liur melihat tatapan tajam Dianne kepadanya. Ini kali pertama wanita itu beriak dingin terhadapnya.

"You!" Dianne maju mendekati Sufi. Jari telunjuknya diangkat menghala kearah Sufi.

"You buat kerja macam mana?! Ini ke staf yang I patut percaya untuk jaga ibu I? Kenapa you tipu I Sufi? Jangan sampai I saman rumah sakit ni!" Marah Dianne tanpa mempedulikan staf dan pelawat lain yang berada dalam satu ruangan yang sama itu.

Sufi menunduk. Agak malu dengan jerkahan Dianne kepadanya di tempat awam sebegini.

"Saya minta maaf, cik Dianne. Tapi sumpah, saya cuma ikut arahan!" Ucap Sufi, mengaku kesalahan sendiri.

Namun dia harus bagaimana lagi apabila tersepit diantara dua pihak. Dia dari awal sudah dimaklumkan oleh pemilik rumah sakit ini iaitu merangkap majikannya untuk membenarkan serta merahsiakan kedatangan Tengku Isaac Mateen di sini.

Mahu tak mahu Sufi perlu tunduk dengan arahan. Dia cuma orang bawahan yang makan gaji.

"Ikut arahan? Arahan siapa?" Soal Dianne masih dengan nada meninggi.

"Arahan saya," suara garau dari arah belakang membuatkan Dianne serta merta memusingkan badannya. Dahi Dianne berkerut memandang sosok tinggi lampai dihadapannya yang tidak dikenali itu.

"You siapa?" Dianne menyoal sambil berpeluk tubuh.

"Saya Khalid Mustaqim, pemilik rumah sakit ini." Jawab lelaki yang bernama Khalid berkenaan sambil mengelap kaca matanya dengan kain lembut lalu diletakkan di batang hidung.

Terjongket kening Dianne dengan kehadiran tiba-tiba pemilik bangunan ini. Bagai pucuk dicipta, ulam mendatang. Bagai tahu-tahu namanya sedang diseru. Cuma, dimana ya Dianne seperti pernah lihat wajah ini? Ah, kau tidak punya masa untuk memikirkan perihal lain Dianne! Hal diri sendiri juga masih banyak yang belum selesai!

"I nak pihak you bertanggungjawab kerana membenarkan orang bukan waris datang melawat ibu I tanpa kebenaran penjaga sah dia sendiri!" Tegas Dianne menuturkan ayat.

Khalid hanya beriak tenang dan mengangguk kecil. Sebenarnya dia tidak suka dengan kekacauan sebegini di rumah sakit miliknya kerana ia akan menganggu ketenteraman pesakit-pesakit.

"Baiklah saya faham. Boleh cik Dianne ikut saya, kita bincang dalam bilik ofis." Rendah nada itu meminta izin. Dianne pandang sekeliling. Masih ada ramai mata yang berminat dengan urusannya.

Dianne mendengus sebelum lambat-lambat mengangguk kepala.

"Eh sekejap! Sebelum itu, I nak make sure ibu I dalam keadaan yang selamat." Tutur Dianne yang baru menapak dua langkah membuntuti Khalid. Lelaki berkaca mata itu menoleh memandangnya lalu mengeluh perlahan. Mungkin penat mahu melayan karenahnya.

Tapi Dianne peduli apa!

"Saya berani jamin Puan Mariam dalam kondisi yang baik. Saya nak selesaikan hal ini secepat yang mungkin kerana lepasni saya ada urusan penting di luar. Jadi, boleh cik Dianne berikan kerjasama?" Tersusun dan sopan ayat yang dikeluarkan oleh seorang Khalid Mustaqim.

Dianne putarkan mata keatas. Tidak mahu tidak, Dianne kembali mengatur langkah mengikuti lelaki berkenaan.

˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚ ˚ ༘ ⋆。˚ ✧ ˚ ༘ ⋆。˚

Bunyi lagu yang dimainkan di corong radio menjadi penyeri suasana di dalam kereta itu. Sejak dua puluh minit yang lalu, Dianne larut dalam pemikirannya sendiri. Seketika, otaknya memainkan semula perbualan di antara dia dan Dr. Khalid sebentar tadi.

"Jadi, you dan Isaac sepupu?" Dianne mengulang semula ayat yang dituturkan oleh Khalid sesaat yang lalu. Lelaki itu kelihatan menganggukkan kepala.

"Tapi itu tak bermakna you boleh langgar etika bekerja dengan membenarkan dia jumpa ibu I tanpa pengetahuan I sendiri! I boleh saman you sebab you tak jaga kreadibiliti you sebagai seorang doktor! You're so unprofessional!" Marah Dianne yang sedari tadi berdiri berdepan dengan Khalid yang sedang duduk di tempatnya.

Khalid mengeluh kejap lalu pangkal hidungnya dipicit perlahan.

"Ya, saya tahu cik Dianne. Kerana itulah saya ingin meminta maaf atas kecuaian pihak kami dalam menjaga privasi pesakit. Saya sendiripun menentang keras permintaan Tengku Isaac tetapi untuk pengetahuan cik Dianne, Tengku Isaac juga merupakan salah seorang pemegang saham di rumah sakit ini.

Jadi, dia juga ada hak keatas urusan rumah sakit ini. Mungkin, silap Tengku Isaac kerana mencampuradukkan urusan peribadi dalam hal kerja." Panjang penjelasan yang diberikan agar wanita bernama Dianne itu memahami konteks yang ingin dia sampaikan.

Ah, dari awal lagi Khalid sudah berpesan agar jangan sampai ketahuan! Lihat sekarang, kreadibilitinya sebagai seorang doktor dipersoalkan! Isaac buat kerja tak clean!

"Tentang soal saman menyaman, lebih baik cik Dianne fikirkan lagi kerana bukan mudah untuk menang jika pihak lawannya adalah orang berpengaruh besar seperti Tengku Isaac. Silap besar, cik Dianne sendiri yang menanggung kerugian." Sambung lelaki itu lagi.

Bunyi hon kereta dari arah belakang mengembalikan Dianne kepada realiti. Dengan segera pedal minyak ditekan untuk melintasi lampu yang sudah bertukar hijau berkenaan.

Tidak lama itu, Dianne tiba di sebuah bangunan yang tersergam megah di tengah bandaraya moden ini. Dia tahu lokasi pejabat utama Isaac inipun kerana bertanya pada Khalid. Jikalau tidak, Dianne tidak pernah tahu bahawa bangunan besar mencakar langit ini merupakan milik jutawan muda tersebut.

Langkah dihayun laju dan penuh yakin memasuki bangunan itu. Awalnya Dianne mahu mencari Isaac di penthouse lelaki itu tetapi bila difikirkan kembali, sekarang ini adalah waktu bekerja. Jadi, berkemungkinan Isaac berada di ofis berbanding di penthousenya.

"Selamat tengahari cik, ada yang boleh saya bantu?" Penuh ramah pekerja di lobi berkenaan bertanya.

"I nak jumpa Tengku Isaac," ringkas Dianne menuturkan ayat.

"Cik ada buat appointment ke?" Tanya pekerja itu lembut.

"Urusan I dengan dia tak perlukan temu janji. Kalau dia taknak dapat malu, suruh dia jumpa I sekarang!" Tegas Dianne berkata namun dalam nada terkawal. Enggan menggamit mata-mata orang yang lalu lalang kearahnya.

Tampak wajah pekerja perempuan itu terkulat-kulat mendengarkan ayat dari Dianne.

"Kalau cik ada urusan urgent, cik boleh tinggalkan nombor telefon beserta nama cik di sini. Nanti saya serahkan kepada secretary Tengku Isaac kerana untuk makluman cik, Tengku Isaac sekarang tak ada di ofis. Dia outstation tiga hari," tertib pekerja itu menyampaikan kata.

Dianne raup rambutnya kebelakang. Tengku Isaac Mateen! Selepas buat hal, boleh-boleh lelaki itu menjalankan urusan kerjanya hingga ke luar negara! Selepas buatkan Dianne tertanya-tanya, apa tujuan lelaki itu berjumpa dengan ibunya secara rahsia, bisa-bisanya Isaac meninggalkan dirinya terkejar-kejar mencari jawapan!

Apa lelaki itu memandangnya mudah kerana dia seorang wanita yang tak punya kuasa dan pangkat? Senang untuk dipermainkan? Isaac belum lihat lagi kemampuannya dalam menunggang terbalikkan dunia lelaki itu!

tbc ۫ ꣑ৎ

P/s ; ada sepatah dua kata?

Selamat berhujung minggu <3

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience