BAB 2

Romance Completed 7293

Kelihatan susuk tubuh seorang gadis menggeliat di atas katil empuknya. Begitu nyenyak sekali dia tidur, tidak menghiraukan bunyi yang semakin kuat di telinga.

"Subhanallah walhamdulillah," penggera telefon bimbitnya semakin nyaring berbunyi.

"Hurm, mengantuknyaa!" dimatikan penggera tersebut. Jam yang tertera diperhatikan. Tepat pukul tujuh pagi.

"Awal lagi. Sambung jap la. 15 minit. Hehehe," dia bermonolog sendirian. Bantal peluk dicapai dan selimut diselubung menutupi tubuhnya.

"Woohoo! Hiyarh! Laju lagi, Sapi! Laju lagi!" lantang suaranya mengarah kuda yang ditunggang untuk berlari lebih pantas. Pokok-pokok yang dilintasi semakin kabur dek kelajuan yang dipinta.

"Alamak!!! Sapi, stooop!!" namun kata-katanya sudah terlambat. Buusshh!! Habis basah lencun bajunya terjatuh ke dalam sungai yang gagal dilihat akibat ditutupi pohon yang rimbun.

"Aduuhh, habis basah baju aku. Sapi, kau punya pasal la ni. Hisy," bebelan kepada kuda yang tidak memahami percakapannya itu dikeluarkan.

"Qilah! Bangun, Qilah!" terdengar satu suara memanggil namanya. Siapa pulak yang panggil aku? Sapi ke? Dia memandang Sapi yang memandangnya kembali. Isy, takkan lah.

"Qilah!!" suara yang memanggilnya tadi semakin lantang. Matanya terbuka. Wajah ibu yang berada betul-betul di hadapan matanya direnung tanpa kata. Tidak memahami. Dia kemudian terpandang cebok yang berada di tangan ibunya. Apesal ibu pegang cebok? Pandangannya dikalihkan pula kepada bajunya yang sudah sedikit basah.

"Hah! Bangun dah? Pukul lapan dah ni, Qilah! Kata discussion pukul lapan?" kata-kata ibunya jatuh satu persatu ke dalam kotak pemikiran. Mukanya yang tadi blur mula menunjukkan reaksi pengertian. Dia sudah berjanji dengan rakannya untuk berbincang mengenai projek terakhir mereka. Dan, dia dah lambat! Ah, sudah!

"Astaghfirullah.. Qilah dah lambat, bu! Kenapa ibu kejut lambat sangat?" terkocoh-kocoh dia bangun dari katil dan berlari-lari ke kamar mandinya. Terlupa akan baju yang basah.

"Dari tadi lagi ibu kejut. Qilah yang tak jaga-jaga. Last-last, kenalah ibu buat cara lama. Ingatkan dah boleh pencen dah tapi Qilah buat hal lagi. Hisy, budak ni. Orang cakap bukannya nak dengar," ibu membebel padanya yang sudah berada di sebalik pintu kamar mandi.

Tergesa-gesa dia membersihkan tubuhnya. Usai mandi, dia mengenakan baju kurung berwarna biru lembut dan tudung yang sedondon. Dicapai beg buku yang berada di sisi bilik dan pantas dia berlari menuruni anak tangga ke dapur.

"Assalamualaikum, pagi, ayah, bu," ayahnya yang sedang menikmati air teh di tangan dan ibunya yang sedang mencedok nasi goreng ke dalam pinggan disapa. Air teh yang sudah tersedia untuknya di hirup dengan pantas.

"Hati-hati. Pa-"

"Ah, panas!!" dia terjerit kecil. Tangannya yang satu lagi spontan memegang mulut, menahan sakit.

"Tu lah. Gelojoh lagi," ibu memarahinya dalam tawa yang ditahan.

"Ibu ni!!" dia menahan geram. Ayahnya hanya menggelengkan kepala.

"Dah lah, bu, ayah. Qilah pergi dulu," dia berkata sambil meletakkan kembali cawan di tangan dan mencapai tangan ayahnya untuk disalami. Dicium kedua-dua belah pipi ayahnya yang sudah menunjukkan garis-garis usia.

Umur ayahnya sudahpun mencecah setengah abad. Kemudian, dia mengulangi perbuatan yang sama ke atas ibunya. Dia lantas berpaling ke arah pintu rumah.

"Eh, tak makan dulu ke, Qilah? Sedap nasi goreng ibu masak ni tau," ibunya bertanya kepadanya yang sedang memakai stoking di tepi rak kasut.

"Orang dah lambatlah, bu. Buat-buat tak tau pulak," omelnya. Ibu hanya tersengih memandangnya. Ibunya itu, kalau tak buat loyar buruk, memang tak sah.

"Qilah gerak dulu. Assalamualaikum," dia menjerit disebalik pintu yang semakin tertutup. Tergesa-gesa dia berlari menuju ke arah kereta kesayangannya, Suzuki Swift yang dihadiahi ayahnya sewaktu dia berumur 18 tahun. Enjin dihidupkan dan kereta dipandu keluar menuju ke UIA.

"Ayahnya, awak dah muktamad ke pasal si Qilah ni?" Puan Salina bertanya pada suaminya yang sedang menjamah sarapan.

"Hm? Dah mereka pun dah setuju. Awak ni, tanya lagi," Encik Adib menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Takde lah. Abang pun tahu Qilah tu macam mana. Isy, saya takut lah nak bagitahu dia, bang."

"Bukan awak ke yang beriya-iya hari tu? Ada-ada je lah awak ni. Dah, saya nak pergi kerja."

"Abang je yang bagitahu dia, eh? Saya tak berani lah, bang."

"PS601M, PS601M, PS601M," terkumat-kamit mulut Aqillah menyebut kod buku yang sedang dicarinya. Hampir satu jam dia berada di perpustakaan UIA untuk mencari buku rujukan buat subjek ICT & Islam.

"Apesal la library ni besar sangat. Nak cari satu buku pun susah. Tanya orang yang jaga semua tunjuk situ, situ tapi tak jumpa pun," omelnya seorang diri yang sekejap tunduk sekejap berjengket untuk mencari buku tersebut.

Check dekat list, kata ada lagi satu. Mananya? Setelah berabad lamanya mencari, matanya tertancap pada satu buku yang berada di rak paling atas sekali. Dia memandang kertas di tangannya yang tertulis kod buku tersebut.

"PS601M201J. Yes! Jumpa pun!" Aqillah terjerit kecil. Gembira hatinya apabila buku yang dicari telah dijumpai. Tinggi la pulak. Dia mula mencari bangku kecil yang digunakan untuk mengambil buku yang tinggi.

"Mana pulak bangku tu? Ah, takpa lah. Try je lah ambil sendiri dulu," dia berkata pada dirinya sendiri. Kakinya mula dijengketkan untuk mengambil buku tersebut. Tangan pula berusaha mencapai buku yang lagi seinci daripada jari hantunya namun tidak berhasil.

"Pendek betullah kau ni, Qilah. Geram pulak aku," dia memarahi sendirian.

Takpe. Try lagi sekali. Usaha tangga kejayaan! Dia memberi semangat kepada dirinya sendiri. Kakinya dibengkokkan dan dia melompat untuk mencapai buku tersebut. Tidak juga berhasil. Yang keluar hanyalah bunyi hentakan kakinya yang agak ketara membuatkan dia terpaksa memandang sekeliling untuk melihat jika ada yang terganggu. Hehe. Nasib baik takda. Untuk kali terakhir, dijengketkan kakinya dan dilunjurkan tangannya setinggi mungkin. Akhirnya, bersentuh juga tangan dengan buku tersebut. Dia mula ingin menarik tetapi satu tangan lain telah mengambilnya terlebih dahulu. Ada jugak makhluk yang baik hati nak tolong aku.

"Terima ka-" ayatnya terhenti sebaik sahaja matanya menangkap muka yang sedang meneliti buku tersebut. Eh, ni mamat kurang asam hari tu. Asyraf Haikal. Dia memandang lelaki itu disebalik kaca mata yang dipakai.

"Finally," Haikal berkata sambil membelek-belek buku tersebut, membuatkan dia berasa pelik. Dan mula berlalu pergi tanpa menyerahkan buku itu kepadanya. Apa kejadah? Cepat-cepat dia menahan.

"Excuse me. Itu buku saya," Aqillah berkata dengan nada sedikit geram. Penat-penat dia mencari buku itu hampir sejam, sedap-sedap je orang lain nak rampas. Ingatkan nak tolong ambilkan untuk dia.

"No name here, so that means public property," Haikal berkata selamba. Makin membulat matanya memandang Haikal.

"I'm sorry. But-,"

"Apology accepted," Haikal memintas kata-katanya dan mula berlalu dari situ sekali lagi.

"Apa kejadah!" Aqillah menjadi berang. Pantas dia menahan Haikal daripada berlalu dan cuba merampas buku tersebut daripada tangan lelaki itu. Tetapi refleks Haikal lebih pantas. Buku ditinggikan dengan tangan dan terkapai-kapai Aqillah cuba mencapai.

"Give me that book! Saya yang nampak buku tu dulu! So, buku tu saya punya!" Aqillah berkata, geram dengan sikap lelaki tersebut.

"I took it first. So, it's mine," Haikal membalas sambil berjalan meninggalkannya.

"Makhluk kurang asam!" Aqillah merengus geram. Aku tak boleh putus asa! Islam tak kenal erti putus asa!

Otaknya ligat bergerak mendapatkan idea. Nak buat apa ni? Macam mana aku nak dapatkan balik buku aku? Dia memetik jari. Aha! Pantas dia mengekori Haikal semula tetapi dengan lebih senyap. Dirinya semakin menghampiri lelaki itu yang masih tidak sedar akan tingkahnya. Aqillah bersedia dan.. Zupp! Buku yang tadinya berada dalam genggaman Haikal sudah bertukar tangan.

"What the-"

"Terimakasihsebabtolongambilkanbukuni," Aqillah berkata senafas.

"Dan! Terima kasih sebab cuba rampas," dengan ibu jarinya, dia menunjukkan tanda bagus sebelum dihalakan ke bawah. Kemudian, dia membuka langkah seribu menuruni tangga ke aras dua perpustakaan. Ingin cepat meninggalkan perpustakaan itu. Hatinya puas dapat melepaskan geram tetapi dia tidak faham kenapa dia menunjukkan tanda 'loser' kepada lelaki itu. Ah, biarlah! Senyuman terukir di bibir mungilnya.

"Fuck!" Haikal meluah geram kepada Aqillah yang sudah berlari meninggalkannya.

"Tak guna punya perempuan." Dia berjalan menuju ke sebuah meja yang sedang didiami tiga orang rakannya.

"Weyh, apesal tadi tu?" Affiq yang melihat kejadian sesaat tadi bertanya.

"Qim, ko try cari pasal budak tu," dia menyuruh, bengang.

"Alah, hang tak payah cari pun takpa. Aku kenai budak tu," Syifaq menyampuk.

"Good. So, who is she?"

"Dia tu budak baik, Asy. Alim. Tiap-tiap hari aku nampak dia pi masjid time zohor. Lecture hall kita kan sebelah masjid ja. Budak tu nama dia Nur Aqillah aku rasa. Budak course computer science. Ramai gak suka dia tapi budak tu alim. Mana layan laki."

"Alim? Orang alim perangai teruk macam tu?" dia bertanya sinis, masih geram.

"Kau tengah bengang, memang lah. First time kot aku nampak dia bengang kat orang. Eh, tak! Tak! Ingat kat OU hari tu?" Haqqim yang dari tadi hanya mendengar, bersuara.

"A'ah lah, Qim. Tak pernah tengok budak tu naik angin sebelum ni. Kau buat apa kat dia, Asy?" Affiq bertanya lagi.

"How come you guys know her? OU? Kenapa dengan OU?" dia bertanya, hairan.

"Mata bukak luas weyh, scanning awek. Tu lah kau, mana layan perempuan. Ala, dia lah awek yang kau marah kat OU hari tu. Takkan dah lupa kot," Affiq membalas pertanyaannya.

Yang lain hanya mengangguk mengiyakan kata-kata Affiq dan dia cuba mengingati kembali kejadian di One Utama tempoh hari. Perempuan yang tidak mahu mengakui kesalahan sendiri. Patutlah perangai lebih kurang.

"So, what are you planning on doing? If you want to seduce her, forget it. Dia akan diam je pandang lantai masa kau ayat dia," Haqqim memberitahunya.

"Ayat dia? Like hell I'm doing that. I want her mad," dia berkata sambil memikirkan cara-cara untuk membalas dendam. Dia bengang apabila buku yang dari pagi dicari telah dirampas. Habis terbengkalai kerja yang sedang dibuatnya mengenai teknologi dan Islam. Nur Aqillah. Heh. Tunggulah kau.

Aqillah menutup pintu keretanya yang telah diparkir di halaman. Dia berjalan menuju ke pintu rumah yang sudah sedia terbuka. Hatinya sedikit bengang mengingati kejadian yang berlaku di perpustakaan sebentar tadi.

Bajet punya lelaki. Kau ingat hensem sikit dah boleh dapat semua yang kau nak? Boleh jalan la. Dahlah baran.

Geramnya pada lelaki itu masih berbaki. Tetapi apabila teringatkan buku rujukan ditangan, hatinya kembali berbunga riang. Victory is always mine. Dia tersenyum sendiri.

"Assalamualaikum. Qilah dah balik. Ada siapa di dalam? Qilah nak masuk meminang," Aqillah menguatkan suara sebaik sahaja memasuki rumahnya yang semerbak dengan bau bunga-bungaan.

"Waalaikumussalam. Hisy, budak ni. Cuba la cakap tu pelan-pelan sikit," kedengaran suara ibu menegurnya. Dia hanya tersengih-sengih menyalami tangan ibunya yang sedang menggubah bunga di ruang tamu. Itulah hobi kegemaran ibunya jika punya masa senggang. Menggubah bunga yang di petik di taman milik sendiri.

"Ibu, Kak Qilah dah tau ke pasal dia nak bertunang tu? Apesal dia macam happy je? Ibu cakap takut nak bagitau kat dia?" adiknya, Amin bertanya pada ibunya dengan muka kehairanan.

"Bertunang? Siapa yang nak bertunang, bu?" giliran Aqillah pula yang hairan, memandang ibunya yang seperti memberi isyarat tangan menyuruh adiknya diam. Dia semakin bingung.

"Oops," adiknya berkata dengan muka bersalah.

"Takde apa-apa lah, Qilah. Dah, pergi naik mandi. Kejap lagi dah nak makan malam."

"Ok.." dia berlalu ke tangga dengan muka yang masih berkerut. Tetapi belum sempat kakinya menjejak anak tangga pertama, dia mendengar adiknya berkata,

"Sorry, bu. Amin ingat dia dah tau sebab tadi dia masuk rumah cakap pasal bertunang tu semua."

Bertunang lagi? Abang Amir nak bertunang ke? Tapi apa sangkut paut dengan aku pulak? Niat untuk naik ke bilik dibatalkan dan dia menyorok di tepi dinding pemisah antara ruang tamu dan tangga. Ditekapnya telinga ke dinding tersebut untuk mendengar perbualan antara ibu dan adiknya. Selamat ada kau ni, dinding.

"Hisy, Amin ni. Kan ibu dah cakap tadi yang kakak kamu tu belum tahu. Ibu nak suruh ayah yang beritahu Kak Qilah kamu."

"Tapi kan, bu. Ibu rasa Kak Qilah boleh terima ke? Amin bet Kak Qilah tak nak sebab yelah, Abang Amir pun tak bertunang lagi. Tup tup ibu nak suruh Kak Qilah pulak yang bertunang dulu. Belajar pun tak habis lagi. Ibu tau je lah Kak Qilah tu macam mana. Pandang lelaki pun tak," berderau darah Aqillah mendengar apa yang diperkatakan oleh adiknya itu. Dia tidak mempercayai pendengarannya. Aku? Bertunang? Ni lawak siapa bawak ni? Takkanlah. Aku salah dengar kot. Tak mungkin, tak mungkin. Baik aku dengar lagi. Aqillah menenangkan hatinya dan kembali memasang telinga.

"Kak Qilah! Kak Qilah buat apa ni?" Muka terkejut Amin muncul dihadapannya yang masih menekapkan telinga ke dinding.

"Kak Qilah dengar ke tadi...?" reaksi terkejut adiknya bertukar kepada bersalah.

Dari riak adiknya itu, dia dapat merasakan yang pendengarannya tadi tidak salah. Darah mula meninggalkan muka. Dia diam seribu bahasa, hanya memandang wajah Amin dengan perasaan tidak keruan.

"Kenapa Min tak naik atas lagi? Kan ibu suruh pergi man-" suara ibu juga terhenti apabila ternampak dirinya. Mata ibunya mula membesar dan muka ibunya turut menunjukkan reaksi yang amat ditakutinya ketika itu, bersalah.

Ok, Aqillah. Sabar. Mungkin itu bukan reaksi bersalah. Mungkin betul kau salah dengar, Qilah. Mungkin reaksi dia orang tu reaksi marah sebab kau curi-curi dengar.

Aqillah cuba menenangkan hati yang semakin lemas. Terasa nafasnya kian sesak kerana dia tahu apa yang dia dengar tadi adalah satu kebenaran. Dijauhkan telinga daripada dinding. Dia cuba menggerakkan kaki yang kaku. Nasibnya baik kerana kakinya mengikut arahan. Perlahan dia berjalan menaiki tangga. Ingin lari daripada pandangan kaku ibu dan adiknya.

Langkahnya longlai menuju ke katil dengan fikiran yang melayang entah ke mana. Tiada arah tujuan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk membersihkan diri yang kotor setelah seharian berada di UIA.

Selepas mandi dan menunaikan solat asar, diambilnya Al-Quran yang terletak di atas rak. Dia perlu menenangkan fikirannya yang sedang kusut ketika itu. Hanya Al-Quran yang mampu menolong. Jarinya mahir membuka halaman yang bertanda. Ayat-ayat suci itu dibaca penuh khusyuk. Meneliti maksud setiap ayat yang di baca, hati yang tadinya kusut, menjadi tenang sedikit demi sedikit.

Suasana di ruang makan keluarga Encik Adib yang sedang menjamu selera malam itu terasa hening. Tiada suara yang terkeluar. Hanya bunyi kipas di satu sudut ruang itu yang menemani malam mereka. Masing-masing mengisi perut yang lapar dan melayani fikiran yang melayang. Aqillah turut melakukan perkara yang sama memandangkan dia tidak makan tengah hari ketika di UIA siang tadi.

"Kenapa senyap je ni, bu? Selalu ada je yang nak dicakapkan," ayahnya menegur ibu. Dia yang dari tadi leka menyuap nasi ke mulut mula peka. Runsing di hatinya singgah kembali.

"Tak ada apa yang nak dicakapkan, yah," ibunya menjawab acuh tak acuh.

"Oh, ya. Sebelum ayah lupa. Kejap lagi semua berkumpul dekat ruang tamu. Ada benda yang ayah nak cakap sikit," Aqillah tersedak. Lantas diambil gelas berisi air yang berada di sisi pinggan dan diteguk.

"Qilah, ok tak? Hisy, makan tu jangan lah gelojoh sangat," kakaknya, Maisara bertanya dengan nada sedikit risau walaupun nyata cuba menahan ketawa melihat dirinya. Dia hanya buat tidak endah.

"Buruk gila muka, Qilah!" Abang Amir pula mentertawakan dirinya dan kali ini dia menjeling geram.

"Hisy, kamu ni, Amir. Adik dia tersedak, boleh pulak dia gelakkan," tegur ibunya pada abang sulungnya itu.

Abang Amir hanya tersengih-sengih mendengar teguran tersebut. Dia mengisyaratkan 'padan muka' dengan mulutnya dan Abang Amir membuat muka padanya.

"Start lah tu abang nak buat muka buruk. Hisy!" Kak Sara berkata dan dia menggelakkan abangnya.

"Isy, sudah. Sudah. Kau orang ni lah. Depan rezeki pun nak bergaduh," ayah pula menegur mereka.

"Padan muka," kali ini Amin pula yang berkata perlahan pada mereka bertiga. Dan ibu serta ayahnya hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat mereka.

Semua adik-beradik Aqillah terduduk kekenyangan di ruang tamu. Mereka menanti ayah mereka yang masih lagi berada di dapur.

"Apa yang ayah nak bagitau, eh?" Kak Sara bertanya secara umum.

"Hurm, entahlah. Agaknya ayah nak bawak kita pergi jalan-jalan tak?" Abang Amir meneka. Aqillah dan Amin hanya berdiam diri. Mereka dapat merasakan ketegangan yang semakin menghampiri.

"Asal Amin dengan Qilah diam je? Selalunya kau orang lah yang paling banyak mulut," Kak Sara berkata dan kedua-dua mereka tersentak, memandang antara satu sama lain. Tetapi lega hati apabila melihat ayah mereka muncul bersama ibu.

"Semua dah ada?" ayahnya bertanya.

"Siapa lagi anak ayah yang ayah tak nampak tu? Ada yang halimunan ke, yah?" Abang Amir berseloroh dan Kak Sara mencubit lengan abangnya, geram. Abangnya seorang yang sentiasa membuat lawak. Happy-go-lucky. Sering membuat mereka sekeluarga tidak kering gusi. Tetapi malam itu lawaknya tidak diendahkan. Suasana serius dapat dirasai oleh setiap ahli keluarga terutama sekali dirinya.

"Baiklah. Ayah nak bagitau yang hari tu ibu dengan ayah berjumpa semula dengan kawan lama kami masa kami tinggal di Kanada dulu."

"Uncle Hairi ke, yah?" Abang Amir bertanya.

"Ya. Dia orang balik sini lebih kurang enam tahun dah. Tetapi baru bulan Januari lepas kami jumpa semula. Minggu lepas ibu kamu dengan ayah ada keluar pergi jumpa dia orang. Talking about life and kids.."

"And since we both wish to tighten the relationship between both families, we have come to a desicion. That is to combine our family through marriage."

"Kahwin, yah??" Abang Amir bertanya, terkejut mendengar kenyataan ayahnya yang tidak dijangka.

"Well, to be precise," ayahnya menyambung dan Aqillah redha mendengar kenyataan yang seterusnya.

"We want Qilah engaged with their son."

Setiap mata di situ berpaling ke arahnya. Menanti untuknya berkata sesuatu. Tetapi apa? Dia bingung. Matanya dipandangkan ke lantai yang di pijak dan dia hanya membisu seribu bahasa. Menangkap keadaan yang berlaku, Abang Amir cuba menyelamatkan keadaan.

"Ayah main-main ke? Amir pun tak kahwin lagi, mana boleh Qilah jalan dulu. Tak acilah macam ni," tetapi usaha abang Amir tidak menjadi. Suasana yang tadinya sudah tegang menjadi janggal.

"Qilah, ibu dengan ayah bukan nak suruh Qilah kahwin terus ke apa. Kenal dulu hati budi dia dan lepas tu baru kita bagi kata putus. Ya? Sabtu ni keluarga dia orang akan datang melawat. We can take things one at a time. Ibu pun tak nak anak ibu kahwin sebelum habis belajar. Ya, Qilah?" lembut suara ibu cuba memujuk dirinya.

Aqillah cuba menelan cadangan tersebut tetapi tetap terasa pahit ditekak.

" Qilah.. Qilah minta diri dulu," ujarnya perlahan lalu bangun dari sofa yang diduduki.

Langkahnya longlai menuju ke tangga. Otaknya berserabut. Bertunang? Kenal dulu? Sabtu ni jumpa? Sekarang ni hari apa? Selasa? Tak, khamis. Lagi dua hari? Gila apa! Aaaarrgh!! Jiwanya menjerit.

Pintu biliknya dikatup rapat. Komputer riba kesayangannya dihidupkan kerana lagu amat diperlukannya sekarang. Dan coklat. Ya, coklat. Dia memainkan lagu Marry U nyanyian Super Junior, kumpulan dari negara Korea Selatan kegemarannya. Sebaik sahaja lagu itu berkumandang, dia tersentak. Marry? Kahwin??? No, no, no. Dengan pantas jarinya mematikan lagu itu. Eergh! Langsung tak membantu! Bentaknya di dalam hati tetapi pantas dia kaku.

"Nauzubillah," ucapnya perlahan setelah menyedari kesilapannya meletakkan kesalahan pada orang lain.

Sorry, Super Junior. I love you. Jarinya kembali bermain pada tetikus komputer riba. Dia membuka fail bertajuk 'Nasyid' dan memainkan lagu daripada Raihan yang berjudul Puji-pujian.

"Hurm, lega sikit," gumam hati kecilnya. Dia lantas berjalan ke meja yang menempatkan mangkuk berisi coklat. Diambil satu dan dimasukkan ke dalam mulut. Kemudian, satu lagi. Dan lagi satu. Akhirnya, dia mengambil mangkuk tersebut dan di bawa ke katil. Baru dia hendak bersila, pintu biliknya diketuk.

"Qilah dah ambil dah baju Qilah tadi, Kak Hani. Ada lagi ke?" dia bertanya namun tiada jawapan.

Bukan Kak Hani ke? Dia kemudian berlalu malas ke pintu lantas dibuka. Muka Kak Sara muncul di depan pintu dan automatik dia menarik nafas dalam.

"Boleh Kak Sara masuk?" tanya kakaknya perlahan, memandang wajahnya dengan harapan. Dia mengeluh kecil.

"Masuk je lah, Kak Sara. Sejak bila pulak Kak Sara pandai mintak izin kalau nak masuk bilik Qilah," gumamnya.

Kakaknya hanya tersengih masuk ke dalam biliknya dan mengejutkan dirinya apabila kakaknya diikuti oleh Abang Amir serta Amin. Masing-masing memakai riak risau.

"Aduh, secret meeting nak mula la ni," dia berkata sendirian.

Secret meeting ialah satu perjumpaan rahsia antara mereka berempat tanpa pengetahuan ibu dan ayah mereka. Perjumpaan ini biasanya diadakan untuk mereka berbincang mengenai masalah-masalah yang melanda ataupun membincangkan tentang tempat peranginan yang ingin mereka lawati. Sudah lama secret meeting ini tidak dijalankan oleh kerana kesibukan masing-masing. Jadi, walaupun Aqillah berasa sedikit rimas, dia tetap terharu dengan keperihatinan adik-beradiknya. Mungkin dia orang boleh tolong aku. Siapa tahu. Fikirnya.

"Baiklah. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, kita mulakan perbincangan kita pada hari ini. Tapi sebelum tu, sebelum tu ya. Saya ingin mempersilakan Amin untuk membaca doa pembukaan, Al-Fatihah," Abang Amirnya mula berceloteh.

Usai membaca doa, abangnya menyambung kembali, "Hari ini, kita berkumpul, pada malam yang he-"

"Abang! Fast forward! Straight to the point!" Kak Sara menggesa abangnya yang sudah mula merapu. Abang Amir hanya tersengih, menunjukkan barisan gigi yang putih tersusun.

"Baiklah. Kalau begitu, saya ingin bertanya kepada mangsa, apakah perasaan an-"

"Abang! Jangan lah main-main!" kali ini giliran Amin pula yang memarahi abang mereka.

"Ok, ok. Abang tak main-main dah," Abang Amir mengalah sambil tergelak. Dia sedar niat abangnya untuk merenggangkan sedikit ketegangan yang menyelubungi dirinya. Dan untuk itu, dia bersyukur kerana dia berasa sedikit lega dengan tumpuan yang dialihkan kepada abangnya.

"Ok, masalah sekarang ni. Apa Qilah rasa masa ayah bagitau tadi?" Abang Amir bertanya dan tiga pasang mata memandang tepat ke arahnya. Menanti.

Stress kembali menggamit tangkai hatinya. Mujur Abang Amir cepat menangkap keadaan yang berlaku.

"Semua pejam mata. Qilah, buat macam kita orang takda kat sini. Ataupun anggap je lah kita orang ni teddy bear Qilah yang berlambak-lambak atas katil Qilah tu. Ok? Tapi jangan peluk abang pulak tau? Walaupun abang tau abang yang paling comel," ujar abangnya yang ingin mengurangkan suasana tegang. Dia hanya tersenyum hambar.

"Hurm.. Aaa.. Qilah pun tak tau apa yang Qilah rasa. Bertunang? Qilah tak pernah terfikir pun pasal benda ni. Abang pun tak bertunang lagi. Takkan tiba-tiba Qilah pula yang nak jalan dulu? Pelik kot. Plus, dah lah kita seorang pun takda yang kenal dengan budak tu. Macam mana Qilah boleh tiba-tiba nak bertunang dengan dia pulak."

"Tapi ibu cakap tadi yang kenal dulu baru buat keputusan. Kalau Qilah dah kenal dia nanti, Qilah rasa Qilah boleh terima tak?" Kak Sara pula mengutarakan pertanyaan. Dia diam sejenak memikirkan persoalan tersebut.

"Benda tu belum jadi lagi. So, Qilah tak dapat nak cakap apa. Tapi masalahnya sekarang ni,abang pun tak kahwin lagi. Kak Sara lagi lah. Pelik la. Sangat!"

"Habis tu, Kak Qilah rasa Kak Qilah boleh jumpa dia orang tak Sabtu ni? Dua hari je lagi, kak," adiknya bertanya soalan yang ketiga.

"Tau tak pe, Min. Lagi dua hari je. Cepat gila kot. Kak Qilah pun tak tau nak cakap macam mana. Kak Qilah rasa takut," dia berkata sayu.

"Wokeyh! Apa-apa hal kita makan dulu. Nah coklat kegemaran Qilah." Kakaknya meletakkan mangkuk berisi coklat di hadapannya. Pantas dia menyambar coklat M&M kegemarannya.

"Well, chocolate never seems to fail in making you feel a little bit at ease, right?" abangnya menduga. Dia hanya mengangguk.

Coklatlah yang menjadi peneman setianya ketika dia berasa tertekan selepas Al-Quran. Coklat di dalam mangkuk di jamah lagi.

"Don't worry, Qilah. We will come to your rescue before you suffocate. Just trust us, okay?" abangnya memberikan jaminan. Adik dan kakaknya mengangguk laju.

"A'ah. Jangan fikir banyak sangat. Kalau Qilah dah gila punya tension, Qilah panggil kita orang," Kak Sara pantas menyetujui cadangan abangnya itu.

Dia akhirnya mengangguk lemah. Otaknya ligat berjalan tetapi satu pun tidak melekat diminda. Dirinya masih dalam kekeliruan dan kesedihan.

Selepas semua adik-beradiknya meninggalkan bilik, dia berbaring di atas katil. Ingin menenangkan fikiran yang masih bingung. Suara ibunya kembali terngiang-ngiang di telinganya. Sabtu. Sabtu. Sabtu.

"Aaarghh!!" Dia kembali stress.

"Tak nak. Tak nak. Tak nak!!" dia sudah merengek seorang diri.

Nasihat yang diberikan abang dan kakaknya tadi masih tidak membantu. Dia perlukan lebih banyak kata-kata pendorong. Risa! Dia teringatkan rakan yang tinggal disebelah rumahnya itu. Dia bingkas bangun dari katil menuju ke jendela bilik. Dibuka dan diambil telefon tin yang diletakkan di situ.

"Assalamualaikum. Risa, Risa. Emergency situation," dia berkata ke dalam tin tersebut sambil memandang ke arah tingkap kawannya yang tertutup rapat. Harapan jelas terpancar di wajahnya.

"Risa. Risa," dia memanggil lagi setelah tiada jawapan yang diterima di hujung talian telefon tin mereka.

Risa tak ada dalam bilik ke? Hatinya diruntun kesedihan. Dia mula menutup tingkap dihadapan tetapi tangannya terhenti apabila melihat kelibat dari tingkap bilik rakannya.

"Risa!"

"Akkk," kedengaran bunyi dari arah pokok yang memisahkan rumahnya dengan rumah Arissa.

Bunyi apa tu? Mukanya panik. Darahnya berderau. Pantas tangannya menutup jendela bilik. Astaghfirullah, Astaghfirullah. Dia beristighfar di dalam hati. Macam mana aku boleh takut dengan benda-benda macam tu? Dia menggeleng-gelengkan kepalanya, cuba membuang idea seram yang menziarahi benaknya sebentar tadi. Apa nak buat sekarang? Telefon. Dia serta-merta mencari handphonenya dan mula mendail nombor rakan baiknya itu.

"Hello?" kedengaran suara Arissa dihujung talian.

"Assalamualaikum, Risa. Tengah buat apa?"

"Waalaikumussalam. Risa dalam kereta ni. Tadi pergi makan. Kenapa?" Hatinya kembali berdebar-debar mengingati kejadian yang baru berlaku. Cepat-cepat dia menolak pandangan itu.

"Risa tengah drive ke?"

"Takdelah. Papa yang drive."

"Owh, ok. Ermm.. errr.. Qilah ada benda nak bagitau ni tapi.. Risa dalam kereta. Nantilah Qilah bagitau," dia teragak-agak.

"Kenapa ni? Bagitau je lah. Bukannya mengganggu pun. Hisy."

"Risa janji jangan bagitau siapa-siapa tau?"

"Baik, tuan puteri. Apa rahasianya?"

"Risaaaaa.. ibu nak suruh Qilah bertunaaang," dia terus berkata, hanya membiarkan sindiran Arissa.

"Apa?? BERTUNANG??" Arissa menjerit padanya.

"Shhhhh!! Kan Qilah dah cakap jangan bagi tahu orang! Ada siapa-siapa dengar tak?? Risa ni!!"

"Oh, sorry.. Sorry.. Takda siapa dengar. Dia orang tengah tidur. Papa tengah sibuk berborak dengan mama. Tapi, biar betul Qilah? Bertunang? Bila ibu cakap?" Arissa bercakap separa berbisik.

"Betul la. Ayah yang cakap lepas dinner tadi. Qilah tak tau nak buat apa, Risa. Risaaaa, macam mana ni?"

"Gila lah. Dengan siapa?"

"Ha! Tu masalah yang paling besar! Qilah tak kenal pun siapa budak tu. Dia anak kawan ibu dengan ayah. Tau tak, dia orang nak tunangkan kita orang sebab nak eratkan silaturrahim. Risa boleh percaya tak?"

"Boleh."

"Risa! Janganlah main-main! Benda ni macam drama Melayu tahu tak!!"

"Hehehe. Ok, ok. Gila lah! Ada lagi orang buat macam tu sekarang ni. Eh, jap! Abang Amir tak kahwin lagi kan?"

"Ye lah! Bila masa pulak dia kahwin. Hisy! Girlfriend pun takda!!"

"Wow. Habis tu, Qilah nak buat apa sekarang?"

"Qilah tak tau, Risaa. Sebab tu Qilah telefon ni! Sabtu nanti keluarga dia orang nak datang. Sesi suai kenallah kononnya. Lepas tu, ibu cakap yang bukannya nak kahwinkan terus tapi kenal dulu hati budi masing-masing baru decides. Tapi, benda tu sama je lah macam kahwin sebab ayah yang cakap. Ayah, Risa! Qilah nak buat apa ni, Risa?"

"Betul jugak tu. Macam ni lah. Apa kata Qilah tengok dulu siapa gerangan lelaki itu. Lepas tu, kita buat keputusan. Nak?"

"Hisy, tak kisah la siapa pun orang tu. Qilah tak nak jugak!"

"Tapikan, Qilah. Kalau dah ayah yang bagitau tadi, benda tu memang dah final lah. So, Risa cadangkan Qilah buat macam yang Risa cakap tadi. Nanti Qilah repot kat Risa pasal budak tu. Lepas tu, kita buat analisis. Mana lah nak tau dia calon yang bagus ke, kan?"

"Risaaaa. Qilah TAK NAK kahwin!"

"Sabar, Qilah. Buat macam yang Risa cakap tadi, tau? Mula-mula memanglah Qilah rasa macam tu. Kalau benda ni jadi kat Risa pun, Risa rasa macam tu jugak. Ok?"

"Ok," dia akhirnya mengalah walaupun hatinya tetap runsing.

Baik. Sekarang ni aku perlu bertenang dulu. Kalau aku lari dari rumah pun, tak masuk akal. Dia mengeleng-gelengkan kepala. Dalam drama je dia orang buat macam tu. Lagi dua hari. Hurm. Kalau ikut dia orang semua, tengok dulu lelaki tu macam mana, lepas tu buat analisis dan akhir sekali kata putus. Tapi, macam mana nak kenal dia? Aku ni cakap dengan lelaki pun susah. Bukan dalam Islam, kena ada perantaraan ke? Kalau nak ikutkan aku, kalau dia ok dengan ibu ayah, kira dah beres lah. Dia mengangguk-angguk pula. Tapi masalah sekarang ni, cepat sangat! Walaupun kalau nak ikutkan, ada je orang yang kahwin lagi awal. Kahwin? Eh, jap! Patah balik, patah balik. He he he. Senyum jahat muncul di bibirnya. Bukan dia orang kata nak bertunang dulu ke? Itu satu ikatan sementara je kan? Boleh... putus..., kan? Ak! Tak baik, tak baik. Dia mengetuk kepalanya sendiri. Nak mintak nasihat siapa ni?? Runsingnyaa!

Aqillah berjalan pantas menuju ke bilik kuliah pelajar tahun empat yang kosong. Kelihatan satu susuk tubuh yang sedang menunggu di dalam sambil membaca buku di tangan. Dia mengetuk perlahan pintu bilik itu untuk memberitahu ketibaannya. Gadis yang tekun membaca tadi mengangkat muka lalu tersenyum manis memandangnya.

"Assalamualaikum, Kak Ati," dia memberi salam dengan sekuntum senyuman.

"Waalaikumussalam. Qilah sihat?" lembut gadis itu menuturkan kata-kata pertanyaan. Dia hanya mengangguk.

"Dah lama ke Kak Ati tunggu? Qilah baru lepas jumpa kawan tadi. Bincang final year project."

"Tak lama pun. Akak pun baru je habis kelas tadi. Dah banyak progres tak projek Qilah?"

"Alhamdulillah, banyak jugak. Akhirnya, Kak Ati!"

"Fatin dah ada masa, eh?" Kak Ati bertanya sambil tergelak dan dia mengangguk laju.

"Ha, apa dia yang Qilah nak tanya akak sangat-sangat tu? Sampai telefon akak pagi-pagi buta tu?" pertanyaan itu dibalas dengan sengihan.

Dia kemudian menceritakan masalahnya kepada Kak Ati yang mendengar dengan setia setiap inci kata-katanya.

"Kak Ati pun dulu macam ni jugak kan? Waktu Kak Ati kahwin dengan Abang Is?"

"Memang akak tak kenal dia dulu. Tapi dia bukan ummi dengan abah akak yang syorkan. Ustazah akak."

"Ustazah? Lepas tu akak terus terima ke?"

"Tak jugak. Akak pun sama macam Qilah. Kalau dia baik dan hormat orang tua akak dan dia orang pun senang dengan Abang Is, akak ikut saja."

"Kira akak setuju sebab dia orang setuju lah?"

"Boleh dikatakan macam tu. Dan solat sunat istikharah. Minta petunjuk Allah S.W.T."

"Hmm. Qilah dah start buat. Tapi kan, akak betul-betul dapat ke? Mimpi macam yang orang selalu cerita tu?"

"Dapat. Tapi, akak tak mimpi. Cuma akak sentiasa ingat dekat dia. Sentiasa!"

"Ingat? Maksud akak tak boleh lupa langsung?"

"A'ah. Dia macam stuck je dalam otak akak ni. Mula-mula akak takut jugak kalau mainan syaitan ke apa ke, kan? Akak cuba letak dia jauh-jauh dari fikiran akak. Tapi tu lah, berpuluh-puluh kali akak buat solat istikharah, lepas tu akak doa minta dijauhkan akak dari zina asyik terfikirkan dia, tetap jugak hasil yang sama. Dan benda ni yang buat akak terfikir, mungkin ni petunjuk yang Allah S.W.T bagi dekat akak."

"Lepas tu? Akak dah tak terfikirkan dia lagi ke?"

"Fikir. Setiap masa. Cuma bukan zina lagi lah," Kak Ati tersenyum dan dia memahami.

"Tapi Qilah kena ingat yang solat ni bukan bagi kita jawapan ya, tidak. Dia lebih kepada minta Allah S.W.T. permudahkan urusan kita kalau benda tu baik untuk kita dunia akhirat. Kan ada dalam doa yang kita kena baca untuk istikharah."

"Ada. Kira dia tak semestinya mimpi dan macam akak selalu teringatkan Abang Is tu ke?"

"A'ah. Sampai sekarang pun akak still tak pasti sama ada tanda tu betul ke tidak. Cuma yang akak perasan, akak jadi lagi tenang lepas solat dan urusan antara akak dengan Abang Is jadi mudah."

"Hmm. Qilah.. kena buat benda yang sama lah ni?" dia bertanya perlahan.

"Kalau Qilah nak. Jodoh ni bukan bidang kuasa kita. Kita kena ingat satu benda je. Dia akan datang pada kita, insyaAllah. Dan jika dia dari Yang Maha Kuasa, dia yang terbaik buat kita," nasihat Kak Ati lembut ditelinganya.

"Tapi... Qilah takut, janggal, pelik, tak selesa, benci, tak suka..."

"Qilah takut kalau benda tu baik untuk Qilah? Qilah benci kalau itu pemberian Allah S.W.T buat Qilah?" dia tersentak. Astaghfirullahal'azim. Dia menggeleng laju.

"Qilah buat macam yang dia orang cadang tu dulu. Qilah pun tak kenal dia lagi. Mana tahu, dia baik?"

"Yang tu je ke yang Qilah boleh buat sekarang?" dia bergantung pada harapan tipis.

"Itu yang terbaik. Buat solat sunat istikharah, minta petunjuk dengan ikhlas dan elakkan benda-benda maksiat. InsyaAllah Qilah dibantu Allah S.W.T."

"Kalau Qilah dapat petunjuk, macam mana Qilah nak tahu yang itu betul? Apa yang buatkan akak terima Abang Is?"

"Yang tu.. akak tanya diri sendiri. Akak nak tolak, takut. Nak terima, lagi lah kan. Tapi akak lagi yakin untuk terima daripada tak. Akak berani kata ya daripada kata tak. Allah S.W.T tolong akak buat keputusan."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience