BAB 8

Romance Completed 19230

“ Irham, cuba tengok kereta siapa kat sana tu,” suruh Haji Ishak. Irham meninggalkan kerjanya yang sedang mengelap pinggan itu. Dia berlalu ke kereta yang diparkir tidak jauh dari khemah.

“ Assalamualaikum,” Encik Hairi memberi salam apabila ternampak seorang lelaki sedang menuju ke arahnya.

“ Waalaikumsalam,” jawab Irham sambil tersenyum.

“ Ni, rumah Haji Ishak ke?”

“ Hah, betullah tu. Jemputlah masuk. Ayah ada depan sana,” Irham menjemput tetamu ayahnya itu sopan.

Puan Tia dan Ilmina mengekori langkah Encik Hairi. Berdebar-debar jantung Ilmina. Macam nak meletup pun ada. Hiperbola sangat ayat.

“ Lah, Hairi ke? Maaflah, ingatkan siapa tadi,” kata Haji Ishak sambil bersalam dengan bakal besannya.

“ Nasib baik tak salah rumah, haji. Itu yang sampai jugak kami kat sini,” seloroh Encik Hairi.

“ Alhamdulillah. Jomlah naik rumah dulu. Kenduri mula lepas isya’,” jemput Haji Ishak.

“ Kenapa tak ajak tetamu naik atas tu, bang. Boleh borak panjang kat atas ni hah,” Terjengul Hajah Salbiah di beranda.

“ Nak naiklah ni…”

Ilmina mengangkat sedikit kain baju kurungnya. Kakinya berhati-hati melangkah naik ke tangga kayu yang disusun agak renggang itu. Dia tidak biasa dengan rumah papan separuh batu begini. Rumah kedua-dua atuknya diperbuat dari batu. Tak ada papan langsung.

“ Elok-elok, anak oi. Tersalah langkah, jatuh pulak nanti,” Ilmina hanya tersenyum mendengar pesanan Hajah Salbiah.

Mereka duduk di sisi kanan beranda. Bersila. Bertambah kekoklah si Ilmina itu. Bukanlah dia tidak suka, cuma belum biasa lagi. Nanti sudah biasa, okeylah.

“ Inilah anaknya ya. Cantik orangnya. Tak sia-sialah kita tak tengok gambar dia semalam, Ida,” Hajah Salbiah mengangguk setuju.

“ Biasa aje, haji. Cantik ke hodoh ke, ni ajelah anak yang kami ada,” kata Encik Hairi.

Ketika itu, muncul Liyana iaitu isteri Ikram membawa sedulang air teh dan dihidangkan kepada tetamu. Sebentar kemudian, muncul pula Shaheizy membawa sepinggan kuih. Rajin sungguh anak teruna seorang ni. Ikram dan Irham turut menjengah ke beranda.

“ Pakat-pakat duduk, anak-anak oi. Ni ayah nak kenalkan dengan keluarga kecil pak cik Hairi,” Encik Hairi tersenyum. Betapa beruntungnya Haji Ishak mempunyai ramai anak.

“ Ramai jugak anak haji dengan hajah ya,” kata Puan Tia yang diam sahaja tadi.

“ Alhamdulillah. Rezeki dari Allah,” balas Hajah Salbiah mensyukuri kurnian dari-Nya.

“ Inilah sebahagian angkatan tentera kami. Ikram, anak sulung kami. Sebelah tu menantu saya, Liyana. Isteri Ikram. Yang ni pulak, Irham. Anak ketiga. Bukan yang bongsu ya. Dan, sebelah Hairi tu, Shaheizy. Inilah yang nak kahwin tu,” Shaheizy bersalaman dengan Encik Hairi. Bakal mertua kan. Kena tunjuk sopan.

“ Ini baru tiga lelaki. Ada lagi dua orang anak perempuan, kembar. Lusa baru sampai kampung. Belajar sekolah menengah lagi dua orang tu, tingkatan lima,” beritahu Haji Ishak.

“ Ramai tu. Cemburu saya, haji,” Mereka yang berada di situ ketawa dengan nada Encik Hairi yang dirasakan kelakar.

“ Jangan sembang aje, jemput minum,” Hajah Salbiah menolak cawan berisi air teh kepada tetamu-tetamu mereka.

Ilmina bermain dengan jemarinya. Selalunya, gadis yang bertandang ke rumah bakal mertua akan malu-malu. Dia tidak. Dipandang juga satu persatu bakal ahli keluarganya itu. Sempat dia mencuri pandang jejaka bernama Shaheizy itu. Segak dengan sepersalinan baju Melayu cekak musang berona ungu.

“ Anak kami dah kami kenalkan. Giliran Hairi pulalah kenalkan puteri yang seorang tu,” Haji Ishak memandang Ilmina yang diapit oleh Puan Tia dan isterinya.

“ Budak ni? Biar dia sendiri yang kenalkan diri dia,” Encik Hairi buat isyarat pada Puan Tia. Puan Tia tersenyum sungging.

Ilmina tersengih dulu.

“ Errr…tak retilah pulak nak mention nama sendiri,” Encik Hairi dan Puan Tia membeliakkan mata. Ilmina meminta simpati kedua orang tuanya. Keluarga Haji Ishak sudah tersenyum-senyum melihat gelagat Ilmina.

“ Nama bakal isteri Shaheizy ni siapa?” tanya Ikram selamba. Shaheizy sudah membulatkan mata memandang si abang sengal dia tu. Slumber badak dia saja.

“ Terpijak daun semalu kot tadi. Tu yang malu nak kenalkan diri. Selalunya tak payah kita suruh, laju aje dia,” usik Puan Tia. Ilmina mencebik.

“ Iyalah. Ehem, abah bagi nama, Aisya. Ummi pulak, Ilmina. Jadilah Aisya Ilmina. Semua sedara panggil, Mina. Pilihlah nak panggil apa. Aisya Ilmina tak kisah,” Eceh, comel aje dia kenalkan diri. Menggelegak dah jantung si Shaheizy tu.

“ Kawan-kawan panggil Aisya Ilmina apa?” Haji Ishak sekadar bertanya.

“ Emmm, banyak kalau nak bagitahu. Tapi, selalunya, dia orang panggi Ail,” jawab Ilmina jujur.

“ Ail? Nasib baik tak air,” gurau Ikram. Liyan turut tersenyum dengan gurauan suaminya.

“ Biasalah budak-budak muda sekarang. Kita orang tua bagi nama anak elok-elok, dipanggilnya begitu,” Ilmina sembunyikan sengihannya. Puan Tia tersenyum sedikit. Mana taknya, dulu dia pernah panggil suaminya itu, Riri. Ehek.

“ Haji dengan hajah dah ada cucu?”

“ Baru dua orang, Hairi. Harapnya, akan bertambahlah nanti…”

“ Amin. Harapnya begitulah. Kami ni cucu saudara adalah. Cucu sendiri tak tahu lagilah bila,” Encik Hairi mengerling anak perempuannya itu.

Shaheizy yang tough tu pun dah tersipu-sipu. Cuma, Ilmina saja yang berlagak biasa. Cermin mata yang tersangkut di batang hidungnya dibetulkan. Buang tabiat sungguh dia mengenakan cermin mata hari ni. Mana taknya kalau dah habis lebam mata dia tu.

“ Kak Aisya selalu stay up ke?” tanya Irham tiba-tiba. Sedari tadi, dia hanya mendengar sahaja.

“ Hah? Taklah. Kak Aisya ni pantang nampak bantal. Kenapa?”

“ Am perasan mata kak Aisya sembab. Macam tak cukup tidur,” Ilmina menelan air liur kasar. Encik Hairi dan Puan Tia pula menunggu jawapan dari Ilmina. Nak juga dia orang tahu apa alasan yang nak diberi.

“ Sembab ni? Ni sebab…emosi sangat. Empangan penuh, kenalah buang,” Terus terhambur ketawa seisi beranda. Lucu dengan alasan Ilmina. Shaheizy pula senyum saja. Sebab, dia pun lebih kurang sama saja dengan Ilmina. Cuma, tak adalah sampai kena buang air dalam empangan tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience