BAB 13

Romance Completed 8189

Malam itu suasana sayu menyelubungi rumah Encik Azizi dan Puan Anita. Kehilangan anak sulungnya memberikan kesan yang mendalam buat mereka berdua. Bukan mudah untuk mereka terima. Belum sempat anak yang dilahirkan merasai kasih sayang seorang ibu, Johanis sudah pergi menghadap Ilahi.

Kepergian Johanis membuatkan Hazim hilang separuh jiwanya. Anak yang baru saja lahir dijaga oleh Puan Zawiyah buat sementara waktu.

Johana melangkah lemah keluar daripada bilik. Sejak pulang daripada kubur arwah Johanis petang tadi, dia terus berkurung di dalam bilik. Kerana kepenatan, dia tertidur. Namun langkahnya terhenti saat melihat susuk tubuh yang sedang duduk di sofa sambil mendukung bayi.

Hazim menoleh. Johana masih lagi memandang ke arah Hazim. Mata mereka bertentangan buat seketika. Setelah lima tahun tidak bertemu, ini kali pertama mereka bertemu semula. Tidak banyak yang berubah pada Hazim. Cuma wajahnya terlihat semakin matang. Johana pula sudah memakai tudung. Perubahannya agak ketara berbanding lima tahun lepas. Dia semakin cantik.

" Hana " .

Panggilan Puan Zawiyah menyedarkan mereka berdua. Johana terus menoleh ke arah Puan Zawiyah yang baru keluar daripada biliknya.

" Umi " Johana tersenyum kecil pada Puan Zawiyah.

Dia menyalami tangan wanita itu. Kemudian Puan Zawiyah menarik Johana ke dalam pelukannya. Dia rindukan gadis itu. Semenjak Johana melanjutkan pengajian di US, mereka berdua langsung tidak pernah bertemu lagi.

" Umi rindu dengan Hana " luah Puan Zawiyah.

" Hana pun rindukan umi " .

Hazim yang sedang duduk di sofa itu hanya menjadi pemerhati.

" Umi, boleh Hana minta izin nak dukung baby tu? " soal Johana.

Dia memang teringin nak dukung anak arwah kakaknya itu tetapi dia tidak tahu bagaimana hendak bercakap dengan Hazim. Kebetulan Puan Zawiyah ada. Jadi dia meminta pertolongan wanita itu.

" Boleh sayang " Puan Zawiyah melangkah ke arah Hazim.

Johana mengikut daripada belakang.

" Azim, Hana nak dukung baby tu sekejap " .

" Boleh " Hazim menghulurkan anaknya itu pada Puan Zawiyah.

Kemudian Puan Zawiyah menghulurkan bayi itu pada Johana. Air mata Johana bergenang saat melihat wajah suci bayi itu. Jatuh kasihan pada anak saudaranya itu.

" Dah ada nama? " soal Johana.

" Belum lagi. Tapi abang ingat nak letak nama Irfan Mikhail. Arwah Hanis suka sangat nama tu " jawab Hazim.

" Kalau macam tu, nanti Azim bagi jer nama tu untuk baby ni " kata Puan Zawiyah.

Hazim mengangguk perlahan. Dia memandang sekilas arah Johana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience