“Panggillah mama, awak tu bukan orang gaji saya!”
“Ya… pp… emm… mama, mama nak pergi mana? Doktor tak marah ke nanti?”
“Eh pasal apa nak marah? Kita yang bayar dia! Bukannya saya nak lari, orang tua macam saya ni kan dah macam kain buruk! Dicampak bersepah pun tak ada yang mahu memandang!”luah wanita itu. Bunyinya sahaja sudah cukup membuat hati tersentuh. Syuiza sendiri tidak mengerti mengapa seorang anak seperti Qusyairi boleh menolak kasih-sayang mamanya ini. Jika kisah silam diambil kira, mama juga tidak bersalah! Tapi sayang, itu cuma pandangan bagi pihak dirinya sendiri.
“Kain buruk pun banyak gunanya mama… maksud Nas jika kena pada orang yang pandai menilainya, dah tentu kain buruk menjadi kain yang serbaguna! Macam orang kata, sungguhpun buruk nak dibuang sayang…” sambung Syuiza setelah agak lama suasana sepi semenjak mereka singgah di mini taman yang dibina bersebelahan blok B. Beberapa ekor ikan kap jepun berenang-renang di permukaan air terjun buatan.
Pemandangan yang sejuk dan mendamaikan itu sesungguhnya terlalu mengasyikkan para tetamu.
“Hai… bertuahlah badan! Syuiza … jadi perempuan ni kalau dari muda tak jaga muka dan badan… dah tua nanti baru menyesal! Kerepot sana, kerepot sini, semuanya dah seoson, salah makan tak boleh, buat ini tak boleh, hai….. semuanya dah tak sama!”
“Semua manusia akan mengalaminya mama, tiada yang berkecuali cuma… cepat atau lambatnya saja… tak kiralah kita lawa macammana pun, pakai susuk ke….. semuanya akan tua juga! Yang penting dalam hati mesti baik…”
“Ah! Baik macammana pun, kalau dah tua orang dah tak pedulikan kita! Jangan kata suami, anak-anak pun sama… lebih pentingkan kerja! Ingatkan bila dah kahwin, boleh berubah tapi masalah lain pulak, semuanya sibuk, buat hal masing-masing!”
“Mama, mereka juga akan melalui masalah yang sama seperti mama… sibuk dengan kerja, hantar anak pada orang lain untuk diasuh dan apabila anak-anak sudah dewasa, mereka tidak mesra dengan ibu-bapa sendiri!”
Share this novel