“Haziq!” Puan Yasmin muncul di muka pintu bilik anak teruna yang satu itu. Haziq masih kaku merenung wajah Airina. Dia tak cantik, tapi dia manis.
“Haziq, makan.” Puan Yasmin menepuk bahu anaknya itu. Haziq terkejut sedikit. Haziq tersenyum.
“Tak apalah mama. Kenyang lagi.”
“Rindu Nina?” Haziq tergelak sedikit.
“Mestilah, mama.”
“Kalau sayang, kenapa tak hargai dia? Kalau rindu, kenapa susah nak jumpa dia?” Haziq menelan air liur.
“Apa mama ni?”
“Mama tahu, bukan Nina yang minta tangguh. Haziq yang minta tangguh, kan?”Haziq mengeluh.
“Maafkan, Haziq.” Untuk apa aku terus menipu andai mama dah tahu.
“Macam mana mama tahu?”
“Mama call Nina malam tu. Memang Nina mengaku dia yang minta tangguh tapi mama dapat dengar suara dia tahan sebak.”
“Dia menangis?” Tiba-tiba Haziq terasa sedikit kesal dengan perbuatannya. Kerana kata-katanya, Airina menjadi mangsa.
“Perempuan mana yang tak menangis bila tunang dia buat macam tu, Haziq.” Haziq terdiam. Tiba-tiba Blackberry di atas meja berbunyi. Nama Tasya tertera. Terasa malas nak mengangkat panggilan dari Natasya tapi bila Puan Yasmin dah bangun untuk memberi laluan supaya dia boleh bersembang dengan Natasya.
“Hello. Kenapa you call I ni? I tak ada mood Tasya.” Haziq merengus.
“What? Wait there!” Haziq terkejut saat Tasya memberitahu dia terjatuh di tandas rumahnya.
“Sakitlah.” Natasya merengus bila Haziq memegang pergelangan kakinya. Haziq menjeling.
“Memanglah sakit. Kenapa tak hati-hati?” Natasya memuncungkan mulutnya.
“Mana nak tahu boleh terjatuh dalam bilik air tu.”
“Muncunglah selalu. Jadi mulut itik baru tahu.” Haziq mengusik Natasya.
“Biarlah. Bukan ada orang kisah pun pasal I.”
“I kisah!” Haziq bangun dari duduknya.
“You sakit macam ni, mestilah I kisah.”
“Eleh, kalau I tak terjatuh you mesti tak datang jumpa I kan? You mesti buat tak kisah pasal I kan? Siapalah I ni kalau nak dibandingkan dengan Airina. I rasa baik kita berpisah, Haziq. Itu yang terbaik untuk kita. You ada dia.” Natasya bersuara, lirih. Dia sendiri terasa kehilangan.
Dia sendiri sudah mempunyai kekasih hati sebelum Haziq tetapi sejak bertemu Haziq, perasaan lelaki itu cuma dipandang seperti angin lalu sahaja. Namun, Haziq tidak pernah tahu kehadiran lelaki tersebut. Haziq tergamam. Lepaskan Tasya? Aku tak sanggup!
“We can work it out.”
“Haziq, you tak cintakan I. Dalam hati you cuma ada Airina. Bukan Natasya. Sepatutnya I sedar dari dulu lagi, tapi I buta.” Natasya menundukkan wajahnya.
“Tasya, I...”Haziq terdiam. Tangisan Natasya membuatkan dia kaku.
Tiba-tiba pintu apartment Natasya diketuk dari luar. Natasya bangun untuk membuka pintu namun lengannya dipegang Haziq. “Biar I buka.”
Pintu dibuka dan Haziq tergamam saat terlihat ada empat orang lelaki lengkap berkopiah di depan pintu. “Assalamualaikum. Maafkan kami andai kami menganggu. Kami dari Jabatan Agama Islam negeri Selangor telah mendapat aduan bahawa di apartment ini terdapat pasangan bukan muhrim
sedang berdua-duaan.” Natasya yang turut mendengar kata-kata lelaki itu, terus terduduk.
“Apa salah mama, Haziq?” Puan Yasmin dah menangis tersedu-sedan di rumah banglo itu. Selepas mereka berdua ditangkap khalwat, Encik Hamdan bapa Haziq membawa mereka berdua pulang ke rumah miliknya. Natasya yang duduk tidak jauh dari situ terasa sesal yang amat sangat
pada Haziq. Ingin sekali dia memujuk ibu Haziq yang tidak sudah-sudah menangis.
“Mana mama nak letak muka, Haziq? Mama tahu anak mama ni nakal tapi kenapa sampai macam ni sekali? Ya ALLAH!!” Puan Yasmin memukul-mukul anaknya yang masih diam. Haziq mengerling Natasya yang juga menangis. Wajah wanita itu kelihatan mendung. Saat itu, hatinya berbelah bagi. Dia ingin mengahwini Natasya, apatah lagi Natasya baru sahaja ditangkap khalwat dengannya. Tapi
bagaimana dengan Airina?
“Sudahlah tu, Min. Benda dah jadi, kita dah tak boleh buat apa.” Encik Hamdan menggosok bahu isterinya.
“Salah saya mendidik ke, bang? Saya bukan mama yang baik! Saya tak pandai mendidik anak.” Puan Yasmin memeluk Encik Hamdan.
“Ada tunang, dia layan tunang dia macam sampah! Lepas tu boleh berdua-duaan lagi dengan perempuan ni bila tunang dia merajuk. Saya dah tak kenal anak sendiri abang.”
“Maafkan saya, puan. Semuanya salah saya. Haziq tak salah.” Natasya bersuara, perlahan.
“Saya yang telefon Haziq. Semua salah saya.” Dipeluk terus kaki Puan Yasmin.
“Jangan salahkan Haziq, puan.”
Share this novel