Luna berdiri kaku di dalam bilik itu. Skrin-skrin di hadapannya terus menayangkan pelbagai sudut dalam kelab, membuatkan dia semakin gelisah.
"Saya tak mahu jadi sebahagian daripada dunia awak, Diez." Suaranya tegas, walaupun hatinya berdegup kencang.
Diez menyandarkan tubuhnya ke meja, matanya tidak beralih daripada Luna. "Itu bukan pilihan kau sekarang."
Luna mengetap bibir. "Kenapa saya? Dari berjuta-juta perempuan lain, kenapa saya yang awak pilih untuk tarik masuk ke dalam dunia gelap ni?"
Diez tidak terus menjawab. Dia hanya merenung Luna dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Kemudian, dia bersuara perlahan, tetapi cukup untuk membuatkan Luna merasakan kesejukan merayap ke seluruh tubuhnya.
"Sebab kau istimewa."
Luna terkedu. "Apa maksud awak?"
Diez tidak menjelaskan lebih lanjut. Sebaliknya, dia melangkah perlahan menghampiri Luna, membuatkan gadis itu secara refleks berundur selangkah ke belakang.
"Aku dah buat keputusan, Luna."
"Keputusan apa?" Luna semakin resah.
Diez tersenyum tipis. "Mulai hari ini, kau akan berada di bawah perlindungan aku. Tiada siapa boleh menyentuh kau tanpa kebenaran aku."
Luna merasakan seluruh tubuhnya menegang. "Saya tak perlukan perlindungan awak!"
Diez mengangkat kening, seolah-olah mencabar kata-kata Luna. "Oh ya? Kau fikir Yaya akan berhenti selagi dia tahu kau masih dalam hidup aku? Kau fikir musuh aku yang lain tak akan gunakan kau untuk melemahkan aku?"
Luna terdiam. Diez ada benarnya. Sejak dia bertemu lelaki ini, hidupnya sudah berubah sepenuhnya.
Tapi… adakah dia benar-benar mahu bergantung pada lelaki ini?
"Aku akan pastikan kau selamat, Luna. Itu janji aku."
Luna menelan air liur. Dia tahu, malam ini adalah malam di mana dia melangkah ke satu dunia yang tidak ada jalan untuk berpatah balik.
Share this novel