Bunyi deruan enjin dan hon kenderaan bergema di jalan raya yang sibuk di tengah bandar Seoul. Luna menggenggam erat beg sandangnya, tergesa-gesa melintas jalan untuk mengejar bas terakhir pulang ke asrama. Hari ini dia terlambat kerana kelas tambahan, dan jalan raya kini dipenuhi dengan kenderaan yang meluncur laju.
Langkahnya semakin pantas, tetapi dalam sekelip mata, satu cahaya terang dari lampu kereta menghampirinya dengan laju. Luna kaku—kakinya seperti terpaku ke tanah.
“Hei! Hati-hati!”
Tiba-tiba, satu tangan kuat menariknya ke tepi, menyebabkan tubuhnya hampir terhumban ke dada seseorang. Jantungnya berdegup kencang, nafasnya tersekat.
“Kau gila ke?! Nak mati?” suara kasar itu bergema di telinganya.
Luna mengangkat wajah, matanya bertentang dengan sepasang mata kelam yang tajam. Seorang lelaki tinggi dengan rahang tegas dan ekspresi dingin berdiri di hadapannya. Wajahnya tampan tetapi garang, seolah-olah seseorang yang biasa mengawal keadaan.
"M-Maaf… saya tak perasan…" Luna tergagap, suaranya serak kerana terkejut.
Lelaki itu menghela nafas berat. "Lain kali buka mata bila melintas. Dunia ini bukan tempat untuk orang cuai."
Luna menelan air liur, wajahnya merona malu. Dia tunduk sedikit sebelum mengucapkan terima kasih, lalu melangkah pergi dengan langkah longlai.
Diez memerhatikan gadis itu menghilang dalam kesibukan kota. Ada sesuatu tentang Luna yang membuatkan dia ingin tahu. Gadis itu terlalu polos—sesuatu yang jarang dia lihat dalam hidupnya yang penuh dengan kejahatan dan pengkhianatan.
Dari jauh, sepasang mata lain memerhatikan kejadian itu dengan kebencian yang membara.
“Siapa perempuan itu?” suara Yaya berbisik perlahan, bibirnya mengetap geram. Tiada siapa yang boleh mendekati Diez—lebih-lebih lagi seorang gadis biasa seperti Luna.
Share this novel