Luna cuba menjalani harinya seperti biasa, tetapi dia tidak dapat menghilangkan perasaan resah yang menghantuinya sejak pertemuan dengan Diez. Setiap kali dia melangkah ke luar, dia merasa seperti sedang diperhatikan.
Di perpustakaan universiti, Luna cuba menumpukan perhatian kepada buku di hadapannya, tetapi fikirannya terus melayang. "Aku takkan tunduk pada dia," bisiknya dalam hati.
"Luna."
Luna tersentak apabila mendengar suara Syasya. “Kau termenung lagi? Sejak kau jumpa Diez hari tu, kau macam bukan Luna yang aku kenal.”
Luna menghela nafas perlahan. "Aku cuma... rasa tak selamat. Seolah-olah ada sesuatu yang akan berlaku."
Syasya memandangnya dengan serius. "Luna, kau kena lebih berhati-hati. Orang macam Diez takkan berhenti kalau dia dah mahukan sesuatu."
Luna mengangguk perlahan. Dia tahu itu. Tetapi dia juga tidak mahu hidup dalam ketakutan.
---
Malam itu, Luna pulang ke apartmennya lebih awal daripada biasa. Setelah selesai membersihkan diri, dia duduk di atas katil sambil memegang telefon bimbitnya. Ada satu mesej yang tidak dikenali masuk.
- Tidur awal. Dunia malam bukan untuk orang macam kau. -
Jantung Luna berdegup kencang. Siapa ini? Tangannya menggigil ketika dia membalas mesej itu.
- Siapa awak? -
Tidak lama kemudian, satu lagi mesej masuk.
- Seseorang yang mahu kau selamat. Jangan cabar nasib, Luna. -
Luna semakin gelisah. Adakah ini amaran? Atau ancaman?
Tiba-tiba, bunyi ketukan kuat kedengaran dari pintu apartmennya. Luna terkejut. Dia melangkah perlahan ke pintu dan melihat melalui lubang intai.
Tiada sesiapa.
Tetapi apabila dia berpaling ke arah meja, telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi.
- Bukalah pintu, Luna. -
Luna menahan nafas. Siapa yang berada di luar? Dan bagaimana mereka tahu dia ada di sini?
Satu perkara yang pasti—ini bukan kebetulan. Diez mungkin sudah lebih dekat daripada yang dia sangka.
Share this novel