Luna berdiri di tepi dinding, jantungnya berdegup kencang. Matanya tidak lepas dari pintu besar yang semakin terbuka.
Langkah berat bergema di dalam rumah agam itu.
Akhirnya, Rafael muncul.
Dia memakai kemeja hitam dengan lengan yang disingsing hingga ke siku. Senyumannya sinis, tetapi matanya penuh dengan amaran.
"Lama tak jumpa, Diez."
Diez, yang berdiri tegap di tengah ruang tamu, langsung tidak menunjukkan sebarang riak terkejut. Sebaliknya, dia hanya menyilangkan tangan di dada sambil memerhatikan Rafael dengan wajah dingin.
"Aku fikir kau dah mati."
Rafael ketawa kecil. "Sayangnya, aku masih hidup. Dan aku kembali untuk menyelesaikan urusan yang tertangguh."
Luna menelan liur. Dia tahu ‘urusan’ yang dimaksudkan itu bukan perkara kecil.
"Apa yang kau nak, Rafael?" soal Diez, suaranya tenang tetapi penuh dengan ancaman terselindung.
Rafael menjeling ke arah Luna, membuatkan gadis itu terasa seolah-olah seluruh tubuhnya membeku.
"Luna."
Diez terus melangkah ke hadapan, menghalang pandangan Rafael daripada terus tertumpu pada Luna.
"Dia bukan urusan kau."
Rafael menyeringai. "Oh, tapi dia pernah jadi urusan aku. Dan kau tahu itu, Diez."
Luna mengerutkan dahi. Apa maksud Rafael?
Diez semakin tegang.
"Dulu, aku lepaskan dia kerana aku fikir dia bukan ancaman. Tapi sekarang…" Rafael menyeluk tangan ke dalam poket, mengeluarkan sesuatu.
Sepucuk pistol.
Luna menahan nafas.
Anak buah Diez serta-merta mengacukan senjata mereka ke arah Rafael, tetapi lelaki itu tetap tenang.
"Aku ada satu tawaran," Rafael bersuara. "Lepaskan Luna, dan aku takkan ganggu kau lagi."
Diez ketawa kecil, tetapi nadanya penuh sindiran. "Dan kau fikir aku cukup bodoh untuk percaya cakap kau?"
Rafael tersenyum tipis. "Kalau kau tak percaya, kita boleh lakukannya dengan cara lama."
Tiba-tiba, dalam sekelip mata, Rafael mengangkat pistolnya dan mengacukannya tepat ke arah Luna.
Luna terkaku.
Semuanya berlaku terlalu pantas.
Bang!
Satu das tembakan bergema di dalam rumah agam itu.
Luna menjerit.
Diez bertindak pantas. Dalam satu gerakan, dia menarik Luna ke belakangnya dan mengeluarkan pistolnya sendiri.
Tetapi Rafael sudah bergerak, meloloskan diri keluar dari rumah dengan pantas.
Salah seorang anak buah Diez cuba mengejar, tetapi Diez mengangkat tangan.
"Jangan."
Mata Luna membulat. "Diez, kenapa biarkan dia lari?"
Diez mengetap rahang. "Sebab permainan ini belum berakhir."
Luna menggenggam tangannya erat.
Dia tahu satu perkara—Rafael akan kembali.
Dan kali ini, dia mungkin tidak akan sekadar mengugut.
Dia akan membunuh.
Share this novel