Luna menarik nafas panjang. Sejak amaran Yaya malam itu, dia cuba menjalani harinya seperti biasa. Tetapi dalam hatinya, dia tidak boleh menafikan rasa tidak tenang yang semakin menebal.
Hari ini, selepas kelas terakhir, Luna dan Syasya berjalan menuju ke kafe universiti. Mereka sedang berbual seperti biasa sehinggalah Syasya tiba-tiba berhenti.
“Luna… jangan pandang sekarang, tapi ada seseorang yang sedang memerhatikan kau.”
Luna mengerutkan dahi. “Siapa?”
Syasya menelan air liur. “Diez.”
Jantung Luna hampir berhenti. Perlahan-lahan, dia mengangkat kepala dan matanya bertembung dengan sepasang mata kelam yang tajam.
Diez duduk di satu sudut kafe, bersandar santai di kerusinya. Sekelilingnya ada beberapa lelaki berpakaian serba hitam—jelas sekali mereka bukan orang biasa. Tetapi apa yang lebih mengerikan, Diez tersenyum kepadanya.
Luna segera mengalihkan pandangan. Dia merasakan darahnya berderau.
“Kenapa dia tengok aku macam tu?” Luna berbisik kepada Syasya.
Syasya menggeleng. “Aku tak tahu, tapi aku tak rasa ini sesuatu yang baik. Jom keluar.”
Tetapi sebelum mereka sempat melangkah, seorang lelaki tinggi dari meja Diez tiba-tiba berdiri dan menghampiri mereka.
“Cik Luna?”
Luna terkedu. Macam mana dia tahu nama aku?
Lelaki itu tersenyum kecil. “Bos kami ingin bercakap dengan awak.”
Luna menelan air liur. Syasya memandangnya dengan wajah panik. “Luna, jangan!”
Tetapi sebelum Luna dapat berbuat apa-apa, suara dalam yang garau dan penuh autoriti kedengaran.
“Luna.”
Luna kaku. Dia berpaling perlahan-lahan, dan kini Diez sudah berdiri di belakang mereka.
Mata mereka bertemu, dan untuk pertama kalinya, Luna melihat wajah sebenar seorang ketua mafia yang paling digeruni di Korea—dan kini, dia adalah sasaran perhatian lelaki itu.
Share this novel