Luna duduk di birai katil, jari-jarinya saling bertaut. Kata-kata Diez masih terngiang-ngiang di kepalanya.
"Aku mungkin bukan lelaki terbaik untuk kau, tapi aku akan lakukan apa saja untuk pastikan kau selamat… walaupun itu bermakna kau perlu lupakan aku."
Melupakan Diez? Itu mustahil.
Pintu bilik diketuk perlahan sebelum terbuka. Diez melangkah masuk, wajahnya tetap tenang seperti biasa, tetapi Luna tahu dia sedang menahan sesuatu.
"Aku dah aturkan semuanya."
Luna menoleh, matanya membulat. "Apa maksud kau?"
Diez bersandar di dinding sambil menyilangkan tangan. "Esok pagi, kau akan terbang ke luar negara. Tempat yang Rafael takkan dapat cari kau."
Jantung Luna berdegup kencang. "Kau buat keputusan tanpa berbincang dengan aku?"
Diez menarik nafas panjang sebelum melangkah ke arahnya. "Aku tak nak kau dalam bahaya, Luna. Rafael takkan berhenti selagi dia tahu kau masih bersama aku."
Luna berdiri, menatap Diez dengan mata yang berair. "Jadi ini penyelesaiannya? Kau hantar aku jauh supaya kau boleh hadapi dia seorang diri?"
Diez diam.
Luna menggenggam tangannya. "Kau tak boleh paksa aku pergi, Diez. Aku tak nak lari lagi."
Diez menyentuh pipinya perlahan, ibu jarinya menghapuskan air mata yang jatuh tanpa dia sedar. "Ini bukan soal kau lari, Luna. Ini soal nyawa kau."
Luna menggigit bibir. "Kalau aku pergi… kita takkan jumpa lagi?"
Diez tersenyum kecil, tetapi senyuman itu penuh dengan kesakitan. "Aku tak boleh janji, Luna."
Luna menutup matanya seketika. Hatinya sakit. Terlalu sakit.
"Kalau aku pergi sekarang, aku tahu aku takkan pernah dapat kembali pada kau."
Diez tidak menjawab.
Dia tahu, dan itu yang paling menyakitkan.
---
Keesokan harinya, Luna berdiri di lapangan terbang. Di belakangnya, Diez hanya memerhati dengan wajah yang sukar dibaca.
Hatinya memberontak. Dia mahu berpaling, mahu membatalkan semuanya.
Tapi dia tahu—jika dia tetap di sini, Diez akan mempertaruhkan nyawanya untuk melindungi dia.
Dan jika itu berlaku, dia mungkin kehilangan lelaki itu selama-lamanya.
"Luna…"
Suara Diez bergetar sedikit.
Luna menarik nafas panjang, sebelum berpaling dengan senyuman yang dipaksa. "Jaga diri, Diez."
Dia melangkah pergi.
Dan kali ini, dia tidak menoleh ke belakang.
Kerana dia tahu—jika dia berpaling, dia tidak akan mampu pergi.
Dan jika dia tidak pergi… dia mungkin akan kehilangan Diez dengan cara yang lebih menyakitkan.
Share this novel