Bab 5

Romance Series 63286

Selepas tidur beberapa jam petang tadi, Zayan keluar semula selepas waktu Asar. Tinggallah Zareen, si penganggur yang kebosanan duduk di rumah.

Dia duduk di depan TV sambil memakan kuih bahulu dari balang kaca di atas meja. Tadi dia sudah makan mi segera, tetapi perutnya masih lapar. Hendak keluar, dia malas. Jalan pasti sesak waktu begini.

Zareen menekan butang alat kawalan jauh. Televisyen menyala, menayangkan siaran Buletin Utama. Dia melirik ke jam dinding. Sudah pukul lapan malam, berita baru sahaja bermula.

__"Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hansel Auto telah diserang oleh seorang penembak di tempat parkir pejabatnya. Beliau tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang pengawal peribadinya cedera di bahu.

Penyerang tersebut telah ditembak mati oleh pengawal peribadi dan kini mayatnya berada di hospital untuk proses bedah siasat. Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada serangan ini berkaitan dengan mana-mana kumpulan jenayah terancang."__

Zareen membulatkan mata. Ini berita tentang kejadian yang menimpa Zayan! Matanya terpaku pada skrin. Wajah seorang lelaki terpampang dalam bingkai kecil di sebelah pembaca berita. Pasti itu bos Zayan.

Zareen menggigit bibir. Nampaknya, bos Zayan memang orang yang sangat berpengaruh di Malaysia. Wajah lelaki itu ada iras orang Barat. Bukan orang tempatan ke? bisiknya dalam hati. Atau mungkin dia cuma menjalankan perniagaan di sini?

-----------------------

Sial! Zayan menghentak meja dengan kuat. Wajahnya tegang, matanya tajam merenung skrin telefon. Laporan di Buletin Utama membuatkan darahnya mendidih. Sepatutnya hal ini dirahsiakan, tetapi sekarang satu Malaysia sudah tahu Hadif ada kaitan dengan kematian Medina. Jika musuh mereka bertindak balas, keadaan akan menjadi lebih sukar.

"Bodohlah reporter ni!" pekik Zayan, suaranya memenuhi ruang pejabat yang sunyi.

Ivan, yang duduk tersandar di kerusi pejabat, mengeluh kecil. Matanya memandang jam dinding. Sudah pukul 8.30 malam. Mereka menemani Hadif ke pejabat kerana ada urusan Hadif yang tertangguh sejak pagi tadi, semuanya gara-gara Medina.

"Kau suruhlah bos ambil bodyguard backup," cadang Ivan sambil menggosok dagunya yang mula ditumbuhi bulu halus. Matanya bertemu pandangan Zayan.

"Kalau ambil ramai-ramai pun, kalau bos selalu langgar protokol keselamatan, tak guna juga," ujar Zayan, nada suaranya masih kesal. Kata-kata Zareen petang tadi kembali bermain di fikirannya.

"Kita cadangkan dululah dekat bos. Kalau dia setuju, kita boleh bincang pasal isu protokol ni," Ivan cuba meredakan ketegangan.

Zayan berpeluk tubuh. "Sesiapa pun boleh ke?" soalnya, mahukan kepastian.

Ivan menjungkit bahu. "Sesiapa tu apa? Mestilah orang yang ada pengalaman. Ini VVIP, bukan orang biasa."

Zayan tidak menjawab. Dia hanya mengangguk kecil sebelum berkata, "Kau tunggu sini kejap. Aku nak ambil sesuatu dalam kereta."

Dia keluar dari pejabat, masuk ke dalam lif, dan terus turun ke tempat parkir. Matanya meliar, memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum membuka pintu kereta. Fail yang diberikan oleh Zareen beberapa hari lalu masih berada di atas dashboard. Dia mencapainya sebelum menutup pintu semula dan bergegas naik ke tingkat atas.

Masuk sahaja ke dalam pejabat, dia meletakkan fail itu di atas meja. Fail itu menarik perhatian Ivan.

"Kau tengok fail ni. Orang ni sesuai tak?" ujar Zayan sambil mencekak pinggang.

Ivan mengambil fail itu dan mula menyelaknya. Matanya membulat saat melihat foto di dalamnya. Dia kenal wajah itu.

"Phoenix?" suaranya berubah teruja. "Kau kenal dia?" soal Ivan sambil mendongak memandang Zayan.

Zayan mengerutkan dahi, keliru dengan reaksi Ivan. Jari telunjuknya menunjuk ke bahagian nama dalam fail tersebut.

Mata Ivan mengekori jari Zayan ke kolum nama.

"Nur Zareen Seroja binti Muhd Zakir—?" Ivan mendongak, memandang Zayan dengan riak terkejut.

"Kau orang adik-beradik?"

Zayan mengetap bibir, tidak memberi jawapan terus. Ivan tersenyum kecil.

"Aku pernah bekerja satu unit dengan dia dalam UTK," kata Ivan, nada suaranya penuh nostalgia.

"Oh...," Zayan masih tidak faham apa yang membuatkan Ivan begitu teruja.

"Kau bacalah dulu fail tu," pintanya.

Ivan mula serius. Matanya menyapu maklumat peribadi Zareen, membaca setiap butiran dengan teliti. Selepas beberapa minit, dia menutup fail itu dan bersandar ke kerusi.

"Aku rasa okay. Aku masuk tanya bos dulu," katanya sebelum bangun.

Zayan hanya mengangguk, namun dalam hatinya dia tidak pasti sama ada itu keputusan yang betul.

Setelah mengetuk pintu kaca beberapa kali, Ivan melangkah masuk ke dalam pejabat Hadif. Ruangan itu luas, moden, dan berkelas. Bau kopi memenuhi udara. Di belakang meja, Hadif sedang berbual dalam panggilan video dengan seseorang dari Amerika. Skrin laptopnya memaparkan wajah seorang lelaki berambut perang, kelihatan serius dalam perbincangan mereka.

Hadif sempat berpaling sejenak, melihat Ivan yang berdiri di hadapan pintu. Keningnya terangkat sedikit, memberi isyarat bertanya.

Melihat Hadif yang sibuk, Ivan bercadang mahu keluar semula. Dia akan mencari waktu lain untuk berbincang. Perlahan-lahan, dia berundur ke belakang, cuba untuk tidak mengganggu. Namun, sebelum sempat dia keluar, Hadif menoleh sekali lagi.

"What’s up, Ivan?"

Ivan terhenti. "Nothing, boss. We think we should take extra bodyguards because of the recent shooting attack—" suaranya diperlahankan, hampir berbisik, tidak mahu mengganggu perbualan Hadif dengan rakannya di skrin.

Hadif mengerutkan dahi sejenak sebelum menghela nafas pendek. "Extra bodyguards? You already saw that file, right? Just give it to HR tomorrow. Tell them to write an exclusive contract."

Nada Hadif santai, seolah-olah serangan yang berlaku semalam bukanlah sesuatu yang membimbangkan.

Ivan tersengih kecil. "Okay, boss." Dia mengangkat tangan, membuat simbol 'OK' dengan jarinya sebelum berundur keluar.

Hadif tidak lagi memandangnya, sebaliknya terus menyambung perbualan dengan lelaki di skrin. Ivan dapat mendengar beberapa perkataan yang disebut, antaranya "security measures" dan "under control."

Dia tersenyum sendiri. Hadif memang begitu—tenang, penuh keyakinan, dan tidak pernah menunjukkan kegusaran walaupun nyawanya sendiri diancam.

Ivan menutup pintu pejabat dengan perlahan sebelum melangkah keluar dengan wajah ceria. Segalanya berjalan seperti yang dirancang.

Zayan, yang duduk menunggu di meja staf di luar, memerhatikan Ivan yang tersengih-sengih sebaik keluar dari pejabat Hadif.

"Macam mana?" soal Zayan, nadanya sedikit mendesak.

Tanpa menjawab, Ivan menghulurkan semula fail yang sebelum ini diserahkan kepadanya. Zayan mengerutkan dahi, terpinga-pinga.

"Esok pagi, kau hantar fail ni ke HR. Suruh Wendy buat kontrak eksklusif."

Zayan mengambil fail itu sambil tersenyum kecil. Maknanya Zareen sudah diterima bekerja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience