Bab 14

Romance Series 63266

GMC Medical Center

Bau ubat-ubatan menusuk hidung. Bunyi bip mesin jantung kedengaran perlahan, sesekali diselang seli dengan langkah jururawat yang sibuk bergerak ke sana sini.

Zayan terbaring di atas katil hospital dengan wajah pucat, namun matanya masih terbuka, menatap siling putih di atasnya. Tangan kanannya diinfus, manakala pahanya dibalut kemas dengan kain kasa. Dadanya turun naik perlahan, menahan kesakitan yang masih terasa.

Di sudut bilik, Zareen bersandar pada dinding dengan tangan bersilang di dada. Matanya tajam menikam Hadif yang berdiri di hujung katil.

Ivan duduk di sofa kecil bersebelahan katil, memerhatikan suasana tegang itu tanpa berkata apa-apa.

Hadif menggenggam jemarinya, cuba mengawal perasaan. Dia akhirnya bersuara, nadanya rendah. “Macam mana keadaan dia?”

Doktor yang sedang memeriksa Zayan menutup fail laporan perubatannya. "Peluru menembusi paha, tapi tak kena arteri utama. Dia kehilangan banyak darah, tapi keadaannya stabil sekarang." Doktor memandang ke arah Zayan. "Kamu akan rasa sakit untuk beberapa hari, tapi kalau ikut arahan dan rehat secukupnya, kamu akan pulih sepenuhnya."

Zayan mengangguk perlahan. “Terima kasih, doktor.”

Doktor tersenyum kecil sebelum berlalu keluar.

Suasana kembali tegang.

Zareen masih memandang Hadif, matanya penuh api kemarahan.

"Ini semua salah kau," kata Zareen, suaranya dingin.

Selama empat bulan bekerja, belum pernah dia bercakap menggunakan ‘aku’ dan ‘kau’ dengan Hadif. Biasanya, dia membahasakan dirinya sebagai ‘saya’ dan memanggilnya ‘bos’. Tapi kali ini, kesabarannya sudah hilang.

Hadif mengangkat wajah. "Aku tak—"

"Kalau kau ikut arahan, benda ni tak akan jadi!" bentak Zareen, tidak membiarkan Hadif habis berbicara.

Hadif terdiam. Dia tahu dia tiada alasan.

Zareen mendekati Hadif, matanya menikam tajam. “Kau bukannya budak kecik yang tak reti nak bezakan situasi bahaya atau tak."

Nada Zareen penuh sindiran.

"Kalau kau dengar cakap aku, Zayan takkan kena tembak!"

Hadif menelan air liur. Rasa bersalah semakin menekan dadanya. Dia ingin mempertahankan dirinya, tetapi dia tahu setiap perkataan Zareen benar.

Zayan yang dari tadi diam akhirnya bersuara, suaranya lemah tetapi jelas. "Sudahlah..."

Zareen mengetap bibir, menahan gelora di dada. Nafasnya kasar, dada turun naik menahan kemarahan yang semakin memuncak.

“Tak.” Suaranya tegas, nadanya bergetar. “Aku tak boleh buat bodoh macam ni benda kecil.”

Dalam sekelip mata, tangannya sudah mencengkam kolar baju Hadif, menarik lelaki itu lebih dekat. Mata hitamnya bersinar tajam, menusuk terus ke dalam anak mata coklat Hadif.

“Kalau kau nak hidup,” nadanya rendah tetapi berisi amaran, “kau kena percaya pada kami. Kami bodyguard kau. Kami tahu apa yang kami buat.”

Cengkaman Zareen semakin erat, jarinya mengepal kuat pada fabrik kemeja mahal yang dipakai Hadif. Dia tidak peduli jika lelaki itu tersinggung atau terasa.

Yang dia tahu, satu kesilapan lagi boleh meragut nyawa.

Hadif terkedu, tidak mampu mengalihkan pandangan dari wajah Zareen. Dia dapat merasakan kemarahan wanita itu—bukan sekadar marah biasa, tetapi marah kerana dia hampir membahayakan semua orang.

"Aku risaukan kau."

Tiba-tiba, kata-kata itu terpacul dari bibir Hadif tanpa sedar.

Zareen tergelak sinis. "Risaulah pada diri sendiri dulu sebelum kau menyusahkan orang lain."

Nada tajamnya membuat Hadif terkedu.

Ivan, yang sejak tadi hanya memerhati, akhirnya bersuara. "Cukup." Suaranya tenang tetapi tegas. Dia memandang Hadif dan Zareen bergilir-gilir. "Sekarang bukan masanya nak bertengkar."

Zareen mendengus kasar sebelum berpaling ke arah Zayan yang masih terbaring di katil hospital.

Hadif hanya berdiri di situ, matanya tidak lepas daripada Zareen. Cara wanita itu menjaga dan risaukan Zayan membuatkan hatinya terasa sedikit geram. Zareen begitu peduli pada Zayan, tetapi sedikit pun tidak tersentuh dengan perasaan risau yang dia tunjukkan?

Ivan menghela nafas panjang, memerhatikan Hadif dengan pandangan penuh makna. Dia nampak sesuatu yang Hadif cuba sembunyikan—perasaan yang semakin jelas terpancar di mata majikannya.

"Haihh..." Ivan menggeleng perlahan. Dalam tempoh empat bulan ini dia perasan sedikit demi sedikit perubahan Hadif terhadap Zareen. Bukannya dia buta. Bukannya dia tidak faham. Tapi nampaknya hanya satu orang yang masih tak tahu hujung pangkal dalam hal ini—Zareen sendiri.

---------------------

Balai Polis Ampang, Kuala Lumpur

Suasana di balai polis sunyi, hanya tinggal beberapa pegawai yang masih bertugas. Zareen dan Hadif duduk bersebelahan di bangku ruang menunggu, tetapi masing-masing membisu. Sejak tadi, tidak sepatah kata pun keluar dari mulut mereka.

Ivan yang berdiri di tepi hanya mampu menggaru kepalanya yang tak gatal. Dia dapat merasakan ketegangan diantara mereka, tetapi memilih untuk tidak masuk campur.

Mereka berada di balai polis hingga pukul 2 pagi. Proses membuat laporan, diambil keterangan, dan sesi soal siasat memakan masa yang lama. Pihak polis juga telah menghantar pasukan penyiasat ke pejabat Hansel Group Auto untuk mengumpul bukti.

Setelah semuanya selesai, mereka bertiga melangkah keluar ke tempat parkir balai polis. Udara malam terasa sejuk, menyapu wajah mereka yang keletihan.

Zareen dan Ivan saling berpandangan seketika sebelum Ivan bersuara.

“Bos, buat sementara waktu, bos tak boleh balik rumah.”

Hadif memandang Ivan dengan dahi berkerut. “Apa maksud kau?”

“Bos kena ikut Zareen balik,” ujar Ivan tenang.

Mata Hadif membulat. “Apa?”

Zareen hanya membuat muka selamba, tidak terkejut langsung dengan keputusan itu.

“Aku rasa—”

“Bos,” Ivan memintas dengan senyuman tipis, “jangan lupa apa yang Zareen cakap sebelum ni. Safety protocol.”

Hadif menjegil ke arah lelaki itu. Dia tahu Ivan sedang menyindirnya.

Namun, mahu tak mahu, dia terpaksa akur. Dengan ancaman yang masih belum dikenalpasti, rumahnya bukan tempat paling selamat buat masa ini.

Sejujurnya, dia lebih rela berada di pejabatnya sendiri. Tetapi bila difikirkan semula, pejabat itu juga telah menjadi sasaran.

Sepatutnya esok dia perlu ke Hong Kong untuk urusan perniagaan bersama Zayan. Namun, dengan insiden ini, nampaknya perjalanan itu terpaksa ditangguhkan.

Keselamatan lebih utama.

Selain itu, Ivan sendiri masih belum mempunyai masa untuk menyiasat perkara ini. Selepas kejadian Zayan ditembak, mereka terus ke hospital, kemudian ke balai polis, dan sekarang, baru mereka boleh beredar.

Dengan perasaan berat, Hadif akhirnya menurut.

Ivan masuk ke dalam Audi RS7, manakala Zareen dan Hadif menaiki Mercedes-Benz GLE-Class. Zareen masuk ke tempat pemandu tanpa bertanya pada Hadif. Melihat Zareen masuk ke tempat pemandu Hadif tanpa banyak bicara masuk duduk di tempat penumpang.

Malam ini Zareen mendominasi.

Dalam Mercedes-Benz GLE-Class. Hadif bersandar di kerusi penumpang dengan wajah tegang. Dia menoleh ke arah Zareen yang sedang memandu dengan wajah kelat. Wanita itu langsung tidak memandangnya.

"Looks like she's really angry because I caused her boyfriend to get injured!" gumam Hadif di dalam hati. Kesal namun agak cemburu dengan perhatian Zareen pada Zayan.

Dia menghela nafas berat. Dia tidak sepatutnya cemburu pada wanita yang memang dari awal lagi dia tahu sudah mempunyai teman lelaki. Tetapi dia tidak dapat mengawal perasaannya.

Damn! I've gone crazy!

Hadif meramas rambutnya. Matanya memandang keluar tingkap. Semakin lama melihat wajah Zareen semakin rasa sakit hati.

"Zayan tahu kau bawa aku balik?" Tiba-tiba ringan saja mulut Hadif mengeluarkan soalan itu. Timbul juga perasaan serba-salah mahu menumpang tidur di rumah Zayan. Apatah lagi terpaksa duduk serumah dengan teman wanitanya. Jika hendak menumpang rumah Ivan pun tak boleh. Ivan sudah berkeluarga.

Zareen tidak menjawab pertanyaan Hadif. Dia hanya fokus pada pemanduan, tangannya kukuh menggenggam stereng. Masih belum ada 'mood' mahu bercakap dengan lelaki itu.

Share this novel

Norzilawati
2025-02-22 16:22:52 

tq update .. harap2 ada jodoh utk aleeya

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience