Zayan membelok ke bahu jalan apabila melihat sebuah Chevrolet Camaro merah tersadai di situ, mengikut lokasi yang diberikan oleh Ivan. Range Rover milik Ivan sudah terparkir kemas di belakang Chevrolet Camaro itu.
Pantas, Hadif keluar dari kereta dan menjenguk ke dalam Chevrolet Camaro yang pintunya terbuka. Darah merah membasahi kusyen tempat duduk pemandu. Medina pasti cedera parah. Hadif meraup wajah, riak wajahnya berubah gelisah.
Zayan, yang berdiri tidak jauh dari Hadif, membaca setiap reaksi lelaki itu. Tidak lama kemudian, Ivan keluar dari kereta dan menghampiri Hadif.
"Bos, semasa saya sampai tadi, perempuan tak guna tu..."
Pantas tangan Zayan menekup mulut Ivan yang celupar itu.
"Hmmpp... hmmp?" Ivan memandang Zayan dengan riak hairan.
Zayan menggeleng, memberi isyarat agar Ivan menutup mulutnya. Dia kemudian menarik tangan Ivan ke belakang Range Rover.
"Kau tak nampak muka bos macam mana?" ujar Zayan perlahan.
"Kenapa dengan muka bos?" soal Ivan kembali.
"Ish... aku ketuk juga kepala kau ni. Perempuan tu kenalan bos. Bila jadi macam ni, mestilah benda ni akan trigger emosi dia. Rasa bersalah, faham?" ujar Zayan separuh berbisik.
"Oh..." Mulut Ivan melopong.
"Dah lah. Aku nak bawa bos pergi balai polis buat report." Zayan menggaru kepala. Serabut. Keliru. Adakah dia tidak patut menembak perempuan itu?
"Harap perempuan tu sempatlah sampai ke hospital," bisik Ivan perlahan sebelum masuk semula ke dalam Range Rover.
Zayan berjalan menghampiri Hadif.
"Bos, kita kena pergi hospital dulu. Lepas tu baru buat report."
Hadif menoleh, memandang tepat ke dalam anak mata Zayan. Dia mengangguk perlahan sebelum mengatur langkah masuk ke dalam keretanya.
Mereka perlu ke hospital dan balai polis.
-------------------
Di Balai Polis Ampang.
Hadif melangkah masuk ke balai polis dengan wajah tegang, sementara Zayan mengekor di belakang. Bahunya sudah berbalut dengan pembalut putih.
Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor menghampiri mereka. “Encik Hadif, Encik Zayan. Sila ikut saya untuk buat laporan.”
Mereka dibawa ke sebuah bilik siasatan. Hadif duduk di hadapan meja, sementara Zayan berdiri di belakangnya, matanya masih tajam memerhatikan persekitaran.
Inspektor Rahman membuka buku catatannya. “Boleh encik ceritakan apa yang berlaku?”
Hadif menarik nafas dalam sebelum memulakan cerita. “Saya keluar dari pejabat sekitar pukul 8:30 malam. Ketika saya menuju ke tempat parkir, saya terdengar bunyi tapak kaki di belakang saya. Seseorang memanggil saya dari belakang, saya berpusing, seseorang telah mengacukan senjata ke arah saya.”
Inspektor Rahman mengangguk sambil menulis. “Siapa penyerangnya?”
Hadif berdiam diri seketika sebelum menjawab perlahan. “Medina.”
Inspektor Rahman mengangkat kening. “Encik kenal dia?”
“Ya.” Hadif mengangguk. “Dia bekas teman wanita adik saya.”
Zayan mengetap gigi, tidak berpuas hati dengan jawapan separuh masak itu, tetapi dia tidak mencelah.
Inspektor Rahman menulis sesuatu sebelum menoleh ke arah Zayan. “Encik Zayan, boleh beritahu apa yang berlaku selepas itu?”
Zayan bersandar pada dinding. “Saya sedang menunggu Tuan Hadif di dalam kereta. Tiba-tiba saya nampak dia berhenti melangkah dan memusingkan badan. Dari kedudukan saya, ada tiang yang menghalang pandangan, jadi saya tak dapat lihat siapa di belakangnya.”
Dia mengambil nafas seketika sebelum menyambung. “Tapi saya nampak Tuan Hadif mengangkat tangan. Saya tahu ada sesuatu yang tak kena. Jadi saya keluar dari kereta dan meluru ke arahnya.”
Zayan mengetap rahang sebelum berkata dengan nada serius, “Kemudian, satu das tembakan dilepaskan.”
Inspektor Rahman berhenti menulis. “Siapa yang melepaskan tembakan pertama?”
“Medina,” jawab Zayan tanpa ragu.
Inspektor Rahman mengangguk perlahan sebelum kembali menumpukan perhatian kepada Zayan. “Encik balas tembakan?”
Zayan mengangguk. “Dua das. Satu tersasar. Satu mengenai rusuk kanan penyerang.”
“Penyerang melarikan diri?”
Zayan mengangguk lagi. “Dia masuk ke dalam sebuah Chevrolet Camaro dan beredar dari tempat kejadian.”
Inspektor Rahman termenung seketika sebelum bersuara. “Adakah encik tahu mengapa dia mahu menyerang encik?” Matanya memandang Hadif.
Hadif mengetap bibir. Akhirnya dia bersuara dengan nada perlahan tetapi jelas. “Dia ada perselisihan faham dengan saya. Medina juga ada kaitan dengan geng Black Python.”
Inspektor Rahman terdiam seketika. Dia meletakkan pen di atas buku catatannya sebelum memandang Hadif dengan serius. “Black Python?”
Hadif mengangguk. “Ayahnya ketua geng itu.”
Riak wajah Inspektor Rahman berubah. Dia bersandar pada kerusi dan berfikir sejenak sebelum bersuara. “Kalau begitu, ini bukan sekadar cubaan bunuh biasa. Encik Hadif mungkin sedang diburu oleh salah satu organisasi jenayah paling berbahaya.”
Zayan hanya berdiam diri, tetapi matanya bertemu dengan mata Hadif. Mereka berdua tahu—ini baru permulaan.
Inspektor Rahman menghela nafas. “Kami akan cuba mengesan penyerang itu dan menghubungi unit khas untuk menyiasat lebih lanjut. Sementara itu, saya sarankan encik Hadif berhati-hati.”
Hadif mengangguk, tetapi dia tahu bahawa 'berhati-hati' mungkin tidak akan cukup.
Zayan mengerling jam di pergelangan tangannya. “Inspektor, kita dah boleh pergi?”
Inspektor Rahman memandang bahu Zayan yang masih berdarah walaupun sudah dibalut dengan pembalut. “Baiklah. Kami akan hubungi encik jika ada perkembangan.”
Hadif dan Zayan bangun dari kerusi. Mereka melangkah keluar dari balai polis. Entah berapa jam mereka duduk di dalam bilik siasatan itu.
Hadif dan Zayan bangun dari kerusi, lalu melangkah keluar dari balai polis. Entah berapa jam mereka di dalam bilik siasatan tadi.
Hadif mengeluarkan telefon dari saku kotnya. Ada dua panggilan tidak dijawab daripada Hadi. Belum sempat dia mendail semula, telefon kembali berdering, Hadi menelefon untuk kali ketiga. Hadif segera menjawab panggilan itu.
"Hello?" Nada Hadif tegang.
"Bro, can you come pick up me and Fahad at Setapak Police Station?"
"Setapak Police Station? What are you guys doing there?" Suara Hadif berubah serius.
"We gave a statement to the police about Medina's death. She… she was shot. She's dead." ujar Hadi, suaranya berat.
Hadif terdiam seketika. Dia menghela nafas kasar. Tangan kirinya meraup rambut coklatnya.
"I'm at Ampang Police Station right now. I filed a police report and gave a statement about the shooting attack on me at our office." Suara Hadif bergetar, ada nada kesal dalam suaranya.
Mata Hadi membuntang. "What?"
"Zayan got shot while trying to protect me," beritahu Hadif. Namun masih berselindung mengenai penglibatan Medina.
Hadi yang berada di hujung talian terdiam.
Zayan mengeluh kasar. Keadaan semakin rumit dengan penglibatan Hadi dan Fahad. Adakah Medina meminta bantuan Hadi dan Fahad selepas tercedera?
----------------------
Selesai solat Zuhur, Zareen terus keluar dari bilik. Ketika solat tadi, dia terdengar pintu depan dibuka. Pasti Zayan sudah pulang. Sejak keluar selepas Subuh pagi semalam, hampir pukul dua petang hari ini barulah adiknya itu kembali ke rumah.
Benar seperti yang dijangka, adiknya itu sedang duduk di sofa dengan bahu berbalut.
"Kau kena tembak?" soal Zareen, lalu melabuhkan punggung ke sofa di sebelah Zayan.
"Ha’ah. Bos aku kena serang dekat ofis dia tadi. Penyerang tu kenalan dia," balas Zayan, menyandarkan tubuh ke sofa. Kesan ubat penahan sakit sudah habis, dan bahunya mula berdenyut-denyut.
"Lambatnya kau bertindak. Ramai ke yang serang bos kau tu?"
Zayan menghela nafas panjang. Sakit hati juga dengan kritikan kakaknya.
"Aku duduk dalam kereta, tiga puluh dua kaki jaraknya dari bos aku sebelum tembakan dilepaskan. Dia dekat kereta dia. Kau rasa aku Superman, boleh terus terbang ke sana?" Zayan menjeling geram. Sudahlah tengah sakit, kena perli pula.
"Kau naik kereta asing-asing?"
"Yup. Bos aku jenis yang tak suka privasinya diganggu."
"Kalau macam tu, baik tak payah ambil bodyguard. Kalau penembak tu profesional, dia dah mati dah," bebel Zareen.
Zayan mengetap rahang. Kakaknya ini memang tak pernah tapis kata-kata. Dia menolak tubuh dari sofa, malas hendak melayan Zareen lebih lama. Sudahlah sejak semalam dia tak tidur. Sakit, letih, mengantuk semua ada.
Dia berlalu masuk ke bilik.
Zareen menggeleng perlahan, matanya mengekor langkah adiknya yang menghilang ke dalam bilik. Dia tahu Zayan penat, tetapi kejadian ini bukan perkara kecil. Zayan hampir terbunuh.
Telefon bimbitnya berbunyi. Perkataan Boss tertera di skrin. Zareen segera menjawab.
"Zayan?" kedengaran suara garau di hujung talian.
"Zayan dah masuk tidur," balas Zareen.
"Oh, okay?" Hadif mematikan talian. Dia menatap skrin telefonnya sekali lagi.
Suara wanita? Setahunya, Zayan belum berkahwin!
Adakah wanita itu teman wanitanya? Sakan juga Zayan, sampai berani membawa wanita masuk ke rumah.
Share this novel