Pagi itu, matahari masih samar di ufuk timur. Sinar kuning membias lembut di balik langsir bilik, menemani Aisyah yang sedang berdiri di hadapan cermin. Dia merapikan tudungnya, memastikan setiap helai tersusun kemas. Bunyi air dari bilik mandi masih kedengaran, menandakan Rayyan sedang bersiap.
Tidak lama kemudian, Rayyan keluar dengan tuala di bahu. Bajunya belum dikenakan, hanya bersinglet putih yang menampakkan tubuhnya yang sedikit susut. Aisyah perasan lingkaran gelap di bawah matanya.
“Awak tidur lewat lagi?” Aisyah bertanya sambil menoleh ke arahnya.
Rayyan sekadar tersenyum tipis. “Tak boleh lelap.”
Aisyah menarik nafas perlahan. Dia ingin berkata sesuatu, tetapi memilih untuk mendekati Rayyan dan membetulkan rambutnya yang masih basah. “Jaga diri hari ini, ya?”
Rayyan menatapnya seketika sebelum mengangguk. “Awak pun.”
Selepas sarapan ringkas, mereka keluar bersama seperti biasa. Jalan pagi itu agak sesak, tetapi sunyi antara mereka lebih terasa. Hanya bunyi radio perlahan mengisi ruang kereta.
Ketika tiba di depan bangunan pejabat Rayyan, Aisyah memberhentikan kereta. Rayyan membuka tali pinggang keledar, tetapi sebelum keluar, dia sempat memegang tangan Aisyah.
“Nanti kita makan malam bersama?” suaranya perlahan, seakan akan tidak mahu berpisah begitu sahaja.
Aisyah tersenyum. “Mestilah. Saya masak kegemaran awak.”
Rayyan mengangguk perlahan sebelum melangkah keluar. Aisyah memerhatikannya sehingga hilang di balik pintu kaca. Hati kecilnya berbisik, dia harap hari ini berjalan lancar untuk Rayyan.
Di pejabat, Aisyah baru sahaja meletakkan beg di meja apabila seorang pembantu datang menghampiri.
“Puan Aisyah, bos panggil ke biliknya sekarang.”
Aisyah mengerutkan dahi. “Sekarang?”
“Ya, sekarang.”
Dengan hati berdebar, Aisyah mengetuk pintu bilik bosnya sebelum masuk. Wanita itu, Datin Sofia, sedang duduk di belakang meja dengan riak muka yang serius seperti biasa.
“Aisyah, saya nak awak dan pasukan bersiap. Lusa, awak ke Langkawi. Lima hari.”
Lima hari?
Aisyah terkedu seketika. Biasanya, outstation hanya dua atau tiga hari.
Datin Sofia menyambung, “Ini projek penting. Klien mahu kita pastikan semuanya berjalan lancar. Saya percaya awak boleh uruskan.”
Aisyah mengangguk perlahan. “Baik, Datin.”
“Kalau tak ada apa-apa lagi, awak boleh keluar.”
Aisyah melangkah keluar dengan fikiran bercelaru. Lima hari di Langkawi. Lima hari tanpa Rayyan.
Dia menekan dada, cuba menenangkan debarannya. Sejak mereka berkahwin, dia tidak pernah berjauhan lama dengan suaminya. Dia tahu Rayyan masih dalam proses membina kestabilan dirinya. Dia takut bukan kerana dia tidak percaya pada Rayyan, tetapi kerana dia tahu suaminya masih bergelut dengan bayang bayang masa lalu.
Bagaimana dia mahu memberitahu Rayyan? Dan bagaimana kalau Rayyan tidak bersedia untuk ditinggalkan sendirian?
Aisyah memejam mata seketika.
Malam ini, dia perlu bercakap dengan Rayyan.
Aisyah melangkah keluar dari bilik bos dengan hati yang berkecamuk. Langkahnya perlahan menuju ke meja kerja, tetapi fikirannya masih tergantung di antara dua dunia, Rayyan dan kerjayanya.
Di satu sisi, dia tahu tanggungjawabnya sebagai seorang pekerja. Lima hari bukanlah tempoh yang lama, tetapi cukup untuk meninggalkan kesan, baik pada kerjanya mahupun pada Rayyan. Suaminya baru sahaja mula menunjukkan kestabilan, tetapi masih ada hari hari di mana senyumannya terasa kosong, dan malam malam di mana tidurnya diganggu keresahan.
Aisyah merebahkan tubuh di kerusi, tangannya meramas jari jemari sendiri. Matanya menatap skrin komputer yang terang, tetapi isi kepala dan hatinya gelap.
Adakah dia terlalu risau? Atau… adakah Rayyan benar-benar belum bersedia untuk bersendirian?
Selepas beberapa ketika, Aisyah menarik nafas dalam dalam. Dia perlu tenang. Dia perlu mencari jawapan.
Selepas sudah masuk azan zuhur, Aisyah pergi ke runag solat di pejabatnya. Aisyah mengambil wuduk. Air yang mengalir di kulitnya terasa dingin, seolah olah menenangkan gelora hatinya yang penuh keraguan.
Dia membentangkan sejadah, berdiri tegak, dan mengangkat takbir. Dalam setiap rukun solatnya, dia memohon ketenangan. Dalam sujud terakhirnya, dia menahan sebak yang kian menyesakkan dada.
Selepas memberi salam, Aisyah duduk bersila, mengangkat tangan, dan memejam mata.
"Ya Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui segala isi hati. Aku berada di persimpangan yang sukar, antara tanggungjawab dan orang yang aku sayang. Aku takut keputusanku menyakitinya, dan aku takut keputusanku merugikan amanah yang Engkau berikan kepadaku.
"Ya Allah, jika kepergianku ini baik untuk kami, untuk masa depan kami, maka mudahkanlah jalannya, dan berikanlah ketenangan kepada Rayyan dalam ketiadaanku. Tetapi jika kepergianku ini akan membawa lebih banyak keburukan, maka berikanlah aku kekuatan untuk berkata tidak, dan tunjukkanlah jalan yang lebih baik buat kami.
"Aku serahkan segala urusan ini kepada Mu, ya Allah, kerana Engkaulah sebaik-baik perancang.”
Air matanya jatuh perlahan. Dia tidak tahu jawapan apa yang akan Allah berikan, tetapi hatinya sedikit lega.
Dia hanya perlu menunggu, dan percaya.
Aisyah menghembus nafas perlahan setelah mengucapkan doa terakhir. Hatinya terasa sedikit tenang selepas meluahkan segalanya kepada Allah. Dia bangkit, melipat sejadah, dan menyandarkan badan ke dinding seketika. Namun, fikirannya masih berputar, tentang Rayyan, tentang kerja, tentang keputusan yang harus dibuat.
Bunyi telefon bimbit yang bergetar di sebelah menyentaknya kembali ke dunia nyata. Dia mengambil telefon dan melihat satu mesej masuk.
Farhan: "Aisyah, jom lunch sama? Dah lama tak berbual."
Aisyah mengerutkan dahi. Farhan?
Dia menatap skrin seketika sebelum menaip balasan ringkas.
Aisyah: "Baik. Jumpa di kafe bawah pejabat."
Farhan adalah rakan sekerjanya, seorang lelaki yang berkarisma, pandai berbicara, dan sudah lama dikenali di pejabat sebagai seseorang yang ‘pandai memikat’. Aisyah tahu sejak dulu lagi bahawa Farhan pernah menyimpan perasaan terhadapnya. Namun, dia tidak pernah memberi ruang, apatah lagi selepas berkahwin dengan Rayyan.
Aisyah tiba di kafe tepat pada waktunya. Farhan sudah menunggu di satu sudut dengan secawan kopi di hadapannya. Senyumannya melebar saat melihat Aisyah melangkah masuk.
“Tak sangka awak terima ajakan saya,” katanya sebaik sahaja Aisyah duduk.
Aisyah hanya tersenyum nipis. “Saya tak suka berhutang budi pada sesiapa.”
Farhan ketawa kecil. “Macam dulu. Masih tegas.”
Pelayan datang mengambil pesanan mereka. Selepas itu, Farhan bersandar santai.
“Aisyah,” suaranya perlahan tetapi jelas, “saya ada dalam pasukan awak untuk outstation nanti.”
Aisyah mengangguk. “Saya tahu.”
“Saya gembira kita dapat bekerjasama. Mungkin ini peluang untuk awak fikir semula tentang keputusan hidup awak.”
Dahi Aisyah berkerut. “Maksud awak?”
Farhan tersenyum sinis. “Aisyah, awak wanita bijak. Awak cantik, berjaya, berkarisma. Saya tak faham kenapa awak pilih Rayyan… seorang lelaki yang sakit, berbanding seseorang macam saya.”
Aisyah terdiam. Jantungnya berdegup sedikit laju, tetapi bukan kerana kata kata Farhan, sebaliknya, kerana kemarahan yang cuba dikawalnya.
Farhan menyambung, “Saya bukan nak masuk campur, tapi saya cuma tak faham. Awak boleh dapat lelaki yang lebih stabil, lebih berwibawa. Tapi kenapa masih dengan dia?”
Aisyah menarik nafas panjang, menatap mata Farhan dengan pandangan yang tajam tetapi tetap tenang.
“Farhan, saya pilih Rayyan bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana saya nampak kekuatannya dalam melawan dirinya sendiri. Dia tidak meminta untuk ‘sakit’, tetapi dia memilih untuk terus berjuang, dan saya memilih untuk menjadi temannya dalam perjuangan itu.”
Farhan terdiam.
Aisyah meneruskan, suaranya lebih lembut tetapi penuh makna, “Kekuatan sebenar bukan pada siapa yang paling berjaya atau paling hebat, tetapi pada siapa yang paling jujur dalam mencintai. Awak kata Rayyan ‘sakit’, tapi saya nampak dia sebagai seseorang yang lebih kuat daripada kebanyakan orang, kerana setiap hari dia melawan sesuatu yang orang lain tak pernah faham.”
Farhan tersenyum sinis “Jadi, awak tetap takkan berpaling?”
Aisyah menggeleng perlahan. “Cinta bukan sekadar memilih yang terbaik. Ia tentang memilih seseorang, dan kemudian menjadikannya yang terbaik dalam hidup kita.”
Farhan tersenyum tipis, tetapi ada kekecewaan dalam matanya. “Saya faham. Tapi saya tetap rasa awak buat pilihan yang salah.”
Aisyah mengangkat bahu. “Mungkin di mata awak, ya. Tapi dalam hidup saya, dia pilihan yang paling betul.”
Dia menghabiskan minumannya, sebelum bangkit berdiri.
“Terima kasih untuk makan tengah hari ini, Farhan. Tapi selepas ini, saya harap kita hanya bercakap soal kerja.”
Farhan hanya memerhatikan langkah Aisyah yang semakin menjauh. Dia tahu, tiada apa yang boleh mengubah hati wanita itu.
Dan Aisyah? Dia melangkah pergi dengan hati yang lebih tenang. Kerana dia tahu, setianya kepada Rayyan bukan kerana paksaan, tetapi kerana ia adalah keputusannya yang paling kukuh.
Langit petang semakin kelam saat Aisyah memandu pulang. Tangannya kemas di stereng, matanya tertumpu ke jalan, tetapi fikirannya masih bermain dengan kata-kata yang perlu disusun untuk Rayyan.
Sebagai seorang profesional, dia tahu bagaimana mengendalikan perbincangan yang penting, jelas, logik, tanpa emosi berlebihan. Tetapi ini bukan sekadar mesyuarat kerja, ini tentang sesuatu yang lebih mendalam, lebih peribadi.
Rayyan perlu tahu bahawa dia akan ke Langkawi selama lima hari. Dia akan meminta izin kerana dia tahu Rayyan bukan jenis lelaki yang menghalangnya daripada bekerja. Tetapi dalam masa yang sama, dia mahu memastikan Rayyan faham bahawa ini bukan sekadar tentang kerja ini tentang tanggungjawab yang dia pikul sebagai seorang isteri dan seorang wanita bekerjaya.
Dia tidak mahu Rayyan salah faham. Dia tidak mahu Rayyan fikir dia memilih kerjaya berbanding rumah tangga mereka.
Namun, apa yang Aisyah tidak tahu, perbualan malam ini bukan sekadar tentang outstation.
Apa yang menantinya selepas ini adalah sesuatu yang jauh lebih besar, sesuatu yang akan mengubah banyak perkara dalam hidupnya dan dalam hubungan mereka.
Dan pada saat ini, dia masih belum menyedarinya.
Share this novel