Dunia Yang Berbeza

Romance Series 983

Pagi itu langit mendung seakan akan mencerminkan perasaan Rayyan yang berat.Aisyah duduk di sebelahnya di dalam kereta,tangannya memegang stereng dengan santai.Mereka dalam perjalanan ke tempat kerja Aisyah ke firmanya, Rayyan ke pejabatnya di sebuah syarikat perundingan korporat.

Sejak perbualan mereka malam itu,Rayyan merasakan ada sedikit kelegaan dalam dirinya. Tetapi ketenangan itu tidak bertahan lama. Hari ini dia perlu berdepan lagi dengan rakan sekerjanya iaitu Hafiz.

Seorang lelaki yang sentiasa kelihatan yakin, karismatik, dan… menyebalkan.

Aisyah melirik ke arah Rayyan yang termenung, matanya redup seakan ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

"Awak okay?" Aisyah bertanya, suaranya lembut.

Rayyan menarik nafas panjang sebelum menggeleng perlahan. "Saya rasa… hari ni akan jadi hari yang panjang."

Aisyah tersenyum kecil. "Setiap hari pun panjang, Rayyan. Tapi kita tetap lalui juga, kan?"

Rayyan tersenyum hambar. "Ya, tapi hari ni saya rasa lebih panjang dari biasa."

Aisyah mengangguk, memahami apa yang tersirat di sebalik kata-kata itu. "Hafiz lagi?"

Rayyan hanya mengangguk.

"Apa dia buat kali ni?"

Rayyan menghela nafas berat. "Dia selalu rasa dia lebih tahu segalanya. Suka perlekehkan kerja orang lain dan yang paling saya tak tahan dia sentiasa buat saya rasa saya tak cukup bagus dalam kerja ni."

Aisyah memandang Rayyan dengan simpati. "Tapi hakikatnya, awak bagus dalam kerja awak, kan?"

Rayyan mendiamkan diri seketika sebelum menjawab, "Entahlah, Aisyah. Kadang-kadang saya sendiri ragu."

Aisyah menekan brek perlahan ketika mereka menghampiri lampu isyarat merah. Dia berpaling sedikit ke arah suaminya. "Rayyan, orang macam Hafiz akan sentiasa ada. Tapi awak kena ingat, penilaian dia tak menentukan siapa awak. Dia bukan bos awak, dia bukan orang yang bayar gaji awak. Dia cuma seseorang yang mungkin insecure dengan dirinya sendiri, sebab itu dia suka menjatuhkan orang lain."

Rayyan mengangguk perlahan.Dia tahu Aisyah betul, tetapi berdepan dengan Hafiz setiap hari bukan perkara mudah.

Lampu bertukar hijau dan Aisyah kembali fokus pada pemanduan. "Kalau dia buat hal lagi hari ni, awak nak buat apa?"

Rayyan termenung sejenak. "Entahlah. Selalunya saya cuma diam dan telan semua benda yang dia cakap."

Aisyah tersenyum sinis. "Dan saya pasti itu buat dia lebih seronok, kan?"

Rayyan mengangguk.

Aisyah menghela nafas. "Mungkin dah sampai masa awak cakap sesuatu, Rayyan,awak tak perlu bergaduh, tapi awak boleh berdiri untuk diri sendiri."

Rayyan hanya tersenyum kecil, tetapi dalam hati dia masih ragu-ragu.

Di pejabat Rayyan

Rayyan melangkah masuk ke pejabat dengan perasaan bercampur baur. Bunyi deringan telefon, suara orang berbual, dan bunyi papan kekunci mengetuk memenuhi ruang.

Dia meletakkan begnya di meja sebelum membuka komputer. Baru sahaja dia ingin memulakan kerja, satu suara yang sangat dikenali menyapa.

"Rayyan, kau dah siapkan laporan untuk meeting petang ni?"

Rayyan mengangkat kepala. Hafiz berdiri di hadapannya dengan tangan bersilang di dada, senyum sinis menghiasi wajahnya.

Rayyan menarik nafas dan mengangguk. "Dah. Aku dah hantar ke email bos pagi tadi."

Hafiz mengangkat kening, seakan terkejut. "Oh? Tak sangka kau boleh siapkan awal. Selalunya kau ambil masa lama."

Rayyan menggenggam tangannya di bawah meja, cuba menahan perasaan. "Aku buat yang terbaik."

Hafiz ketawa kecil. "Baik macam mana pun, kalau tak cukup bagus, bos tetap akan perasan. Kau tahu kan bos suka kerja yang ada standard?"

Rayyan mengetap bibirnya. Dia tahu Hafiz sengaja mahu membuatkan dia ragu-ragu.

"Aku tahu, Hafiz. Dan aku yakin dengan kerja aku."

Kata-kata itu keluar sebelum dia sempat berfikir panjang.

Hafiz terdiam seketika, sebelum ketawa kecil. "Wah, hari ni kau ada keyakinan pula? Baguslah. Kita tengok nanti macam mana."

Dia berlalu pergi, meninggalkan Rayyan yang masih cuba mengawal perasaannya.

Buat pertama kali, dia tidak hanya diam. Dia membalas, walaupun sedikit.

Dia menarik nafas perlahan dan membiarkan dirinya fokus pada kerja.

Mungkin hari ini tidak akan seteruk yang dia sangka.

Di pejabat Aisyah

Sementara itu, di pejabat Aisyah, dia sedang bersiap untuk mesyuarat dengan klien besar. Namun, fikirannya masih tertumpu pada Rayyan.

Dia mengeluarkan telefonnya dan menghantar mesej ringkas:

"Awak okay?"

Beberapa minit kemudian, mesej masuk.

"Saya balas cakap Hafiz. Mungkin untuk pertama kali dalam hidup saya"

Aisyah tersenyum membaca mesej itu. Dia tahu ini adalah satu langkah kecil untuk Rayyan, tetapi satu langkah yang penting.

"Saya bangga dengan awak. Teruskan, okay?"

Dia menghantar mesej itu sebelum kembali fokus pada kerjanya.

Tetapi di hatinya, dia tahu Rayyan sedang belajar untuk berdiri sendiri.

Dan dia akan sentiasa ada di sini untuk menyokongnya.

Pejabat Rayyan terasa lebih sejuk dari biasa. Bukan kerana penghawa dingin, tetapi kerana debaran yang menghimpit dadanya.

Hari ini, dia harus membentangkan hasil kerjanya kepada klien syarikat,sesuatu yang jarang sekali dia lakukan.Biasa bosnya lebih suka memberi tugas ini kepada Hafiz atau rakan sekerja lain yang lebih ‘berkarisma’. Tetapi kali ini, kerja yang Rayyan lakukan sepanjang minggu dipilih untuk dipersembahkan.

Mungkin kerana tiada pilihan lain atau mungkin kerana bos ingin mengujinya.

Rayyan berdiri di hadapan cermin di bilik air pejabat, menarik nafas dalam-dalam.

"Aku boleh buat ni." Dia berkata kepada dirinya sendiri, walaupun hati kecilnya membisikkan keraguan.

Ketika dia melangkah keluar, dia hampir bertembung dengan Hafiz.

"Oh, Rayyan." Hafiz menyilangkan tangan, senyum sinisnya tidak pernah lekang. "Kau serius nak buat pembentangan tu? Aku ingat bos main-main tadi."

Rayyan mengetap bibir. "Kenapa? Kau rasa aku tak boleh?"

Hafiz ketawa kecil. "Bukan apa, kau bukan jenis yang suka bercakap depan orang ramai. Kau selalu nampak gugup. Kau fikir klien nak dengar dari seseorang yang nampak tak yakin?"

Rayyan terdiam. Dia tahu Hafiz sedang mencabar keyakinannya, cuba menggoyahkan semangatnya sebelum dia sempat melangkah masuk ke bilik mesyuarat.

"Aku dah buat kerja ni sepanjang minggu. Aku tahu setiap data dan analisis dalam laporan tu. Kalau aku tak yakin dengan diri aku, sekurang-kurangnya aku yakin dengan kerja aku."

Kali ini, Hafiz terdiam seketika. Dia tidak menyangka Rayyan akan membalas dengan begitu tenang.

"Kita tengok nanti." Itu sahaja yang Hafiz katakan sebelum berlalu pergi.

Rayyan menarik nafas dalam, kemudian melangkah ke bilik mesyuarat dengan dada yang masih berombak.

Di Bilik Mesyuarat

Rayyan berdiri di hadapan skrin besar, fail pembentangannya telah siap dipaparkan. Di hadapannya duduk beberapa orang penting bosnya, dua orang eksekutif syarikat, dan yang paling utama, klien mereka.

Dia dapat merasakan mata semua orang tertumpu kepadanya.

Jari jarinya menggenggam erat hujung meja. Dadanya terasa berat. Kerongkongnya kering.

Tetapi dia harus mulakan.

Dia menarik nafas, lalu membuka bicara.

"Terima kasih kerana meluangkan masa untuk sesi pembentangan ini. Hari ini, saya akan menerangkan strategi pemasaran terbaru yang telah kami rangka berdasarkan analisis data semasa. Kami percaya bahawa dengan pendekatan ini, syarikat anda dapat meningkatkan keterlihatan jenama dan mendapatkan pulangan yang lebih tinggi."

Suaranya stabil, walaupun ada sedikit gementar.

Dia mula menggerakkan slide, menerangkan satu persatu data dan kajian yang telah dilakukan. Perlahan-lahan, dia mula melupakan ketakutannya. Dia tahu topik ini. Dia faham setiap angka yang dipaparkan. Ini adalah kerja yang dia usahakan sendiri.

Ketika dia melihat klien mengangguk perlahan, dia tahu mereka berminat.

Tetapi belum selesai semuanya.

"Saya ada satu soalan," salah seorang eksekutif klien bersuara. "Bagaimana strategi ini dibandingkan dengan pesaing utama kami? Apa jaminan bahawa ia lebih berkesan?"

Rayyan terdiam seketika.

Soalan ini sukar.

Dia dapat melihat bosnya sedikit mengerutkan dahi, seolah-olah risau jika Rayyan tidak dapat menjawab.

Namun, Rayyan menarik nafas dalam.

"Itu soalan yang bagus," dia memulakan, cuba menenangkan diri. "Jika kita lihat data di slide ini, pesaing utama anda menggunakan pendekatan yang lebih tradisional iaitu dengan pengiklanan konvensional. Walaupun kaedah itu masih berkesan, ia mempunyai batasan dari segi sasaran pasaran. Strategi yang kami cadangkan ini lebih fokus kepada pemasaran digital yang berdasarkan analisis tingkah laku pengguna. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat menarik pelanggan baru, tetapi juga mengekalkan pelanggan sedia ada dengan lebih baik."

Rayyan menunjukkan data perbandingan di skrin, menjelaskan dengan tenang walaupun hatinya masih berdegup kencang.

Beberapa saat sunyi sebelum eksekutif itu mengangguk perlahan.

"Menarik. Saya suka pendekatan itu."

Rayyan menarik nafas lega dalam diam.

Bosnya tersenyum tipis, tanda lega.

Sementara itu, di hujung meja, Hafiz hanya bersandar dengan tangan bersilang, matanya tajam memerhati.

Rayyan tahu—Hafiz tidak menyangka dia akan mampu bertahan.

Dan buat pertama kalinya, Rayyan merasa sedikit bangga dengan dirinya sendiri.

Selepas Mesyuarat
Ketika Rayyan keluar dari bilik mesyuarat, telefon bimbitnya bergetar.

Mesej dari Aisyah.

"Awak buat dengan baik?"

Rayyan tersenyum kecil, menaip balasan.

"Saya buat yang terbaik. Dan kali ni, saya rasa cukup baik."

Aisyah membalas hampir serta-merta.

"Saya tahu awak boleh. Saya bangga dengan awak, Rayyan."

Rayyan menarik nafas dalam.

Mungkin hari ini adalah hari pertama dia belajar untuk benar-benar percaya pada dirinya sendiri.
Dan itu, adalah langkah pertama yang paling penting.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience