Luka Yang Tidak Kelihatan

Romance Series 983

Rayyan melangkah keluar dari rumah dengan nafas yang berat. Dia tidak tahu ke mana mahu pergi, hanya ingin menjauh seketika dari segala yang menyesakkan dada. Hari semakin panas, tetapi kepalanya penuh dengan kata-kata yang baru didengarnya daripada ayahnya.

Di dalam rumah, suasana masih tegang. Ayah Rayyan duduk di kerusi kayu di ruang tamu, wajahnya kelihatan letih, seolah olah beban bertahun-tahun baru saja diletakkan. Ibu Rayyan duduk di sisinya, mengusap perlahan tangannya yang kasar, seakan cuba menyalurkan ketenangan.

Aisyah yang sejak tadi hanya diam, akhirnya bersuara, lembut tetapi tegas.

"Ayah…" dia memanggil, memandang tepat ke arah ayah mertuanya. "Kenapa ayah layan Rayyan begitu?"

Ayah Rayyan terdiam. Soalan itu menusuk jauh ke dalam hatinya, ke tempat di mana dia sendiri tidak pernah berani menoleh.

Ibu Rayyan menoleh ke arah suaminya, wajahnya penuh dengan kebimbangan.

Lama ayah Rayyan membisu, sebelum dia menghela nafas panjang. "Sebab itu saja cara yang ayah tahu."

Aisyah mengerutkan dahi. "Maksud ayah?"

Ayah Rayyan mengusap wajahnya yang penuh garis usia. Kemudian, dengan suara yang perlahan tetapi berat, dia mula bercerita.

"Dulu, ayah tak pernah merasa kasih sayang."

Aisyah terdiam.

"Ayah dibesarkan oleh seorang lelaki yang lebih keras daripada batu, lebih tajam daripada besi. Ayah sendiri pernah merasakan apa yang Rayyan rasa, malah mungkin lebih teruk."

Dia menarik nafas panjang, seolah-olah mengumpulkan kekuatan untuk menggali kenangan yang telah lama dikuburkan.

"Atuk kau dulu… seorang lelaki yang tidak pernah kenal kelembutan. Dia anggap anak-anak tak lebih daripada tentera yang perlu taat tanpa soal. Kalau salah, hukumannya bukan sekadar kata kata."

Ibu Rayyan menggenggam tangannya lebih erat.

"Pernah satu malam, masa ayah kecil… ayah cuma bertanya satu soalan semasa makan. Hanya satu soalan kecil sahaja" Suaranya mula bergetar. "‘Ayah, kenapa kita selalu makan nasi kosong?’"

Aisyah memandangnya dengan mata yang semakin berkaca.

"Ayah tak sempat habiskan ayat. Sebelum ayah sedar, tombak kayu yang selalu ada di dinding rumah kami sudah melayang ke arah ayah."

Aisyah menutup mulutnya, terkejut.

"Ayah sempat mengelak. Tapi kepala ayah terhantuk ke sudut meja, berdarah. Tapi ayah tak menangis, Aisyah. Sebab kalau ayah menangis, hukumannya akan lebih teruk."

Ayah Rayyan menarik nafas panjang, tetapi dadanya terasa semakin sesak.

"Sejak itu, ayah belajar satu perkara, dalam rumah itu, bercakap adalah satu kesalahan. Mempersoalkan adalah satu dosa. Meminta sesuatu yang lebih adalah satu jenayah."

Aisyah menggigit bibir, cuba menahan air mata.

"Setiap hari, ayah hidup dalam ketakutan. Setiap kali terdengar tapak kaki ayah sendiri pulang dari kerja, ayah berdoa dalam hati agar hari ini bukan hari di mana ayah akan dihukum lagi."

Dia menundukkan kepala, matanya kelihatan kosong, seakan akan sedang melihat ke dalam masa silamnya sendiri.

"Dan bila ayah membesar, ayah fikir… mungkin itu cara seorang lelaki menjadi kuat."

Aisyah menyedut nafas perlahan, suaranya hampir berbisik. "Jadi ayah buat perkara yang sama pada Rayyan?"

Ayah Rayyan mengangkat wajahnya. Ada air mata yang bertakung di kelopak matanya.

"Ya."

Dia menggeleng perlahan. "Ayah fikir, kalau ayah besarkan Rayyan dengan cara yang sama, dia takkan jadi anak yang lembik. Dia takkan jadi lelaki yang mudah jatuh. Ayah fikir…" Suaranya pecah. "Ayah fikir ayah sedang menyelamatkan dia."

Satu titisan air mata jatuh ke pipinya.

"Tapi ayah salah, Aisyah."

Ibu Rayyan sudah terisak kecil di sisinya.

"Ayah terlalu sibuk pastikan Rayyan kuat, sampai ayah tak sedar… ayah telah membunuh bahagian dalam dirinya yang paling berharga."

Suaranya semakin perlahan, seolah-olah dia sendiri tidak sanggup mendengar apa yang dia katakan. "Ayah buat dia percaya dia tak layak untuk bahagia. Ayah buat dia percaya dia tak cukup baik. Ayah buat dia fikir… kasih sayang itu tidak pernah wujud untuknya."

Aisyah tidak dapat menahan air mata lagi.

Ayah Rayyan mendongak, memandang ke luar rumah, ke arah jalan di mana Rayyan telah pergi sebentar tadi.

"Apa yang ayah buat pada Rayyan… adalah dosa terbesar ayah."

Ibu Rayyan menyandarkan kepalanya ke bahu suaminya, air matanya membasahi kain bajunya.

"Jadi apa yang ayah nak buat sekarang?" Aisyah bersuara, perlahan tetapi penuh dengan ketegasan.

Ayah Rayyan memejamkan matanya seketika. Dia menghela nafas panjang, seolah-olah membuat keputusan terbesar dalam hidupnya.

"Ayah tak tahu kalau dia masih boleh maafkan ayah, Aisyah." Dia menarik nafas dalam, suaranya pecah di hujung ayat. "Tapi kalau ada satu perkara yang ayah masih boleh buat… ayah mahu cuba jadi ayah yang Rayyan perlukan. Walaupun terlambat."

Aisyah menatap lelaki tua di hadapannya itu. Seorang lelaki yang selama ini hanya dikenali sebagai ayah yang keras, yang tegas, yang tidak beremosi.

Tetapi pagi ini… dia melihatnya bukan sebagai seorang lelaki yang kejam.

Tetapi sebagai seorang ayah… yang juga pernah menjadi seorang anak yang terluka.

Aisyah mengangguk perlahan, mengesat air matanya.

"Ayah, saya tak tahu berapa lama Rayyan perlukan untuk terima semua ini. Tapi satu perkara saya pasti…" Aisyah menelan sebak di dadanya. "Dia tetap anak ayah. Dan jauh di sudut hatinya, dia mahu ayah ada di sisinya."

Ayah Rayyan menatap Aisyah, dan untuk pertama kalinya, dia melihat sesuatu dalam mata menantunya itu.

Harapan.

Malam semakin larut.

Dan mungkin, untuk pertama kalinya dalam hidup ayah Rayyan… dia merasakan cahaya yang selama ini dia fikir tidak pernah wujud untuknya.

Pagi itu terdengar bunyi bisikan burung dan hari yang cerah, tetapi suasana di ruang tamu masih sunyi dan berat. Ibu Rayyan masih di sisi suaminya, menenangkan, tetapi wajahnya penuh kerisauan.

Aisyah duduk di hadapan mereka, matanya masih merah selepas mendengar kisah silam ayah Rayyan. Tetapi ada sesuatu yang lebih berat di dadanya, sesuatu yang perlu dia suarakan.

Dia menghela nafas dalam. “Ayah… ibu…” suaranya lembut tetapi bergetar. “Saya nak beritahu sesuatu tentang Rayyan.”

Kedua-dua mereka memandang Aisyah, menunggu dengan penuh debar.

Aisyah menunduk seketika, cuba mengawal perasaan. “Rayyan bukan hanya terluka dengan cara ayah layan dia dulu… dia masih terluka sampai sekarang.”

Ayah Rayyan mengerutkan dahi. “Maksud kamu?”

Aisyah menyambung lagi. “Rayyan selalu mengalami anxiety. Kadang-kadang, dia tak boleh tidur malam sebab fikirannya dipenuhi ketakutan yang dia sendiri tak boleh jelaskan.”

Ibu Rayyan menekup mulutnya, matanya mula berkaca.

“Dia tak pernah rasa cukup baik. Dia rasa semua orang pandang rendah pada dia. Di rumah, di tempat kerja… dia takut buat salah. Dia takut orang benci dia.” Aisyah memejamkan matanya, air mata mula mengalir. “Dan yang paling menyakitkan… dia takut saya akan tinggalkan dia.”

Ayah Rayyan tersandar di kerusinya, wajahnya semakin pucat.

“Sampai sekarang?” suaranya hampir berbisik

Aisyah mengangguk perlahan. “Ya, ayah. Sampai sekarang.”

Ibu Rayyan menangis teresak. “Ya Allah… anak aku…”

Aisyah mengesat air matanya sebelum menyambung, suaranya semakin berat. “Dan bukan itu saja, ayah…”

Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya sebelum mendedahkan kebenaran yang paling menyakitkan.

“Rayyan pernah cuba bunuh diri.”

Sunyi.

Dunia seakan berhenti berputar.

Ayah dan ibu Rayyan kaku, seolah-olah mereka tidak mempercayai apa yang baru mereka dengar.

Aisyah memandang mereka dengan mata yang semakin basah. “Dia pernah kelar tangannya guna pisau.”

Ibu Rayyan hampir jatuh pengsan jika tidak dipegang oleh suaminya.

“Kenapa… kenapa Rayyan buat begitu?” suara ayahnya bergetar, matanya yang berkaca kini dipenuhi ketakutan.

Aisyah menggeleng. “Sebab dia rasa tak ada siapa perlukan dia. Dia rasa dia tak berguna, ayah. Dia rasa… dunia akan lebih baik tanpa dia.”

Ayah Rayyan menggeleng kepala perlahan, wajahnya penuh kesedihan. “Ya Allah… apa yang aku dah buat…”

Ibu Rayyan menekup wajahnya, tangisannya semakin kuat.

Aisyah mengusap wajahnya sendiri, cuba mengawal perasaan. “Masa saya jumpa dia lepas dia buat begitu… dia cuma cakap satu ayat.”

Ayah Rayyan dan ibu Rayyan memandangnya, menanti dengan dada yang sesak.

“Saya cuma nak rasa bebas.”

Kedua-dua orang tua itu menangis tanpa suara.

Aisyah menarik nafas panjang. “Ayah… Rayyan tak perlukan seorang ayah yang sempurna. Dia cuma perlukan seorang ayah yang boleh menyayanginya tanpa syarat.”

Ayah Rayyan memandang lantai, matanya berkaca. “Tapi… masih ada masa untuk ayah perbaiki semuanya?”

Aisyah tersenyum dalam tangisannya. “Selagi Rayyan masih hidup, selagi itu masih ada peluang, ayah.”

Ayah Rayyan menutup wajahnya dengan kedua-dua tangan. Malam itu, seorang lelaki tua menangis untuk pertama kalinya selepas bertahun-tahun.

Dan mungkin, untuk pertama kalinya juga… dia benar-benar faham betapa dalamnya luka seorang anak yang selama ini dia abaikan.

Ibu Rayyan mengangkat wajahnya yang basah dengan air mata. Tangannya menggenggam erat lengan Aisyah, suaranya bergetar dengan kegelisahan.

"Aisyah… call Rayyan. Tanyalah dia di mana sekarang. Mak risau… mak takut dia buat sesuatu."

Aisyah segera mengeluarkan telefon dari poketnya, tetapi tangannya sedikit menggigil, cuba mengawal rasa cemas yang semakin menyesakkan dada.

"InsyaAllah, mak… saya akan hubungi dia sekarang."

Ibu Rayyan menggenggam tangannya lebih erat. "Aisyah… kalau Rayyan jawab, cakap dekat dia mak sayang dia. Cakap dekat dia… dia bukan sendirian."

Air mata Aisyah jatuh lagi. Dia mengangguk perlahan sebelum menekan nombor Rayyan. Dada terasa berat menunggu deringan pertama

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience