Bicara yang Mengubah Segalanya

Romance Series 983

Pagi itu, Aisyah bersiap dengan lebih awal daripada biasa. Dia menyarungkan blazer hitam dan tudung biru lembut, tetapi fikirannya masih berselirat dengan pelbagai perkara. Sebelum keluar, dia menghampiri Rayyan yang sedang duduk di meja makan, menikmati sarapan ringkas.

"Sayang, jangan lupa appointment dengan pakar psikiatri hari ini, ya?" Aisyah mengingatkan dengan nada lembut tetapi tegas.

Rayyan mengangkat wajah, matanya sedikit kuyu. "Hmm, pukul berapa tadi?"

"Tiga petang. Saya dah set reminder dalam telefon awak. Jangan cuba cari alasan nak tangguh lagi, Rayyan." Aisyah menyentuh tangan suaminya, menggenggamnya erat. "Saya nak awak sihat, nak awak cari ketenangan."

Rayyan menghela nafas sebelum tersenyum tipis. "Baik, doktor Aisyah. Saya akan pergi."

Aisyah tersenyum kecil. Dia tahu Rayyan masih sukar membuka dirinya sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya, dia tidak lagi menolak rawatan seperti dulu.

"Good. Nanti saya call kalau sempat, okay?"

Rayyan mengangguk. "Jangan risaukan saya sangat, fokus pada kerja awak. Saya tahu kerja awak banyak sekarang."

Aisyah tersenyum pahit. "Ya... kerja yang bukan sekadar kerja."

Rayyan memandangnya lama, seolah-olah memahami apa yang Aisyah maksudkan. Namun, sebelum Rayyan sempat bertanya lebih lanjut, Aisyah sudah mengucup tangannya dan berlalu pergi.

Di pejabat, suasana terasa tegang sebaik sahaja Aisyah melangkah masuk. Dia melihat beberapa rakan sekerja berbisik sesama sendiri, dan ada yang sekadar mengelak dari bertentangan mata dengannya.

Dia menghela nafas sebelum melangkah ke arah meja. Suara Sharifah dan rakan sekerjanya bergema dengan nada sinis.

Tetapi sebelum sempat dia duduk, suara Sharifah memecah kesunyian.

"Wah, akhirnya orang yang dinanti-nanti dah sampai."

Aisyah mengangkat wajah, bertemu pandang dengan Sharifah yang bersandar di meja dengan tangan bersilang. Nada sinis dalam suaranya jelas, dan beberapa rakan sekerja lain mula mengerumuni, seolah-olah menantikan sesuatu yang besar akan berlaku.

"Apa maksud awak, Sharifah?" Aisyah bersuara tenang, walaupun jantungnya berdegup lebih pantas.

Sharifah tersenyum sinis. "Oh, jangan pura-pura tak tahu, Aisyah. Semua orang di sini dah lama nampak apa yang berlaku. Awak... istimewa, kan? Dapat kepercayaan yang tak pernah kami dapat. Apa rahsianya?"

Beberapa orang ketawa kecil. Aisyah menahan nafas, cuba mengawal emosinya.

"Sharifah, kalau awak ada masalah, awak boleh cakap terus. Jangan berselindung di sebalik sindiran."

"Masalahnya, Aisyah, kita semua penat buat kerja. Kita usaha keras, tapi entah kenapa, bila ada projek besar atau tugas penting, nama awak saja yang naik. Sedangkan kita semua di sini pun layak."

Aisyah mengetap bibir. "Saya tak pernah minta layanan istimewa. Saya buat kerja seperti semua orang di sini. Kalau ada yang tak puas hati, bincanglah dengan pihak atasan."

"Senang cakap, kan?" Sharifah mendekat, suaranya merendah tetapi tajam. "Tapi masalahnya, bukan semua orang ada 'keistimewaan' macam awak."

Aisyah menahan nafas. Dia tahu apa yang Sharifah cuba lakukan dan membuatnya hilang sabar, memaksanya melatah di hadapan semua orang.

"Sharifah, awak tuduh saya sesuatu yang tak berasas. Saya bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, sama seperti semua orang di sini."

Sharifah membalas. "Mungkin awak lupa, dunia ni tak selalu tentang kerja keras. Kadang-kadang, ia tentang siapa yang awak kenal, atau lebih tepat... siapa yang sayang awak."

Kata-kata itu menusuk tajam. Seolah-olah ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya, sesuatu yang lebih dari sekadar rasa tidak puas hati biasa.

Aisyah menahan marah, tetapi sebelum dia sempat membalas, seorang lagi rakan sekerja bersuara.

"Sudahlah, Sharifah. Kita semua ada kerja nak buat."

Sharifah menjeling tajam ke arah lelaki itu sebelum menghela nafas. "Baik. Tapi jangan ingat perkara ini selesai, Aisyah."

Aisyah memerhatikan mereka bersurai, tetapi di dalam hatinya, dia tahu, ini bukan sekadar konflik biasa, ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku, dan dia perlu bersedia.

Bilik mesyuarat dipenuhi suara berbisik sebelum mesyuarat bermula. Aisyah duduk dengan tenang, tangannya kemas memegang sebatang pen, bersedia untuk mencatat. Walaupun tadi dia berdepan dengan sindiran dan prasangka, dia tetap profesional.

Ketua jabatan, Encik Farid, menepuk tangan sekali, menandakan mesyuarat bermula. "Baik, semua. Hari ini kita akan bincangkan strategi baru untuk meningkatkan keuntungan syarikat bagi suku tahun akan datang. Ada sesiapa mahu mula?"

Suasana senyap seketika. Beberapa orang saling berpandangan, mungkin masing-masing cuba menyusun ayat atau menunggu orang lain bersuara dahulu.

Sharifah menyandarkan tubuh, tersenyum sinis. "Saya rasa biar Aisyah dulu. Dia kan selalu ada idea yang hebat."

Nada sindiran itu jelas, tetapi Aisyah tidak tergugat. Sebaliknya, dia mengangguk perlahan sebelum bersuara.

"Terima kasih, Sharifah. Baik, saya akan kongsikan satu cadangan yang saya rasa boleh memberi impak besar pada syarikat."

Dia menekan butang pada laptopnya, dan skrin memaparkan satu slide.

"Pasaran sekarang sudah jemu dengan produk biasa. Kalau kita terus kekal dalam strategi lama, kita hanya akan bergerak secara mendatar, bukan meningkat. Jadi, saya cadangkan kita beralih kepada strategi pemasaran pengalaman pelanggan."

Beberapa orang mula berbisik sesama sendiri. Encik Farid bersandar di kerusinya, tertarik. "Teruskan, Aisyah."

"Pelanggan tidak hanya membeli produk, mereka membeli pengalaman. Jika kita boleh mencipta satu konsep di mana pelanggan merasa lebih terhubung dengan jenama kita, mereka bukan sahaja akan membeli, tetapi akan menjadi duta tidak rasmi untuk produk kita."

Aisyah menukar slide.

"Contohnya, kita boleh memperkenalkan sistem ‘customized experience’, di mana pelanggan boleh merasai produk mengikut keperluan dan cita rasa mereka sendiri. Jika kita lihat syarikat besar seperti Apple dan Nike, mereka bukan hanya menjual produk, tetapi mereka menjual satu gaya hidup. Kita boleh adaptasi konsep ini dengan pendekatan kita sendiri."

Mata semua orang tertumpu padanya. Bahkan, Sharifah yang tadi sinis pun kini nampak terpaku.

Seorang rakan sekerja, Johan, mengangkat tangan. "Tapi, Aisyah... ini memerlukan pelaburan yang besar. Bagaimana kita nak yakinkan pihak pengurusan?"

Aisyah tersenyum. "Kita tak perlu terus melabur besar-besaran. Kita boleh mulakan dengan skala kecil seperti projek perintis. Pilih satu segmen pelanggan utama, buat kajian, dan uji konsep ini selama tiga bulan. Jika hasilnya memberangsangkan, baru kita kembangkan. Risiko lebih rendah, tapi potensi keuntungan tinggi."

Encik Farid mengangguk perlahan, wajahnya penuh pertimbangan. "Menarik... sangat menarik."

Seorang lagi rakan sekerja, Nadia, bersuara. "Saya setuju. Ini boleh jadi ‘game-changer’ untuk kita. Saya sendiri pun rasa kita perlu keluar dari cara lama."

Aisyah melihat sekeliling—mata mereka kini tidak lagi melihatnya dengan ragu, tetapi dengan rasa hormat.

Sharifah terdiam, wajahnya tidak setegang tadi. Mungkin dia tidak menyangka Aisyah akan tampil dengan idea sehebat ini.

Encik Farid akhirnya bersuara. "Baik, kita akan bentangkan cadangan ini kepada pihak pengurusan minggu depan. Aisyah, saya mahu awak ketuai projek ini."

Aisyah mengangguk dengan penuh keyakinan. "Saya sedia, Encik Farid."

Ketika mesyuarat berakhir, beberapa rakan sekerja mula mendekatinya, berbincang dengan lebih lanjut mengenai ideanya. Namun, yang paling penting, Aisyah tahu satu perkara, kadangkala, cara terbaik untuk membuktikan diri bukanlah dengan membalas sindiran, tetapi dengan menunjukkan keupayaan sebenar.

Selesai mesyuarat, Aisyah kembali ke mejanya. Kepala masih sarat dengan pelbagai perkara,konflik dengan Sharifah, tanggungjawab baru dalam projek, dan yang paling penting, Rayyan. Dia melihat telefon, melihat mesej terakhir yang dihantarnya kepada Rayyan pagi tadi:

"Jangan lupa temu janji dengan psikiatri hari ini. Saya akan jemput awak nanti."

Dia menarik nafas panjang, terasa sedikit lega mengenangkan Rayyan sudah mula mendapatkan bantuan. Tetapi, jauh di sudut hati, dia tahu Rayyan masih berjuang dengan luka-luka lamanya.

Aisyah bangun dan menuju ke bilik solat.

Di sejadah, dia menadah tangan.

"Ya Allah, Engkau yang Maha Mengetahui apa yang ada di hati hamba Mu. Berikanlah aku kekuatan untuk menjadi isteri yang baik, untuk membantu suamiku melalui segala ujian ini. Dan berikanlah Rayyan ketenangan yang dia cari... jangan biarkan dia lemas dalam kesedihan yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu keluar."

Matanya terasa panas, tetapi dia menahan air mata. Dia perlu kuat bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk Rayyan juga.

Sejurus selepas solat, telefonnya bergetar. Mesej daripada bosnya, Encik Farid.

"Aisyah, saya mahu awak makan tengah hari bersama saya dan beberapa rakan sekerja. Kita boleh bincang lebih lanjut tentang projek tadi."

Aisyah menggigit bibir. Dia tahu ini peluang baik untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan, lebih lebih lagi selepas kejayaan mesyuarat tadi. Tetapi dia juga tahu, Rayyan lebih memerlukan dirinya hari ini.

Dia menaip semula.

"Terima kasih, Encik Farid. Tetapi saya perlu pulang awal hari ini. Saya ada urusan peribadi yang perlu diselesaikan."

Tidak sampai seminit, mesej tiba.

"Baik, Aisyah. Saya faham. Jaga diri."

Aisyah menghela nafas lega. Dia mengemas barangnya dengan pantas sebelum melangkah keluar dari pejabat. Dalam hati, dia tahu dia sudah membuat keputusan yang betul.

Hari ini bukan tentang kerja.

Hari ini tentang Rayyan.

Aisyah melangkah laju keluar dari pejabat, tangan kanannya menggenggam erat telefon. Sebaik masuk ke dalam kereta, dia terus mendail nombor Rayyan.

“Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi buat masa ini. Sila cuba sebentar lagi.”

Aisyah menggigit bibir. Tangannya semakin kuat mencengkam stereng. Dia cuba lagi tetapi tetap sama.

Hatinya mula dihimpit resah.

"Kenapa telefon Rayyan tak dapat? Dia tak mungkin lupa temu janji dengan psikiatri, kan?"

Dia cuba mengingat semula perbualan mereka pagi tadi. Rayyan kelihatan tenang, walaupun sedikit muram. Tidak ada tanda-tanda dia akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.

Namun, hasil jawapan ini mula meresahkan Aisyah.

Dia cuba menghubungi sekali lagi, dan sekali lagi panggilan tidak berjawab. Perasaan gelisah semakin menyesakkan dada. Fikirannya mula dibanjiri pelbagai kemungkinan buruk.

"Ya Allah, tolong jaga Rayyan…"

Aisyah segera menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari kawasan pejabat. Telefon masih digenggam erat di tangan kirinya, berharap Rayyan akan menghubunginya semula.

Di lampu isyarat merah, dia mendail lagi tetapi masih tiada jawapan.

Hatinya mula berdebar kencang.

"Rayyan, di mana awak?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience