Telefon Aisyah bergetar di atas mejanya, tetapi dia tidak sempat melihatnya. Matanya masih tertumpu pada skrin komputer, cuba menyusun laporan yang perlu disiapkan sebelum mesyuarat petang nanti. Fikirannya berserabut bukan hanya kerana kerja yang semakin menimbun, tetapi juga kerana konflik yang sedang berlaku di pejabat.
Sejak kebelakangan ini, tekanan di tempat kerja semakin berat. Bukan sahaja kerana beban tugas yang meningkat, tetapi juga kerana hubungan dengan rakan sekerja yang semakin tegang. Aisyah tahu dia seorang yang berdedikasi, tetapi ada hari-hari di mana dia terasa seperti semua usahanya tidak pernah cukup.
"Aisyah, kau dah siapkan report untuk klien utama?" suara tegas dari belakang membuatkan Aisyah tersentak.
Dia berpaling dan melihat Farah, rakan sekerjanya yang kelihatan kurang senang.
"Aku tengah siapkan. Aku janji akan hantar sebelum mesyuarat." Aisyah cuba menenangkan situasi.
Farah menghela nafas panjang. "Aisyah, aku tahu kau bagus dalam kerja ni, tapi kau kena faham yang semua orang bergantung pada report kau. Kalau kau lambat, kami semua yang kena."
Nada suara itu lebih kepada menyalahkan.
Aisyah menggenggam pen di tangannya. "Aku faham, Farah. Aku takkan lambat."
Farah tidak berkata apa-apa lagi, hanya mengangguk sebelum berlalu pergi. Tetapi cara dia menjeling sebelum keluar dari bilik itu cukup untuk membuatkan Aisyah terasa.
Dia menarik nafas dalam, cuba menenangkan dirinya. Tetapi dalam hatinya, ada kepedihan yang sukar dijelaskan.
Telefon Aisyah bergetar sekali lagi. Kali ini, dia mengambilnya dan melihat mesej dari Rayyan.
Rayyan: Dah makan? Jangan sibuk sangat sampai lupa diri sendiri.
Aisyah tersenyum kecil. Mesej pendek itu, sesederhana mana pun, cukup untuk membuatkan dadanya terasa hangat.
Dia menaip balasan.
Aisyah: Masih sibuk, tapi jangan risau. Awak dah makan?
Tidak lama kemudian, telefon berbunyi lagi. Kali ini panggilan dari Rayyan.
Aisyah menarik nafas dalam sebelum menjawab. "Hello?"
Suara lembut Rayyan menyapa telinganya. "Sayang, awak okay?"
Aisyah memejamkan mata sejenak, cuba menenangkan fikirannya. "Hari ni agak teruk. Banyak kerja, banyak tekanan."
Rayyan diam sejenak, sebelum suaranya kedengaran lebih perlahan. "Nak cerita dengan saya?"
Aisyah tersenyum hambar. "Saya rasa macam apa saja yang saya buat, tetap ada orang yang tak puas hati. Saya cuba buat yang terbaik, tapi kadang-kadang rasa macam tak cukup."
"Aisyah… awak selalu buat lebih dari cukup." Suara Rayyan penuh keyakinan. "Mungkin orang lain tak nampak, tapi saya nampak. Saya tahu awak selalu berusaha."
Aisyah menghela nafas perlahan. "Tapi kenapa tetap rasa macam saya tak cukup baik?"
"Sebab awak terlalu keras pada diri sendiri." Rayyan menjawab tanpa ragu-ragu. "Awak selalu letak beban yang berat atas bahu awak sendiri. Tapi awak kena tahu, awak tak perlu buat semuanya sendiri."
Aisyah diam. Ada kebenaran dalam kata-kata Rayyan yang dia sendiri enggan akui.
"Kalau saya ada dekat sana, saya dah tarik awak keluar dari pejabat tu sekejap untuk ambil angin." Rayyan bersuara lagi, cuba membuatnya tersenyum.
Aisyah ketawa kecil, tetapi ada nada keletihan dalam suaranya. "Kalau awak buat macam tu, saya mungkin hilang kerja."
"Tapi awak takkan hilang saya."
Kata-kata itu, sebaris ayat yang pendek tetapi penuh makna, membuatkan Aisyah terdiam.
Rayyan menyambung dengan nada lebih lembut. "Aisyah, awak selalu jadi orang yang menjaga semua orang. Tapi siapa yang jaga awak?"
Aisyah menelan air liur. "Saya tak tahu…"
"Saya tahu."
Air mata hampir jatuh dari mata Aisyah. Bukan kerana kesedihan, tetapi kerana rasa dihargai.
"Balik nanti saya belanja kopi kesukaan awak, okay?"
Aisyah menggeleng sambil tersenyum, walaupun Rayyan tidak dapat melihatnya. "Awak tahu tak, Rayyan? Kadang-kadang saya rasa awak lebih faham saya daripada saya sendiri."
"Itu memang tugas saya sebagai suami awak."
Aisyah menghabiskan beberapa saat dalam diam, menikmati kehadiran satu sama lain walaupun hanya melalui suara.
Dia menarik nafas dalam. "Saya akan siapkan kerja ni, dan lepas tu saya nak lupakan semua tekanan hari ni. Sebab saya tahu, saya ada sesuatu yang lebih penting menunggu saya di rumah."
Rayyan tersenyum di hujung talian. "Dan saya akan ada di situ, seperti biasa."
Malam itu, walaupun Aisyah masih ada banyak cabaran yang perlu dihadapi, dia tahu satu perkara.
Dia tidak keseorangan. Dan itu sudah cukup untuk memberi dia kekuatan.
Di ruang makan yang diterangi cahaya lampu kuning keemasan, Aisyah menuangkan sup panas ke dalam mangkuk Rayyan. Aroma masakan memenuhi ruang, memberikan suasana yang nyaman setelah seharian yang panjang.
Rayyan mengambil sudu dan mengacau supnya perlahan, kelihatan tenggelam dalam fikirannya. Aisyah duduk di hadapannya sambil menyentuh jemarinya perlahan.
“Rayyan… awak nampak letih.”
Rayyan mengangkat wajahnya sedikit, memberikan senyuman kecil. “Mungkin sebab kerja. Banyak perkara berlaku sejak kebelakangan ni.”
Aisyah mengangguk, memahami keadaan suaminya. Dia sendiri tahu tekanan kerja boleh memberi kesan pada emosi dan fikiran seseorang.
Dia menghirup sedikit air sebelum bersuara perlahan. “Saya ada cadangan.”
Rayyan mengangkat kening. “Cadangan apa?”
Aisyah meletakkan sudunya dan memandang Rayyan dengan penuh harapan. “Apa kata kita balik kampung hujung minggu ni?”
Rayyan terdiam seketika, jelas tidak menjangka ajakan itu. “Balik kampung?”
Aisyah mengangguk. “Ya. Dah lama kita tak balik. Saya rindu nak jumpa mak ayah awak… dan saya rasa, mungkin awak pun perlukan sedikit masa jauh dari kerja.”
Rayyan menggenggam sudunya lebih erat, wajahnya berubah sedikit. “Saya tak tahu, Aisyah…”
Aisyah menyentuh tangan Rayyan lembut. “Kenapa? Awak takut sesuatu?”
Rayyan menarik nafas perlahan sebelum bersuara. “Bukan takut… tapi kampung bagi saya banyak kenangan yang saya sendiri tak pasti saya dah bersedia untuk hadap.”
Aisyah tidak segera membalas. Dia tahu betapa banyak luka yang Rayyan simpan dalam dirinya—tentang masa lalunya, keluarganya, dan semua perkara yang pernah membuatkan dia merasa terasing.
“Saya faham, Rayyan.” Aisyah bersuara perlahan tetapi penuh ketulusan. “Tapi awak tak perlu lalui semua tu seorang diri. Saya ada dengan awak.”
Rayyan menatap mata Aisyah, mencari sesuatu di dalamnya. “Kalau saya balik… saya tak tahu apa yang akan saya rasa.”
Aisyah tersenyum kecil, menggenggam tangan Rayyan lebih erat. “Tak apa kalau awak rasa tak selesa. Tak apa kalau awak rasa sedih. Saya cuma nak awak tahu, saya akan ada di sebelah awak setiap masa.”
Rayyan diam sejenak sebelum menghela nafas. Hatinya berkecamuk, tetapi melihat wajah Aisyah yang penuh kasih, dia tahu dia tidak akan keseorangan dalam perjalanan ini.
Akhirnya, dia mengangguk perlahan. “Baiklah… kita balik kampung.”
Aisyah tersenyum lebar. “Terima kasih, Rayyan.”
Rayyan hanya tersenyum kecil, tetapi dalam hatinya, dia tahu—perjalanan ini bukan sekadar tentang pulang ke kampung, tetapi tentang menghadapi sesuatu yang telah lama dia cuba lupakan.
Malam itu, selepas makan malam, Aisyah mengemas pinggan di dapur sementara Rayyan duduk di ruang tamu, termenung. Lampu ruang tamu samar-samar, hanya diterangi oleh cahaya dari lampu meja kecil di sudut bilik.
Fikirannya berkecamuk sejak Aisyah mengajaknya pulang ke kampung. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke sana. Sejak dia meninggalkan rumah itu, dia jarang benar pulang. Bukan kerana dia tidak mahu, tetapi kerana setiap sudut rumah itu menyimpan kenangan yang menyakitkan.
Rayyan menyandarkan kepala ke sofa, matanya terpejam. Perlahan lahan, ingatan lama yang telah lama dikuburkan kembali menghantui fikirannya.
Dia masih kecil waktu itu mungkin berusia sebelas atau dua belas tahun dia duduk di meja makan bersama keluarganya ayah, ibu, dan kakaknya, Sarah. Malam itu, Sarah baru sahaja menerima anugerah pelajar cemerlang di sekolah. Semua orang bangga dengannya.
"Sarah memang anak yang membanggakan. Tengok ni, dapat nombor satu lagi. Sentiasa jadi kebanggaan keluarga," suara ayahnya bergema di meja makan, penuh kebanggaan.
Rayyan menelan air liur. Dia hanya mampu menguis nasi di pinggan tanpa selera.
"Dan kau, Rayyan?" tiba-tiba suara ayahnya berubah tajam, menusuk ke dadanya. "Apa yang kau boleh banggakan?"
Rayyan mendongak, terkedu. "Saya… saya cuba yang terbaik."
Ayahnya menghempas sudu ke meja. "Cuba yang terbaik? Hasilnya mana? Kau asyik bagi alasan! Kakak kau boleh dapat nombor satu, kenapa kau tak boleh?!"
Rayyan tunduk, menahan air mata yang hampir jatuh. Dia tahu dia bukan pelajar terbaik, tetapi dia berusaha. Namun, bagi ayahnya, usaha tanpa kejayaan tidak bermakna.
"Kau ni beban, Rayyan." Suara ayahnya penuh kekecewaan. "Aku malu ada anak macam kau."
Kata-kata itu menusuk jauh ke dalam hatinya. Ibu hanya diam di sebelah, seperti biasa, tidak mahu mencampuri pertengkaran mereka. Kakaknya juga tidak bersuara. Dan Rayyan hanya duduk di situ, menahan rasa rendah dirinya yang semakin menebal.
Sejak malam itu, dia sedar—dia tidak akan pernah cukup baik di mata ayahnya.
Rayyan tersentak dari lamunannya apabila Aisyah datang dan duduk di sebelahnya di sofa.
"Rayyan… awak termenung jauh. Awak okay?" Aisyah bertanya perlahan.
Rayyan mengambil masa sebelum menjawab. "Saya cuma teringat masa kecil dulu…"
Aisyah memandangnya penuh perhatian. "Nak cerita?"
Rayyan menarik nafas panjang. "Saya selalu dibandingkan dengan kakak saya. Dia pelajar cemerlang, anak kebanggaan. Saya? Saya cuma seseorang yang… gagal memenuhi harapan ayah saya."
Aisyah menggenggam tangan Rayyan, memberikan kehangatan. "Rayyan, hanya kerana ayah awak tak nampak usaha awak, tak bermaksud awak tak berharga."
Rayyan tersenyum hambar. "Tapi awak tahu apa yang paling saya tak boleh lupakan?"
Aisyah menggeleng perlahan.
"Masa saya dapat anugerah pelajar cemerlang satu kali dalam hidup saya… tak ada sesiapa dari keluarga saya yang datang. Semua orang terlalu sibuk dengan kejayaan kakak saya." Rayyan ketawa kecil, tetapi penuh kepahitan. "Masa saya naik pentas untuk ambil sijil, saya tengok sekeliling. Semua orang ada keluarga mereka. Ibu bapa mereka tersenyum, ambil gambar, tepuk tangan. Tapi saya?"
Rayyan menggeleng. "Saya berdiri seorang diri."
Air mata hampir jatuh dari mata Aisyah. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana seorang kanak-kanak perlu menghadapi itu sendirian.
Dia mengeratkan genggaman tangannya. "Rayyan… awak bukan seorang diri lagi. Saya di sini. Saya akan sentiasa ada untuk awak."
Rayyan menoleh ke arah Aisyah. Untuk pertama kali malam itu, ada kehangatan dalam dadanya, menggantikan luka lama yang selama ini menyiksanya.
"Terima kasih, Aisyah."
Aisyah tersenyum. "Jom kita balik kampung. Bukan untuk sesiapa, tapi untuk awak. Untuk awak berdamai dengan masa lalu."
Rayyan menarik nafas dalam sebelum mengangguk. "Ya… mungkin sudah tiba masanya."
Share this novel