Perjalanan Ke Masa Lalu

Romance Series 983

Matahari sudah hampir tenggelam ketika Rayyan keluar dari pejabat. Hari ini terasa lebih panjang dari biasa tetapi entah kenapa dia tidak rasa terlalu terbeban, mungkin kerana dia berjaya menghadapi mesyuarat tadi tanpa membiarkan dirinya tenggelam dalam anxiety.

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam kereta, dia mengeluarkan telefon dan menaip mesej kepada Aisyah.

"Nak keluar minum kopi? Saya belanja."

Tidak sampai seminit, mesej Aisyah masuk.

"Betul ni? Sejak bila awak ajak saya keluar lepas kerja?"

Rayyan tersenyum kecil.

"Sejak hari ni."

"Baiklah. Jumpa di kafe biasa?"

"Jumpa di sana."

Rayyan meletakkan telefon di tempat duduk sebelah dan menghela nafas perlahan. Entah kenapa, dia rasa ingin berkongsi harinya dengan Aisyah. Bukan kerana dia perlukan nasihat atau motivasi, tetapi kerana dia mahu.

Dia mahu menikmati saat ini satu hari di mana dia tidak membiarkan ketakutannya mengawal dirinya.

Di Kafe

Rayyan sampai lebih awal daripada Aisyah. Dia memilih meja di tepi tingkap, menghadap jalan raya yang sibuk dengan cahaya lampu neon dan bunyi hon yang sesekali kedengaran.

Dia menyandarkan badan ke kerusi dan memejamkan mata seketika dan menikmati aroma kopi yang memenuhi ruang.

Tidak lama kemudian, dia mendengar suara lembut yang sudah sangat dikenali.

"Awak pesan dulu?"

Rayyan membuka mata dan melihat Aisyah berdiri di hadapannya, meletakkan beg tangan di kerusi sebelah.

"Belum. Saya tunggu awak."

Aisyah tersenyum sebelum melambaikan tangan ke arah pelayan.

Mereka membuat pesanan, Aisyah dengan latte kegemarannya, Rayyan dengan espresso yang selalu menjadi pilihannya.

Ketika mereka sedang menunggu, mata Rayyan tertarik kepada seseorang yang baru masuk ke dalam kafe. Seorang lelaki, berpakaian santai dengan jaket denim dan kasut sneakers yang jelas sudah lusuh. Wajahnya kelihatan sangat familiar.

Rayyan mengerutkan dahi, cuba mengingat.

Dan saat lelaki itu berpaling ke arahnya, mata mereka bertemu.

Sejenak, kedua-duanya terpaku.

Kemudian, senyuman besar terukir di wajah lelaki itu.

"Rayyan?!"

Rayyan tersentak, tetapi kemudian dia turut tersenyum. "Amir?"

Lelaki itu ketawa kecil sebelum berjalan pantas ke arah meja mereka.

"Ya Allah, kau masih hidup rupanya!" Amir menepuk bahu Rayyan kuat, seolah-olah mahu memastikan dia benar-benar ada di situ.

Rayyan tergelak kecil. "Aku patutnya yang cakap macam tu. Dah berapa tahun kita tak jumpa?"

"Sejak sekolah. Itu pun aku dengar cerita kau dah sambung belajar, terus hilang macam ditelan bumi."

Aisyah memandang kedua-duanya dengan penuh minat sebelum tersenyum. "Rayyan, awak tak nak kenalkan saya?"

Rayyan tersedar dan cepat-cepat berdehem. "Aisyah, ini Amir, kawan baik saya masa sekolah. Amir, ini Aisyah isteri saya."

Amir mengangkat kening sebelum tersenyum lebar. "Wah, Rayyan dah kahwin! Ini betul-betul berita besar. Macam mana kau boleh pikat perempuan secantik ni?"

Aisyah tergelak kecil, sementara Rayyan menggeleng sambil tersenyum. "Itu satu cerita panjang."

Amir menarik kerusi dan duduk tanpa perlu dijemput. "Aku ada masa. Ceritakan."

Aisyah memandang Rayyan dengan senyum menggoda. "Awak nak cerita, atau saya yang cerita?"

Rayyan menghela nafas dan menyandarkan badan ke kerusi. "Saya rasa lebih selamat kalau awak yang cerita."

Amir ketawa besar. "Ini mesti kisah menarik."

Dan begitu sahaja, malam mereka bertukar menjadi perjalanan ke masa lalu—tentang persahabatan, kehidupan yang berubah, dan bagaimana Rayyan akhirnya bertemu dengan Aisyah.

Tetapi di sebalik semua itu, Rayyan tahu satu perkara…

Malam ini, dia benar-benar gembira.

Amir menghirup kopinya dengan tenang, matanya masih tidak lepas dari Rayyan. Dia masih sukar mempercayai lelaki di hadapannya ini adalah sahabat baiknya dulu lelaki yang dulu sentiasa tersenyum dan penuh keyakinan. Tetapi sekarang, walaupun Rayyan tersenyum, ada sesuatu dalam matanya yang berbeza.

"Jadi, apa cerita kau selama ni? Kenapa kau tiba-tiba hilang lepas sekolah?" Amir akhirnya bersuara, meletakkan cawan ke meja.

Rayyan menarik nafas perlahan. Dia memandang Aisyah sebentar sebelum kembali melihat Amir. "Aku sambung belajar di Uitm Masa tu… aku ingat aku buat keputusan yang betul."

Amir mengerutkan dahi. "Maksud kau?"

Rayyan mengusap jemarinya, seolah-olah mencari kekuatan untuk meneruskan. "Lepas sekolah, aku rasa macam aku kena buktikan sesuatu. Aku nak jadi seseorang yang berjaya, yang boleh dibanggakan. Jadi aku terima tawaran belajar di Uitm, jauh dari semua orang."

Amir mengangguk. "Itu bukan perkara buruk, Rayyan. Itu bagus."

Rayyan tersenyum hambar. "Tapi aku tak bersedia, Amir. Aku ingat aku kuat, tapi sebenarnya aku rapuh. Aku tertekan, aku keseorangan. Anxiety aku makin teruk. Aku mula hilang kawalan atas hidup aku."

Amir terdiam. Dia tidak pernah tahu Rayyan menghadapi semua itu.

"Aku mula rasa aku tak cukup baik, tak layak. Bila aku gagal dalam sesuatu, aku mula fikir aku tak berguna. Aku berperang dengan fikiran aku sendiri setiap hari, sampai ada masa aku sendiri tak tahu siapa diri aku."

Aisyah mencapai tangan Rayyan di bawah meja, menggenggamnya dengan lembut.

Amir menhembus nafas panjang. "Kau tak pernah cakap apa-apa pasal ni dulu. Kau nampak okay je masa sekolah."

Rayyan ketawa kecil, tetapi nadanya pahit. "Sebab masa sekolah, aku pandai sorok. Aku fikir kalau aku tunjuk kelemahan aku, orang akan pandang rendah pada aku."

Amir bersandar ke belakang, matanya redup. "Aku harap aku ada masa tu. Mungkin aku boleh buat sesuatu."

Rayyan menggeleng perlahan. "Ini bukan salah sesiapa, Amir. Aku sendiri pun ambil masa lama untuk faham apa yang aku lalui."

Amir diam seketika sebelum tersenyum kecil. "Tapi kau masih di sini, Rayyan. Kau masih bertahan. Itu dah cukup membuktikan sesuatu."

Rayyan mengangguk perlahan, merasakan sedikit kelegaan.

Aisyah menambah, "Dan sekarang, dia tak perlu lalui semua ini seorang diri lagi."

Rayyan menoleh ke arah isterinya, matanya penuh dengan rasa syukur.

Rayyan memandang kosong ke dalam cawan kopinya, jari-jarinya menggenggam erat pemegangnya. Seolah-olah ada sesuatu yang masih terperangkap di dalam dadanya, sesuatu yang dia cuba tahan selama ini.

Amir perasan perubahan pada wajah Rayyan. "Kau okay, bro?"

Rayyan menarik nafas perlahan sebelum mengangguk. Namun, bibirnya membentuk senyuman yang lebih hambar daripada biasa.

"Kau masih ingat hari anugerah pelajar cemerlang masa sekolah dulu?"

Amir ketawa kecil. "Mestilah aku ingat. Kau pelajar terbaik tahun tu. Semua orang bangga dengan kau, cikgu-cikgu tak habis habis puji. Aku pun rasa bangga sebab kawan aku sendiri yang naik pentas ambil anugerah tu."

Rayyan tersenyum tipis, tetapi matanya masih kelihatan sayu.

"Kau tahu apa yang aku ingat paling jelas dari hari tu?"

Amir mengangkat kening. "Apa?"

Rayyan memandang ke luar tingkap, melihat lampu jalan yang berkelip-kelip. "Aku ingat betapa kosongnya dewan tu bila aku pandang ke arah tempat duduk penonton."

Amir terdiam.

"Semua orang ada keluarga mereka. Ada yang datang dengan ibu bapa, ada yang dengan adik-beradik. Ada yang bawa nenek, datuk, sepupu. Masa nama aku diumumkan, dewan penuh dengan tepukan… tapi aku rasa sunyi."

Aisyah menggenggam tangan Rayyan lebih erat. Dia tahu suaminya jarang bercakap tentang masa lalunya, tetapi kali ini, dia memilih untuk berkongsi.

Amir menyandarkan badan ke kerusi, ekspresinya berubah. "Keluarga kau tak datang…?"

Rayyan ketawa kecil, tetapi ada nada kepahitan dalam tawanya. "Ayah aku ada kerja. Mak aku… entahlah, mungkin sibuk dengan hal lain. Aku cuba yakinkan diri aku yang mereka ada alasan masing-masing. Tapi aku tetap rasa—aku bukan keutamaan."

Amir mengeluh perlahan. "Aku betul-betul tak tahu, Rayyan. Kalau aku tahu masa tu…"

Rayyan mengangkat bahu. "Tak ada apa yang kau boleh buat, Amir. Aku dah terbiasa."

Aisyah menggeleng perlahan. "Awak tak sepatutnya terbiasa dengan rasa itu, Rayyan. Sebab awak layak untuk dihargai."

Rayyan menoleh ke arah isterinya. Ada sesuatu dalam cara Aisyah memandangnya penuh dengan kasih sayang, penuh dengan penerimaan.

Amir tersenyum kecil, matanya redup. "Kau tahu, Rayyan… kadang-kadang, keluarga bukan sekadar orang yang ada pertalian darah dengan kita. Kadang kadang, keluarga adalah mereka yang ada untuk kita, yang hargai kita."

Rayyan memandang Amir lama sebelum akhirnya tersenyum sedikit.

"Mungkin kau betul."

Dan untuk pertama kalinya dalam masa yang lama, kenangan pahit itu terasa sedikit kurang menyakitkan

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience