Sambungan dari memori Rayyan...
Rayyan berdiri di belakang kelas, memerhatikan dirinya yang lebih muda berdiri di hadapan dewan kuliah bersama Mia.
Dewan itu dipenuhi pelajar, semuanya menunggu dengan wajah bosan. Beberapa orang sedang mencatat sesuatu, yang lain sibuk dengan telefon masing-masing. Tetapi bagi Mia, dewan itu terasa seperti lautan mata yang menikam tepat ke arah dirinya.
Tangan Mia sedikit menggigil ketika dia memegang kertas di tangannya. Bibirnya bergerak, cuba membaca teks yang telah dia hafal berulang kali. Namun, semakin dia cuba, semakin mindanya menjadi kosong.
Rayyan muda yang berdiri di sebelahnya dapat melihat kegelisahannya.
Dia tahu Mia bukanlah seseorang yang gemar bercakap di hadapan orang ramai. Dia tahu gadis itu lebih selesa menulis daripada bersuara.
Mia gelisah, cuba membuka mulutnya. Namun, tidak ada satu perkataan pun yang keluar.
Suasana di dalam dewan mula terasa tegang. Beberapa pelajar sudah berbisik sesama sendiri.
Rayyan muda mengambil nafas dan melangkah sedikit ke hadapan, berdiri di sebelah Mia. Dengan suara tenang, dia berkata,
"Mia akan menerangkan bahagian ini dengan lebih lanjut, tetapi sebelum itu, saya ingin tambah sedikit konteks supaya semua orang lebih faham."
Mia memandangnya dengan mata yang sedikit terkejut.
Rayyan hanya tersenyum tipis ke arahnya, memberi isyarat supaya dia menarik nafas.
Sementara Mia cuba mengumpulkan semula fokusnya, Rayyan meneruskan pembentangan, memberi sedikit penerangan tambahan cukup untuk membuat perhatian orang ramai beralih darinya dan kembali ke topik sebenar.
Perlahan lahan, Mia menarik nafas panjang dan akhirnya mula bersuara.
Rayyan yang sedang memerhatikan adegan itu dari jauh merasa hatinya sesak.
Dia ingat hari itu, dia ingat bagaimana dia cuba membuat Mia berasa lebih tenang, cuba melindunginya dari kecemasan yang mendebarkan.
Dan dia ingat senyuman Mia selepas kelas berakhir.
Selepas sesi pembentangan, mereka sedang makan di sebuah restoran kecil tidak jauh dari kampus. Mia duduk di hadapan Rayyan.
Rayyan muda mengacau minumannya, kepalanya sedikit condong sambil tersenyum. "Awak okay tadi?"
Mia mengangkat wajahnya, matanya bersinar sedikit. "Saya rasa macam nak lari je masa tu."
Rayyan ketawa kecil. "Tapi awak buat juga akhirnya. Dan awak buat dengan baik."
Mia tersenyum sebelum tunduk sedikit, menyuap makanan ke mulut. Suasana antara mereka selesa, seperti selalu.
Namun, setelah beberapa saat, Mia meletakkan sudunya, menatap Rayyan dengan wajah yang sedikit serius.
"Rayyan…"
Rayyan muda berhenti mengacau minuman.
Mia mengambil nafas perlahan sebelum berkata, "Saya suka awak."
Mata Rayyan sedikit membesar. Dia tidak menjangka kata-kata itu akan keluar begitu sahaja, tanpa amaran.
Mia tersenyum kecil, seolah-olah dia sendiri terkejut dengan keberaniannya. "Saya tak tahu bila perasaan ni mula ada, tapi… saya suka awak, Rayyan."
Rayyan yang sedang memerhatikan adegan itu di latar belakang merasakan jantungnya berdegup lebih laju.
Dia tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
Dia tahu jawapan yang akan dia berikan.
Tetapi untuk pertama kalinya dalam tempoh yang lama, dia tertanya-tanya… bagaimana jika dia memberi jawapan yang berbeza?
Rayyan mencengkam tempat duduk dengan kuat. Nafasnya berat, matanya masih memandang bayangan Mia yang perlahan lahan menghilang di depan matanya. Suasana kenangan itu beransur pudar, kembali menjadi gelap, dan tiba tiba dia berada semula di dalam bilik terapi.
Dia menarik nafas panjang. Jantungnya masih berdegup kencang.
Dr. Hakim yang berdiri di hadapannya, meneliti skrin kecil di tangannya, memeriksa bacaan daripada alat yang dipasang pada kepala Rayyan.
"Rayyan, awak perlu pergi lebih jauh lagi. Kita hampir sampai ke titik permulaan anxiety awak."
Rayyan menggeleng, tangannya perlahan lahan mencapai helmet teknologi tinggi yang masih terpasang di kepalanya.
"Tak… saya tak sanggup," suaranya serak, penuh dengan ketakutan.
Dr. Hakim memandangnya dengan tenang. "Rayyan, kalau awak berhenti sekarang, semua ni akan terus menghantui awak. Awak tak mahu jawapan?"
Rayyan mengetap rahang. Tangannya menggeletar.
Kenangan tadi sudah cukup membuatkan dadanya sesak. Dia tidak pasti dia mampu melihat lebih daripada itu.
Tanpa menunggu lebih lama, Rayyan mencabut helmet itu dari kepalanya. Skrin di dinding bilik terapi segera terpadam, bunyi mesin beransur senyap.
Dr. Hakim menarik nafas perlahan, meletakkan skrin kecilnya di meja.
Dia menatap Rayyan, sebelum berkata dengan suara yang lebih lembut.
"Perempuan itu… Mia. Dialah permulaan kepada anxiety awak, kan?"
Rayyan memejam mata. Tekanan itu datang semula, menghimpit dadanya. Nama itu masih bergetar di dalam mindanya. Mia.
Dia mahu menafikannya. Dia mahu berkata tidak, bahawa semua ini hanya kebetulan, bahawa Mia hanyalah seseorang dari masa lalu yang tidak lagi bermakna.
Tapi dia tahu dia menipu dirinya sendiri.
Kerana setiap kali dia cuba lari daripada perasaan itu, dia tetap kembali ke titik yang sama.
Tuk!
Pintu bilik terapi tiba tiba terbuka.
Rayyan tersentak, kepalanya berpaling ke arah pintu dengan pantas.
Aisyah berdiri di situ.
Matanya melihat Rayyan dengan riak wajah yang sukar dibaca. Nafasnya sedikit tertahan, seolah olah dia baru sahaja berlari.
Dia memandang Rayyan… dan kemudian matanya beralih ke arah helmet canggih yang masih berada di tangan suaminya.
Rayyan terasa seperti dunianya berhenti seketika.
Dia tidak tahu berapa banyak Aisyah telah dengar.
Tetapi dia tahu, dia tidak akan dapat lari daripada pertanyaan yang akan datang.
Pintu bilik terapi terbuka dengan tiba-tiba.
Rayyan tersentak, masih menggenggam helmet canggih di tangannya. Nafasnya masih belum teratur, tubuhnya masih terasa tegang. Namun, saat dia melihat siapa yang berdiri di pintu, dadanya terasa sedikit lapang.
Aisyah.
Dia berdiri di situ, matanya penuh dengan kelegaan. Nafasnya sedikit terputus putus, seolah olah dia baru sahaja berlari.
"Rayyan..." suaranya hampir berbisik, tetapi cukup jelas untuk Rayyan dengar.
Dia melangkah masuk ke dalam bilik dan tanpa ragu-ragu, terus duduk di sebelah Rayyan. Tangannya mencari tangan suaminya, menggenggamnya erat.
"Saya ingat awak dah pergi entah ke mana. Saya risau sangat."
Rayyan menundukkan wajah, tidak mampu membalas kata-kata itu dengan serta merta.
Dr. Hakim, yang sejak tadi hanya memerhati, duduk di atas kerusi sebelum tersenyum kecil. "Puan Aisyah, saya rasa baik puan duduk dahulu. Rayyan baru selesai sesi yang agak berat."
Aisyah mengangguk, duduk lebih rapat di sebelah Rayyan. Matanya melihat ke arah helmet yang masih berada di tangan suaminya, tetapi dia tidak bertanya apa apa.
Mungkin dia sedar Rayyan belum bersedia untuk menjelaskan.
Dr. Hakim bersandar sedikit pada meja, cuba mengendurkan suasana. "Jadi, puan datang sebab cari Rayyan?"
Aisyah mengangguk. "Ya. Saya cuba telefon, tapi dia tak jawab. Saya hanya tahu dia di sini selepas saya tanya di kaunter Wad."
Dr. Hakim tersenyum tipis. "Rayyan beruntung ada isteri yang sangat mengambil berat tentang dia."
Aisyah menggenggam tangan Rayyan lebih erat, seolah olah memberi isyarat bahawa dia tidak akan ke mana mana.
Dr. Hakim melihat ke arah Rayyan sebelum berkata dengan nada lebih santai, "Sekarang, apa kata kita berehat sekejap? Saya pasti Rayyan pun penat."
Dia kemudian menoleh ke arah Aisyah. "Puan boleh tolong saya? Saya nak pastikan Rayyan rasa lebih tenang sebelum kita berbincang lebih lanjut."
Aisyah tersenyum sedikit. "Sudah tentu."
Dr. Hakim bangun, menuju ke kabinet kecil di sudut bilik. "Saya ada teh herba di sini. Puan boleh buatkan untuk Rayyan? Sementara itu, saya dan Rayyan akan berbual tentang perkara yang lebih ringan dahulu."
Aisyah mengangguk sebelum bangun menuju ke sudut bilik, memberi ruang kepada Rayyan untuk bernafas seketika.
Rayyan menghela nafas perlahan, menyedari betapa doktor itu cuba mengalihkan perhatian Aisyah dari helmet dan perbualan sebelum ini.
Bunyi air panas mengalir ke dalam cawan memenuhi ruang bilik terapi. Wangian teh herba menyebar perlahan, membawa sedikit ketenangan ke dalam suasana yang masih tegang.
Aisyah berdiri di sudut bilik, membancuh teh dengan penuh perhatian. Tangannya perlahan mengacau air, tetapi fikirannya masih tertumpu pada Rayyan.
Di sebalik meja, Dr. Hakim menatap Rayyan dengan pandangan penuh pemahaman. Dia membiarkan lelaki itu termenung seketika sebelum bersuara.
"Rayyan."
Rayyan mengangkat wajahnya, matanya yang tadi kosong kini beralih ke arah doktor itu.
"Saya tahu kenangan itu kuat. Saya tahu ia melekat dalam fikiran awak seperti bayang bayang yang tak mahu pergi."
Dr. Hakim merendahkan tubuhnya sedikit, suaranya lebih lembut, tetapi tegas.
"Tapi awak perlu sedar… bukan kenangan yang mengawal hidup awak, Rayyan. Awak yang beri ia kuasa untuk terus menghantui."
Rayyan menghela nafas perlahan, menundukkan pandangannya.
Dr. Hakim menyambung, "Mia adalah sebahagian daripada masa lalu. Tapi adakah awak mahu hidup dalam memori yang sudah berakhir, atau awak mahu membina sesuatu yang baru?"
Dia melirik ke arah Aisyah yang masih sibuk di sudut bilik.
"Sekarang, awak ada seorang wanita yang memilih untuk berada di sisi awak. Seorang wanita yang tidak peduli siapa awak sebelum ini, tapi hanya mahu bersama dengan awak sekarang."
Rayyan tersentak dengan kata kata itu. Jantungnya terasa berat, seolah-olah ada sesuatu yang mahu dilepaskan, tetapi masih tersekat.
Dr. Hakim bersandar ke belakang, suaranya menjadi lebih mendalam.
"Kalau awak terus berpaut pada Mia, awak tak akan pernah benar-benar menggenggam Aisyah. Dan lambat laun, kalau awak tak berhati hati, awak akan kehilangan orang yang sedang berusaha memegang awak sekarang."
Rayyan terasa dadanya sedikit sesak.
Dr. Hakim mengukir senyum kecil, suaranya lembut tetapi menusuk.
"Rayyan, lepaskan apa yang dah berlalu. Mia adalah pelajaran, bukan tujuan. Jangan biarkan satu bab yang menyakitkan membuat awak lupa bahawa awak masih ada beratus bab lain untuk ditulis."
Dia menatap Rayyan dalam-dalam.
"Dan kali ini, tulislah memori baru… bersama Aisyah."
Rayyan mengangkat wajahnya, melihat Aisyah yang kini datang membawa cawan teh ke arahnya, dengan senyuman yang tidak pernah pudar.
Senyuman seorang wanita yang masih memilih untuk tinggal.
Mungkin, sudah tiba masanya dia juga belajar untuk memilih.
Share this novel