Rayyan duduk di hadapan meja kecil di bilik rawatan psikiatri. Tangannya berpeluh, jari jarinya menggenggam erat hujung lengan bajunya. Dadanya berombak perlahan, menahan gelombang keresahan yang sejak tadi menghimpit.
Di hadapannya Dr. Hakim tersenyum tenang, memerhatikan lelaki muda di hadapannya yang jelas berada dalam kegelisahan.
"Rayyan, sebelum kita mula berbicara lebih dalam, saya ingin kita lakukan satu ujian ringkas. Saya akan ajukan beberapa soalan mengenai tahap kebimbangan awak. Awak hanya perlu menjawab dengan jujur, tiada jawapan betul atau salah."
Rayyan mengangguk perlahan. Dia sudah biasa dengan sesi seperti ini, tetapi setiap kali ia berlaku, hatinya tetap berasa seolah olah dihimpit batu yang besar.
Soalan demi soalan diajukan tentang tidurnya, tentang degupan jantungnya ketika berdepan dengan situasi tertentu, tentang bagaimana fikirannya sering dikuasai ketakutan yang dia sendiri sukar gambarkan.
"Berdasarkan jawapan awak, tahap kebimbangan awak agak tinggi hari ini," kata Dr. Hakim sambil mencatat sesuatu.
Rayyan menarik nafas dalam. Itu bukan sesuatu yang mengejutkan.
Doktor itu kemudian menghulurkan sehelai kertas kosong dan sekotak pensel warna ke arahnya.
"Sekarang, saya mahu awak melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tidak perlu sempurna, tidak perlu cantik. Biarkan tangan awak bekerja tanpa banyak berfikir."
Rayyan memandang kertas itu. Melukis? Untuk apa? Namun, dia tidak membantah. Perlahan lahan, tangannya mula bergerak.
Pada mulanya, dia hanya melakar garis garis rawak. Tetapi semakin lama, gambarnya mulai membentuk sesuatu, seorang lelaki berdiri di tengah lautan gelap, ombak besar menghempas dari segenap arah. Langit di atasnya kosong, tanpa bintang, tanpa cahaya.
Dr. Hakim meneliti lukisan itu dengan mata yang tajam tetapi tetap lembut.
"Rayyan, awak nampak lelaki ini?" tanyanya sambil menuding ke arah figura di tengah lautan.
Rayyan mengangguk.
"Awak rasa lelaki ini siapa?"
Sunyi. Rayyan menarik nafas dalam Jawapannya sudah ada dalam hati, tetapi sukar untuk diungkapkan.
"Saya," akhirnya dia berbisik.
Dr. Hakim mengangguk perlahan. "Dia keseorangan di tengah lautan, dilanda ombak yang besar. Tetapi cuba perhatikan baik baik... adakah dia tenggelam?"
Rayyan mengerutkan dahi. Dia memandang kembali lukisan itu. Lelaki itu dirinya masih berdiri. Meskipun dikelilingi ombak, dia belum tenggelam.
Perlahan lahan, jari Rayyan mengenggam hujung kertas itu, suaranya serak. "Tapi... sampai bila saya perlu bertahan?"
Dr. Hakim bersandar sedikit ke belakang, memberi ruang untuk Rayyan mencerna kata kata sendiri.
"Selagi awak berdiri, itu tandanya awak belum kalah, Rayyan. Dan awak tak perlu hadapi semua ini sendirian. Lautan itu nampak menakutkan, tetapi awak masih di atas permukaannya. Awak masih boleh bernafas."
Rayyan menggigit bibir. Matanya terasa panas.
"Jadi... apa yang perlu saya buat?"
Dr. Hakim mengukir senyum kecil. "Kita akan bantu awak belajar berenang dalam lautan ini. Sedikit demi sedikit, kita cari jalan supaya ombak itu tidak lagi menakutkan awak."
Rayyan menunduk, memandang kembali lukisan itu. Entah bagaimana, walaupun hanya sedikit, dada yang tadi terasa sesak kini berasa lebih ringan.
..................
Rayyan masih duduk di kerusi empuk bilik rawatan, dadanya berombak perlahan. Jiwanya terasa kosong, tetapi pada masa yang sama, sedikit kelegaan menyelinap dalam diri, sekurang kurangnya, dia kini tahu dari mana segalanya bermula.
Dr. Hakim bangkit dari tempat duduknya dan berjalan ke papan putih yang tergantung di dinding. Dia mengambil pen marker dan mula melukis satu garis panjang.
"Rayyan, apa yang kita alami tadi adalah gambaran yang jelas tentang bagaimana kecemasan awak bermula. Sekarang, saya mahu awak lihat ini."
Dia menulis di hujung kiri garis tersebut:
"Trauma awal"
"Ini adalah titik di mana semuanya bermula. Dari pengalaman kita tadi, kita tahu bahawa puncanya datang daripada hubungan awak dengan ayah awak. Kata-kata yang dilemparkan kepada awak membentuk satu kepercayaan yang salah iaitu, awak tidak cukup baik. Dan dari situ, semuanya berkembang."
Dr. Hakim melukis beberapa cabang dari titik itu.
"Ketakutan gagal"
"Takut orang kecewa dengan awak"
"Rasa tidak cukup baik dalam hubungan"
Rayyan menarik nafas panjang. Setiap cabang itu terasa seperti luka yang selama ini dia bawa tanpa sedar.
"Dan ini," sambung Dr. Hakim sambil melukis satu lagi titik di tengah garis, "adalah titik sambungan kecemasan awak saat di mana ia berkembang menjadi lebih besar kerana keadaan sekeliling tidak membantu awak memprosesnya."
Di titik itu, Dr. Hakim menulis: "Tanggungjawab kerja & perkahwinan"
"Bila awak mula bekerja dan berkahwin, tekanan semakin meningkat. Awak rasa perlu membuktikan diri kepada dunia, kepada isteri awak, kepada rakan sekerja... tetapi dalam masa yang sama, kepercayaan lama masih membelenggu awak. Dan apabila tekanan ini terlalu kuat, otak awak bertindak balas seperti dulu dengan melawan atau melarikan diri."
Rayyan menggenggam tangannya perlahan. Dia ingat malam-malam di mana dia berbaring di katil, menatap siling dengan dada sesak, fikirannya dihujani soalan: Cukup baikkah aku? Kenapa aku tak boleh jadi seperti orang lain?
Dr. Hakim menoleh ke arah Rayyan dan tersenyum. "Tapi ada satu perkara yang menarik, Rayyan."
Dia kembali ke papan putih dan menarik garis lurus dari titik trauma awal hingga ke titik sekarang. Tetapi kali ini, dia berhenti separuh jalan dan meletakkan satu titik besar di situ.
"Di sinilah sambungan kecemasan awak terhenti."
"Apa maksud doktor?" Rayyan bertanya, dahinya berkerut.
"Maksudnya, sesuatu telah berlaku yang menghalang kecemasan awak daripada berkembang lebih jauh. Sesuatu yang membuatkan awak bertahan walaupun dihimpit tekanan."
Dr. Hakim berpaling dan menatap Rayyan tepat di mata. "Apa yang membuatkan awak masih di sini, Rayyan? Apa yang membuatkan awak tidak tenggelam dalam ombak itu?"
Rayyan terdiam. Fikirannya berpusing pusing mencari jawapan.
Dan kemudian, gambaran wajah Aisyah muncul dalam fikirannya.
Suara lembutnya. Sentuhannya yang menenangkan. Caranya mengingatkan Rayyan tentang temu janji psikiatri pagi tadi, seolah olah dia tahu Rayyan akan memerlukan bantuan.
Rayyan menarik nafas perlahan. "Aisyah..."
Dr. Hakim tersenyum sambil meletakkan pen marker di papan putih. "Tepat sekali. Orang yang kita sayang, yang benar benar memahami kita, mampu menjadi penyambung yang menghentikan kebimbangan kita daripada terus menghancurkan diri kita".
Rayyan tunduk, merenung tangannya sendiri. Fikirannya masih keliru, tetapi ada sesuatu yang terasa lebih jelas sekarang.
"Jadi... apa langkah seterusnya?"
Dr. Rayyan menepuk bahu Rayyan perlahan. "Langkah seterusnya adalah belajar bagaimana untuk menyambungkan titik ini kepada sesuatu yang lebih kukuh. Kita akan bina semula kepercayaan awak terhadap diri sendiri, supaya kecemasan ini tidak lagi berkuasa ke atas awak."
Rayyan mengangguk perlahan. Perjalanan ini masih panjang, tetapi untuk pertama kalinya... dia tidak merasa keseorangan.
Dr. Hakim membuka sebuah laci berkunci di belakang meja kerjanya. Bunyi klik kedengaran ketika dia membukanya, dan Rayyan melihat doktor itu menarik keluar sebuah kotak logam hitam yang berkilauan di bawah cahaya lampu bilik.
Rayyan melihat dengan hairan, macam ada sesuatu tentang kotak itu yang membuatkan jantungnya berdebar.
"Ini..." Dr. Hakim membuka kotak itu dengan perlahan, "ialah Neural Pathfinder."
Di dalamnya, terletak sebuah alat berbentuk seperti helmet separa dengan lapisan kaca lutsinar yang mempunyai jalur neon berwarna ungu yang berdenyut perlahan, seakan akan hidup. Permukaannya halus, tidak seperti mana mana peralatan perubatan biasa.
"Ini bukan sekadar alat imbasan otak biasa, Rayyan," Dr. Hakim berkata dengan suara rendah, seolah olah sedang mendedahkan sesuatu yang sangat rahsia. "Alat ini boleh membaca titik asal anxiety seseorang dengan lebih tepat, bukan hanya dari segi neurologi, tetapi juga dalam bentuk emosi dan memori yang terpendam."
Rayyan mengerutkan dahi. "Maksud doktor… alat ini boleh masuk ke dalam fikiran saya?"
Dr. Hakim mengangguk perlahan. "Bukan seperti dalam filem fiksyen sains, tetapi hampir serupa. Ia bukan sekadar mengesan aktiviti otak biasa, ia boleh mengenal pasti ‘mode emosi’ dalam memori awak yang berkaitan dengan anxiety.
Rayyan memandang alat itu dengan perasaan bercampur-baur. "Kalau alat ni canggih sangat… kenapa saya tak pernah dengar tentangnya?"
Dr. Hakim mengeluh perlahan sambil menutup kotak itu sebentar. Matanya memandang Rayyan dengan pandangan serius.
"Sebab alat ini belum diluluskan. Saya dan beberapa rakan penyelidik sudah lama menciptanya, tapi kami menghadapi banyak halangan dari pihak berkuasa, dari birokrasi, dari mereka yang tak percaya dengan teknologi seperti ini."
"Jadi… alat ini tak sepatutnya digunakan?"
Dr. Hakim tersenyum kecil. "Secara rasmi, tidak. Tapi saya tahu alat ini berfungsi, Rayyan. Saya tahu ia boleh membantu. Cuma ia masih terlalu baru, dan ramai yang takut dengan sesuatu yang mereka tak fahami sepenuhnya."
Rayyan bertanya lagi. "Kalau begitu… kenapa doktor mahu gunakannya pada saya?"
Dr. Hakim menatapnya dengan penuh kesungguhan. "Sebab saya tahu awak mahu faham apa yang sedang berlaku dalam diri awak. Dan saya percaya alat ini boleh membantu."
Sunyi seketika. Rayyan memandang alat itu sekali lagi. Ia kelihatan seperti sesuatu dari masa depan sesuatu yang mungkin boleh membawanya ke tempat yang dia sendiri tak pasti.
Tetapi bukankah itu yang dia mahukan?
Dengan nafas yang sedikit berat, dia mengangguk. "Saya nak cuba."
Dr. Hakim tersenyum sambil mengaktifkan alat itu. Cahaya ungu berdenyut perlahan, seolah olah bersedia untuk membawa Rayyan ke satu perjalanan yang belum pernah dia lalui.
Cahaya ungu dari Neural Pathfinder semakin terang ketika Dr. Hakim menekan beberapa butang di tablet kecil di tangannya. Rayyan terasa sedikit pening, seperti sedang hanyut dalam arus air yang perlahan lahan menariknya ke bawah.
"Rayyan, biarkan fikiran awak membawa awak ke tempat di mana semuanya bermula. Jangan lawan. Hanya perhatikan."
Rayyan menutup matanya. Saat kelopak matanya tertutup, dia merasakan tubuhnya menjadi ringan. Suara latar bilik rawatan semakin jauh, berganti dengan bunyi yang asing tetapi juga... dikenali.
Bunyi tapak kasut berlaga dengan lantai marmar. Bunyi suara manusia berbual. Cahaya matahari yang terang menusuk matanya.
Ketika dia membuka mata, Rayyan mendapati dirinya berdiri di tengah tengah sebuah dewan universiti yang luas,lebih tepat di Uitm Kedah. tempat dia belajar bertahun-tahun dahulu.
Dia melihat sekeliling. Pelajar pelajar berpakaian biasa berjalan sambil memegang buku dan fail, beberapa duduk di tepi tangga, berbincang dengan rakan sekuliah. Ada yang ketawa, ada yang sibuk menaip di laptop.
Rayyan menarik nafas dalam. Kenapa saya berada di sini?
Di sekelilingnya, dunia terasa nyata, tetapi pada masa yang sama, seperti hanya sebuah pantulan dari masa lalu.
"Teruskan, Rayyan. Pergi lebih dalam." Suara Dr. Hakim bergema di kepalanya, seperti suara dari jauh.
Rayyan melangkah perlahan. Tangannya menyentuh meja di sebelah, merasakan permukaannya yang sejuk. Ini bukan mimpi. Ini adalah ingatan.
Dan kemudian, dia melihatnya.
Rayyan terhenti. Nafasnya tertahan.
Dia.
Dada Rayyan tiba-tiba terasa berat. Dia tahu siapa gadis itu. Dia tahu inilah titik mula segalanya.
Seorang gadis duduk di meja kecil bersebelahan tingkap, dikelilingi oleh buku dan kertas catatan. Cahaya matahari menembusi kaca jendela di belakangnya, mencipta pantulan lembut di sekeliling tubuhnya.
Gadis itu mempunyai rambut panjang yang terurai, berwarna hitam pekat dengan sedikit bias kecoklatan di bawah sinar matahari, hidung kecil yang mancung dan bibir nipis yang sedikit terbuka ketika dia asyik menulis. Dia mempunyai kulit yang cerah dengan sedikit kemerahan di pipi.
Dia mengenakan baju kurung putih moden dengan lengan panjang yang digulung sedikit ke siku. Satu gelang perak nipis melingkari pergelangan tangannya, gelang yang Rayyan ingat dia selalu pakai.
Mia....
Rayyan merasakan seluruh tubuhnya membeku. Kenangan yang selama ini dia cuba kuburkan mula menyeruak ke permukaan.
Dan tiba-tiba, dia melihatnya. Saat pertama kali dia bertemu Mia.
Rayyan melihat dirinya yang lebih muda, baru sahaja melangkah masuk ke perpustakaan universiti, tangannya memegang beberapa buku tebal. Dia sedang mencari tempat duduk ketika matanya terpaku pada seseorang.
Mia sedang berdiri di antara rak buku, mukanya berkerut sambil meneliti satu persatu buku di hadapannya.
Rayyan muda berasa aneh melihat ekspresi itu. Bibir Mia bergerak perlahan, seperti sedang membaca sesuatu, tetapi matanya jelas menunjukkan kebingungan.
Tanpa sedar, Rayyan muda mendekati gadis itu.
"Awak cari buku apa?"
Mia menoleh pantas, matanya membulat sedikit. Ada kejutan dalam wajahnya, sebelum dia tersenyum kecil.
"Oh, saya tengah cari buku tentang bussines law tapi… saya tak pasti yang mana paling bagus."
Rayyan muda tersenyum, merasa sedikit yakin. "Saya rasa saya boleh tolong. Saya pernah ambil subjek ni semester lepas."
Mia mengangkat kening, kelihatan tertarik. "Betul? Wah, nasib baik saya jumpa awak. Saya dah berpusing dekat rak ni hampir lima belas minit."
Rayyan muda ketawa kecil sebelum mencapai sebuah buku di rak paling atas. "Cuba yang ini. Profesor saya dulu banyak rujuk buku ni."
Mia mengambil buku itu dengan kedua dua tangan, menatap tajuknya sebelum kembali menoleh ke arah Rayyan.
"Terima kasih, err…"
"Rayyan."
"Rayyan. Saya Mia."
Dan itulah permulaannya.
Senyuman itu. Perbualan itu. Saat saat yang indah sebelum segalanya berubah menjadi luka yang mendalam.
Dr. Hakim bersuara, suaranya bergema perlahan dalam minda Rayyan.
"Rayyan… adakah ini saat anxiety awak bermula?"
Rayyan tidak mampu menjawab. Dia hanya berdiri di situ, memandang Mia, merasakan beban yang semakin menghimpit dadanya.
Share this novel