Rayyan menarik nafas panjang, matanya meleret ke arah Aisyah yang sedang memasukkan pakaian mereka ke dalam beg. Bunyi zip beg yang ditarik terasa seperti gema dalam fikirannya yang berkecamuk. Hatinya berdebar tanpa sebab yang jelas, seolah-olah ada sesuatu yang sedang menunggunya di penghujung perjalanan ini.
"Abang okay?" Suara lembut Aisyah menusuk masuk ke gegendang telinganya, menariknya kembali ke realiti.
Rayyan menghela nafas, cuba menyembunyikan debar di dada. "Okay... cuma banyak benda dalam kepala."
Aisyah menghampiri, tangannya menggenggam tangan Rayyan erat. "Kalau ada apa-apa, beritahu Aisyah, ya? Jangan simpan sendiri."
Rayyan memaksa senyum. "Janji."
Dalam perjalanan pulang, sunyi menguasai kereta mereka. Bunyi enjin dan deruan angin di luar menjadi muzik latar yang menghanyutkan fikiran
Rayyan ke masa silam.
"Ayah, cepatlah! Kita dah lambat!" Rayyan kecil menjerit dengan wajah penuh keterujaan. Dia berdiri di sisi kereta, matanya bersinar melihat ibu yang sibuk memasukkan bekal ke dalam raga.
Ayah ketawa kecil sambil menepuk bahu Rayyan. "Sabar Rayyan, Kampung tak lari ke mana."
Sarah, kakaknya, menolak rambut ke belakang dan menjeling ke arah Rayyan. "Tapi kalau lambat, kita tak dapat makan lemang panas."
Mata Rayyan membulat. "Jom, ayah! Kita kena gerak sekarang!"
Di dalam kereta, Rayyan menyandarkan kepala pada tingkap. Jalan yang terbentang luas menuju ke Marang terasa seperti mengundang sejuta kegembiraan. Ibu menyuapkan nasi lemak kepadanya, sementara ayah fokus memandu.
"Nanti sampai rumah Tok, Rayyan kena salam dulu, baru boleh pergi pantai," pesan ibu, suaranya lembut tetapi tegas.
"Baik, ibu!" Rayyan mengangguk laju.
Ayah tersenyum melalui cermin pandang belakang. "Rayyan tahu kenapa kita selalu balik kampung?"
Rayyan mengerut dahi. "Sebab nak raya? Nak makan ketupat?"
Ayah ketawa kecil. "Bukan itu sahaja, nak. Kampung ini tempat asal kita. Di sana ada Tok, ada Wan... Ada kenangan yang ayah sendiri tak boleh lupakan. Kadang-kadang, bila kita jauh dari sesuatu yang penting, kita lupa nilai sebenar tempat itu dalam hati kita."
Rayyan diam. Kata-kata ayah menusuk ke jiwanya dengan cara yang tidak difahaminya ketika itu.
"Nanti suatu hari, Rayyan akan faham," tambah ayah lagi, suaranya tenang tetapi mendalam. "Ada tempat yang bukan sekadar rumah. Ia adalah jiwa kita."
Angin malam membelai rambutnya. Langit gelap tetapi dipenuhi bintang yang berkerlipan. Hatinya berbunga, memikirkan bau laut, suara ombak, dan pasir yang bakal menjejak kakinya.
---
"Abang!"
Rayyan tersentak. Aisyah menepuk lembut lengannya, wajahnya berkerut risau.
"Kenapa?" Rayyan menelan air liur. Dadanya terasa sempit.
"Abang macam... hilang dalam fikiran sendiri," Aisyah berbisik, suaranya penuh kebimbangan.
Rayyan menarik nafas dalam-dalam. "Kenangan lama..." suaranya hampir tersekat.
Aisyah memandangnya dalam-dalam. "Kenangan yang menyakitkan?"
Rayyan terdiam. Dia mengangguk perlahan.
Aisyah mencapai tangannya, menggenggamnya erat. "Abang, kenangan itu sebahagian daripada hidup abang. Tapi Aisyah ada di sini, sekarang. Abang tak perlu hadapi semuanya seorang diri."
Rayyan menoleh ke arah isterinya, matanya sedikit berkaca. Perlahan, dia tersenyum.
"Ya... kita bina kenangan baru."
Kereta meluncur perlahan di jalan yang berliku, diapit oleh rimbunan hutan yang hijau dan tenang. Udara di luar terasa lebih segar, seolah-olah membawa mereka semakin jauh dari kekusutan kota. Rayyan bersandar, matanya menelusuri keindahan alam di luar tingkap. Ada sesuatu yang menyentuh jiwanya seakan akan tempat ini berbicara dengan hatinya yang sering resah.
“Kita dah dekat dengan air terjun Batu Tujuh” Aisyah bersuara, lembut tetapi cukup untuk membawanya kembali ke dunia nyata.
Rayyan meluaskan mata, menyedari lokasi yang semakin dekat. Nama itu membawa ingatan jauh ke zaman remajanya. Dulu dia dan rakan-rakan akan berbasikal ke sini selepas sekolah, menempuh jalan berbatu dengan tawa yang tak pernah hilang dari bibir. Saat pertama kali tubuhnya menyentuh air yang dingin, dia ingat bagaimana segalanya terasa ringan seolah-olah dunia hanya ada air yang mengalir, langit yang luas, dan kebebasan yang tiada batas.
Waktu itu, dia tak kenal apa itu anxiety. Tak ada beban yang mencengkam dada.
“Rayyan?”
Dia berpaling. Aisyah menoleh sekilas sebelum kembali fokus pada jalan. Suaranya penuh kelembutan, seperti selalu.
"Awak nampak jauh…"
Rayyan menarik nafas, cuba mencari kata-kata. “Saya teringat masa sekolah dulu. Setiap kali saya datang ke sini, saya rasa hidup ini mudah. Tak ada ketakutan. Tak ada kegelisahan yang menyusup dalam diri.”
Aisyah diam sejenak, membiarkan keheningan menjadi bahasa sebelum dia bersuara.
“Rayyan… ketenangan itu tak pernah hilang. Ia masih ada. Cuma mungkin ia terlindung di sebalik luka dan ketakutan yang awak kumpul sepanjang perjalanan hidup.”
Rayyan menoleh ke arahnya. “Macam mana awak boleh begitu pasti?”
Aisyah tersenyum, tetapi kali ini ada sesuatu di matanya—seakan-akan dia melihat jauh ke dalam jiwa Rayyan. “Sebab saya percaya, manusia ini seperti sungai. Kadang-kadang arusnya deras, kadang-kadang tenang. Ada ketika ia membawa serpihan dan lumpur, tetapi akhirnya, air jernih itu tetap mengalir semula.”
Rayyan terdiam. Kata-kata Aisyah meresap ke dalam fikirannya.
“Jadi awak fikir… saya boleh kembali ke masa itu? Masa saya tak takut dengan hidup?”
Aisyah menggeleng perlahan. “Bukan kembali. Sebab masa tak akan menunggu sesiapa. Tapi awak boleh belajar untuk merasa tenang sekali lagi. Bukan dengan melupakan luka, tapi dengan menerima bahawa ia pernah ada—dan tetap memilih untuk terus mengalir.”
Rayyan menarik nafas dalam. Kata-kata itu menggenggam sesuatu dalam hatinya.
Di hadapan, air terjun Batu Tujuh mula kelihatan. Deru airnya bergema, membisikkan sesuatu yang sudah lama dia lupakan.
Kereta terus meluncur perlahan melewati pekan kecil yang membalut kenangan lama. Bangunan sekolah dengan cat yang mulai pudar berdiri di kejauhan, membawa Rayyan kembali ke masa silam yang terasa begitu dekat, namun jauh dari realitinya sekarang.
Dia tersenyum kecil tanpa sedar.
“Awak kenapa senyum sendiri?” suara Aisyah memecah kesunyian, penuh tanda tanya.
Rayyan menghela nafas perlahan. “Itu sekolah saya dulu. Saya teringat zaman budak-budak. Zaman sebelum hidup jadi rumit.”
Aisyah menoleh seketika ke arah sekolah itu. “Saya nak dengar cerita. Zaman budak nakal awak dulu.”
Rayyan ketawa kecil. “Awak nak dengar kisah budak yang selalu cari alasan untuk tak masuk kelas?”
Aisyah mengangkat kening, tertarik. “Oh? Jadi awak bukan jenis pelajar contoh?”
Rayyan menggeleng sambil tersenyum. “Saya bukan budak paling teruk, tapi saya juga bukan yang paling baik. Saya suka melepak dengan kawan-kawan. Kadang-kadang, kalau rasa malas, kami…” Dia berhenti seketika, matanya bersinar nakal.
Aisyah mencondongkan badan sedikit. “Apa?”
Rayyan tersenyum bersalah. “Kami pernah ponteng kelas dengan panjat pagar belakang sekolah.”
Aisyah menutup mulutnya, cuba menahan tawa. “Awak? Panjat pagar?”
Rayyan mengangguk. “Pagar tu tak tinggi sangat, tapi ada dawai tajam dekat atas. Kami kena hati hati bila turun, sebab kalau salah langkah baju boleh tersangkut. Ada sekali saya hampir tersangkut."
Aisyah akhirnya melepaskan tawa. “Ya Allah, Rayyan! Kalau tersangkut, awak nak buat apa?”
Rayyan ketawa juga, mengenang peristiwa itu. “Nasib baik kawan saya tarik sebelum cikgu nampak. Kalau tak, mungkin saya dah kena jemput mak ayah di bilik disiplin.”
Aisyah masih ketawa kecil, kemudian menggeleng. “Saya tak sangka. Saya ingat awak dulu jenis budak yang duduk diam dalam kelas, baca buku.”
Rayyan menghela nafas, senyumnya perlahan-lahan pudar.
Aisyah perasan perubahan itu. Dia merenungnya sebelum bersuara, nada suaranya lebih lembut kali ini. “Rayyan… kenapa dulu awak rasa bebas?”
Rayyan termenung seketika sebelum menjawab. “Sebab dulu… saya ada kawan-kawan yang layak dipanggil sahabat sejati.”
Aisyah diam, membiarkan Rayyan menyambung.
“Mereka buat saya rasa hidup ini ringan. Tak kira betapa teruk hari saya, saya tahu mereka ada. Kami tak perlu berpura-pura, tak perlu takut dinilai. Tak kira betapa bodoh atau nakalnya kami, kami tetap ada untuk satu sama lain.”
Rayyan tersenyum kecil, tetapi ada sesuatu dalam nada suaranya—seakan-akan ada sesuatu yang hilang. “Tapi semakin kita dewasa, semakin ramai yang pergi. Hidup bawa kita ke jalan yang berbeza. Dan entah kenapa, dunia terasa semakin sunyi.”
Aisyah memandangnya lama. “Rayyan… mungkin awak kehilangan ramai orang, tapi itu tak bermakna awak kehilangan makna sebuah persahabatan. Mungkin ia datang dalam bentuk yang lain.”
Rayyan menoleh ke arahnya. “Maksud awak?”
Aisyah tersenyum. “Mungkin, awak cuma perlu buka hati untuk menemui sahabat sejati sekali lagi. Tak semua orang yang datang dalam hidup kita akan kekal, tapi tak bermakna kita harus hidup bersendirian.”
Rayyan diam. Kata-kata itu menggema dalam benaknya.
Dia menghela nafas panjang sebelum bersuara lagi. “Dulu, lepas habis sekolah, saya selalu main bola dengan kawan-kawan di padang belakang sekolah.”
Aisyah tersenyum. “Oh, awak pemain bola rupanya?”
Rayyan ketawa kecil. “Taklah handal sangat, tapi cukup untuk buat saya lupa segala benda lain. Kami tak ada jersi mahal, tak ada kasut bola betul. Kadang-kadang main dengan selipar, kadang-kadang berkaki ayam. Tapi kami tetap main, sebab masa itu, kami tak fikir apa-apa selain dari bola yang bergolek di kaki.”
Aisyah mendengar dengan tekun, membayangkan Rayyan kecil berlari di padang dengan senyuman ceria.
“Tapi,” Rayyan menyambung, “kalau saya balik lambat… ayah saya akan tunggu depan pintu dengan rotan.”
Aisyah terkejut. “Awak selalu kena?”
Rayyan tersenyum hambar. “Bukan selalu. Tapi kalau saya betul-betul lambat, atau kalau dia tengah marah sebab benda lain, memang tak dapat lari.”
Aisyah diam seketika sebelum bertanya perlahan, “Awak takut dengan ayah awak masa itu?”
Rayyan termenung, matanya memandang jauh ke hadapan. “Tak tahu. Mungkin lebih kepada hormat yang bercampur dengan takut. Saya tahu dia tak suka anak-anaknya main sampai lupa diri. Tapi masa itu, saya fikir, kalau kena rotan pun, sekurang-kurangnya saya dah puas bermain.”
Aisyah menarik nafas perlahan. “Rayyan… awak pernah rasa ayah awak sayang awak?”
Rayyan tidak terus menjawab. Lama dia diam, sebelum akhirnya berkata, “Saya tak pasti.”
Suasana dalam kereta menjadi sunyi seketika. Hanya bunyi enjin dan deru angin menemani mereka.
Aisyah menggenggam tangannya perlahan, memberi isyarat bahawa dia ada di situ, mendengar. Rayyan tidak berkata apa-apa, tetapi genggaman itu cukup untuk membuatkan dadanya terasa lebih lapang.
Kereta terus bergerak, meninggalkan sekolah itu di belakang, tetapi dalam hati Rayyan, memori itu tetap hidup dan mungkin, harapan untuk menemui semula apa yang hilang masih ada.
Share this novel