Perjalanan Pulang dan Singgahan ke Masa Silam

Romance Series 983

Langit pagi membiru lembut ketika Rayyan dan Aisyah berdiri di hadapan rumah ibu bapanya, bersedia untuk pulang ke bandar. Angin kampung yang sejuk membelai wajah mereka, membawa bersama bau embun dan nostalgia.

Ibu Rayyan menggenggam tangan menantunya erat, matanya penuh kasih. "Aisyah, jaga Rayyan baik-baik ya. Dia ni nampak je keras kepala, tapi hati dia rapuh."

Aisyah tersenyum, matanya mengerling ke arah suaminya yang pura-pura sibuk memasukkan beg ke dalam bonet kereta. "InsyaAllah, mak. Saya akan pastikan dia tak boleh lari."

Rayyan menoleh dengan kening terangkat. "Macam saya ni banduan pula."

Ayah Rayyan berdiri tidak jauh dari situ, diam dan hanya memandang anaknya. Dalam hatinya, ada kata-kata yang ingin diucapkan, tetapi dia tidak tahu bagaimana. Dia hanya mampu bersuara dengan nada yang perlahan dan kaku.

"Hati-hati bawa kereta, Rayyan. Jangan laju sangat."

Rayyan mengangguk kecil. "Baik, ayah." Tetapi dalam hatinya, masih ada sesuatu yang tersangkut, seperti duri yang tidak dapat dicabut.

Sebelum Rayyan masuk ke dalam kereta, ayahnya tiba-tiba bersuara lagi.

"Rayyan..."

Rayyan menoleh, namun wajahnya tidak menunjukkan banyak ekspresi. "Ya?"

Ayahnya menarik nafas, cuba mencari ayat yang sesuai. "Ayah… tahu ayah banyak buat silap dengan kau dulu. Ayah bukan ayah yang baik."

Rayyan mengetap bibir. Ada sesuatu dalam dirinya yang ingin membalas kata-kata itu, tetapi dia menahan.

"Tapi ayah harap, satu hari nanti kau boleh faham…" suara ayahnya semakin perlahan. "Bukan semua orang tahu cara untuk jadi seorang ayah."

Rayyan tergelak kecil, tetapi nadanya hambar. Matanya tidak melihat tepat ke arah ayahnya, sebaliknya ke arah tanah. "Saya tak perlukan ayah yang sempurna, saya cuma nak seorang ayah yang ada untuk saya. Tapi itu pun ayah tak mampu nak jadi, kan?"

Ayah Rayyan terdiam.

Aisyah yang sejak tadi melihat perbualan itu hanya menggenggam tangannya sendiri, terasa sesak dengan ketegangan di antara dua lelaki itu.

Rayyan akhirnya menarik nafas dalam. "Saya tak tahu, ayah. Mungkin satu hari nanti saya akan faham. Tapi bukan hari ini."

Dia kemudian masuk ke dalam kereta, menutup pintu dengan perlahan.

Aisyah menoleh kepada ayah Rayyan dan ibu mertuanya, sebelum berkata dengan lembut, "Mak, ayah… kami balik dulu. Doakan perjalanan kami selamat."

Ibu Rayyan mengangguk dengan mata yang berkaca, manakala ayah Rayyan hanya berdiri kaku di situ, seolah olah ingin berkata sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana.

Saat kereta bergerak keluar dari halaman rumah, Rayyan menggenggam stereng dengan kuat. Nafasnya panjang dan berat.

"Awak okay?" Aisyah bertanya, suaranya penuh kelembutan.

Rayyan terdiam beberapa saat sebelum menghela nafas. "Saya tak tahu, awak. Saya marah… tapi dalam masa yang sama, saya penat nak marah."

Aisyah meletakkan tangannya di atas tangan Rayyan, menggenggamnya erat. "Kemarahan bukan sesuatu yang boleh hilang sekelip mata. Tapi awak tak perlu simpan semuanya sendiri, Rayyan."

Rayyan menoleh ke arah Aisyah sekilas sebelum kembali fokus ke jalan. Ada sesuatu dalam kata-kata isterinya yang meresap ke dalam hatinya.

Beberapa minit kemudian, Aisyah tiba-tiba bersuara dengan nada ceria, cuba mengubah suasana.

"Awak pernah cakap awak minat sejarah, kan?"

Rayyan mengerutkan dahi. "Kenapa tiba tiba tanya pasal tu?"

Aisyah tersenyum penuh muslihat. "Sebab sebelum kita balik rumah, saya nak ajak awak ke Muzium Negara."

Rayyan tergelak kecil, cuba menukar mood yang berat tadi. "Muzium Negara? Spontan sangat ni."

Aisyah mengangguk yakin. "Kita baru keluar dari kampung, tempat yang penuh dengan sejarah hidup awak. Sekarang kita pergi ke tempat yang menyimpan sejarah manusia. Mana tahu, sejarah boleh bantu awak faham sesuatu tentang diri awak juga."

Rayyan termenung sejenak sebelum tersenyum kecil. "Awak ni sebenarnya nak pergi muzium sebab saya, atau sebab awak yang nak pergi?"

Aisyah ketawa kecil. "Dua-dua. Tapi lebih kepada sebab awak."

Rayyan menarik nafas panjang sebelum berkata, "Baiklah, kalau itu yang awak nak, kita ke Muzium Negara."

Namun, baru sahaja Rayyan mahu menukar haluan ke jalan yang menuju ke muzium, Aisyah bersuara lagi dengan nada serius.

"Tapi ada satu syarat."

Rayyan menjeling sekilas. "Syarat?"

Aisyah mengangkat jari telunjuk. "Awak kena jadi tour guide saya. Jangan main baca info atas dinding je. Saya nak awak terangkan setiap sejarah yang ada dengan penuh semangat. Siap buat gaya sekali."

Rayyan ketawa kecil, menggeleng kepala. "Awak ni ingat saya ahli sejarah ke? Saya minat, tapi saya bukan pakar lah."

Aisyah tersengih. "Saya tak kisah. Kalau awak minat, awak mesti tahu. Saya akan uji pengetahuan awak."

Rayyan menghela nafas panjang, pura-pura mengeluh. "Aduh, terperangkap pula dengan isteri sendiri."

Aisyah ketawa kecil, senang melihat wajah Rayyan yang mula tenang.

Kereta mereka mula bergerak menuju ke Muzium Negara. Dan dalam perjalanan itu, Rayyan sedar walaupun sejarah masa lalu penuh luka, ada seseorang di sisinya yang sanggup membantunya membina sejarah yang lebih baik.

Aisyah dan Rayyan sampai di Muzium Negara.

Muzium Negara berdiri megah dengan reka bentuknya yang klasik dan sarat dengan nilai seni bina Melayu. Bangunannya berbumbung panjang, menyerupai istana lama, dengan dinding bercat warna tanah yang memberikan kesan keanggunan tradisional. Di hadapan pintu masuk utama, terdapat tangga lebar yang membawa pengunjung ke ruang lobi yang luas. Mural besar yang menghiasi dinding luar muzium menarik perhatian lukisan sejarah bangsa yang menceritakan kisah perjuangan dan peradaban Tanah Melayu.

Saat melangkah masuk, Rayyan dan Aisyah disambut oleh suasana yang tenang dan berprestij. Siling tinggi dengan lampu gantung klasik menerangi dewan utama, sementara lantai marmar berkilat mencerminkan reka bentuk dalaman yang bercampur elemen moden dan tradisional. Bau buku lama dan kayu dari pameran memenuhi udara, seolah-olah membawa mereka ke masa silam.

"Saya suka tempat ni," Aisyah bersuara perlahan, matanya melilau ke sekeliling.

Rayyan tersenyum kecil. "Muzium ni bukan sekadar bangunan, Ia pintu ke masa lalu. Tempat yang menyimpan kisah manusia yang datang sebelum kita."

Mereka bergerak ke ruang pameran pertama, Galeri Prasejarah. Dinding galeri ini dihiasi dengan lukisan gua purba dan diorama kehidupan manusia awal. Di tengah ruang, terdapat replika Perak Man yang terbaring di dalam kaca pameran.

"Perak Man ni manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia," Rayyan mula bercerita. "Lebih 10,000 tahun tapi masyarakat manusia waktu itu tetap menjaganya. Ini bukti bahawa manusia sejak dulu pun sudah tahu erti belas kasihan."

Aisyah tersenyum mendengar penerangan itu. "Maknanya, walaupun zaman berubah, nilai kemanusiaan tetap sama?"

Rayyan mengangguk. "Sejarah ni cermin untuk kita faham diri sendiri."

Aisyah mendekat. "Dia nampak kecil... Mungkin sebab dia tak cukup zat masa hidup?"

Rayyan mengangguk. "Mungkin. Tapi yang menarik, dia ada kecacatan pada tangannya, bermakna dia tak boleh berburu atau bekerja berat. Tapi masyarakat dia tetap menjaganya sampai dia tua.

Aisyah tersenyum. "Jadi maknanya, manusia memang dilahirkan dengan sifat baik?"

Rayyan tersenyum nipis. "Mungkin. Atau mungkin manusia belajar jadi baik bila mereka sedar dunia ini terlalu sukar untuk diharungi sendirian."

Mereka meneruskan perjalanan ke galeri seterusnya, di mana pelbagai artifak dipamerkan. Rayyan berhenti di hadapan sebuah tengkolok diraja yang dihiasi sulaman emas.

"Ini tengkolok diraja Perak. Ada cara khas untuk melipatnya. Nama ikatan ni dipanggil 'Ayam Patah Kepak'."

Aisyah terkekeh. "Kenapa nama dia macam tu? Kesian ayam tu."

Rayyan ketawa kecil. "Saya tak pasti kenapa. Tapi tengkolok ni melambangkan kebijaksanaan dan kekuatan seorang raja."

Aisyah mengangguk perlahan. "Kalau awak pakai tengkolok ni, awak rasa awak boleh jadi raja tak?"

Rayyan tersenyum sinis. "Kalau raja yang selalu kena marah dengan permaisuri, mungkin boleh."

Aisyah mencubit lengannya. "Siapa permaisuri tu?"

"Siapa lagi kalau bukan awak?"

Mereka berdua ketawa kecil sebelum melangkah ke pameran seterusnya.

Mereka kemudian melangkah ke Galeri Kesultanan Melayu Melaka.

Hiasan di sini lebih gah dinding berwarna keemasan, ukiran kayu dengan corak Melayu lama, dan lampu lampu lembut yang menerangi koleksi manuskrip dan senjata diraja. Sebuah diorama besar menampilkan Hang Tuah dan Hang Jebat sedang bertarung, lengkap dengan ekspresi wajah yang tegang dan perisai yang berkilat.

Rayyan berhenti lama di hadapan diorama itu. Matanya meneliti pergelutan dua sahabat yang kini menjadi legenda.

"Dua sahabat yang setia, tapi akhirnya saling menikam kerana perbezaan prinsip," katanya perlahan. "Mereka berjuang untuk sesuatu yang mereka percaya... tapi akhirnya, salah faham menghancurkan segalanya."

Aisyah melihat reaksi Rayyan, seakan-akan dia bukan sekadar bercakap tentang Hang Tuah dan Hang Jebat—tetapi juga tentang dirinya dan ayahnya.

"Rayyan..."

Rayyan menarik nafas dalam. "Saya dan ayah pun macam ni, kan? Dua orang yang sepatutnya saling menyokong, tapi akhirnya saling melukai."

Aisyah menggenggam tangannya. "Perbezaannya, awak masih ada masa untuk perbaiki semuanya."

Rayyan menoleh ke arah Aisyah. Cahaya lampu muzium menyinar lembut pada wajahnya, membuatkan dia kelihatan tenang dan penuh harapan.

Saat itu, Rayyan sedar sesuatu.

Di hadapannya bukan sekadar seorang isteri.

Aisyah adalah cahaya dalam hidupnya.

Dia wanita yang tidak hanya mendengar, tetapi memahami. Yang tidak hanya berada di sisi, tetapi memimpin tangan saat Rayyan hampir tersesat dalam fikirannya sendiri.

Rayyan tersenyum nipis. "Terima kasih, Aisyah."

Aisyah mengerutkan dahi. "Untuk apa?"

Rayyan menggeleng perlahan. "Sebab awak ada."

Aisyah tersenyum lembut. "Saya akan sentiasa ada, Rayyan. Selagi awak izinkan."

Mereka meneruskan perjalanan dalam muzium, tetapi bagi Rayyan, perjalanan sebenar yang dia tempuhi bukan sekadar sejarah yang terpampang di dinding tetapi sejarah yang sedang dia bina semula dalam hatinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience