Cahaya matahari pagi mula menembusi celahan dedaunan hutan, memantulkan sinarnya ke permukaan sungai yang mengalir jernih. Kabus tipis masih berlegar di sekitar air terjun Chamang, mencipta suasana yang tenang dan syahdu. Bunyi deruan air terjun mengisi kesunyian pagi, seakan alunan melodi alam yang mendamaikan.
Di atas sebuah batu besar yang menghadap air terjun, Rayyan duduk termenung, membiarkan angin pagi menyentuh wajahnya yang letih. Dia tidak tidur semalaman. Fikirannya masih berselirat dengan perbualannya bersama ayahnya pagi tadi. Luka lama yang sudah lama dikuburkan kembali berdarah, dan dia tidak pasti bagaimana untuk menghentikan pedihnya.
Langkah perlahan menghampiri. Tanpa menoleh, Rayyan tahu itu Aisyah.
Aisyah duduk di sebelahnya, membiarkan kesunyian mengisi ruang seketika sebelum bersuara dengan lembut. "Pagi ini terlalu indah untuk dihiasi dengan kesedihan, Rayyan."
Rayyan menghela nafas perlahan. "Saya tak tahu kenapa saya datang ke sini… mungkin sebab saya fikir, tempat ini boleh buat saya rasa lebih tenang."
Aisyah mengukir senyum kecil, matanya memandang ke arah air terjun yang megah berdiri di hadapan mereka. "Ketika kita berdiri di hadapan air terjun, kita sedar betapa kecilnya kita di dunia ini. Air mengalir tanpa henti, seperti masa yang tak menunggu sesiapa. Tapi, Rayyan…" dia menoleh ke arah suaminya, suaranya semakin lembut, "Air ini juga mengajarkan kita sesuatu. Ia jatuh dari tempat tinggi, menghentam batu, pecah berderai… tetapi ia tetap mengalir. Tetap mencari jalannya."
Rayyan memandang Aisyah, matanya redup. "Dan kalau ia tersangkut? Kalau jalannya terhalang?"
Aisyah tersenyum, menggenggam tangan suaminya. "Ia akan mencari jalan baru. Begitulah kita, Rayyan. Luka yang awak bawa dari kecil itu mungkin menghentikan awak sekejap, tapi ia tak boleh menghalang awak selama-lamanya. Awak bukan air yang tersekat… awak adalah sungai yang masih boleh mengalir ke lautan."
Rayyan menunduk, merasakan kehangatan dalam kata-kata Aisyah. Tetapi hatinya masih berbelah bahagi.
"Tapi saya dah terlalu lama membawa luka ini, Aisyah. Ia dah menjadi sebahagian dari diri saya. Saya takut… saya takut kalau saya lepaskan, saya tak tahu siapa saya tanpa semua ini."
Aisyah menggenggam tangan Rayyan lebih erat. "Rayyan, luka bukan identiti. Kesakitan bukan takdir. Awak bukan lelaki yang ditakdirkan untuk selamanya hidup dalam bayang-bayang masa lalu. Awak berhak bahagia. berhak dicintai. berhak merasa damai."
Matanya bersinar, suaranya penuh keyakinan. "Dan kalau awak tak tahu bagaimana nak lepaskan semua itu… biar saya bantu. Saya akan berada di sini, Rayyan. Setiap kali awak rasa sesat, setiap kali awak rasa dunia ini terlalu berat… saya akan jadi cahaya yang memimpin awak pulang."
Rayyan mengangkat wajahnya, menatap Aisyah yang masih memegang tangannya erat. Air terjun terus mengalir di belakang mereka, matahari semakin naik di ufuk timur, mencipta cahaya keemasan yang menyelimuti mereka berdua.
Untuk pertama kalinya dalam masa yang lama, Rayyan merasakan sesuatu yang hangat menyentuh jiwanya—bukan kesakitan, bukan ketakutan, tetapi harapan.
Dia menutup mata seketika, menghela nafas dalam.
Mungkin… mungkin sudah tiba masanya untuk dia belajar bagaimana membiarkan dirinya mengalir seperti sungai.
Air terjun Chamang terus mengalir, seakan akan tidak pernah berhenti menangisi sesuatu yang tak terlihat. Matahari semakin meninggi, tetapi angin pagi masih terasa dingin, seolah-olah memahami kesunyian yang sedang bersarang dalam hati seorang lelaki yang sudah terlalu lama membawa beban yang tak tertanggung.
Rayyan memandang air yang deras di hadapannya, matanya kosong tetapi fikirannya penuh. Dia menarik nafas perlahan sebelum bersuara, suaranya hampir tenggelam dalam deruan air.
“Aisyah… pernah tak awak tertanya-tanya, kenapa ada manusia yang memilih untuk membunuh diri?”
Aisyah terdiam sejenak. Soalan itu terlalu berat, tetapi dia tahu, ia datang dari tempat paling dalam dalam hati Rayyan.
"Saya pernah tertanya," Aisyah akhirnya bersuara. "Tapi saya tak pernah benar-benar faham."
Rayyan mengangguk kecil, bibirnya tersenyum pahit. “Saya juga dulu tertanya tanya. Saya fikir, kenapa seseorang sanggup memilih jalan yang paling menyakitkan? Kenapa mereka memilih untuk pergi dengan cara yang paling gelap?”
Dia merenung jauh, matanya masih tidak beralih dari air yang mengalir. “Tapi bila saya sendiri pernah berdiri di tepi jurang itu… saya mula faham. Manusia yang memilih untuk mati bukan sebab mereka mahu mati, Aisyah. Mereka cuma tak tahu macam mana nak terus hidup.”
Aisyah terasa dadanya sesak. Dia memandang suaminya, matanya berkaca. “Rayyan…”
Rayyan menarik nafas dalam, cuba menenangkan getaran dalam suaranya. “Bila sesuatu yang menyakitkan itu dah terlalu lama hidup dalam diri, bila setiap hari awak bangun dengan rasa kosong yang tak terjelaskan, bila awak cuba cari jawapan tapi dunia terus menghukum awak… akhirnya, awak penat. awak cuma mahu berhenti.”
Dia memejamkan matanya seketika. “Saya tahu perasaan itu, Aisyah. Saya pernah berada di tempat itu. Malam itu… masa saya pegang pisau di tangan saya sendiri, saya bukan sedang berfikir tentang mati. Saya cuma mahu kesakitan itu berhenti. Saya cuma nak rasa… bebas.”
Aisyah menggigit bibir, air matanya hampir jatuh. "Tapi awak masih di sini, Rayyan. Awak masih memilih untuk hidup."
Rayyan menarik nafas panjang. "Saya tak tahu sama ada saya yang memilih hidup… atau hidup yang memilih saya. Tapi masa itu, saya terfikir sesuatu."
Dia menoleh ke arah Aisyah, matanya penuh dengan sesuatu yang sukar ditafsirkan, pedih, kejujuran, dan sedikit harapan.
"Saya terfikir… kalau saya pergi, mungkin kesakitan saya akan berhenti. Tapi bagaimana dengan kesakitan yang saya tinggalkan kepada orang lain?"
Dia menggeleng, senyum pahit di bibirnya. "Kita selalu fikir, mati itu penghujung kesakitan. Tapi sebenarnya, mati itu hanya permulaan bagi orang yang masih hidup."
Aisyah menggenggam tangan Rayyan erat, seolah olah cuba menariknya keluar dari kegelapan yang masih bersisa.
"Rayyan… saya bersyukur awak masih di sini. Kalau awak tak ada… saya tak tahu bagaimana hidup saya akan jadi."
Rayyan menatap Aisyah lama, sebelum tersenyum kecil. Kali ini, senyumannya bukan kepalsuan.
"Saya pun tak tahu, Aisyah… tapi kalau saya masih di sini hari ini, mungkin sebab Tuhan masih belum selesai dengan saya."
Matahari terus naik, sinarnya memantul di atas permukaan air terjun, mencipta pelangi halus yang hampir tersembunyi dalam kabus pagi. Seperti harapan yang masih cuba mencari jalannya dalam hati seorang lelaki yang terlalu lama hidup dalam bayang-bayang silam.
Deruan air terjun Chamang masih bergema, tetapi di antara bunyi alam itu, ada satu suara yang lebih sunyi, suara dari hati seorang lelaki yang sudah terlalu lama membawa luka yang tidak terlihat.
Rayyan menunduk, menatap tangannya sendiri. Ada bekas luka lama di sana, garis garis yang pernah menjadi saksi kepada detik paling gelap dalam hidupnya. Tangannya menggeletar sedikit sebelum dia mengepalnya perlahan.
"Aisyah…" suaranya hampir berbisik. "Saya selalu fikir… kenapa Tuhan menciptakan manusia dengan hati yang begitu rapuh? Kenapa Dia beri kita perasaan, kalau akhirnya perasaan itu yang membunuh kita?"
Aisyah menoleh, memandang suaminya dengan penuh perhatian. "Rayyan… apa yang awak fikirkan sekarang?"
Rayyan tersenyum kecil, tetapi matanya kosong. "Saya cuma… saya cuba faham. Kenapa manusia memilih untuk mengakhiri hidup mereka sendiri? Sebab kalau ikut logik, mati itu menyakitkan, kan? Pisau yang melukai kulit, tali yang menjerut leher, racun yang membakar organ dalam… semuanya menyakitkan. Dan kita tahu ia salah, kita tahu agama melarangnya. Tapi kenapa masih ada yang memilih jalan itu?"
Aisyah menarik nafas perlahan. Dia tahu, ini bukan sekadar soalan biasa. Ini adalah suara hati Rayyan yang sedang cuba mencari jawapan untuk dirinya sendiri.
"Sebab kesakitan dalam hati lebih dahsyat dari kesakitan fizikal," Rayyan menjawab sendiri. "Sebab luka yang kita rasa di dalam dada itu lebih tajam dari mana-mana bilah pisau. Dan sebab bila kita hidup, kita perlu terus bertahan… tapi bila kita mati, semuanya berhenti."
Dia ketawa kecil, tetapi suaranya penuh kepedihan. "Ironinya, Aisyah… manusia membunuh diri bukan kerana mereka mahu mati. Mereka membunuh diri kerana mereka mahu hidup… cuma bukan dalam kesakitan."
Aisyah terasa nafasnya sesak. "Rayyan… awak masih fikir tentang semua ini?"
Rayyan memandang jauh ke arah air terjun, matanya berkaca. "Saya tak pernah berhenti fikir, Aisyah. Saya pernah berdiri di tepi jurang itu. Saya tahu bagaimana rasanya… bila dunia terasa gelap, bila suara dalam kepala semakin kuat berbisik, bila setiap pagi terasa seperti beban yang tak tertanggung."
Dia menoleh ke arah Aisyah, suaranya hampir pecah. "Dan masa itu, saya fikir… kalau saya pergi, siapa yang akan peduli?"
Aisyah menggenggam tangan Rayyan erat, seperti mahu memastikan dia tetap berpijak di dunia ini. "Saya akan peduli, Rayyan. Dan saya percaya, ramai lagi yang akan peduli. Awak mungkin tak nampak, tapi kehadiran awak bermakna. Kehidupan awak… bernilai."
Rayyan menggeleng, senyumannya penuh dengan keletihan. "Orang yang ingin mati tak pernah mahu dengar itu, Aisyah. Sebab dalam kepala mereka, mereka sudah kalah. Mereka tak nampak jalan lain, selain menyerah."
Aisyah menggigit bibir, matanya berkaca. "Jadi kenapa awak masih di sini, Rayyan? Kenapa awak masih memilih untuk bertahan?"
Rayyan terdiam. Lama.
Dia menarik nafas panjang sebelum menjawab, suaranya serak. "Sebab di saat paling gelap dalam hidup saya… ada satu suara kecil yang berbisik. Suara itu tak menjerit, tak memaksa. Cuma satu bisikan perlahan yang berkata—‘Tunggu dulu… jangan pergi lagi.’"
Dia menoleh ke arah Aisyah, matanya penuh dengan sesuatu yang sukar dijelaskan. "Saya tak tahu suara itu datang dari mana. Tapi saya bersyukur saya dengar. Sebab kalau saya tidak tunggu, saya tak akan ada di sini hari ini… dengan awak."
Aisyah tidak mampu menahan air matanya lagi. Dia menarik Rayyan ke dalam pelukannya, memeluknya erat seolah-olah mahu memastikan lelaki itu tidak akan pernah hilang lagi.
"Kalau satu hari suara itu semakin perlahan, Rayyan… saya akan jadi suara yang mengingatkan awak untuk terus bertahan.
Share this novel