Penyesalan Seorang Ayah

Romance Series 983

Pagi itu, suasana di kampung masih segar. Aisyah menemani ibu mertuanya ke pasar, meninggalkan Rayyan di rumah bersama ayahnya. Deruan enjin kereta ibu dan Aisyah semakin menjauh dari mereka.

Rayyan duduk di kerusi kayu di ruang tamu merenung jalan di hadapan rumah. Dia tidak tahu kenapa, tetapi ada sesuatu yang membuatkan dia gelisah.

Ayahnya keluar dari dalam rumah, berdiri seketika di sisi Rayyan sebelum duduk di kerusi yang sama. Seketika, hanya bunyi kicauan burung yang mengisi ruang.

"Rayyan."

Rayyan menoleh sedikit, tetapi tidak menjawab.

"Macam mana hidup kau sekarang?" Ayahnya bersuara, lebih perlahan daripada biasa.

Rayyan menghela nafas perlahan. "Baik, ayah."

Ayahnya mengangguk, tetapi pandangannya masih ke hadapan. "Aisyah tu baik orangnya. lembut, penyabar. Ayah tengok dia jaga kau elok."

Rayyan tersenyum sedikit, mengakui kebenaran itu. "Ya… dia banyak bantu saya."

Ayahnya mengeluh kecil, suaranya seolah olah tenggelam dalam kesunyian pagi. "Kau bahagia, Rayyan?"

Pertanyaan itu membuatkan Rayyan tersentak. Dia menoleh ke arah ayahnya, tetapi lelaki itu masih tidak menoleh kepadanya.

"Entahlah, ayah…" Suaranya hampir berbisik. "Saya cuba. Tapi kadang kadang saya rasa… saya masih terperangkap dengan sesuatu yang saya tak boleh lepaskan."

Ayahnya terdiam lama. Udara pagi yang dingin terasa berat dengan keheningan yang sukar dipecahkan.

"Rayyan." Akhirnya, suara ayahnya kedengaran lagi, tetapi kali ini lebih perlahan. "Ayah nak cakap sesuatu yang dah lama ayah simpan."

Rayyan menunggu, jantungnya berdegup sedikit lebih kencang.

Ayahnya menarik nafas panjang sebelum bersuara lagi. "Ayah menyesal."

Rayyan mengerutkan dahi. "Menyesal apa, ayah?"

Ayahnya akhirnya menoleh, dan untuk pertama kalinya, Rayyan melihat sesuatu dalam mata lelaki itu, sesuatu yang jarang dia lihat selama ini iaitu kesedihan.

"Menyesal sebab ayah layan kau macam kau tak cukup baik." Suara ayahnya hampir bergetar. "Menyesal sebab ayah terlalu keras dengan kau. Menyesal sebab ayah tak pernah tunjukkan yang ayah sebenarnya sayang kau."

Rayyan memandang ayahnya, cuba mencari kepastian dalam kata-kata itu. "Kenapa, ayah? Kenapa dulu ayah selalu lebih lembut dengan Sarah? Kenapa ayah tak pernah tunjuk yang ayah… sayang saya?"

Ayahnya memejam mata seketika, seolah olah mencari kekuatan untuk menjawab. "Sebab ayah bodoh, Rayyan. Ayah fikir, kalau ayah keras dengan kau, kau akan jadi kuat. Ayah fikir kalau ayah ajar kau untuk tak bergantung pada sesiapa, kau akan boleh berdiri sendiri."

Ayahnya menarik nafas, cuba mengawal emosinya sendiri. "Tapi ayah lupa satu perkara."

Rayyan masih menunggu, matanya tidak berkelip.

"Ayah lupa yang kau cuma seorang budak kecil… yang juga perlukan kasih sayang."

Kata-kata itu menikam terus ke dada Rayyan. Bertahun-tahun dia cuba memahami kenapa dia diperlakukan begitu. Bertahun tahun dia cuba mencari jawapan, dan kini jawapan itu ada di hadapannya—tetapi ia tidak memberi kelegaan seperti yang dia sangka.

Ayahnya menundukkan kepala, menutup wajahnya dengan tangan. "Ayah ingat, dengan buat kau jadi kuat, kau takkan terluka. Tapi ayah silap… ayah yang buat kau luka."

Rayyan merasakan matanya sedikit panas. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberi reaksi.

"Rayyan." Ayahnya bersuara lagi, kali ini dengan suara yang hampir bergetar. "Ayah takkan salahkan kau kalau kau benci ayah. Ayah takkan salahkan kau kalau kau tak boleh maafkan ayah."

Rayyan menggenggam jemarinya sendiri. Hatinya berperang dengan emosi yang tidak menentu.

"Saya tak pernah benci ayah." Akhirnya, kata-kata itu keluar juga. "Saya cuma… saya cuma tak pernah faham kenapa saya rasa tak cukup baik. Kenapa saya rasa… saya tak layak untuk disayangi."

Ayahnya menoleh, matanya berkaca. "Itu salah ayah, Rayyan."

Rayyan menggeleng perlahan. "Tapi saya tetap anak ayah."

Ayahnya tersenyum kecil, tetapi senyuman itu penuh kepedihan. "Dan ayah tetap ayah kau. Walaupun ayah pernah buat silap, ayah tetap mahu kau tahu… ayah bangga dengan kau."

Air mata Rayyan akhirnya menitis.

Untuk pertama kalinya dalam hidupnya, dia mendengar kata-kata itu daripada ayahnya.

Rayyan menggenggam jari-jemarinya erat. Dadanya terasa sesak dengan segala yang selama ini hanya disimpan. Kata-kata ayahnya tadi tentang penyesalan, tentang cara dia dibesarkan—sepatutnya menjadi sesuatu yang dia mahu dengar. Tetapi kenapa… kenapa hatinya masih marah?

Dia memandang ayahnya, matanya berkilat dengan emosi yang sukar dikawal. "Kenapa sekarang, ayah?" suaranya sedikit bergetar, tetapi tegas. "Kenapa baru sekarang ayah nak cakap semua ni?!"

Ayahnya menarik nafas dalam, seakan bersedia untuk menerima segala yang bakal diluahkan. "Sebab ayah sedar, Rayyan… ayah dah terlalu lama menyakiti kau."

Rayyan ketawa kecil, sinis. "Dah terlambat, ayah." Dia berdiri dari kerusi kayu itu, memijak lantai ruang tamu rumah dengan kasar. "Dulu, saya minta satu je, ayah. Saya cuma nak rasa saya ni anak ayah juga. Saya nak ayah pandang saya sama macam ayah pandang Sarah. Saya nak… saya nak ayah tengok saya dengan bangga, walaupun saya bukan anak yang sempurna."

Ayahnya memandangnya lama, wajahnya penuh dengan kesedihan yang tertahan. "Rayyan, ayah tak pernah fikir kau tak cukup baik."

"Bohong!" Rayyan membentak, suaranya pecah. "Kalau ayah tak pernah fikir macam tu, kenapa ayah selalu kasar dengan saya? Kenapa setiap kali saya buat silap, rotan yang ayah cari dulu, bukan kata kata? Kenapa setiap kali saya cuba bercakap dengan ayah, ayah buat tak peduli?!"

Ayahnya menundukkan kepala, seperti tidak mampu menahan rasa bersalah yang kian menekan dadanya. "Ayah tahu… ayah tahu ayah salah."

Rayyan mendekat sedikit, suaranya lebih rendah tetapi lebih tajam. "Tahu? Kalau ayah tahu, kenapa ayah teruskan juga? Kenapa ayah biarkan saya hidup dengan rasa saya tak pernah cukup? Kenapa ayah buat saya fikir yang kasih sayang itu sesuatu yang saya kena layak dapat?"

Ayahnya menarik nafas berat, cuba mengawal dirinya sendiri. "Ayah bukan manusia yang sempurna, Rayyan… Ayah buat banyak kesilapan. Tapi kau kena tahu, setiap kali ayah marah, setiap kali ayah pukul kau… bukan sebab ayah benci kau."

Rayyan ketawa lagi, matanya sudah mula berair. "Kalau bukan benci, habis apa? Kasih sayang? Itu cara ayah tunjuk kasih sayang ke? Dengan rotan? Dengan diamkan saya macam saya ni tak wujud?"

Ayahnya memandangnya, matanya berkaca. "Ayah takut, Rayyan."

Rayyan terhenti seketika. "Takut? Takut apa?"

Ayahnya terdiam, suaranya hampir berbisik. "Takut kau jadi lembut. Takut kau jadi lemah. Takut kau tak boleh berdiri sendiri. Sebab dunia ini bukan tempat untuk orang yang mudah rapuh."

Rayyan menggeleng, mengesat wajahnya yang panas. "Tapi ayah silap! Ayah buat saya lagi lemah! Ayah buat saya takut dengan dunia, takut dengan diri saya sendiri!"

Ayahnya mengangkat kepala, memandang anaknya dengan penuh penyesalan. "Rayyan… maafkan ayah."

Rayyan ketawa kecil, tetapi kali ini tanpa rasa sinis. Cuma penuh kelelahan. "Maaf?" Dia memandang ayahnya lama. "Maaf boleh tarik balik semua rasa sakit tu? Maaf boleh padam semua malam saya menangis sorang-sorang, tertanya-tanya kenapa saya tak cukup baik?"

Ayahnya terdiam.

Aisyah yang baru pulang dari pasar mendengar suara mereka dari luar rumah. Dia berlari kecil ke ruang tamu, melihat Rayyan berdiri dalam keadaan tegang, wajahnya penuh dengan luka yang selama ini terpendam.

"Rayyan…" Aisyah mendekat, cuba menyentuh lengannya.

Rayyan menarik nafas panjang, memandang ayahnya dengan mata yang berkaca. "Saya tak tahu macam mana nak maafkan ayah."

Ayahnya menundukkan kepalanya, menerima hakikat itu dengan hati yang berat. "Tak apa, Rayyan. Ambil masa kau… ayah akan tunggu."

Rayyan menarik nafas dalam. "Saya penat, ayah…" suaranya lebih perlahan. "Penat cuba jadi cukup untuk ayah."

Ayahnya memejam mata, dan saat dia membukanya semula, ada titisan air mata yang jatuh di pipinya yang penuh dengan garis-garis tua.

"Kau tak perlu cukup untuk ayah, Rayyan." Suaranya serak. "Kau dah cukup, sejak dulu. Cuma ayah yang buta untuk nampak semua tu."

Rayyan memandang ayahnya lama.

Dan kali ini, dia tak tahu sama ada dia perlu terus marah, atau hanya membiarkan dirinya merasa… letih.

Rayyan memejam mata, dadanya berombak menahan segala rasa yang terbuku sekian lama. Tangannya mengepal di sisi, jari-jarinya seakan mahu menggenggam kemarahan yang semakin membakar dalam dada.

Aisyah yang berdiri di sisi, melihat semuanya dengan hati yang pilu. Dia jarang melihat Rayyan seperti ini, terluka, rapuh, dan penuh dengan kemarahan yang telah lama dia pendam.

Perlahan, Aisyah meraih jemari Rayyan, menggenggamnya dengan penuh kelembutan. Sentuhan itu membuatkan Rayyan sedikit tersentak, tetapi dia tidak menolak.

"Rayyan…" suara Aisyah lembut, seperti angin yang cuba menenangkan gelora lautan. "Saya tahu awak terluka… tapi awak tak perlu tanggung semua ni sendiri."

Rayyan menoleh sedikit ke arahnya, matanya masih merah, penuh dengan emosi yang tidak terungkap.

Aisyah mengeratkan genggamannya, ibu jarinya mengusap lembut tangan Rayyan yang sejuk. "Saya ada di sini. Saya dengar, saya nampak… saya faham, Rayyan."

Rayyan menarik nafas dalam, cuba mengawal emosinya. "Aisyah…" suaranya serak, hampir berbisik. "Saya penat."

Aisyah mengangguk, matanya berkaca. "Saya tahu. Jadi lepaskan, Rayyan. Awak tak perlu simpan semuanya sendirian."

Ayah Rayyan hanya mampu memandang mereka dengan mata yang semakin kabur. Dia tahu, luka yang dia tinggalkan dalam diri anaknya bukan sesuatu yang boleh sembuh dalam sehari. Tetapi melihat bagaimana Aisyah menggenggam tangan Rayyan dengan penuh kasih, dia sedar anaknya tidak lagi sendirian.

Dan untuk pertama kalinya, dia benar-benar bersyukur kerana Rayyan telah bertemu dengan seseorang yang mampu membawanya keluar dari kegelapan yang dia sendiri ciptakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience