Luka Kita Berbeza, Tapi Kita Masih Sama

Romance Series 983

Setelah sesi terapi berakhir, mereka melangkah keluar dari hospital. Udara petang terasa nyaman, langit berwarna oren keemasan, menandakan senja mula berlabuh.

Aisyah menggenggam tangan Rayyan erat, seolah olah tidak mahu melepaskannya lagi. Dia tersenyum kecil sebelum bersuara, "Jom makan dulu? Saya tahu satu cafe yang sedap dekat sini."

Rayyan, yang masih sedikit termenung selepas sesi bersama Dr. Hakim, hanya mengangguk perlahan.

Mereka tiba di sebuah cafe yang terletak di tepi tasik Putrajaya. Suasananya tenang, dihiasi lampu lampu kecil yang berkelipan di bahagian luar. Aisyah memilih meja di sudut yang menghadap tasik, membiarkan bayu petang menyentuh wajah mereka.

Ketika mereka menikmati makanan, Aisyah cuba menceriakan suasana dengan bercerita tentang hari harinya di pejabat, tentang perkara lucu yang berlaku dengan rakan sekerjanya. Rayyan hanya mendengar, tetapi setiap kali Aisyah ketawa, dia terasa sedikit lebih ringan.

Setelah selesai makan, Aisyah menghulurkan tangan kepada Rayyan, matanya bersinar nakal. "Jom kita naik bot dekat Masjid Putrajaya?"

Rayyan mengangkat kening. "Bot?"

Aisyah mengangguk. "Ya. Saya rasa ini masa yang sesuai untuk kita bina kenangan baru."

Beberapa minit kemudian, mereka berada di jeti Masjid Putrajaya. Bot yang bakal mereka naiki adalah bot persiaran dengan reka bentuk moden, berbumbung kaca dan mempunyai tempat duduk yang selesa. Cahaya lampu dari masjid yang megah memantul ke permukaan air, mencipta suasana yang hampir magikal.

Mereka melangkah masuk ke dalam bot, memilih tempat duduk di bahagian belakang yang lebih tenang. Saat bot mula bergerak perlahan, angin sejuk menyapa wajah mereka, membawa bersama aroma air tasik yang menenangkan.

Rayyan memejam mata seketika, menikmati ketenangan itu.

Aisyah di sebelahnya tersenyum sebelum bersuara perlahan, "Rayyan… awak masih terfikirkan tentang tadi?"

Rayyan membuka mata, memandang isterinya yang duduk di sebelah. "Mungkin."

Aisyah mengangguk perlahan, kemudian menyandarkan kepalanya ke bahu suaminya. Suaranya lembut, hampir berbisik.

"Kalau macam tu, apa kata kita bina satu buku baru?"

Rayyan mengerut dahi. "Buku?"

Aisyah mengangguk lagi. "Ya. Buku kehidupan kita. Tapi kali ini, kita tulis sama-sama."

Dia mengangkat kepalanya sedikit, menatap wajah Rayyan dengan penuh harapan. "Masa lalu awak, itu buku lama. Mungkin penuh dengan kisah yang menyakitkan. Tapi awak masih ada peluang untuk menulis sesuatu yang baru. Saya tak boleh padam masa lalu awak, tapi saya boleh ada di sini untuk bantu awak menulis cerita yang lebih baik."

Rayyan diam, merenung mata Aisyah yang penuh dengan keikhlasan.

Aisyah tersenyum lagi sebelum membisikkan sesuatu yang membuatkan hati Rayyan bergetar.

"Awak tak perlu baca semula buku lama kalau ia menyakitkan. Awak hanya perlu fokus menulis buku baru… dengan saya."

Bot terus bergerak perlahan di atas permukaan tasik yang tenang, memantulkan cahaya Masjid Putrajaya yang berdiri megah di kejauhan. Suasana seakan akan membuai perasaan, tetapi hati Aisyah tidak sepenuhnya tenang.

Dia memandang Rayyan yang duduk di sebelahnya. Wajah suaminya kelihatan lebih tenang berbanding tadi, tetapi ada sesuatu dalam matanya—sesuatu yang masih berat.

Aisyah menarik nafas perlahan sebelum bersuara.

"Rayyan… Tadi masa di bilik terapi, saya ada terdengar sesuatu."

Rayyan sedikit tersentak, tetapi tidak terus menoleh. Dia hanya diam, membiarkan Aisyah meneruskan.

"Mia."

Rayyan akhirnya berpaling, menatap wajah isterinya. Mata mereka bertaut seketika, dan dalam pandangan itu, Aisyah dapat melihat betapa suaminya cuba menyembunyikan sesuatu rasa bersalah, mungkin? Atau ketakutan?

Aisyah tersenyum tipis, tidak mahu Rayyan berasa terperangkap.

"Saya tak marah, Rayyan. Saya cuma nak awak tahu… saya ada di sini."

Rayyan menghela nafas perlahan. "Aisyah…"

Aisyah menggenggam tangan suaminya erat. "Saya tahu Mia adalah sebahagian daripada masa lalu awak. Saya tak akan paksa awak untuk melupakan sesuatu yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup awak."

Dia berhenti seketika sebelum menyambung dengan nada yang lebih lembut.

"Tapi saya percaya pada awak. Saya percaya awak cukup kuat untuk mengatasi trauma ini. Dan awak tak perlu buat semua ini seorang diri, sebab saya ada di sisi awak."

Rayyan menatap wajah Aisyah lama. Dia ingin berkata sesuatu, tetapi seakan akan tidak tahu bagaimana.

Aisyah tersenyum lagi, kali ini lebih lembut. "Saya tak kisah kalau awak masih perlu masa. Saya cuma nak awak tahu, bila awak bersedia untuk letak noktah pada kisah lama… saya akan ada di sini, bersedia untuk menulis cerita baru dengan awak."

Air tasik yang beralun perlahan di bawah bot seolah-olah memahami perasaan mereka. Angin malam menyapu lembut wajah Rayyan, membawa bersama satu kesedaran yang perlahan-lahan meresap ke dalam dirinya.

Aisyah percaya padanya.

Bukan kerana dia sempurna. Bukan kerana dia sudah pulih sepenuhnya.

Tapi kerana dia memilih untuk terus berusaha.

Rayyan menunduk sedikit, menggenggam tangan Aisyah lebih erat.

Dan untuk pertama kalinya dalam masa yang lama… dia mula percaya bahawa mungkin dia tidak perlu lagi berjuang sendirian.

Bot terus bergerak perlahan di atas permukaan tasik, menghayun mereka dalam ketenangan malam. Cahaya Masjid Putrajaya masih memantul di air, mencipta suasana yang seakan membawa mereka ke dalam dunia sendiri.

Aisyah masih menggenggam tangan Rayyan, memberi sedikit tekanan lembut sebelum bersuara.

Aisyah: "Rayyan… saya nak awak tahu sesuatu."

Rayyan memandangnya, sedikit pelik dengan nada suara Aisyah yang tiba tiba menjadi lebih serius.

Aisyah: "Saya juga ada trauma sendiri, tentang universiti, tentang belajar. Saya tahu macam mana rasanya terperangkap dalam kenangan yang menyakitkan."

Rayyan mengerutkan dahi. "Aisyah… awak pun?"

Aisyah mengangguk perlahan. Matanya melihat jauh ke permukaan air, seakan mengimbas sesuatu dari masa lalu.

Aisyah: "Dulu, saya pernah hampir berhenti belajar. Saya pernah rasa saya tak cukup bagus. Saya pernah menangis di dalam bilik tanpa sesiapa tahu, sebab saya takut saya akan kecewakan orang yang saya sayang."

Rayyan diam, mendengar dengan penuh perhatian.

Aisyah: "Cuma, mungkin saya lebih bernasib baik daripada awak. Sebab saya ada ayah, ada mak, ada keluarga yang selalu ada untuk saya. Bila saya rasa nak menyerah, mereka tarik saya semula. Bila saya hampir jatuh, mereka jadi tangan yang menyambut saya."

Dia tersenyum kecil, tetapi ada kesayuan di hujung senyumannya.

Aisyah: "Tapi saya tahu, tak semua orang bernasib baik macam saya. Dan awak… awak terpaksa bertahan seorang diri. Saya tak boleh bayangkan betapa susahnya semua tu untuk awak."

Rayyan menundukkan kepala. Hatinya terasa berat mendengar kata kata itu, tetapi pada masa yang sama, ada sesuatu yang menghangatkan dadanya, kerana Aisyah faham. Dia betul-betul faham.

Aisyah memegang tangan Rayyan dengan kedua dua tangannya, memandangnya tepat ke mata.

Aisyah: "Rayyan… Saya mungkin tak boleh ubah masa lalu awak. Saya mungkin tak boleh hapuskan trauma awak."

Dia tersenyum kecil.

Aisyah: "Tapi saya boleh jadi orang yang tarik awak semula. Saya boleh jadi tangan yang sambut awak bila awak hampir jatuh. Saya boleh jadi seseorang yang akan selalu ada… kalau awak benarkan."

Mata Rayyan mula terasa panas. Dia menunduk sedikit, menarik nafas dalam-dalam sebelum memandang Aisyah semula.

Rayyan: "Aisyah… kenapa awak masih ada di sini?"

Aisyah ketawa kecil, lalu menggeleng.

Aisyah: "Sebab saya pilih untuk ada di sini. Saya pilih untuk jadi orang yang awak perlukan, bukan orang yang tinggalkan awak."

Rayyan: "Aisyah… boleh saya tanya sesuatu?"

Aisyah: "Hmm?" (Aisyah menoleh, memandang Rayyan yang kelihatan sedikit ragu-ragu.)

Rayyan: "Kenapa awak pilih saya?" (Suara Rayyan perlahan, hampir berbisik. Matanya menatap jauh ke permukaan tasik, seakan takut untuk mendengar jawapannya sendiri.)

Aisyah tersenyum kecil. "Apa maksud awak?"

Rayyan menarik nafas dalam sebelum menyambung.

Rayyan: "Saya bukan lelaki yang sempurna. Saya tak ada kerjaya besar macam doktor atau peguam. Saya tak ada kekayaan yang boleh menjamin masa depan kita dengan mewah. Saya cuma… saya cuma Rayyan. Seorang lelaki dengan terlalu banyak kekurangan."

Aisyah menatap wajah suaminya lama. Kemudian, dia tersenyum, kali ini dengan penuh ketenangan.

Aisyah: "Rayyan, kalau saya nak cari lelaki yang kaya, saya boleh cari. Kalau saya nak lelaki dengan gelaran hebat, saya pun boleh pilih." (Dia berhenti seketika, membiarkan kata-katanya meresap ke dalam hati Rayyan.)

Aisyah: "Tapi semua itu tak pernah jadi sebab untuk saya jatuh cinta."

Rayyan mengerutkan dahi. "Kalau bukan itu, jadi… apa yang buat awak pilih saya?"

Aisyah menarik nafas perlahan, kemudian menatap suaminya dengan pandangan yang dalam.

Aisyah: "Saya tak cari lelaki yang ada segalanya. Saya cari lelaki yang tahu bagaimana untuk bertahan walaupun dunia menolaknya."

Dia mengenggam tangan Rayyan erat.

Aisyah: "Saya pilih awak bukan kerana apa yang awak miliki. Saya pilih awak kerana awak tetap berdiri walaupun hidup pernah menjatuhkan awak berkali-kali."

Dia tersenyum lembut, suaranya semakin mendalam.

Aisyah: "Dan saya pilih awak bukan kerana saya mahu hidup dalam kesenangan, tetapi kerana saya mahu jadi seseorang yang ada di sisi awak, dalam susah dan senang."

Rayyan terdiam. Kata-kata Aisyah terasa mengetuk sesuatu di dalam dirinya.

Aisyah menghembus nafas sebelum menyambung.

Aisyah: "Saya tak perlukan suami yang sempurna, saya cuma perlukan seorang lelaki yang walaupun dirinya penuh luka, dia masih cuba untuk mencintai dan belajar mencintai."

Dia tersenyum lagi.

Aisyah: "Dan lelaki itu adalah awak."

Rayyan memandang Aisyah lama. Dadanya terasa sesak bukan kerana kesedihan, tetapi kerana sesuatu yang lain. Sesuatu yang dia lupa bagaimana rasanya.

Rasa dihargai.

Rasa cukup.

Rasa… layak untuk dicintai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience