Kuala Lumpur.
Motosikal Suzuki Gixxer SF250 dipandu dengan santai. Sesekali Zareen terpaksa berhenti, jalan-jalan di Kuala Lumpur sesak dengan trafik. Mujur wing Suzuki Gixxer ini tidak lebar, bolehlah menyelit. Ini yang membuatkan dia kurang gemar jika terpaksa ke Kuala Lumpur, kerana trafik yang tak pernah surut.
Sudah hampir enam bulan Zareen menganggur, dan duit ganjaran persaraan yang diterima setelah dia bersara dari UTK hampir habis.
Tambah lagi, Zareen telah menggunakan separuh daripada duit ganjarannya untuk renovasi rumah datuk di kampung, membuatkan keadaan semakin terdesak. Duit ansuran motor nak kena bayar, dan dia juga perlu kirim duit untuk mak dan bapak di kampung.
Dia perlu mencari kerja dengan segera, dan mungkin Zayan, adiknya, boleh membantunya mendapatkan peluang pekerjaan. Sekarang Zayan bekerja sebagai bodyguard peribadi, pastinya dia tahu banyak cara untuk membantu Zareen keluar dari situasi ini.
Namun, masalahnya, Zayan tidak tahu yang Zareen adalah bekas anggota skuad UTK. Semua ahli keluarganya, termasuk Zayan, hanya tahu Zareen bekerja sebagai seorang kerani di sebuah kilang di Kuala Lumpur.
Zareen memandu menuju ke rumah sewa Zayan. Nampaknya, terpaksalah dia berterus terang dengan Zayan. Selama ini, dia menyembunyikan pekerjaannya yang sebenar kerana bapak tidak suka anak perempuannya menjadi tentera atau polis. Tapi kini, keadaan semakin mendesak. Dia perlu bantuan Zayan.
Sesampainya di rumah Zayan, Zareen menutup helmetnya dan menarik nafas dalam-dalam. Dengan langkah perlahan, dia menuju ke pintu pagar. Loceng di tekan beberapa kali. Dia melihat kereta Audi RS7 terparkir di tempat parkir. Pasti Zayan ada dirumah malam itu.
Zayan keluar dengan riak hairan. Siapa penunggang motosikal yang datang ke rumahnya malam malam begini. Zareen membuka helmet. Mulut Zayan ternganga. Terkejut melihat Zareen yang berpakaian serba hitam. Pagar automatik dibuka.
"Motor siapa kau naik tu?" soal Zayan. Dahinya berkerut. Dia bertambah terkejut melihat Zareen dengan santai memandu motosikal Suzuki Gixxer itu ke tempat parkir.
"Apa kau buat kat sini?"
Zareen hanya mengabaikan soalan Zayan. Dia menggalas beg masuk ke dalam rumah lalu duduk di atas sofa. Tudung dibuka dan disangkut di tempat dia bersandar.
Zayan turut masuk ke dalam rumah sambil menutup pintu. Dia duduk di salah satu sofa.
"Sejak bila kau pandai naik motor macam tu?" soal Zayan dengan nada serius.
"Sejak aku beli motor tu."
"Kau beli?" Zayan mengangkat kening. Kurang faham. Setahunya kakaknya itu hanya mengambil lesen E. Itupun sudah lama tidak memandu. Takut katanya. Setiap kali berjumpa di kampung bercuti kakaknya selalu mengenakan pakaian yang menyerlahkan sisi kewanitaannya. Skirt, baju kurung atau seluar palazo.
Zayan masih memandang Zareen dengan riak tidak percaya. Kakaknya yang selalu tampil ayu di kampung, kini duduk di hadapannya dengan pakaian serba hitam, lengkap dengan jaket kulit dan seluar jeans. Suzuki Gixxer di luar itu? Mustahil milik Zareen.
"Kau serius beli motor tu?" Zayan mengulangi soalan. "Sejak bila kau minat motor?"
Zareen hanya mengangkat bahu, tangannya sibuk membuka zip beg galasnya. "Dah lama. Cuma kau je yang tak tahu."
Zayan menghela nafas, masih tidak puas hati. "Kau datang ni sebab apa, Kak? Kau cuti ke?"
Zareen memandang Zayan lama sebelum meletakkan begnya di lantai. Dia perlu berterus terang, dan inilah masa yang paling sesuai.
"Aku nak kau tolong aku dapatkan kerja," ujar Zareen akhirnya.
Zayan mengangkat kening. "Kerja? Kau bukan dah kerja sebagai kerani kilang ke?"
Zareen tersenyum sinis. "Itu cerita yang aku bagi dekat mak, bapak… dan kau."
Dahi Zayan berkerut. "Maksud kau?"
Zareen menarik nafas panjang sebelum bersandar ke sofa. "Aku tak pernah kerja kerani kilang. Itu cuma alasan supaya bapak tak marah."
"Jadi, kau kerja apa selama ni?"
Zareen memandang adiknya tepat ke mata. "Aku bekas anggota UTK, Zayan."
Zayan tergamam. Matanya membesar, seolah-olah mendengar sesuatu yang tidak masuk akal. "Apa?"
"Aku dalam Pasukan Gerakan Khas selama lapan tahun. Aku anggota UTK. Aku pernah terlibat dalam operasi menyelamat tebusan, membongkar sindiket jenayah, dan jadi pegawai keselamatan khas untuk pegawai kanan kerajaan."
Zayan masih tidak bersuara. Wajahnya penuh dengan kejutan yang sukar digambarkan.
"Kau tak main-main ni?" Zayan akhirnya bersuara, suaranya sedikit bergetar.
Zareen menggeleng. "Aku serius, Zayan. Sebab tu aku datang malam ni. Aku perlukan kerja, dan aku tahu kau ada kenalan dalam bidang ni." Zareen mengeluarkan sebuah fail dari beg galasnya lalu dihulurkan pada Zayan. Zayan menyelak setiap helaian dengan riak tidak percaya.
Zayan mengusap wajahnya dengan tangan. "Sial… aku tak sangka langsung…" Dia memandang Zareen dengan perasaan bercampur baur.
Zareen menunggu, membiarkan Zayan menghadam kenyataan itu. Dia tahu lambat-laun adiknya akan menerima hakikat bahawa kakaknya bukan sekadar kerani kilang biasa.
"So, kau nak kerja apa sekarang?" Akhirnya Zayan bersuara.
Zareen tersenyum tipis. "Bidang aku masih sama, Zayan. Keselamatan. Aku dengar kau kerja sebagai bodyguard sekarang. Aku nak kau tolong aku dapatkan kerja dalam bidang yang sama."
Zayan masih termenung, tetapi kali ini dia mengangguk perlahan. "Boleh… Aku ada kawan dalam syarikat security yang jaga orang-orang besar. Tapi kau kena bersedia. Dunia ni tak macam UTK."
Zareen tersenyum sinis. "Aku dah bersedia lama, Zayan. Bawa aku jumpa kenalan kau."
Zayan masih memandang fail di tangannya. Setiap helaian mengandungi bukti kukuh gambar operasi, sijil latihan, laporan tugas. Ini bukan kerja main-main. Ini realiti yang selama ini disembunyikan oleh Zareen.
"Mak bapak tahu?" soalnya akhirnya.
Zareen menggeleng. "Tak. Dan aku tak bercadang untuk beritahu mereka. Cukuplah kau seorang yang tahu."
Zayan menghembus nafas panjang. "Gila. Ini betul-betul gila. Aku tak sangka kakak aku… seorang sniper?"
Zareen mengangkat kening. "Bukan sekadar sniper. Aku juga trained dalam CQC, taktik serangan, perisikan. Aku pun boleh buat kerja kau."
Zayan mendengus kecil. "Bongkak."
"Aku cakap benda betul."
Zayan terdiam. Dia tahu Zareen bukan bercakap kosong. Kalau kakaknya mampu bertahan dalam UTK selama lapan tahun, itu bermakna dia lebih dari sekadar "kerani kilang".
Dia meletakkan fail itu ke atas meja. Matanya masih memerhatikan kakaknya, seolah-olah cuba mencari sisa-sisa Nur Zareen Seroja yang dia kenal sebelum ini.
"Aku tahu kau dulu dalam PGA sebelum masuk VAT 69," kata Zareen perlahan. "Aku tahu kau pernah kena serang hendap masa operasi di sempadan, dan aku tahu kau berhenti sebab kau tak nak terikat dengan peraturan pasukan lagi."
Zayan mengangkat wajah, matanya tajam menikam Zareen. "Kau siasat aku?"
"Kita dari unit khas yang sama, Zayan. Kau ingat aku tak boleh korek maklumat pasal kau?"
Zayan terdiam seketika. Dia lupa, kakaknya ini bukan orang biasa. Sama seperti dirinya, Zareen sudah terlatih untuk mengumpul maklumat dan membaca situasi.
Dia menghela nafas, mengusap wajahnya. "Esok aku jumpa kawan aku, Fariz. Dia ada syarikat security yang uruskan bodyguard untuk VVIP. Tapi… kerja ni tak macam UTK. Tak ada back-up team, tak ada peraturan, dan kalau ada masalah… kau sendiri kena selesaikan."
Zareen tersenyum nipis. "Aku tak ada masalah dengan benda tu."
Zayan mengangguk perlahan. "Baik. Esok pagi kita pergi Office. Tapi kau kena bersedia, Kak. Dunia bodyguard ni lain macam sikit. Almaklumlah kau berurusan dengan orang kaya."
Zareen bangun, meregangkan badan. "Aku tak kisah. Aku cuma nak kerja dan nak bayar ansuran motor aku."
Zayan mengangkat bahu. "Kau yang pilih jalan ni. Aku harap kau tahu apa yang kau buat."
Zareen mencapai beg galasnya. "Selama ni pun aku tak pernah tak tahu."
Zayan hanya menggeleng sambil tersenyum sinis. Dia masih sukar menerima kenyataan bahawa kakaknya adalah bekas anggota skuad khas. Namun, satu perkara pasti Zareen bukan wanita biasa.
Share this novel