Bab 1

Romance Series 63286

W. Paradise Night Club. 12.45 pagi.

Zayan mendecak kecil, menahan rasa gelisah yang semakin menebal. Dia menghembus nafas kasar, jari-jarinya mengetuk perlahan stereng kereta. Sudah lebih setengah jam Hadif masuk ke dalam kelab malam itu, meninggalkannya di luar tanpa sebarang perkembangan.

Mengikut arahan Hadif, dia hanya perlu menunggu di dalam kereta. Namun, arahan itu bertentangan dengan nalurinya sebagai seorang bodyguard. Dia tidak suka membiarkan bosnya tanpa pengawasan, lebih-lebih lagi di tempat seperti ini.

"Aduh... Zephyr, kau dengar tak?" soal Zayan sambil menekan butang kecil pada alat komunikasi yang terpasang di kolar bajunya. Tadi, dia sempat meletakkan alat pengesan kecil pada baju Hadif sebelum mereka berpisah.

"Emperor is okay. Safe and sound," balas Ivan dengan nada santai di hujung talian. "He's talking to Zhang Wei, boss."

Zayan mengerutkan dahi. Zhang Wei? Nama itu tidak asing baginya.

"And guess what?" sambung Ivan dengan nada lebih teruja. "Emperor knows Zhang Wei's gang boss. Apparently, they were classmates at Sekolah Sultan Alam Shah."

Zayan terkedu seketika. Matanya merenung ke arah bangunan kelab malam yang dipenuhi cahaya neon terang. Hatinya mula berasa tidak enak.

"Classmate?" ulangnya, masih cuba menghadam maklumat itu. "Are you sure?"

"One hundred percent, bro. Zhang Wei’s gang boss himself mentioned it. They used to be in the same class, I think they were best friends before ."

Zayan menggeleng perlahan. Sesuatu tentang situasi ini tidak kena. Hadif bukan jenis yang berkawan dengan orang sembarangan, apatah lagi dengan seorang ketua geng.

Dia menggenggam stereng dengan erat.

"Zephyr, can you get me more details on this Zhang Wei’s boss?"

"Already on it," balas Ivan pantas.

Zayan menghela nafas panjang. Jika Hadif memang mengenali ketua geng itu, ini boleh jadi satu kelebihan. Tapi jika hubungan masa lalu mereka menimbulkan dendam yang tidak disangka, Hadif mungkin sedang duduk di dalam sarang serigala tanpa dia sedari.

Dia tidak boleh menunggu lebih lama. Jika Hadif tidak keluar dalam masa sepuluh minit lagi, dia akan masuk juga.

Hadif bukanlah seseorang yang biasa dengan tempat seperti ini. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke kelab malam, dan lebih mencabar, dia melakukannya pada pukul tiga pagi semata-mata untuk mendapatkan informasi tentang Nita.

Sepuluh minit berlalu. Zayan mengetap bibir, kesabarannya semakin menipis. Dia mematikan enjin kereta dan keluar. Langkahnya tegap menuju ke pintu masuk kelab malam.

Sebaik sahaja dia melangkah masuk, hentakan bass yang bingit menusuk gegendang telinganya. Lampu neon berkelipan, mencipta bayang-bayang yang bergerak liar di sekeliling. Bau alkohol dan asap rokok bercampur, menyesakkan dada.

"Aku dah masuk. Zephyr, bagi lokasi Emperor." Suaranya tenggelam dalam kebisingan muzik, tetapi alat komunikasi kecil di kolar bajunya memastikan pesanan itu sampai.

"Atas. Bilik VIP. Nombor 5," balas Ivan pantas di hujung talian.

Mata Zayan meliar, mencari kelibat Hadif. Tanpa membuang masa, dia bergerak menuju ke tangga. Baru sahaja dia ingin mendaki, matanya menangkap sosok majikannya berjalan keluar dari arah bilik VIP.

Zayan segera berpusing. Dia tidak boleh membiarkan Hadif melihatnya di sini. Langkahnya pantas menuju ke pintu keluar.

Dia tahu Hadif bukan seorang yang suka dilindungi secara berlebihan, apatah lagi jika dia melanggar arahannya. Walaupun kadang-kadang, arahan Hadif itu tidak masuk akal dan lebih buruk, boleh membahayakan nyawanya sendiri.

Zayan melangkah masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Matanya tajam memerhati dari jauh, memastikan keadaan selamat. Seketika kemudian, dia melihat Hadif keluar dari kelab malam dan berjalan santai menuju ke Mercedes-Benz GLE-Class miliknya.

Tidak lama kemudian, Hadif meninggalkan ruang parkir tanpa menoleh ke belakang. Zayan menghela nafas panjang sebelum menekan pedal, mengekori kenderaan bosnya dari jauh. Begitulah rutinnya sejak menjadi bodyguard peribadi Hadif memastikan keselamatannya tanpa melanggar garis privasi yang ditetapkan.

Namun, kali ini, situasinya berbeza. Hadif baru sahaja keluar dari kelab malam milik salah satu geng kongsi gelap paling berbahaya di Malaysia. Itu sudah cukup membuatkan Zayan tidak senang duduk.

Matanya sesekali melirik ke cermin sisi, memastikan tiada kenderaan mencurigakan mengekori mereka. Mujurlah Hadif tidak membuat sebarang lencongan dan terus memandu pulang ke rumah.

Zayan mengetap bibir. Sejak kebelakangan ini, Hadif terlalu banyak menyiasat tentang aktiviti geng Zhang Wei dan Black Python. Semakin dalam dia menyusup ke dalam dunia gelap itu, semakin tinggi risiko terhadap nyawanya.

Telefon Zayan bergetar. Dia menekan butang di alat komunikasi kecil yang terselit di telinganya.

"Zephyr, kau ada update?"

"Tak ada. Balik tidur," jawab Ivan sambil menggaru kepala. Dia menghela nafas sebelum bersandar ke kerusi. Bolehlah dia sambung tidur semula.

"Aku ni bodyguard yang tak macam bodyguard. Rasa macam stalker ex-girlfriend," ucap Zayan berseloroh.

Tawa mereka berdua pecah dalam keheningan pagi.

"Aku pulak rasa macam setiausaha peribadi," sahut Ivan, masih tergelak kecil.

Zayan tersengih. Sejak bersara dari VAT 69 dan beralih ke dunia bodyguard, hidup mereka terasa lebih santai, tiada lagi operasi berisiko tinggi, tiada lagi misi yang menuntut mereka berhadapan dengan maut. Tetapi, bekerja dengan Hadif tetap mencabar dengan caranya yang tersendiri. Karenah Hadif!

Zayan mengerling jam di dashboard. Hampir pukul empat pagi. Dia membelok masuk ke kawasan perumahannya dan menekan butang pintu pagar automatik. Enjin dimatikan, tubuhnya terasa berat sebaik dia melangkah masuk ke dalam rumah.

Menanggalkan jaket dan meletakkan pistol Colt M1911 di atas meja, dia menghempaskan diri ke sofa. Matanya memandang siling, otaknya masih ligat berfikir.

Apa sebenarnya yang Hadif cuba lakukan? Kenapa dia semakin berani menyiasat hal geng kongsi gelap?

Zayan risau, Hadif bukan sekadar menyiasat dia sedang menarik perhatian pihak yang salah.

-----------------------

Hong Li Chinese Restaurant, Johor Bahru

Sebuah Audi RS7 hitam terparkir kemas di luar restoran, enjin masih hidup. Zayan menggenggam stereng erat, matanya tajam merenung pintu masuk restoran. Sejak bekerja dengan Hadif, lelaki itu memberikannya kereta ini untuk memudahkan pergerakan. Namun, Hadif sendiri, jika berada di Malaysia, dia lebih selesa dengan Mercedes-Benz GLE-Class miliknya lebih praktikal dan tidak terlalu menarik perhatian.

Dari dalam kereta, Zayan dapat melihat sekumpulan lelaki berbadan tegap memasuki restoran. Gang Zhang Wei dan Black Phyton dua sindiket jenayah paling berpengaruh di Malaysia sedang mengadakan rundingan. Dan Hadif? Dia masuk ke sana seorang diri untuk bertemu Tuan Idris, ketua Black Phyton.

Zayan mengetap bibir. Gila! Hadif memang gila.

"Zephyr. Update, bro. Update!" suara Zayan kedengaran tegang melalui alat komunikasi yang tersambung kepada Ivan.

"Emperor safe and sound. He looks good in there... macam ketua mafia," Ivan tergelak kecil.

Zayan mendengus. Bodoh!

"Aku risau, kau main-main!"

"Kau serius sangat, bro. Bos kita tu bijak. Dia tahulah apa dia buat."

"Bijak tu kalis peluru ke?" sindir Zayan.

Dalam hatinya, dia sudah menyumpah seranah Hadif. Masuk ke sarang gangster tanpa bodyguard, tanpa senjata api. Berbekalkan taekwondo yang entah tahap mana, Hadif memang berani mati! Kalau di dalam skuad khas dulu, boleh saja dia hukum anak buah yang keras kepala. Tapi ini majikannya.

"Zephyr, standby. Kalau ada apa-apa yang mencurigakan, aku masuk."

"Roger that."

Zayan mengetap bibir. Dia tidak suka cara Hadif bertindak tanpa berfikir panjang. Kalau ada apa-apa yang buruk berlaku, dia yang akan dipersalahkan!

------------------------

Call sign ketika misi:

Hadif – Emperor

Ivan – Zephyr

Zayan – Shadow

Zareen – Fox

Edward – Eagle

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience