BAB 8 : Janji Dibawah Langit Langkasura

Fantasy Series 1333

Seminggu berlalu sejak malam penuh ketegangan itu, dan Kampung Langkasura mula menemui rentaknya semula meskipun tidak sepenuhnya seperti dulu. Wabak malaria yang melanda bagaikan badai perlahan-lahan reda, meninggalkan jejak harapan bercampur duka. Bunyi roda air di tebing sungai tetap setia berputar, kali ini bukan lagi simbol keraguan, tetapi tanda ketabahan yang mula diterima penduduk.

Namun, reda tidak bermakna sembuh sepenuhnya. Dari seratus orang yang jatuh sakit, tujuh nyawa tidak terselamat termasuk Mak Som, seorang janda tua yang tinggal sendirian di hujung kampung, dan adik kecil Razak , yang sempat menunjukkan tanda-tanda pulih sebelum demamnya menyerang semula. Tangisan dan laungan syukur berselang-seli dalam 7 hari itu, meninggalkan luka yang masih terasa di hati setiap penduduk.

Pagi itu, tanggal 5 Mac 2025 atau dalam kiraan orang kampung sekadar pagi selepas hujan malam tadi. Zulkarnain berdiri di tengah kampung, memerhatikan beberapa lelaki menggali parit kecil di kawasan rendah berhampiran rumah-rumah. Parit itu bukan sekadar lubang di tanah ia benteng terakhir sebelum mimpi ngeri kembali.

"Hamba baru dari rumah Pak Mat," suara Radina mengejutkannya dari lamunan. Gadis itu berdiri di sisinya, membawa sebaldi air bersih. "Ismail sudah boleh berjalan sikit pagi tadi. Mak Jah suruh hamba sampaikan terima kasih."

Zulkarnain mengangguk, lega. "Baguslah. Dan Salleh?"

"Dia dah boleh duduk dan makan bubur sikit semalam," jawab Radina. "Ayah kata tuan kena datang makan malam nanti dia nak ucap terima kasih betul-betul."

Zulkarnain mengukir senyum, tetapi dalam fikirannya, masih ada bayang kegelisahan. Dia tahu wabak ini boleh kembali kalau mereka tidak berjaga-jaga.

Namun sebelum sempat dia menjawab, suara keras memecah kesunyian.

"Kita ni kerja gali parit sampai bila, hah?"

Pak Daud, salah seorang orang lama kampung, berdiri dengan lengan bersilang di dada. Wajahnya penuh ragu. "Semua ni bukan kerja orang kampung! Wabak ni datang bukan sebab air bertakung tapi sebab ada benda tak kena di kampung kita!"

Beberapa orang yang sedang bekerja menghentikan cangkul mereka, berpaling ke arah lelaki itu. Ada yang mengangguk perlahan, seolah-olah ketakutan lama kembali menghantui mereka.

Zulkarnain menghela nafas. Ok, here we go again. Ya Allah berikan lah aku kesabaran dalam menghadapi dugaanmu ini!!!

Radina menggenggam kain di tangannya, resah. "Mereka masih percaya penyakit ni bukan dari nyamuk…" bisiknya perlahan kepada Zulkarnain.

Zulkarnain melangkah ke hadapan. "Kita buat ni supaya wabak tak kembali," katanya, cuba mengawal nada suara supaya tidak terdengar terlalu... asing.

Pak Daud mendengus, menuding jari. "Mak Som mati juga, Ismail pun. Mana keajaiban yang tuan janjikan? Orang dulu-dulu tak perlu semua ini pun boleh hidup lama!"

Keajaiban? Sejak bila aku janji keajaiban? Zulkarnain menghela nafas perlahan, cuba mengawal kesabarannya.

"Mereka mati bukan sebab kita gali parit," katanya, kali ini lebih tegas. "Mereka mati sebab kita terlambat bertindak. Sebab kita percaya sesuatu yang kita tak nampak sampai kita lupa benda yang ada depan mata."

Suasana sunyi seketika. Beberapa penduduk menunduk, tetapi ada yang masih ragu-ragu.

Radina tiba-tiba melangkah ke depan.

"Hamba tengok sendiri," katanya, suaranya bergetar. "Tuan Zulkarnain tak tidur. Hamba tengok dia berjaga, hamba tengok dia rawat Salleh, hamba tengok dia sendiri gali tanah ini. Jangan kata dia tak peduli."

Mata Zulkarnain bertemu dengan mata Pak Daud. Lelaki tua itu tidak menjawab, hanya mendengus sebelum berbalik pergi. Namun, kesan kata-kata itu kekal tergantung di udara.

___________________

Petang itu, rumah Penghulu Kassim.

Zulkarnain duduk berhadapan dengan penghulu yang selama ini tidak pernah sepenuhnya mempercayainya.

"Hamba tengok apa yang tuan hamba buat tujuh hari ini," kata Penghulu, matanya meneliti Zulkarnain. "Parit baru, kelambu, api unggun... dan ramai yang selamat. Hamba akui, hamba salah menilai tuan dulu."

Zulkarnain mengangguk perlahan.

"Terima kasih, Penghulu. Hamba cuma buat apa yang hamba tahu. Tapi kita kena ingat yang mati tu tak boleh kita lupa."

Penghulu terdiam sejenak, sebelum menghulurkan sehelai kain tenunan tangan Mak Som kepada Zulkarnain.

"Dia bagi hamba sebelum dia pergi. Hamba rasa tuan hamba patut simpan sebagai tanda kita tak lupa."

Zulkarnain mengambil kain itu, merasai tekstur kasar benangnya. Tekstur yang melambangkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar sekeping kain.

________________________
Malam itu, di rumah Orang Kaya Salim.

Aroma ikan bakar memenuhi ruang kecil itu, bercampur dengan haruman nasi yang masih berasap. Salleh duduk di sisinya, masih kelihatan lemah tetapi sudah mampu mengukir senyum kecil. Namun, perhatian Zulkarnain tertumpu pada satu hidangan di hadapannya sesuatu yang kelihatan begitu familiar.

Hatinya bergetar. Hidangan itu hampir menyerupai makanan kegemarannya semasa zaman universiti, malah kesukaan sahabatnya, Azman. Dia menelan air liur, cuba menenangkan debaran aneh dalam dadanya.

“Tuan hamba,” Zulkarnain akhirnya bersuara, suaranya sedikit bergetar. “Hamba ingin bertanya sesuatu kepada Orang Kaya Salim.”

Orang Kaya Salim mengangkat wajah. “Tanyalah, tuan hamba ”

Zulkarnain menunjuk ke arah hidangan itu. “Apa nama makanan ini?”

Orang Kaya Salim tersenyum kecil. “Oh, ini? Ini nasi lemak. Asalnya dari Tanah Johor, tetapi masuk ke Langkasura melalui para pedagang yang singgah.”

Degupan jantung Zulkarnain serta-merta meningkat. Meremang bulu romanya. Tanah Johor? Ini pertama kali dia mendengar nama yang begitu familiar dalam timeline ini.

Dengan suara yang sedikit tergagap, dia bertanya lagi, “Langkasura... itu terletak di mana?”

Orang Kaya Salim menyuap sedikit makanan sebelum menjawab dengan tenang, “Langkasura berada di bawah pemerintahan Sultan Brunei.”

Orang Kaya Salim mengunyah dengan tenang, tidak menyedari perubahan ekspresi Zulkarnain yang tiba-tiba kaku. Jantungnya berdegup kencang.

Langkasura… bawah pemerintahan Sultan Brunei?

Zulkarnain terdiam sejenak, cuba mencernakan maklumat itu. Namun, tanpa sedar, dia berbisik.

“Shit… aku kat Borneo…”

Orang Kaya Salim mengangkat kening.

“Apa yang tuan hamba katakan tadi?”

Tuan cakap ‘shit’ tadi… itu bahasa mana? Dari negeri tuan ke?”

Mata Zulkarnain membulat. Sial, dia dengar! Cepat-cepat dia mengalihkan perbualan, berpura-pura sibuk mengunyah nasi.

“Err… maksud hamba, makanan ini… sangat sedap! Tak sangka hamba boleh merasa juadah dari Tanah Johor di sini.”

Setelah itu orang Kaya Salim mengangkat cawan kayu. "Pada tuan Zulkarnain yang bawa harapan ke kampung kami."

Zulkarnain tersenyum, mengangkat cawan sebagai balasan. "Pada Kampung Langkasura yang ajar hamba tentang kekuatan dan kebersamaan."

Namun, di sudut hatinya, dia tahu ini bukan penutup. Malaria boleh kembali. Dan kampung ini masih jauh daripada benar-benar selamat.

Sebelum pulang, Salleh menarik lengan Zulkarnain dengan tangan kecilnya. "Tuan... terima kasih sebab selamatkan saya," katanya, suaranya perlahan tetapi tulus.

Zulkarnain berlutut, memandang budak itu dengan senyuman kecil. "Kau kena kuat, Salleh. Jaga diri lepas ni, ya?"

Zulkarnain menepuk perlahan bahu Salleh sebelum bangkit berdiri. Malam itu terasa lebih damai berbanding malam-malam sebelumnya atau mungkin, dia yang sudah semakin biasa dengan kehidupan di sini.

Orang Kaya Salim masih berbual dengan beberapa lelaki kampung, sementara Radina membantu di dapur. Aroma ikan bakar sudah digantikan dengan bau arang yang hampir padam, memberi suasana nyaman yang jarang dinikmati sejak wabak melanda.

Zulkarnain menarik nafas panjang, menatap langit yang dipenuhi bintang. Langkasura. Borneo. Sultan Brunei. Fikirannya masih berputar pada maklumat yang diterimanya tadi.

Dia menggeleng perlahan. Ah, cukup lah. Esok fikir lagi.

Zulkarnain mengangkat cawan kayunya sekali lagi, meneguk air dengan perlahan. Mata Salleh masih memandangnya dengan penuh kekaguman, membuatkan dia tersenyum kecil.

“Jangan tengok hamba macam tu, Salleh,” katanya, mengusap kepala budak itu. “Hamba bukan pendekar. Cuma seorang lelaki yang… tersesat.”

Salleh tertawa kecil. “Tapi tuan baik. Orang baik selalu jumpa jalan pulang.”

Zulkarnain terdiam seketika, kemudian mengangguk.

“Semoga betul kata-kata kau tu, Salleh.”

Zulkarnain mengusap kepala Salleh sekali lagi sebelum berkata, “Banyakkan minum air suam, ya.”

Salleh mengerutkan dahi. “Kenapa, tuan?”

Zulkarnain mengeluh perlahan. Sudah banyak kali dia cuba menerangkan konsep kuman, bakteria, dan parasit kepada orang-orang di zaman ini, tetapi setiap kali dia hanya mendapat pandangan kosong, soalan yang lebih pelik, dan lebih menjengkelkan walaupun sudah diterangkan, mereka tetap bertanya lagi.

Dia teringat Salsabila yang selalu membebel kepadanya dulu

“Zul!!! Minum air suam tu bagus untuk kesihatan! Jangan nak melawan cakap aku. Kalau aku kata minum, kau minum!!” sambil memulas telinga zulkarnian

Zulkarnain mengangkat bahu dan tersenyum tipis. “Sebab… baik untuk kesihatan.”

Salleh mengangguk penuh yakin. “Oh, kalau macam tu, hamba minum air suam banyak-banyak lepas ni!”

Zulkarnain tersenyum dan berkata dalam hati,

Kalau Salsabila dengar ini, mesti dia bangga…

Namun, sejenak kemudian, senyumannya pudar sedikit.

Wait a minute… kenapa aku rasa nasihat aku ni bakal makan diri aku sendiri di masa depan? Maksud aku… di timeline asal aku lah…

Dia mengerutkan dahi, tiba-tiba teringat sesuatu.

Hmmm… kejap. Aku tak rasa benda ni akan berakhir dengan baik…

Matanya membulat.

Ahh, shit. Jangan bagitahu aku ni paradoks bootstrap… Oh noooo....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience