Hujan turun lebat membasahi jalan raya. Zulkarnain memandu dengan tenang, jarinya mengetuk perlahan pada stereng, matanya kosong menatap titisan air yang meluncur di kaca depan. Suasana dalam keretanya sunyi hanya diiringi bunyi wiper yang menggosok kaca dan dentuman keras hujan di atas bumbung.Dia melihat jam di tangannya jarum menunjukkan pukul 7 malam. Dia menggumam perlahan, menyedari bahawa dia sudah terlambat ke pejabat fizik di Universiti Malaya. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil tujuh minit kini menjadi tiga puluh akibat kemalangan melibatkan lori dengan sebuah kereta di Jalan Profesor Diraja Ungku Aziz. Kesesakan yang bingit dengan siren polis serta ambulans semakin membuatkan kepalanya sarat dengan fikiran.
Tanpa sedar, fikirannya melayang ke masa lalu saat pertama kali dia bertemu dengan seseorang yang takkan pernah dilupakan, Salsabila.
Universiti Malaya, 2015
Angin petang bertiup lembut di sekitar kampus, membawa bersama aroma rumput yang baru dipotong dan bau kopi dari kafe berhampiran. Mahasiswa berpusu-pusu menuju ke kelas, ada yang berbual, ada yang tergesa-gesa, dan ada yang sekadar bersandar di tepi bangunan sambil membelek nota.
Di celah kesibukan itu, Zulkarnain berlari menaiki tangga dengan nafas yang tersekat-sekat.
"Aduh... YA ALLAH!!! Aku lambat! Dah nak pukul 2 petang ini! Ini semua gara-gara jam loceng aku rosak," rungutnya sambil memegang tali beg yang hampir melurut dari bahunya.
Langkahnya semakin pantas. Degupan jantungnya berlumba dengan masa. Namun, dalam kegopohan itu—
DUMM!
Dia melanggar sesuatu atau seseorang.
Buku-buku terpelanting, beg galasnya hampir terjatuh, dan dunia seakan berputar seketika. Zulkarnain terhuyung-hayang sebelum akhirnya terduduk di lantai. Matanya membulat melihat seorang gadis yang turut terjatuh di hadapannya.
Dia tergamam.
Angin seakan berhenti bertiup. Suara-suara bising di sekeliling perlahan-lahan menjadi sayup. Hanya bunyi degupan jantungnya yang kedengaran.
Gadis itu mengangkat wajah. Rambutnya yang beralun jatuh ke sisi pipi, berayun lembut setiap kali dia bergerak. Mata birunya bersinar, memantulkan cahaya matahari yang menerobos melalui celah dedaunan. Seolah-olah ada dunia lain yang tersembunyi di dalamnya misteri yang belum terungkai.
"Maaf, saya... tak sengaja," kata Zulkarnain, suaranya hampir tergagap.
Gadis itu tersenyum kecil, lalu menghulurkan tangan untuk mengambil buku-bukunya yang berselerak di lantai. Tangannya halus, gerak-gerinya penuh kelembutan.
"It’s okay, wak. I okay," balasnya dengan nada tenang.
Zulkarnain masih kaku. Aromanya menyelinap ke dalam deria haruman bunga melati yang lembut tetapi cukup untuk membuai fikirannya.
Dia cuba mencari kata-kata, tetapi lidahnya terasa kelu. Seolah-olah akalnya masih cuba memahami kejadian yang baru berlaku.
"Nama awak siapa?" akhirnya dia bertanya, mengumpul sisa keberanian yang berselerakan seperti buku-buku tadi.
Gadis itu mengangkat sedikit tag lanyard yang tergantung di lehernya.
"Salsabila. Pelajar jurusan kewartawanan," katanya dengan senyuman kecil.
Zulkarnain mengangguk perlahan. Nama itu terngiang-ngiang di telinganya, seakan lagu yang tak pernah padam.
Salsabila mengutip buku terakhirnya dan berdiri. Sebelum dia berlalu pergi, dia sempat menoleh ke arah Zulkarnain dan mengangkat sedikit kening, seolah-olah memberi isyarat supaya dia bangun dan teruskan langkahnya.
Zulkarnain masih di situ, termangu.
Di kejauhan, loceng tanda kelas bermula berdentang nyaring. Dia sepatutnya bergegas, tetapi fikirannya masih terhenti pada satu perkara mata biru Salsabila yang seperti lautan, penuh misteri yang belum terjawab.
Dan sejak hari itu, nama Salsabila terus terukir dalam hatinya.
---
Kembali ke Masa Kini
Ketukan di tingkap keretanya mengejutkan Zulkarnain dari lamunannya. Seorang anggota polis trafik memberi isyarat supaya dia bergerak. Dia segera memasukkan gear dan menekan pedal minyak perlahan-lahan meninggalkan kawasan itu.
Setibanya di pekarangan Jabatan Fizik UM, Zulkarnain segera mencari tempat parkir. Setelah menemui ruang yang sesuai dia memarkir keretanya dengan cermat. Namun, hujan semakin lebat. Dengan wajah pasrah, dia menghela nafas sebelum nekad meredah hujan menggunakan begnya sebagai pelindung sementara. Di pintu masuk, dia terserempak dengan Faris, rakan sekerjanya yang juga sahabatnya sejak zaman universiti.
Faris melirik jam tangannya sebelum memandang Zulkarnain dengan wajah memahami. "Lambatnya kau hari ni, Zul. Biasanya kau paling awal punch card."
Zulkarnain hanya tersenyum hambar dan mengangguk sedikit.
Faris menepuk bahunya. "Jom ke pantry. Aku buatkan kopi."
Zulkarnain hanya mengangguk sebelum melangkah ke mesin punch card untuk merekod kehadirannya . Selepas itu, mereka berdua berjalan ke pantry. Faris membancuh kopi sementara Zulkarnain duduk di kerusi putar termenung seketika sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya.
Dia membuka peti mesej terakhir dari Salsabila. Hatinya terasa kosong dan hampa.
Mesej itu masih jelas seolah-olah baru dihantar semalam:
"Nanti bila I balik, kita jumpa sayang. Love you ☺️"
Di bawah mesej itu tertera gambar Salsabila tersenyum di kem pelarian Syria di Lebanon, dikelilingi kanak-kanak yang tetap ceria walau hidup dalam serba kekurangan.
Faris menyerahkan secawan kopi kepada Zulkarnain sebelum duduk di hadapannya.
"Hari ni ulang tahun kematian Salsabila, kan? Dah berapa tahun dia pergi?"
Zulkarnain menjawab perlahan, "Enam tahun."
Faris menarik nafas panjang lalu berkata
"Kau masih tak dapat lupakan dia ke Zul ?" kalau Sal tengok kau macam ini confirm dia rasa sedih. It's time to move on bro.
Zulkarnain hanya diam.
Faris menepuk bahunya sekali lagi sebelum bangun dan menuju ke ruangan makmal yang menempatkan mesin singularity drive.
6 tahun sudah berlalu sejak Salsabila pergi. Serangan bom barrel di Aleppo meragut nyawanya ketika membuat liputan kekejaman rejim Bashar pada tahun 2019.
Dengan perlahan, jari Zulkarnain menaip balasan yang telah lama tertangguh. Dia tak dapat menerima kenyataan bahawa Salsabila sudah tiada selama enam tahun, tetapi malam ini hatinya tergerak untuk membalas.
"Aku rindu kau, Sal..."
"Dia menyimpan telefonnya ke dalam kocek seluar sebelum jemarinya menyentuh rantai loket di leher. Loket berbentuk hati itu terbuka, menampilkan gambar mereka berdua.Zulkarnain berlutut, memegang kotak cincin, melamar Salsabila setelah berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu. Namun kini, semua itu hanya tinggal kenangan."
Zulkarnain menggenggam cawan kertas di tangannya, melangkah menuju tong sampah, dan membuangnya tanpa berfikir panjang. Dia kemudian menuruti Faris dari belakang, tanpa menyedari bahawa kejadian malam ini akan mengubah hidupnya selamanya.
Hujan masih belum reda. Langit malam di Kuala Lumpur berselimut mendung pekat, kilat sesekali memancar seperti serpihan cahaya di sebalik awan hitam. Zulkarnain berjalan menyusuri koridor Jabatan Fizik UM, langkahnya sedikit berat. Hatinya masih dihambat kenangan tentang Salsabila. Enam tahun berlalu, namun kesedihan itu masih segar, seperti luka yang belum sembuh.
Di hujung koridor, Faris sedang menatap skrin komputer, wajahnya serius. Di sekelilingnya, alat-alat elektronik berselirat, bunyi bip mesin memenuhi ruang makmal. Di tengah-tengah bilik itu berdiri sebuah alat yang kelihatan kompleks. Lingkaran logam besar dengan susunan panel kawalan yang berkelip-kelip. Itulah projek mereka yang telah mereka usahakan selama 6 tahun Singularity drive, eksperimen tentang distorsi ruang-masa.
“Kau okay, Zul?” Faris menoleh sekilas.
Zulkarnain mengangguk perlahan. Dia cuba fokus pada kerja, cuba menolak kenangan yang terus mengganggu fikirannya. Dia mendekati terminal utama, melihat deretan kod yang dipaparkan di skrin. Malam ini adalah ujian terbesar mereka iaitu cubaan pertama untuk mengaktifkan singularity drive dalam keadaan terkawal.
“Parameter dah siap?” tanya Zulkarnain, menekan beberapa butang di skrin.
“Dah. Cuma tinggal nak aktifkan saja.” Faris membetulkan kaca matanya, kemudian menekan interkom. “Dr. Rahman, kita dah bersedia.”
Dalam beberapa saat, seorang lelaki berusia lingkungan lima puluhan masuk ke dalam makmal. Dr. Rahman, penyelia projek mereka, seorang pakar dalam bidang fizik kuantum dan graviti. Matanya bersinar penuh semangat, tapi ada secalit kebimbangan dalam suaranya.
“Baiklah. Kita buat ini dengan berhati-hati.”
Mereka bertiga mengambil posisi masing-masing. Lampu di makmal meredup apabila singularity drive mula diaktifkan. Getaran halus terasa di lantai. Paparan skrin menunjukkan medan magnet meningkat secara eksponen. Mesin itu mula berputar perlahan, menghasilkan lingkaran cahaya kebiruan di tengahnya.
“Faris, stabilkan output tenaga,” arah Zulkarnain, tangannya lincah menaip kod tambahan.
Faris mengerutkan dahi. “Zul... ada sesuatu yang tak kena.”
Paparan skrin menunjukkan fluktuasi medan kuantum yang tidak dijangka. Garisan graf tenaga berombak liar, seakan-akan sesuatu di dalam mesin itu sedang berusaha keluar.
BZZT!
Tiba-tiba, bunyi frekuensi tinggi kedengaran, semakin kuat sehingga menusuk telinga. Skrin komputer berkelip-kelip, paparan kod bertukar menjadi simbol aneh yang tidak dikenali.
“Dr. Rahman, ada gangguan! Medan tenaga terlalu tinggi!”
“Apa? Mustahil! Itu bukan dalam jangkaan kita!”
Getaran dalam makmal bertambah kuat. Objek kecil di sekeliling mula melayang di udara, seolah-olah medan graviti berubah secara rawak. Rambut Zulkarnain terasa tertarik ke atas, badannya menjadi ringan sesaat sebelum dia dihentak kembali ke lantai.
“Kita kena shut down sekarang!” jerit Faris.
“Aku cuba! Sistem tak respon!” jari Dr. Rahman menekan panel kawalan, tapi butang-butang itu tidak berfungsi. ERROR: SYSTEM OVERRIDE.
Mesin itu bergetar semakin ganas. Pusaran plasma di tengahnya berubah menjadi cahaya putih menyilaukan, seakan-akan merobek realiti.
Skrin menunjukkan lonjakan graviti kuantum yang tak pernah direkod dan Zulkarnain, yang berdiri terlalu dekat dengan pusaran, jadi mangsa pertama distorsi ruang-masa yang tak terkawal.
Zulkarnain merasakan tubuhnya ditarik oleh daya yang tak dapat dilihat. Bunyi di sekelilingnya mula pudar, suara Faris dan Dr. Rahman bergema dan meleret seperti pita kaset yang dipercepatkan.
Dia cuba bergerak, tapi badannya terasa berat seperti diikat oleh rantai tak kasat mata. Pandangannya semakin kabur.
Dia menoleh kali terakhir wajah Faris penuh ketakutan, Dr. Rahman menjerit sesuatu, tapi suaranya tidak lagi sampai ke telinga Zulkarnain.
Satu ledakan cahaya melanda seluruh makmal.
Dan dalam sekelip mata—
Zulkarnain hilang.
Share this novel