Mereka menyusuri hutan dengan langkah cermat. Radina mendukung Salleh yang keletihan, manakala Orang Kaya Salim tetap gagah di hadapan, memimpin perjalanan walaupun baru sahaja melarikan diri dari cengkaman penculik. Zulkarnain pula berjalan di belakang, mindanya ligat mencerna setiap maklumat yang disampaikan oleh Orang Kaya Salim seakan-akan span menyerap air. Nama-nama tempat yang disebut langsung tidak wujud dalam sejarah yang diketahuinya. Jika benar dia berada di zaman silam, maka ini bukan sekadar sejarah yang tertulis dalam buku teks. Ini realiti yang hidup dan bergerak dengan caranya sendiri.
Zulkarnain cuba menyusun kata dalam fikirannya. Dia perlu bertanya soalan, tetapi tidak boleh terlalu mencurigakan. Setakat ini, Orang Kaya Salim percaya bahawa dia hanyalah seorang pedagang. Dia perlu mengekalkan ilusi itu.
Setelah seketika, dia memberanikan diri bertanya, "Orang Kaya Salim, mengapa tuan hamba dikejar oleh mereka tadi? Apa yang mereka kehendaki?"
Bahasanya masih kaku, belum cukup sebati dengan tutur kata zaman ini. Namun, itu lebih baik daripada menimbulkan syak wasangka.
Orang Kaya Salim mendengus perlahan, wajahnya keruh. "Mereka itu lanun. Mereka cuba menculik kami untuk dijadikan tebusan. Jika wang tidak dapat dituntut, maka kami akan dijual sebagai hamba. Mujurlah tuan hamba tiba pada saat yang tepat."
Zulkarnain mengangguk, berpura-pura memahami sepenuhnya dunia yang kini melingkunginya. Namun, fikirannya masih dibelenggu dengan satu soalan besar: Di mana sebenarnya aku ini?
Dia menarik nafas dalam sebelum bertanya lagi, "Ke manakah arah perjalanan kita ini? Jauh lagikah?"
Orang Kaya Salim tersenyum tipis. "Kita akan menuju ke perkampungan Langkasura.
Langkasura? Zulkarnain mengulang nama itu dalam hati. WTH? Tempat apa ni? Namun, dia segera menahan dirinya daripada bertanya lebih lanjut. Jika dia bertindak terlalu ingin tahu, Orang Kaya Salim mungkin akan mula curiga.
Mereka terus berjalan. Setelah beberapa lama, Orang Kaya Salim tiba-tiba menoleh dan bertanya, "Apa yang tergantung di leher tuan hamba itu?"
Zulkarnain menoleh dan merasakan darahnya berderau. Lanyard.
Sial. Aku lupa nak sorok benda ni!
Dia perlu mencipta alasan dengan cepat. Namun, sebelum sempat dia menjawab, cahaya obor mula kelihatan di kejauhan. Mereka telah tiba di sebuah perkampungan kecil di tepian sungai. Rumah-rumah kayu berdiri kukuh di atas tiang tinggi, manakala bayangan lelaki bersenjata tombak berlegar-legar di sekeliling kawasan itu.
Seorang lelaki bertubuh tegap, berwajah tegas dengan parut melintang di pipinya, menyambut mereka di pintu masuk. Orang Kaya Salim memberi isyarat hormat sebelum berkata, "Panglima Hidayat, kami pulang dengan seorang penyelamat."
Mata Panglima Hidayat menikam tajam ke arah Zulkarnain, menilai dari hujung rambut hingga hujung kaki. Pandangannya penuh waspada, seperti seorang yang telah lama berhadapan dengan pengkhianatan dan tipu daya.
"Siapakah gerangan tuan hamba?" soalnya akhirnya, suaranya dalam dan berwibawa.
Zulkarnain menelan liur. Dia tahu dia tidak boleh mendedahkan terlalu banyak tentang dirinya.
"Hamba seorang pedagang yang tersesat di hutan. Bertemu dengan Orang Kaya Salim dalam keadaan yang tidak disangka-sangka."
Panglima Hidayat mengangguk perlahan. "Jika benar begitu, tuan hamba dipersilakan berteduh di kampung kami. Namun, ketahuilah, di sini banyak mata yang memerhati. Jika tuan hamba datang dengan niat buruk, langit dan bumi akan menjadi saksi kepada balasan yang menanti."
Zulkarnain tersenyum kecil, cuba menunjukkan wajah yang tidak gentar. "Tiada apa yang perlu dirisaukan, panglima. Hamba hanya mencari tempat berteduh dan, jika diizinkan, penghidupan yang baharu."
Malam itu, Zulkarnain diberikan sebuah pondok kecil di tepi sawah. Dia berbaring, menatap langit yang bertaburan bintang. Di zaman moden, langit jarang sebersih ini.
Dia menarik nafas panjang. Segala yang berlaku hari ini menegaskan satu perkara—aku benar-benar berada di masa silam.
Dan jika ini realiti, dia perlu membuat pilihan.
Hidup sebagai pedagang biasa dan beradaptasi dengan dunia ini?
Atau...
Menggunakan ilmu yang dimilikinya untuk mengubah arus sejarah?
Pilihannya akan menentukan nasibnya di sini.
Dan mungkin juga, nasib seluruh dunia.
Keesokan harinya, Zulkarnain terjaga dengan semangat baru. Meskipun dirinya tercampak ke zaman yang asing ini, dia mula menyedari bahawa kelebihannya ilmu nya bukan sekadar suatu beban, tetapi boleh dijadikan senjata yang mampu mengubah nasibnya. Namun, sejurus kemudian, dia mengeluh sendirian.
"Aduh... aku ini seorang profesor fizik di Universiti Malaya. Ilmu aku ni langsung tak berguna di zaman ini. Kebanyakan orang masih percaya pada perkara mistik dan tahayul. Kalau aku terangkan tentang fizik kuantum atau hukum Newton, confirm mereka tak faham silap-silap aku dicop sebagai dukun gila atau pengamal ilmu hitam "
Dia menghela nafas panjang. Sebelum bertindak, dia harus terlebih dahulu memahami dunia ini dengan lebih mendalam. Sejarah di sini mungkin tidak sama seperti yang tercatat dalam buku teks. Perlu ada strategi, perlu ada hikmah dalam setiap langkahnya.
Tatkala fajar mula menyinsing, Orang Kaya Salim datang menemuinya.
"Zulkarnain, Panglima Hidayat ingin bertemu dengan tuan hamba."
Zulkarnain mengangguk dan mengikut Orang Kaya Salim menuju ke rumah ketua kampung. Setibanya di sana, Panglima Hidayat duduk bersila di atas tikar mengkuang, sebilah keris berkilat tergenggam di tangannya. Matanya tajam, seolah-olah menembusi segala helah.
"Zulkarnain," panggilnya, nadanya tenang tetapi penuh makna. "Hamba ingin mengetahui sesuatu. Tuan hamba seorang pedagang, bukan?"
Zulkarnain menelan liur, cuba menyesuaikan bahasanya. "Err... benar, Panglima. Hamba seorang... businessman. Eh, maksud hamba, saudagar."
Panglima Hidayat mengerutkan dahi. "Tetapi pakaian tuan hamba... cara tuan hamba berbicara... seolah-olah bukan dari tanah ini. Dari mana asal tuan hamba sebenarnya?"
Zulkarnain teragak-agak sebelum menjawab, "Hamba... hamba berasal dari negeri yang jauh. Tempatnya... sukar untuk diterangkan. Hamba telah tersesat dalam hutan dan mendapati diri hamba di sini. Namun, hamba hanya ingin mencari penghidupan, tiada niat buruk terhadap sesiapa."
Panglima Hidayat menatapnya dengan renungan tajam, seakan cuba menilai setiap bait kata-katanya. Sunyi seketika.
Akhirnya, Panglima Hidayat berkata perlahan, "Baiklah. Hamba akan percaya kata-kata tuan hamba buat masa ini. Tetapi ingatlah... bumi ini mempunyai mata dan telinga di mana-mana. Berhati-hatilah dengan setiap langkah tuan hamba."
Zulkarnain mengangguk. "Ya, hamba ingat, Panglima."
Namun, dalam hatinya, dia tahu cabaran sebenar baru sahaja bermula.
Share this novel