Langit kelam mula bertukar biru samar, menandakan fajar hampir menyinsing. Zulkarnain berjalan terhuyung-hayang di antara pepohon hutan yang menjulang, tubuhnya letih selepas entah berapa lama meredah belantara tanpa hala tuju yang jelas. Dia berhenti sejenak, menstabilkan nafasnya yang tercungap-cungap. Tangannya meraba poket lab coat yang masih tersarung di tubuhnya, menarik keluar telefon pintarnya. Skrinnya masih menyala, menandakan baterinya belum habis sepenuhnya.
Dia membuka aplikasi kompas. Jarum digital berpusing beberapa kali sebelum stabil, menunjuk ke arah barat laut. Hanya satu perkara yang terlintas di fikirannya:
kiblat.
Zulkarnain cuba mencari arah kiblat dengan sebaik mungkin, dia mencari tanah yang rata, menghamparkan kot lab putihnya sebagai alas. Lututnya menyentuh fabrik yang sudah kotor bercampur tanah dan kelembapan hutan. Dalam sunyi pagi yang hanya ditemani bunyi cengkerik dan dedaunan yang bergerak ditiup angin, dia menunaikan solat Subuh.
Selesai memberi salam, dia bangkit. Langit kini semakin cerah, jalur-jalur cahaya menembusi celahan pepohon tinggi. Dia sedar dia perlu bergerak kerana air adalah keutamaan dalam survival.
"Jika ada sungai, pasti ada jalan keluar dari hutan ini."
Langkahnya lebih bertenaga kali ini, dengan tujuan yang jelas. Dia memerhatikan susunan akar pokok, cuba mengenal pasti jejak haiwan atau tanda-tanda sumber air berdekatan. Angin membawa desiran yang berbeza. Bunyi yang lebih berat dan beralun. Telinganya menangkap gema gemuruh dari kejauhan, sesuatu yang tidak mungkin disalah tafsir.
'Itu bunyi air terjun.'
Jantungnya berdegup lebih laju. Dengan penuh harapan, dia mempercepat langkahnya, bergerak ke arah bunyi itu. Pokok-pokok semakin jarang, dan akhirnya, dia berdiri di pinggir tebing batu. Pemandangan di hadapannya mengagumkan. Air terjun itu berkilauan memantulkan cahaya pagi. Kabus halus naik dari dasar jatuhan, menyelubungi kawasan sekitar dengan kesejukan semula jadi. Kolam di bawahnya jernih, memperlihatkan batu-batu licin yang membentuk dasarnya. Lumut hijau menutupi batu-batu besar yang berselerak di sekitar, sementara akar pokok menjalar di sepanjang dinding batu, seakan membentuk tirai semula jadi.
Namun, sebelum sempat dia turun untuk meneguk air, pergerakan di seberang menarik perhatiannya. Lima lelaki bersenjatakan parang dan tombak sedang mengejar tiga orang
Zulkarnain berbisik sendirian, "Aik... ni tengah shooting filem sejarah ke? Kalau ya, mana kru produksi? Tak nampak pun..."
Matanya melilau, mencari tanda-tanda lain yang boleh mengesahkan teorinya. Tapi yang ada hanya pemandangan hutan yang sunyi, bunyi air terjun yang deras, dan jeritan si pengejar yang memecah keheningan. Suara yang dikejar pula saling menyemangati antara satu sama lain untuk terus berlari.
Kelima-lima pengejar itu tampak garang, memakai cawat dan diikat tengkorak manusia di kaki mereka, berayun seiring dengan langkah mereka. Sementara itu, lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang dikejar kelihatan seperti watak dalam filem Puteri Gunung Ledang,
Zulkarnain membeku.
Darahnya berderau. Akalnya segera bekerja, cuba mencari rasional di sebalik apa yang dilihatnya.
'Aku… aku benar-benar tercampak ke zaman silam tapi kat mana ? .'
Kekeliruan bertukar menjadi kesedaran. Dia sedar apa yang berlaku di hadapannya bukan sekadar lakonan atau ilusi. Ini realiti.! nalurinya mendesak untuk membantu, tetapi akalnya memberi amaran tentang kesan campur tangannya terhadap garis masa.
'Kalau aku terlalu banyak mencampuri urusan kat sini , aku mungkin mencipta paradoks yang tidak dapat dijangka akibatnya.'
Namun, hatinya memberontak. Dia bukan sekadar pemerhati dia adalah manusia, dan di hadapannya, ada yang sedang diburu.
Zulkarnain segera menyorok di balik pokok besar, menajamkan penglihatannya. Dia meneliti situasi sebelum bertindak, otaknya berpusing mencari solusi yang tidak akan merosakkan keseimbangan sejarah. Namun, zulkarnian harus membuat keputusan iaitu menjadi pemerhati, menyelamatkan mereka, atau membiarkan mereka mati?
Zulkarnain sedar dunia ini bukan sekadar cerita fiksyen. Tiada "save point," tiada skrip yang boleh diubah untuk menyelamatkannya. Setiap keputusan membawa akibat nyata. Tiga orang ini mungkin kunci kepada penyelesaian paradoks eksistensinya di dunia asing ini, tapi bolehkah dia mempercayai mereka? Jika mereka mengkhianatinya? Jika mereka gagal memahami apa yang dipertaruhkannya? Satu langkah salah segala-galanya musnah.
Zulkarnain menahan nafas, matanya tidak lepas daripada adegan yang sedang berlangsung di hadapannya. Dia bersembunyi di sebalik batang pokok yang besar, mencengkam dahannya dengan erat. Lima lelaki bersenjatakan parang dan tombak semakin menghampiri mangsa mereka.
Dia boleh sahaja bertindak sekarang, tetapi akalnya menahan. Setiap tindakan ada akibatnya, dan dia tidak tahu di mana dia berada sebenarnya. Jika ini benar-benar masa silam, dia harus berhati-hati. Dia memilih untuk menjadi pemerhati, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Lelaki yang paling belakang dalam kumpulan pelarian itu tersandung akar pokok dan jatuh tersungkur. Sebelum sempat bangkit, seorang daripada pengejar menekan lutut ke belakangnya dan menghunuskan parang ke lehernya.
"Berhenti!" jerit wanita itu, suaranya bergetar ketakutan. Dia memeluk erat kanak-kanak yang sudah menangis tersedu-sedu.
Lelaki yang jatuh itu meronta tetapi sia-sia. Pengejarnya menarik rambutnya kasar, memaksanya memandang dua orang yang masih berdiri itu.
"Mahukah kalian melihat tuan hamba ini mati di sini, atau menurut sahaja akan kehendak kami?" kata lelaki pengejar itu dengan nada tegas.
Zulkarnain makin yakin bahawa dunia ini bukan dunianya apabila mendengar cara si pengejar itu bercakap. Namun, ini petanda baik kerana jika betul di hadapan nya ini adalah orang dari zaman silam maka dia kena bersiap sedia dari mula supaya dia tidak berdepan dengan masalah paradoks alienisasi.
Wanita itu menggigit bibirnya, matanya berkaca-kaca. Dengan berat hati, dia mengangguk. Pengejar itu tersenyum sinis lalu menolak lelaki yang ditangkap itu ke hadapan. Mereka diarah berjalan, menyusuri denai sempit menuju ke arah gua yang tersembunyi di balik dinding batu yang menjulang tinggi.
Zulkarnain mengikuti dari jauh, berhati-hati agar tidak dikesan. Dia melihat dengan jelas bagaimana ketiga-tiga mereka dikurung dalam sebuah sangkar buluh yang usang. Pengejar itu kemudian meninggalkan mereka, hanya seorang sahaja yang ditinggalkan berjaga di luar gua. Lelaki itu mabuk, botol tuaknya berguling di sisi batu.
Ketika malam tiba dan suasana semakin sunyi, Zulkarnain mendekati sangkar itu dengan langkah yang senyap. Lelaki yang ditangkap siang tadi mendongak, matanya tajam merenung Zulkarnain.
"Siapakah tuan hamba?" bisiknya dengan penuh curiga.
Zulkarnain mengeluarkan sebilah pisau lipat kecil yang sentiasa ada bersamanya di kocek baju lab nya. Zulkarnian berdehem perlahan sambil cuba mengingat cara logat orang melayu dalam cerita P. Ramlee yang pernah ditontonnya di tv.
"kalau aku bebaskan kalian, adakah kalian akan menerima hamba memberi tempat tinggal dan pekerjaan?"
Lelaki itu memandangnya lama sebelum akhirnya berkata, "Baiklah. Andai tuan hamba lepaskan kami bertiga, akan hamba sediakan tempat berteduh buat tuan hamba. Akan tetapi, cara bicara tuan hamba sungguh aneh. Dari negeri manakah gerangan tuan hamba berasal?"
Zulkarnain berusaha menahan tawa dalam hatinya.
Eh , orang tua ini tak faham ke dengan apa yang aku cakap kan tadi ? Cehh sia-sia je aku susun ayat biar nampak berbunga dan berlapik hujung-hujung nya dia tak faham apa yang aku cakapkan . Aku ingatkan kan aku imun dengan paradoks linguistik.
Zulkarnain tersenyum tipis sebelum menjawab, "Patik ini seorang pedagang, tuan hamba faham?"
Dia menegaskan lagi, "Ya, patik seorang saudagar dari negeri yang jauh."
Dalam hatinya, Zulkarnain tahu ini jawapan paling masuk akal dan klise yang selalu digunakan dalam kisah pengembara dari dunia lain. Klise atau tidak, asalkan orang tua ini tak menyoal dia lagi.
Tanpa berlengah, Zulkarnain segera mengerat kunci sangkar dengan pisau lipatnya. Pintu buluh tua itu berbunyi nyaring, namun penjaga yang mabuk terhuyung-hayang itu langsung tidak menyedari apa-apa.
Dengan pantas, Zulkarnain mengisyaratkan mereka agar bergerak dengan senyap. Derap langkah mereka menyatu dengan kegelapan, meloloskan diri dari gua tanpa menimbulkan kecurigaan.
Setelah beberapa minit meredah hutan dalam senyap, lelaki itu akhirnya memperkenalkan dirinya.
“Aku Orang Kaya Salim,” katanya dengan nada tegas namun bersahaja. “Ini anakku, Radina, dan cucuku, Salleh.”
"Tuan hamba telah menyelamatkan kami, maka besar budinya yang akan kami balas. Sesungguhnya, bumi ini penuh bahaya bagi orang asing seumpama tuan hamba," ujar Orang Kaya Salim dengan nada penuh erti.
Zulkarnain mengangguk menyedari bahawa dirinya kini terlibat dalam dunia yang jauh berbeza daripada tempat asalnya.
Share this novel