Klinik Halimah
Hadif memberhentikan keretanya di hadapan sebuah klinik kecil yang kelihatan lengang. Dia keluar dari tempat duduk pemandu, kemudian membuka pintu penumpang.
Zareen masih membatu. Matanya tajam menikam wajah Hadif.
"Get out," arah Hadif dengan nada tegang, nafasnya kedengaran kasar.
Zareen menghela nafas, akhirnya keluar dari kereta. Dia mengekori Hadif masuk ke dalam klinik tanpa berkata apa-apa. Di hadapan kaunter pendaftaran, Hadif menghulurkan tangan kanannya ke arah Zareen, wajahnya kelat dengan dahi berkerut.
"Your IC, Miss Zareen."
Zareen menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan kad pengenalan sebelum menyerahkannya kepada Hadif. Tanpa sepatah kata, Hadif memberikan kad itu kepada petugas kaunter untuk pendaftaran. Setelah selesai, petugas itu menyerahkan semula kad pengenalan kepadanya.
Hadif menghulurkan kad itu kembali kepada Zareen. Pandangan mereka bertaut. Sama-sama mempamerkan ekspresi yang sukar dirungkai. Tiada senyuman, tiada kata-kata.
Zareen menyambar kad pengenalannya lalu berlalu ke tempat duduk yang sedikit jauh daripada Hadif. Dia tidak mahu duduk berdekatan dengan lelaki itu.
Hadif bersandar ke dinding dengan postur tubuh yang tegap. Pandangannya tidak lekang daripada kelibat Zareen. Wanita itu mengenakan pakaian formal—kemeja putih dimasukkan ke dalam seluar slack hitam. Tudung hitam yang dipakainya kemas terletak. Blazer hitam yang tadinya membalut tubuhnya kini disangkut di belakang kerusi, mendedahkan tompokan merah di bahu kanan.
Hadif mengetap bibir. Ini yang dikatakan ‘sikit’?! Dia menggumam dalam hati, matanya tidak lepas daripada kesan kecederaan itu.
"Nur Zareen Seroja."
Suara petugas yang memanggil namanya membuatkan Zareen bangun dan melangkah ke bilik rawatan. Hadif hanya mampu memerhati dari jauh.
Hampir setengah jam berlalu sebelum Zareen keluar dari bilik doktor. Dia kelihatan sedikit lesu, namun wajahnya tetap mengekalkan ekspresi serius yang sukar ditembusi.
Kini mereka berdua duduk menunggu di farmasi untuk mengambil ubat. Suasana di antara mereka terasa canggung. Masing-masing cuba menghindari pandangan satu sama lain, namun mereka tahu—suka atau tidak—mereka tetap perlu menghadapi situasi ini.
Keras kepala! Gumam Hadif dalam hati. Dia mengetap gigi, menahan rasa tidak puas hati.
Zareen bersikap seolah-olah dia tidak wujud. Namun, entah kenapa, dia tidak membencinya.
Hanya geram.
Geram dan terasa egonya tercabar.
-------------------
Keluar dari klinik, mereka terus masuk ke dalam kereta. Hadif menghidupkan enjin, kali ini lebih perlahan, tidak seperti tadi. Emosinya sudah lebih stabil.
Dia mengerling jam di dashboard. 5:40 petang. Waktu pejabat sudah tamat.
"Aku hantar kau balik," ujar Hadif perlahan tetapi tegas.
"Tak payah, bos. Balik saja ke pejabat. Saya nak ambil motor," balas Zareen dengan nada dingin.
Hadif mengerutkan dahi. "Motor? Kau naik motor?" Baru sekarang dia teringat peristiwa dua hari lepas—ketika mereka diekori SUV hitam. Zayan ada menghubungi seseorang untuk membantu mereka dengan motosikal.
"Suzuki Gixxer?" soal Hadif, sekadar untuk memastikan.
Zareen mengangguk malas tanpa menoleh, tetapi Hadif menangkap gerakan itu dengan ekor matanya.
"Nanti aku suruh Zayan hantarkan motor kau," kata Hadif, lebih kepada arahan.
"Lebih baik saya balik dengan Zayan," balas Zareen dingin.
Hadif diam seketika sebelum bertanya, "Kau kenal Zayan dah lama ke?"
"Kami duduk satu rumah," jawab Zareen ringkas.
Hadif tersentak. Apa?! Matanya membulat, terkejut dengan jawapan itu. Dia menoleh sekilas, memerhati wajah Zareen yang kelihatan bersahaja, seolah-olah apa yang dikatakannya bukanlah satu perkara besar.
Zareenlah wanita yang menjawab panggilannya hari itu!
Girlfriend Zayan.
Hadif menggeleng perlahan, cuba menghadam fakta itu. Zareen dan Zayan tinggal serumah?
Tanpa rasa malu, dia boleh mengaku begitu saja?
Mereka berdua orang Melayu, Islam, tetapi duduk sebumbung tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Terbuka sangatkah pemikiran mereka?
Hadif mengetap rahang. Dia yang berdarah Inggeris, selalu keluar negara, bertemu ramai wanita cantik pun tidak seterbuka itu. Dia masih mengamalkan nilai-nilai Melayu dan berpegang teguh pada ajaran Islam.
Akhirnya, dia menghela nafas perlahan. "Ikut suka kaulah," balas Hadif dingin.
Dia tidak mahu ambil tahu lagi tentang gaya hidup Zareen dan Zayan. Bukan urusannya.
Sepanjang perjalanan, suasana dalam kereta terasa sunyi. Zareen hanya merenung ke luar tingkap, manakala Hadif fokus pada pemanduan.
Namun, di dalam kepalanya, fikirannya masih terganggu.
Kenapa aku peduli sangat?
-------------------
Ruang parkir Hansel Auto Group.
Dari jauh, Hadif memerhatikan Zareen menyarung jaket kulit hitamnya sebelum mencapai helmet full-face. Dia melangkah ke arah motosikal Suzuki Gixxernya dan menghidupkan enjin. Tangannya menekan klac, kemudian memulas pendikit minyak sebelum memacu keluar dari ruang parkir.
Dengan pakaian serba hitam dan helmet full-face, sesiapa pun pasti menyangka Zareen adalah lelaki. Malam itu, Hadif juga beranggapan begitu. Namun, teknik pemanduan wanita itu benar-benar menarik perhatiannya. Gerakan yang tangkas dan teratur jelas menunjukkan penguasaan Zareen terhadap teknik pemanduan evasive dan defensive.
Hadif membelok keluar dari ruang parkir, mengekori Motosikal Zareen dari belakang. Bukan menghala ke Parkgreen, Bukit Jalil! Hadif sudah berpindah dari rumah keluarganya minggu lepas.
Sementara itu, di dalam Audi RS7, Zayan dan Ivan terpaksa mengekori Hadif dan Zareen dengan penuh sabar.
"Eh, kenapa bos ikut Zareen? Rumah bos bukan dekat Parkgreen ke?" soal Ivan sambil menjeling ke arah Zayan.
Zayan hanya menjungkit bahu, kemudian memejamkan mata, cuba berehat seketika. Dia kelihatan tenang, tidak ambil pusing dengan apa yang sedang berlaku. Ivan pula menggeleng, tidak puas hati dengan keadaan itu.
Dia terus memandu, mengekori Hadif dan Zareen sehingga ke rumah Zayan. Sebaik sahaja Zareen masuk ke dalam rumah, Hadif membelok keluar dan menuju ke Bukit Jalil.
"Takkan bos ikut Zareen balik ke rumah semata-mata nak pastikan dia selamat?" Ivan menggaru kepalanya yang tak gatal. "Siapa bodyguard siapa ni?" bebelnya perlahan.
Zayan sudah terlena di tempat duduk penumpang, langsung tidak peduli. Ivan pula meneruskan tugasnya, kini mengekori Hadif yang sedang memandu Mercedes-Benz GLE-Class menuju ke rumahnya.
Ivan tersenyum sinis. "Nampaknya bos layan Zareen bukan sebagai seorang bodyguard, tapi sebagai seorang wanita."
Ego Hadif memang tinggi. Pasti dia sendiri belum sedar yang perasaannya terhadap Zareen mula berubah. Tetapi satu perkara yang pasti, Zareen bukan bodoh. Dengan pengalaman dan latihan yang dia miliki, sudah tentu dia tahu Hadif mengekorinya tadi.
"Pening... pening," gumam Ivan sambil menghela nafas panjang. Namun, matanya tetap fokus pada kenderaan Hadif di hadapan.
Sebaik tiba di hadapan kondominiumnya, Hadif melajukan kenderaan ke arah parkir peribadi. Dia mematikan enjin dan duduk seketika, cuba mencerna apa yang baru sahaja dia lakukan.
"Kenapa aku ikut dia tadi?" soalnya sendiri.
Dia mengusap wajahnya, sedikit geram dengan tindakannya sendiri. Zareen cuma seorang pengawal peribadi—atau setidaknya, sepatutnya begitu.
Di tempat lain, Ivan hanya mampu menggelengkan kepala dari jauh.
"Hari pertama tukar bodyguard dah macam ni... Apa jadi kalau lama-lama?"
Dia melepaskan keluhan kecil. Hari ini memang panjang, bukan untuk Hadif sahaja, tetapi juga untuknya yang perlu memastikan bosnya tidak buat benda bodoh.
Share this novel