Bab 8

Romance Series 63286

Hometown Restaurant

Mata Zareen segera menangkap dua lelaki yang sudah menunggu di bilik khas itu. Seorang berkemeja putih dengan kot kelabu, seorang lagi mengenakan kemeja hitam tanpa tali leher. Kedua-duanya bangun sebaik Hadif masuk.

"Encik Hadif, lama tak jumpa."

Mereka berjabat tangan dan saling berpelukan seperti rakan perniagaan lama. Zareen, tanpa sebarang ekspresi, menjauhkan diri dari Hadif. Dia berdiri di sudut bilik, tegak dan waspada.

Masa berlalu. Hampir dua jam mereka berbincang. Zareen masih di tempat yang sama, tidak berganjak walau seinci. Dia hanya memerhati, memastikan keadaan terkawal sambil setia menanti majikannya menguruskan perniagaan.

Namun, sepanjang perbincangan itu, Hadif sesekali mengerling ke arahnya.

Hakikatnya, dia sengaja mengajak Zareen menemaninya ke restoran ini. Sengaja membiarkan wanita itu berdiri di sudut bilik berjam-jam tanpa diberikan tempat duduk. Dia mahu lihat sejauh mana Zareen boleh bertahan. Jika dia cukup profesional atau akan menyerah kalah.

Jika dia tidak tahan dan berhenti kerja—itu lebih baik.

Di luar restoran, Ivan dan Zayan yang menunggu di dalam kereta semakin gelisah.

"Dah lebih dua jam. Bos ni memang sengaja, kan?" Ivan bersuara, tidak selesa.

Zayan mengeluh kecil, bersandar ke kerusi dengan wajah kusut. "Aku dah agak dah. Bos memang nak bagi tekanan pada Zareen. Ingatkan dia cuma main-main, tapi tengok ni…"

Ivan meramas rambutnya. "Apa kau ingat Zareen akan mengalah?"

Zayan diam sejenak sebelum tersenyum tipis. "Entahlah. Tapi kalau kau tanya aku… aku rasa bos dah silap besar kalau dia fikir boleh buat Zareen menyerah."

Di dalam bilik mesyuarat khas itu, Hadif akhirnya menutup fail di hadapannya.

"Baiklah, saya akan pertimbangkan tawaran ni. Nanti Wendy akan uruskan dokumen lanjut."

Mr. Lai mengangguk. "Bagus. Saya harap kita dapat bekerjasama dengan baik, Hadif."

Hadif hanya tersenyum nipis sebelum berdiri. Zareen segera menegakkan posturnya, bersedia untuk bergerak.

Ketika mereka melangkah keluar dari bilik itu, Hadif menoleh ke sisi.

Zareen masih tenang, langkahnya tegap seperti biasa. Tidak ada tanda-tanda keletihan atau ketidakselesaan walaupun dia berdiri tanpa henti selama berjam-jam.

Hadif mengetap gigi dalam diam.

Dammit! Dia ingat Zareen akan mengadu atau sekurang-kurangnya menunjukkan tanda-tanda keletihan. Tapi wanita itu langsung tidak goyah.

Dan itu… buat Hadif semakin tidak senang.

---------------------

Selesai pertemuan dengan klien, Hadif dan Zareen berjalan keluar dari restoran, menuju ke parkir VIP. Namun, sebelum mereka sempat sampai ke kereta, Zareen tiba-tiba memperlahankan langkah.

Matanya menangkap sesuatu.

Atau lebih tepat lagi—seseorang.

Seorang lelaki bertubuh tegap berdiri di hujung lorong parkir, bersandar ke sebuah motosikal berkuasa tinggi. Pandangannya tepat ke arah mereka.

Zareen serta-merta menyedari sesuatu.

Lelaki itu bukan sekadar pemerhati biasa.

Dia sedang menunggu.

Dan naluri Zareen merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.

Zareen memperlahankan langkahnya, tubuhnya menegang. Matanya tidak lepas dari lelaki bertubuh tegap yang bersandar di motosikal berkuasa tinggi di hujung lorong parkir.

Zareen menyiapkan diri untuk sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

Lelaki itu kelihatan terlalu fokus pada mereka—bukan, pada Hadif.

Sesuatu tidak kena.

VROOOMM!!

Tanpa sebarang amaran, lelaki itu menendang tongkat motosikalnya, menghidupkan enjin, dan memecut laju ke arah mereka!

"Bos!"

Dalam sekelip mata, Zareen bertindak. Dengan pantas, dia menerpa ke arah Hadif, menolak lelaki itu ke sisi.

DUMM!

Bahunya dilanggar sisi motosikal itu. Rasa nyeri menjalar di sepanjang lengan kanannya, tetapi Zareen tidak menghiraukannya. Dia berpusing, bersedia untuk menyerang balik, tetapi lelaki itu sudah pun memecut keluar dari kawasan parkir, menghilang ke jalan raya.

"ZAREEN!"

Hadif terduduk di lantai, matanya membulat melihat Zareen yang berdiri sambil menekan bahunya yang sakit. Wajah wanita itu sedikit berkerut, tetapi dia masih tegak, masih berjaga-jaga.

Dalam beberapa saat, Ivan dan Zayan meluru ke arah mereka.

"Bos, kau okay?" Zayan membantu Hadif berdiri, manakala Ivan meneliti keadaan sekitar, cuba menjejaki motosikal tadi.

"Aku okay," Hadif menjawab perlahan, tetapi matanya masih terpaku pada Zareen.

Wanita itu baru sahaja menyelamatkannya.

Dan dia pula… sengaja mahu membuatkan Zareen keletihan tadi.

Perasaan bersalah mula menyelinap ke dalam hatinya.

"Zareen, kau okay?" Ivan menghampiri wanita itu, matanya menangkap kesan darah yang mula meresap ke lengan baju Zareen. Wajahnya masih tenang, tetapi Ivan tahu luka itu bukan sekadar ‘cedera ringan’ seperti yang dikatakannya.

"Cuma calar sikit," Zareen menjawab ringkas, suaranya datar seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Hadif mengetap rahang. Pandangannya tajam menikam wajah wanita itu. "Just go to the clinic, Zareen." Nada suaranya dingin, tetapi ada sesuatu yang bergetar dalam intonasinya.

"Tak payah," balas Zareen tegas tanpa menoleh ke arah Hadif.

Hadif semakin geram. Wanita ini degil! Sudah cedera, masih mahu berlagak kuat?

Zareen sudah pun bergerak menuju ke kereta tanpa menunggu jawapan. Dia membuka pintu penumpang dan duduk membatu, wajahnya tetap bersahaja seolah-olah kejadian tadi langsung tidak memberi kesan kepadanya.

Hadif menatapnya sekilas sebelum menghela nafas kasar. Dia masuk ke tempat duduk pemandu dan menghempas pintu kereta dengan kuat.

"Tsk."

Dengan satu putaran tajam pada stereng, Hadif menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak. Mercedes-Benz GLE itu meluncur keluar dari parkir dengan laju. Deruman enjinnya menggema di ruang parkir itu.

Di tempat parkir, Ivan dan Zayan hanya mampu saling berpandangan.

"Aku tak tahulah siapa lagi keras kepala, bos atau Zareen," Zayan mengeluh, menggelengkan kepala.

Ivan meramas rambutnya yang tidak gatal. "Dua-dua pun sama je."

Di dalam kereta, suasana sunyi, hanya deruan enjin yang bergema. Hadif menggenggam stereng kuat-kuat, cuba menahan perasaan. Matanya fokus ke jalan, tetapi ekor matanya beberapa kali mencuri pandang ke arah Zareen.

Wanita itu masih duduk tegak, tangannya menekan bahu yang luka, tetapi tidak sedikit pun menunjukkan rasa sakit.

Hadif menggigit bibir. "Aku hantar kau ke klinik."

"Tak perlu." Zareen membalas tanpa menoleh.

Hadif mendengus. "Darah kau dah tembus baju! Itu masih ‘sikit’ bagi kau?"

Zareen mengangkat bahu, seolah-olah perkara itu tidak penting. "Ini tak ada apa-apa."

Hadif menghentikan keretanya secara tiba-tiba di tepi jalan. Brek mengejut itu membuatkan Zareen sedikit terhuyung ke depan.

Dia berpaling, menatap Zareen dengan wajah yang sukar ditafsirkan. Ada kemarahan. Ada kebimbangan. Ada rasa bersalah.

"Dammit, Zareen. Aku bos kau. Kalau kau mati tengah bertugas, aku yang kena tanggungjawab. Aku tak peduli kau kebal atau kalis peluru, sekarang aku suruh kau pergi klinik, kau ikut!"

Zareen terdiam sejenak. Kemudian, dia menghela nafas kecil.

"Saya masih hidup, bos," jawabnya perlahan. Nadanya seakan menyindir.

Hadif memejam mata sejenak, cuba menahan diri daripada membalas dengan lebih kasar. Ya, dia memang orang awam yang tidak akan faham sejauh mana kemampuan Zareen menahan rasa sakit. Tapi prinsipnya hanya satu. Zareen tetap seorang wanita, yang perlu dihormati dan dilindungi.

Dengan satu hembusan nafas, Hadif akhirnya memandu semula—kali ini, tidak terus ke pejabat.

Zareen mula menyedari perubahan jalan yang diambil. Dia mengerutkan dahi. "Bos nak ke mana?"

Hadif menjawab tanpa menoleh.

"Klinik."

Zareen ingin membantah, tetapi kali ini, nada Hadif membuatkan dia memilih untuk diam.

Dan buat pertama kali dalam tempoh dua jam terakhir, Hadif menang dalam pertarungan ego antara mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience