Bab 11

Romance Series 63271

Restoran Italian Apetito.

Dari jauh, Hadif dan Zareen sudah melihat Daniel melambai-lambai dari meja yang terletak di bahagian tengah restoran. Lelaki itu kelihatan santai, namun aura bisnes yang serius masih terpancar dari caranya berpakaian—kemeja putih Tom Ford, jam tangan Tag Heuer, dan rambut disisir kemas ke belakang.

Hadif berjalan terus ke meja tersebut dan menarik kerusi untuk duduk berhadapan dengan Daniel. Zareen, bagaimanapun, tidak terus mengikut. Dia berdiri sedikit jauh, cuba memberi ruang kepada Hadif dan Daniel untuk berbincang tanpa gangguan.

Hadif yang perasan akan kelakuan itu mengangkat kening. “Kau nak ke mana?”

Zareen mengangkat bahu. “Buat kerja?”

Mata Hadif membulat sedikit. “Duduk sebelah aku.” Arahnya, nada tegas dan tidak boleh dibantah.

Zareen mengeluh perlahan, namun akhirnya menarik kerusi dan duduk di sebelah Hadif. Daniel yang sejak tadi memerhati kejadian itu menyandarkan tubuh ke belakang, matanya bersinar dengan tanda tanya.

“Who is that?” dahinya berkerut.

“My bodyguard.” Jawab Hadif ringkas.

Daniel tersenyum tipis. “What happened to Zayan?”

“Dalam kereta.”

Daniel mengangguk perlahan, matanya kembali tertumpu pada menu yang baru dihantar oleh pelayan. Hadif turut mencapai buku menu tersebut, meneliti pilihan makanan yang ada.

Zareen membuka buku menu dengan perlahan, tidak menyangka harga setiap hidangan di restoran itu akan membuatkan matanya terbeliak.

RM120 untuk sepinggan pasta?!
RM180 untuk steak?!
RM90 untuk salad?!

Dia menelan liur. Dalam dompetnya, kalau dikira betul-betul, duit tunai tak sampai pun seratus ringgit. Kalau dia makan di sini, dia mungkin terpaksa ikat perut seminggu.

Pelayan datang dengan senyuman profesional, bersedia untuk mengambil pesanan.

“I’ll have the Black Truffle Risotto and a glass of Moroccan Mint Tea” kata Daniel tanpa teragak-agak.

“Wagyu Tenderloin, medium rare. Air, mineral biasa saja.” Hadif pula memilih tanpa banyak fikir.

Pelayan kemudian memandang ke arah Zareen, menunggu pesanannya. Wanita itu cepat-cepat menutup buku menu.

“Saya tak lapar.” Jawabnya ringkas.

Hadif berpaling ke arahnya, matanya mengecil sedikit. “Kau tak makan?”

Zareen menggeleng. “Saya dah makan tadi.”

Hadif memandangnya lama, seakan tidak percaya. Zareen menahan rasa gelisah, berharap lelaki itu tidak mendesaknya lagi. Dia hanya mahu duduk diam dan menunggu Hadif selesai berbincang dengan Daniel.

Namun, Hadif bukan jenis yang mudah percaya begitu saja.

“Bagi dia Creamy Truffle Mushroom Soup, Garlic Bread dan Original Ice Tea.” Ucap Hadif kepada pelayan sebelum Zareen sempat membantah.

Zareen menoleh ke arahnya. “Saya kata saya tak nak—”

“Makan saja. Kau kerja dengan aku, takkan aku nak biarkan kau kebulur?” Hadif bersuara tenang, tetapi penuh ketegasan.

Zareen menggigit bibir. Dia tidak mahu menyusahkan Hadif, tapi menolak pun mungkin hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan.

“Fine.” Dia akhirnya mengalah.

Pelayan mencatat pesanan dan beredar. Daniel yang sejak tadi memerhati situasi itu mengangkat kening, senyumannya penuh makna.

“You sure she’s just a bodyguard?”

Hadif menjeling tajam. “Eat your food, Daniel.”

Daniel ketawa kecil, sementara Zareen pula hanya menatap meja dengan perasaan yang sukar dijelaskan.

"Mesti dia tengah gelakkan aku sebab tak ada duit nak makan," gumam Zareen dalam hati.

Hampir dua jam Zareen menemani Hadif dan Daniel berbincang tentang perniagaan mereka. Macam-macam posisi dia duduk—bersandar, menyilangkan tangan, malah sempat mengurut tengkuk sendiri. Akhirnya, dia duduk menongkat dagu, mata semakin layu. Mengantuk.

Perbualan mereka yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris dengan loghat British yang tebal membuatkan dia semakin bosan. Sesekali dia cuba menangkap isi perbualan, tetapi banyak istilah korporat yang dia kurang faham. Margin keuntungan, capital investment, market expansion—semuanya berbunyi seperti kuliah ekonomi yang membosankan.

Lebih baik aku berdiri. Sekurang-kurangnya dia dalam keadaan bersedia kalau ada apa-apa berlaku. Duduk terlalu lama begini hanya membuatkan Zareen mengantuk.

Dengan perlahan, dia menolak kerusi dan bangun, berdiri tegak di sisi meja. Hadif yang sedang bercakap tiba-tiba mengerling ke arahnya.

“Kau buat apa?”

“Duduk terlalu lama buat saya mengantuk,” jawab Zareen jujur.

Daniel yang mendengar jawapan itu ketawa kecil. “She’s a bodyguard, mate. Always on alert.”

Hadif menghela nafas. “Duduk.”

“Saya lebih selesa berdiri.”

Hadif menjeling tajam, tapi tidak memaksa. Dia tahu Zareen keras kepala. Kalau dia suruh duduk pun, nanti wanita itu akan mencari alasan lain.

Daniel tersenyum kecil.

Zareen tidak peduli dengan reaksi mereka. Dia hanya mahu memastikan dirinya kekal fokus. Matanya perlu tajam. Telinganya perlu peka.

"Let's end our discussion here." Hadif memandang Daniel dengan nada tegas.

Daniel terpinga seketika sebelum tersenyum kecil. Dia sudah lama mengenali Hadif dan faham benar dengan sikap sahabatnya itu. Hadif bukan jenis yang suka membiarkan orang di sekelilingnya bosan menunggu.

“Well, that’s unexpected,” Daniel mengulas santai, menutup fail dokumen di hadapannya. “You sure you don’t want to go through the investment details one more time?”

Hadif menggeleng. “We’ll go over it later. Aku tak suka berbincang terlalu lama di tempat terbuka.”

Daniel mengangkat bahu, tanda akur. Dia meneguk sisa Moroccan Mint Tea di dalam gelasnya sebelum melirik ke arah Zareen yang masih berdiri tegak.

"You’re lucky to have a bodyguard who takes her job seriously," ujar Daniel separa bergurau.

Hadif hanya mengangkat kening tanpa memberi sebarang komen. Dia mencapai telefon bimbitnya dan memeriksa notifikasi yang masuk.

Pelayan datang membawa bil, dan seperti biasa, Daniel yang mencapainya dahulu.

“It’s on me,” katanya sebelum Hadif sempat bersuara.

Hadif hanya mengangguk kecil, membiarkan sahaja. Dia tahu Daniel memang suka belanja bila mereka keluar makan.

Selesai membayar bil, mereka bertiga melangkah keluar dari restoran mewah itu menuju ke tempat parkir. Suasana malam di sekitar Italian Apetito masih meriah dengan pengunjung, namun bagi Zareen, suasana itu langsung tidak menarik perhatiannya. Fokusnya hanya pada sekeliling—memastikan tiada ancaman.

Spontan, Hadif mendahului langkah dan membuka pintu kereta untuknya.

Zareen terkaku. Matanya membulat seketika, tidak percaya dengan tindakan lelaki itu. Mahu saja dia menutup kembali pintu itu dan berpura-pura tidak melihat.

Sepatutnya dia yang bukakan pintu untuk Hadif, bukan sebaliknya.

Namun, Hadif hanya berdiri santai di sisi kereta, tangannya masih menahan pintu yang terbuka. Riak wajahnya seperti biasa—tenang, langsung tidak menunjukkan ada yang pelik dengan tindakannya.

Daniel yang memerhatikan reaksi Zareen tertawa kecil.

"Forgive my friend, Miss Bodyguard. He's just trying to be a gentleman," seloroh Daniel sambil bersandar pada Mercedes Benz Hadif.

Zareen mengetap bibir. Gentleman? Baginya, itu langsung tidak masuk akal. Sebagai seorang bodyguard, dia sudah biasa dengan protokol keselamatan—Hadif sepatutnya masuk dahulu, barulah dia menutup pintu dan bersedia.

Namun, lelaki itu nampaknya lebih suka melanggar protokol keselamatan.

Dengan perasaan serba salah, Zareen akhirnya masuk ke dalam kereta. Hadif menutup pintu dengan tenang sebelum bergerak ke tempat pemandu.

Daniel masih tersenyum sinis. Dia menggeleng perlahan, melihat interaksi pelik antara sahabatnya dan bodyguardnya.

"Your dominant and gentlemanly attitude must be admired by many women,” kata Daniel sambil memasukkan tangan ke dalam poket seluarnya. "But with a woman like Zareen, it might be a bit difficult."

Hadif hanya tersenyum tipis. "I'm just treating her as a woman, Daniel."

Zareen yang mendengar perbualan itu hanya menghela nafas perlahan. Dia tidak faham sikap Hadif, tetapi satu perkara dia pasti—dia tidak suka berada dalam situasi begini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience