Bab 10

Romance Series 63271

"Papa..."

Suara itu datang perlahan dari dalam Chevrolet Camaro merah yang tersadai di bahu jalan. Lampu jalan yang suram hanya mampu menerangi sedikit bahagian kereta mewah itu. Jantung Tuan Idris berdegup kencang. Langkahnya terhenti seketika. Dada terasa sesak.

Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia menarik pemegang pintu perlahan-lahan.

"Medina..."

Dia tergamam.

Medina terkulai di tempat duduk pemandu. Gaun pengantin putih yang dipakainya dibasahi darah. Sebahagian kain itu koyak, terkena percikan merah yang kian mengering. Nafasnya lemah. Bibirnya pucat, tetapi dia masih berusaha untuk tersenyum.

"Papa..." panggilnya separuh berbisik.

Mata Tuan Idris berkaca. Air mata lelaki yang sekian lama ditahan akhirnya jatuh ke pipi. Lututnya hampir lemah, tetapi dia gagahkan diri menghampiri anak kesayangannya.

"Tidak, sayang... Papa tak boleh kehilangan kau. Tolong jangan pergi."

Medina menggeleng perlahan, bibirnya mengukir senyuman yang semakin pudar.

"Ini... gaun pengantin Medina, Papa. Cantik, kan?"

"Cantik, sayang..." suara Tuan Idris tersekat di kerongkong.

Tubuh Medina semakin longlai. Kelopak matanya perlahan-lahan menutup.

Sunyi.

"Medina..." panggilnya lirih.

"Medina..., Papa datang untuk bawa kau balik, sayang..."

Sunyi.

Tiada jawapan.

"Medina!" jerit Tuan Idris.

Seketika, segalanya kelam.

___

Dia tersentak. Nafasnya memburu. Dada turun naik.

Matanya mengerdip beberapa kali sebelum dia sedar—itu cuma mimpi. Lagi.

Lagi-lagi mimpi yang sama.

Tuan Idris menekup wajah. Bahunya terhinggut-hinggut menahan esakan. Sudah tiga bulan berlalu sejak Medina pergi. Tiga bulan, tetapi mimpi itu terus menghantuinya.

Medina mati ditembak.

Tembakan itu sepatutnya bukan untuknya.

Seharusnya Hadif yang mati malam itu.

Tuan Idris mengetap gigi. Nafasnya menjadi berat. Jemarinya mengepal sehingga sendi-sendi jari berbunyi. Di dalam hatinya, dia berjanji—

Dia akan membalas dendam untuk Medina.

Hadif.

Nyawa akan dibayar dengan nyawa.

Angin malam berhembus perlahan di beranda banglo dua tingkat Tuan Idris. Langit gelap tanpa bintang, seakan turut berkabung atas kematian Medina.

Lelaki itu bangkit dari kerusi. Langkahnya diatur ke meja kecil di sudut ruangan. Dia menarik laci dan mengeluarkan sebuah fail hitam. Fail yang sudah lama tersimpan, tetapi kini tiba masanya untuk dibuka semula.

Dia menyelak halaman pertama.

Gambar Hadif.

Wajah lelaki itu terpampang jelas. Senyumannya yang dulu tampak bersahaja, kini menjadi pemandangan yang membakar amarah di dada.

Hadif.

Lelaki yang bakal menerima balasan setimpal.

Jari Tuan Idris mengetuk permukaan fail itu. Seketika, dia mencapai telefon di atas meja dan mendail nombor seseorang.

Nada dering berbunyi. Sekali. Dua kali.

"Ya?"

Suara garau di hujung talian menyapa telinganya.

"Aku mahu kau cari pembunuh upahan."

"Siapa?"

Mata Tuan Idris tajam menikam gambar Hadif.

"Pembunuh dari Thailand. Nirat dan Fern." suara dihujung talian kedengaran tertawa besar. "Kau tahu susah nak cari mereka dan upah pun bukan sikit, Idris."

Tuan Idris mengetap gigi. Nafas dihela kasar.

"Aku tak kisah. Asalkan orang yang aku nak bunuh, mati," Tuan Idris menatap gambar Hadif penuh dendam. Talian diputuskan. Tuan Idris duduk semula di kerusinya. Fikirannya melayang, kembali mencari-cari serpihan memorinya dengan anak kesayangannya, Medina.

---------------------

Selesai mandi, Hadif mengenakan kemeja biru lembut dari Ralph Lauren, dipadankan dengan seluar slack hitam dari jenama yang sama. Rambutnya yang ditata ala curtain style dikemaskan rapi, menampakkan sisi maskulin yang semakin terserlah. Rolex Submariner berbingkai emas putih melingkar di pergelangan tangan kiri, sepadan dengan penampilannya yang eksklusif. Beberapa semburan Bvlgari Man in Black, wangian kegemarannya, melengkapkan kesempurnaan.

Malam ini, dia akan bertemu Daniel di restoran kegemaran rakannya itu—Italian Apetito. Sambil makan, mereka akan berbincang tentang kerja. Hadif mencapai briefcase hitamnya yang tersusun rapi di atas meja kerja.

Sebelum melangkah keluar, dia menyarungkan kasut kulit Paul Evans yang tersusun kemas di rak. Seperti biasa, setiap pergerakannya diikuti dengan sistem lampu automatik yang perlahan-lahan terpadam di belakangnya. Pintu automatik kondominium terbuka saat dia menghampirinya, dia melangkah santai keluar dari kondminium itu.

Turun ke tempat parkir, matanya terus menangkap dua kenderaan yang diparkir kemas—Audi RS7 dan Suzuki Gixxer. Ivan, Zayan dan Zareen setia menanti, memantau dan mengekori pergerakannya. Namun, lebih menarik perhatiannya adalah kelibat Zareen, yang duduk santai di kaki lima berhampiran motornya.

Wanita itu segera bangkit apabila melihat Hadif keluar dari lif. Hadif mengeluarkan telefon dari poket seluar. Dia menekan nombor Zareen, menyambungkan panggilan dengan bodyguard peribadinya itu.

“Kau naik kereta aku.” Suaranya bernada arahan, tegas dan tidak boleh dibantah.

Zareen mengerutkan dahi. “Motor—”

“Tinggal. Aku hantar kau balik nanti.” Ketegasan dalam suara Hadif membuatkan wanita itu terdiam seketika.

Dari hujung alat komunikasi yang tersambung di telinga Zareen, Ivan dan Zayan yang mendengar perbualan itu terkedu. Mereka berpandangan sesama sendiri, kening masing-masing terangkat dengan rasa ingin tahu.

“Phoenix?” Suara Ivan kedengaran di talian.

“Aku naik dengan Imperial.” Suara Zareen kedengaran tenang, namun jelas dia tidak punya pilihan lain.

Dengan sedikit keluhan, Zareen memarkir motosikalnya. Helmet full-face yang sentiasa menjadi peneman setia dicapai lalu dibawa ke kereta Hadif. Dia membuka pintu belakang, meletakkan helmetnya dengan cermat sebelum menutup kembali pintu tersebut. Kemudian, dia menuju ke tempat duduk penumpang di hadapan dan masuk ke dalam.

Dengan berat hati, Zareen mengenakan seatbelt. Hadif tidak berkata apa-apa. Hanya bunyi deruman enjin Mercedes Benz GLE Class yang memenuhi ruang. Tanpa berlengah, dia memandu menuju ke Italian Apetito.

Mereka berdua dalam perjalanan, namun suasana dalam kereta itu terasa aneh. Kekok. Zareen mempamerkan muka ketat, manakala Hadif tampak lebih santai.

Hadif memandu dengan tenang, sesekali melirik ke arah Zareen yang duduk di sebelah. Wanita itu kelihatan sedikit tegang, kedua-dua tangannya bertaut di atas paha. Dia tidak biasa duduk dalam keadaan begini—sebagai penumpang, dan lebih-lebih lagi, di sebelah lelaki yang begitu dominan seperti Hadif.

Hadif menghela nafas perlahan. Dia tahu Zareen seorang wanita yang tegas, sukar dikawal, dan lebih selesa dengan kebebasannya sendiri. Tapi entah kenapa, malam ini dia mahu Zareen mengikut arahannya.

“Relax sikit. Aku bukan nak culik kau,” ujar Hadif, cuba meredakan ketegangan.

Zareen menjeling sekilas. “Saya tak kata pun bos nak culik saya.”

“Tapi muka kau macam tengah fikir cara nak larikan diri.” Hadif tersenyum sinis.

Zareen mendengus kecil. “Saya cuma tak biasa naik kereta orang.”

“Jadi, kau lebih selesa dengan motor berbanding kereta mewah?”

Zareen mengangkat bahu. “Motor lebih bebas.”

Hadif mengangguk kecil. Dia sudah menjangkakan jawapan itu. Perjalanan diteruskan dalam diam, hanya diiringi alunan muzik instrumental perlahan dari sistem audio kereta.

Tangan Zareen masih bertaut erat di pahanya. Hadif menyedari hal itu dan tanpa berfikir panjang, dia mencapai suis pemanas tempat duduk.

Zareen tersentak. “Bos buat apa?”

“Bagi kau rasa selesa.”

“Saya tak suruh pun.”

Hadif tersenyum lagi. “Tak perlu suruh. Aku tahu kau sejuk.”

Zareen menggigit bibir. Lelaki ini betul-betul susah dibaca. Kadangkala menjengkelkan, kadangkala ada sisi yang menyenangkan.

Beberapa minit kemudian, Hadif membelok ke kawasan parkir restoran Italian Apetito. Dia mematikan enjin dan menoleh ke arah Zareen.

“Lepas ni kau duduk meja lain atau nak makan sekali dengan aku dan Daniel?”

Zareen mengangkat kening. “Saya ikut bukan untuk makan. Saya cuma buat kerja saya.”

Hadif tersenyum tipis. “Suit yourself.”

Dia keluar dari kereta dan Zareen turut serta. Mata wanita itu terus melingas, meneliti kawasan sekitar. Seperti biasa, dia tidak pernah leka dengan tugasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience