BAB 16

Romance Series 63878

HARRIS melangkah laju mengikut jejak anaknya. Sempat dicapai lengan Atiya hingga langkah Atiya terus terhenti. Atiya cuba meronta untuk melepaskan diri namun pelukan Harris membuatkan rontaan Atiya langsung tidak terkesan pada Harris. Tubuh Atiya dipeluk kuat sehingga tangisan anaknya terdengar begitu menyedihkan. Afiqah dan Hasnah yang berdiri di pintu utama hanya memandang sesama sendiri.

" Abang bawa Tiya balik rumah dulu. Malam nanti abang datang semula", Harris memandang Afiqah dan menarik perlahan Atiya turun dari beranda rumah tanpa menunggu jawapan dari Afiqah.

Pandangan mata Afiqah tertumpu pada batang tubuh Harris yang membuka pintu kereta. Tanpa disuruh Atiya terus masuk ke dalam perut kereta. Tutup sahaja pintu kereta Harris kembali semula mendekati Afiqah dan bersahaja ditarik tubuh Afiqah dalam pelukannya. Afiqah agak tergamam kerana malu juga dia diperlakukan begitu di hadapan Hasnah. Ya. Dia malu kerana dia tidak suka dilayan begitu di hadapan orang lain.

" Malam nanti abang balik sini semula", kening Afiqah dikucup usai pelukan dilepaskan.

" Okay. Jangan bergaduh pula dengan Tiya", pesan Afiqah. Dia tahu dan dia nampak Harris sedang menahan kemarahan terhadap kelakuan anaknya itu.

" Jangan risau. Apa-apa call abang",

Afiqah hanya mengangguk perlahan dan melihat sahaja tubuh Harris masuk ke kereta sehingga kereta itu berlalu dari pandangan.

WAJAH muram Atiya dipandang sekilas namun dia tiada hati mahu menegur dan memujuk sekarang. Biarlah tunggu di rumah nanti kerana sekarang hatinya juga masih panas dengan karenah Atiya. Dia mahu tahu apa masalah Atiya. Apa yang buat Atiya bertindak begitu tadi. Dia kenal anaknya. Dia kenal Atiya bukan anak yang kurang ajar. Atiya anak yang patuh dan sangat menghormati orang lebih tua daripadanya. Cuma semenjak dia selalu bersama Zahlia beberapa bulan ini buat Atiya berubah laku. Kerana Zahlia? Tak mungkin Zahlia mengajar anaknya jadi kurang ajar! Tak mungkin Zahlia mengajar anak dia perkara bukan- bukan pula. Tak mungkin seorang ibu mendidik anak untuk jadi begitu. Sakit melahirkan pun tidak terperi tak mungkin mahu biar sakit hati melayan karenah kurang ajar seorang anak pula.

" Pergi mandi. Maghrib nanti kita solat sama-sama",

Itulah rancangan Harris. Selepas solat jemaah adalah waktu yang paling sesuai untuk dia berbual dengan Atiya. Walaupun sekarang ni dia sangat mahu tahu apa hal yang sebenarnya namun dia mahu memberi masa kepada anaknya itu. Petang tadi ketika dia memujuk Atiya di dalam bilik anaknya itu langsung diam. Langsung tidak bersuara walaupun sepatah. Sudahnya anak itu meluru keluar dari bilik dan memekik di hadapan Afiqah. Jika ikutkan kemarahannya tadi mahu sahaja ditampar mulut anak itu. Namun anak zaman sekarang tidak boleh menggunakan kekerasan seperti zamannya dahulu. Makin keras tindakan makin melawan pula anak-anak sekarang! Anak zaman dahulu dijeling sahaja pun terus faham dan diam.

" Malam ni kita tak payah balik rumah nenek boleh. Kita tidur sini je. Tiya penatlah ayah. Boleh?",

Hah! Sudah. Tadi dia sudah berjanji dengan Afiqah akan bermalam di sana. Ya. Selalunya begitu. Seminggu di sini dan seminggu di sana. Afiqah sebenarnya sudah bersetuju untuk tinggal bersama di sini namun Atiya pula buat hal. Tak mahu Afiqah tinggal di rumah mereka. Namun Harris sudah bertegas dia hanya akan bersetuju sebelum Afiqah bersalin sahaja. Selepas Afiqah bersalin dia akan membawa Afiqah tinggal bersama. Huh. Pening kepala dengan onar Atiya. Kali ini dia mengikut sahaja kehendak anaknya itu kerana dia mahu Atiya mengikut pula permintaannya selepas ini. Bukan terlalu memanjakan anaknya namun kerana Afiqah juga bersetuju begitu dia menurut sahaja. Ya. keadaan Afiqah yang mula sarat juga buat dia bimbang juga meninggalkan isterinya itu sendirian di rumah.

USAI sahaja solat dan berdoa Atiya terburu-buru bangun selepas bersalaman dengan ayahnya. Melihat Atiya yang mahu cepat berlalu Harris menegur. " Duduk Tiya. Ayah nak cakap dengan Tiya", perlahan namun jelas ada ketegasan.

Atiya duduk semula. Dadanya berdebar laju. Dia tahu ayahnya tentu mahu membincangkan hal petang tadi. Selalunya begitu. Dia kenal sangat dengan nada suara ayahnya bila ada hal yang tidak kena. Lembut. Tapi tegas!

" Apa masalah Tiya dengan umi sebenarnya. Cakap dengan ayah",

Diam.

" Umi ada marah-marah atau pukul Tiya?", walaupun tahu Afiqah tidak pernah naik tangan pada Atiya dia sengaja mahu menarik perhatian Atiya untuk bersuara.

Atiya menggeleng laju.

" Umi ada ambil barang Tiya yang Tiya sayang?",

Kali ini Atiya menggeleng lagi. Namun seketika anggukan Atiya buat dahi Atiya berkerut dan otaknya berfikir. Barang apa yang Afiqah ambil.

" Umi ambil apa?",

" Umi ambil ayah dari Tiya",

Alamak! Hampir sahaja Harris menepuk dahinya. Aku salah soalan ke apa ni?

" Kenapa pula Tiya fikir umi ambil ayah dari Tiya. Umi kan isteri ayah", matanya merenung tepat mata Atiya. Namun cepat Atiya menunduk. " Tiya cemburu ayah dan umi? Takkanlah", gurau Harris sambil ketawa kecil mahu membawa bualan mereka lebih santai dan tidak terlalu serius.

Atiya diam.

Harris yang bersila mengengsot perlahan mendekati Atiya. Tangannya menekap lembut pipi Atiya dan membawa wajah anaknya itu supaya memandang wajahnya. Harris berwajah serius. " Ayah tak suka dengan apa yang Tiya buat pada umi petang tadi. Tiya jerit pada umi. Tak elok seorang anak tinggikan suara macam tu pada orang dewasa. Ayah tak pernah ajar macam tu. Lagipun umi isteri ayah bermakna umi tu dah jadi macam mak pada Tiya. Umi pun mak saudara Tiya juga. Macam mak juga pada Tiya. Ayah minta maaf kalau Tiya rasa ayah macam lebihkan umi. Tapi tak. Ayah sayang umi sebab umi isteri ayah. Ayah sayang Tiya sebab Tiya anak ayah",

Atiya hanya mendengar. Sungguh dia lemah jika ayahnya berbicara dalam keadaan begini.

" Tak ada isu umi ambil ayah dari Tiya seba ayah yang buat pilihan untuk kahwin dengan umi ", tangan dilepaskan.

" Tiya ingat tak dulu. Tiya yang sungguh-sungguh nak ayah kahwin dengan umi sebab Tiya cakap umi sayang Tiya. Umi akan jaga Tiya macam seorang ibu jaga anak dia. Tiya cakap Tiya sayang umi sebab umi baik. Tapi sekarang? Dah lain. Tiya dah tak sayang umi?",

Diam.

" Tiya dah tak sayang umi?" ,

Soalan Harris buat segala kenangannya bersama Afiqah 3 tahun ini terlayar satu persatu. Saat Harris tiada dan sibuk dengan urusan kerja Afiqah yang menjaganya. Tidur dalam pelukan Afiqah itu biasa. Makan makanan yang dimasak Afiqah boleh kata setiap hari. Apa lagi. Boleh kata masanya lebih banyak bersama Afiqah berbanding Harris tiga tahun ini.

" Tiya tak sayang umi?",

" Sayang..", jawab dengan wajah yang sudah mencebik menahan tangis.

" Jadi kenapa buat umi macam tu tadi?",

" Ibu yang suruh Tiya benci umi. Ibu yang suruh. Tiya tak nak", Atiya terus memeluk tubuh Harris dan menangis lagi. Kali ini lebih kuat dari siang tadi. Mungkin beban di kepalanya yang sudah dilepaskan.

Bicara Atiya buat Harris tercengang. Terus membuak rasa marahnya pada Zahlia. Apa masalah Zahlia? Gila ke apa? Kalaulah bekas isterinya itu ada di depan matanya sekarang tentu dihamburkan makian. Dia tidak peduli walaupun wanita itu adakah ibu kepada anaknya.

Tubuh Atiya dipeluk erat dan diusap kepala anak itu. Sampai hati Zahlia bebankan anaknya dengan hal orang dewasa. Zahlia ni memang sengaja cari masalah! Cari nahas agaknya. Tak habis-habis! Dah gila ke apa Zahlia ni! Kutuk Harris dalam hati tidak suka dengan perbuatan bekas isterinya itu.

Puas Harris memujuk sehingga Atiya mula bertenang. Mereka menunggu Isyak sebelum Harris menyiapkan nasi goreng kampung untuk mereka malam itu. Usai Isyak dan makan malam Atiya meminta Harris menemaninya tidur malam itu. Hanya duduk di birai katil memerhatikan Atiya yang memejamkan mata sehinggalah Atiya terlena. Harris mengerling jam di dinding. 9.45 malam. Awal anak itu masuk tidur malam ini.

" Kenapalah ibu Tiya suruh Tiya buat bukan- bukan", ujarnya perlahan mengelus lembut pipi anaknya. Harris mengeluh perlahan seakan membuang rasa kecewa yang bersarang di hatinya sekarang.

Dia kenal Zahlia sebagai wanita penakluk dan dulu dia menyenangi sahaja sifat itu. Dia senang kerana memiliki dan dimiliki Zahlia. Mana mungkin dia menolak wanita cantik dan bijak seperti Zahlia kerana itulah sifat wanita yang dicarinya dulu. Kenapa sampai macam ni Lia?

KETIKA Harris mahu bergerak ke biliknya dia terdengar pintu depan diketuk. Siapa? Bergegas dia keluar dan membuka pintu.

Iqa? Harris terpaku dan cepat membukakan pintu gril.

" Abang okay?", tanpa salam terus diterjah dengan soalan.

" Okay", balas Harris melihat Afiqah yang nampak kebimbangan.

" Iqa call abang. Iqa call Tiya tak dapat. Iqa bimbang apa-apa jadi dengan abang dan Tiya",

" Telefon abang tengah cas tadi tak on. Sayang seorang?", bimbang juga suara Harris sambil kepalanya memandang kiri dan kanan.

" Dengan nenek. Nenek dalam kereta",

" Panggil nenek masuk. Tidur sini je malam ni. Abang tak boleh keluar. Tiya dah tidur",

" Iqa datang nak tengok keadaan abang dan Tiya je. Tiya masih marahkan Iqa tu. Esok bangun tengok Iqa dekat sini makin marah dia",

" Tiya anak abang. Iqa isteri abang sayang. Abang tak nak Iqa fikir abang lebihkan Tiya. Jom masuk. Abang panggilkan nenek masuk", tegas suara Harris. Afiqah pula hanya menurut dan melihat sahaja Harris keluar memanggil Hasnah.

MELIHAT renungan mata dan senyuman Harris di biasan cermin membuatkan Afiqah yang berdiri di hadapan cermin juga turut tersenyum sama. Tidak puas begitu Harris bangun dan memeluk tubuh itu. Sekilas telinga Afiqah dikucup lembut.

" Tak sangka Iqa akan cari abang di sini",

Afiqah ketawa kecil. " Iqa call abang tak dapat. Iqa bimbang abang dan Tiya gaduh teruk je", sungguh Afiqah kebimbangan tadi kerana apabila terfikirkan zaman sekarang kan macam-macam hal boleh berlaku.

" Sayang juga Iqa pada abang ye", dagunya diletakkan di bahu Afiqah.

" Tak..", sendaan Afiqah membuatkan Harris melepaskan pelukannya dan duduk di birai katil. Melihat wajah masam Harris Afiqah mendekat dan bersahaja duduk di ribaan lelaki itu.

" Ah. Beratnya sayang", adu Harris namun pinggang Afiqah diraih dan dipeluk dengan kedua tangannya supaya kedudukan mereka lebih stabil.

Wajah mereka saling berpandangan. Senyuman Afiqah benar-benar mengkhayalkanya apatahlagi apabila bersahaja Afiqah mengucup bibir lelaki itu.

" Iqa sayang abang", senyumnya tidak lekang dari bibir dan sekali lagi bibirnya mencari bibir Harris.

" Abang tahu. Abang dah lama tahu", leher Afiqah dikucup. Afiqah ketawa kegelian apabila Harris menggeselkan hidungnya di lehernya. " Abang pun sayangkan Iqa", leher Afiqah dikucup. Sungguh dia sukakan kemesraan begini. Indah dan membahagiakan.
" Banyak mana sayang tu?", soal Afiqah sambil mengelus lembut pipi Harris.

" Perlu ke tanya soalan macam tu?", sengaja Harris menunjukkan wajah tidak senang dengan mengerutkan dahinya.

Afiqah ketawa. " Perlu..Sebab tu Iqa tanya",

" Cukuplah Iqa tahu abang sayang Iqa. Soal banyak mana tu terlalu anak-anak untuk dipersoalkan", serius pula suara Harris. Afiqah memuncung terasa seperti disindir. Baru hendak bangun dari ribaan Harris cepat lelaki itu menahan.

" Umi ni sejak baby nak keluar cepat emo lah. Orang baby nak keluar happy..", perut Afiqah diusap perlahan.

" Emo dengan ayahlah", manja suara Afiqah.

" Rugi kalau umi emo dengan ayah tahu tak", bibir Afiqah dikucup perlahan.

" Mengantuk. Nak tidur", Afiqah bangun dari ribaan Harris dan terus naik ke katil dengan wajah bersahaja.

" Haih. Merajuk ke?",

" Hmm..", gumam Afiqah sambil tubuhnya direbahkan ke dada katil dan terus berbaring. Lama sudah dia tidak tidur di sini.

Harris ketawa bahagia. Tidak menunggu lama apabila dia juga turut berbaring di sebelah Afiqah dan saling memandang.

" Terima kasih datang sini teman abang. Abang ingat tadi lepas Tiya okay abang nak ke sana juga. Tapi Iqa sampai dulu ke sini", pipi Afiqah dielus lembut dengan ibu jarinya.

Afiqah hanya membiarkan perlakuan Harris kerana dia suka dimanjakan begitu. Sungguh langsung dia tidak menduga akan sisi romantis seorang Harris. Ketika lelaki itu mengahwini Zahlia dulu memang Harris bukan seorang yang terbuka menunjukkan kemesraan di hadapannya. Tidak pernah dia terlihat Harris memeluk Zahlia di ruang rumah. Cuma apa yang dia nampak layanan Harris kepada Zahlia sangat baik sehingga dia menyimpan keinginan memiliki suami seperti Harris. Nah! Sekarang bukan sahaja mimpi bukan juga angan-angan atau sekadar keinginan dan hasrat tetapi dia benar- benar memiliki seorang Harris.

Afiqah mengulum senyum dan tanpa kata dia memagut sekilas bibir Harris. " I love you abang", ucap Afiqah berbisik.

Harris terkaku. Tidak pernah Afiqah menuturkan 3 kata cinta itu. Redup renungan mata dan senyuman manis isterinya membuaikan Harris lantas tubuh itu ditarik dalam pelukannya sehingga Afiqah terjerit dengan perlakuan pantas Harris.

Pelukan dilepaskan dan wajah Afiqah ditenung penuh kasih. " I love you to sayang", bibir Afiqah dicari dan wajah Afiqah dikucup penuh kasih lalu menarik kembali tubuh Afiqah ke dalam pelukannya. Allah hadirkan rasa cintanya untuk Afiqah saat dia takut merasai kehilangan wanita itu. Usah ditanya bagaimana cinta itu mula mekar dan mewangi. Apa yang dia tahu dia mahu bahagia bersama Afiqah dan anak-anaknya hingga syurga. Ah. Klise. Tapi itulah kenyataannya.

BUNYI bising seperti benda terjatuh dari luar bilik mengejutkan Harris dan Afiqah. Walaupun masih lagi mengantuk Harris berusaha juga untuk bangun. Afiqah yang juga sudah bangun dari baringnya juga turut mahu keluar.

" Sayang tidur je. Biar bang pergi tengok", halang Harris.

Afiqah hanya menurut. Elok sahaja Harris membuka lampu dan menarik tombol pintu terus sahaja dia dirempuh sehingga tubuhnya terus terhentak di lantai.

" Ya Allah abang!", Afiqah begitu terperanjat apabila melihat Harris yang cuba bangun namun kakinya ditendang dan lehernya diletakkan parang oleh seorang bertopeng hitam. Terlalu pantas langsung todak sempat Harris mahu mempertahankan diri.

" Abang..", langsung tidak terkeluar suara Afiqah apabila tubuhnya sudah menggigil ketakutan.

" Ambillah apa kau nak. Jangan apa-apakan isteri aku", Harris memandang wajah pucat Afiqah.

Jika dua lelaki itu tidak bersenjata tentu sahaja dia akan melawan. Namun memikirkan keselamatan diri dan isterinya dia cuba menurut dan berharap Atiya dan Hasnah tidak masuk ke sini.

Namun apabila seorang lagi lelaki bertopeng itu mendekati dan mengacukan parang ke perut Afiqah Harris cuba untuk bangun namun pantas disepak kaki Harris sebelum dia terduduk semula.

" Iqa..", bisik Harris perlahan. Apabila melihat lelaki itu mula menarik Afiqah secara kasar dan memaksa Afiqah untuk bangun membuatkan jantung Harris berdebar laju. Takut. Bimbang. Marah. Sakit hati. Semuanya bersatu.

" Aku bagi apa sahaja kau nak. Cuma jangan apa-apakan isteri aku", rayu Harris. Sungguh jika saat ini tiada Afiqah di hadapan matanya sudah diterajang lelaki itu. Sekarang ini dia hanya mahu nyawa mereka selamat. Dia tidak peduli jika dua lelaki itu mahu mengambil apa pun.

Lelaki tadi tanpa belas kasihan terus menolak kasar tubuh Afiqah sehingga terduduk ke lantai membuatkan Afiqah menjerit kuat menahan rasa sakit dan kerana bimbangkan kandungannya.

" Iqa..", jerit Harris mahu bangun namun tidak semena-mena kepalanya dihentak dengan benda keras membuatkan Harris terus terkulai.

" Ya Allah Abang..", jerit Afiqah apabila melihat Harris yang terbaring dengan lelehan darah pekat di lantai. Afiqah cuba untuk bergerak namun melihat darah yang mengalir di celahan pehanya juga buat dia kaku.

Dua lelaki tadi juga bagai kaku. Ini bukan yang dirancangkan.

" Lari!", terus dua lelaki tadi melarikan diri. Takut melihat keadaan Harris yang mungkin sudah tidak bernyawa.

Happy reading..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience