BAB 12

Romance Series 62817

I LOVE YOU SAYANG

Mesej diterima hanya dibalas dengan senyum nipis. Mahu membalas kata cinta. Entahlah. Dia belum bersedia menerima cinta lelaki itu tika ini. Takkan semudah itu Harris sudah jatuh cinta padanya. Atau mungkin sahaja kata cinta Harris tadi hanya kerana balasan di atas hubungan mesra mereka tadi.
Afiqah mengusap lembut perutnya yang mula sedikit membulat.

Afiqah teringatkan bisikan kasih sayang dan cinta dari lelaki itu saat mereka memadu asmara tadi. Bisikan kata yang lelaki itu tidak akan mempersiakan dia lagi. Afiqah memandang wajahnya di cermin. Direnung dalam sambil kepalanya terlayar pelbagai perkara yang telah berlaku antara dia dan Harris dalam setahun lebih ini.

Usia pernikahannya selama enam bulan bersama Harris. Hubungan mereka yang semudah itu terputus hanya kerana kepulangan Zahlia dan bersambung semula kerana anak dalam kandungannya. Kesungguhan Harris. Keprihatinan Harris. Sikap tidak putus asa Harris yang terus memujuknya.

" Kau dah sampai ke tahap ni Iqa. Takkan kau nak menyerah sahaja pada Kak Lia. Kau isteri Harris. Bukan Kak Lia", ujar Afiqah sendiri saat matanya memandang tepat biasan wajahnya di cermin. Telefon dicapai. Mesej Zahlia awal pagi tadi diulang baca.

Jangan sesekali berani rosakkan hubungan aku dengan Atiya.

" Kenapalah Kak Lia hantar mesej macam ni pula pada aku", Afiqah berbicara sendiri. Langkahnya diatur keluar dari bilik mahu melihat apa lauk yang dibeli Harris tadi. Jika tak kena dengan selera sempat lagi jika dia mahu masakkan lauk lain.

SUARA Harris dan Atiya seakan sedang sedang bertingkah di luar rumah membawa langkah Afiqah melihat apa yang berlaku. Matanya terpaku pada Harris yang berdiri memegang pintu kereta penumpang hadapan yang terbuka dengan wajah tegang.

" Kenapa pula dua beranak tu", langkah terus diatur ke arah keduanya. " Kenapa?", soal Afiqah penuh tanda tanya apabila sudah berhadapan dengan Harris.

" Tiya nak balik rumah ayah. Tiya tak nak balik sini", lurus Atiya menjawab buat Afiqah sedikit terkejut.

" Masuk rumah sekarang ayah cakap", suara Harris makin keras dan tidak lagi memujuk. Sejak dari dalam kereta lagi anaknya itu merungut tidak mahu balik ke rumah Hasnah.

" Tak nak", keras juga suara Atiya.

" Nak jalan sendiri ke nak ayah pikul macam pikul buah sawit lepas cop tu. Pilih?", kali ini berbaur ugutan. Namun lucu juga bila buah sawit dijadikan contoh.

" Hish", bentak Atiya dengan wajah mencuka sambil cepat keluar dari perut kereta serta menyandang beg sekolah di bahunya. Laju sahaja langkahnya melalui hadapan Harris dan Afiqah. Langsung tiada riak takut.

" Kenapa tu?",

" Merajuk tak nak balik sini",

Afiqah diam tidak tahu mahu merespon apa dan bagaimana.

" Jangan ambil hati dengan Tiya. Nanti abang akan slow talk dengan dia", Harris bersuara sambil memandang Afiqah. Bimbang jika Atiya terasa hati dengan tingkah laku anaknya walaupun bukan sehari dua Afiqah mengenali anaknya itu.

" Iqa tak ambil hati pun", meleret. ada suaranya.

Harris berpaling. Iqa bahasakan diri dia Iqa?

" Kenapa?", Afiqah terus menyoal apabila riak Harris nampak agak terkejut namun hanya dijawab dengan gelengan oleh Harris.

" Jom naik. Abang lapar ni. Beraktiviti dengan Iqa tadi buat abang lapar", sengihnya sengaja mahu mengusik. Terus terhenti langkah Afiqah kerana diusik begitu. Serius wajah Afiqah saat mata mereka saling berpandangan

" Okay. Okay. Abang minta maaf. Iqa tak suka abang gurau macam tu ya", Harris serba salah pula bergurau begitu apabila melihat wajah serius isterinya.

" Iqa dah panaskan lauk. Tunggu Tiya siap mandi solat kita makan", ujar Afiqah langsung berjalan laju meninggalkan Harris di belakangnya.

Harris pula terkaku di situ. Gelojoh kau ni Harris! Iqa baru nak ada mood dah potong mood orang tu. Hmm..Kau ni. Kutuknya dalam hati.

SUASANA di meja makan sunyi sahaja apabila Atiya tidak banyak celoteh. Melihat wajah suram Atiya Afiqah jadi tidak senang hati.

" Tiya nak tambah nasi lagi?", soal Afiqah apabila melihat nasi di dalam pinggan Atiya tinggal sedikit.

" Tak nak dah. Tiya dah kenyang",

" Okay", Afiqah terus menyambung makan. " Awak tambah nasi lagi?", soalnya pada Harris pula.

" Cukuplah. Sebab hari ni bukan sayang yang masak abang tak berapa selera",

Afiqah mencebik. Yalah sangat.

" Tadi Iqa nak masak Rris juga tak bagi nak makan beli kononnya. Makanan beli mana lah nak sama dengan masak sendiri", ujar Hasnah.

" Sajalah nak suruh Iqa dan nenek rehat. Sekali sekala makan tengah hari beli", ujar Harris lagi. Padahal dia bukan tak tahu. Afiqah dan Hasnah jenis makan makanan tengah hari yang dimasak sendiri di rumah kecuali jika kebetulan keluar ke bandar barulah makan di luar.

" Lepas ni kalau Iqa tak larat pun nenek boleh je masak", Hasnah juga menghabiskan nasi di dalam pinggannya. Dia juga kurang selera jika makan makanan yang dibeli. Entahlah. Dia juga kurang pasti sebabnya. Nak kata tak sedap, masakan dia pun biasa sahaja.

" Ayah tolong hantar Tiya sekolah agama kejap lagi ya",

" Okay",

Atiya mula bangun dari duduknya dan membasuh pinggan sendiri. Itu sudah menjadi kebiasaanya. Sejak umur 7 tahun. Ya sejak dia dan Harris ditinggalkan Zahlia dulu mereka saling membantu menyiapkan kerja rumah sehinggalah Afiqah datang hidup mereka kerja itu diambil alih oleh Afiqah dan mereka berdua pula hanya jadi pembantu sahaja.

LANGKAH Afiqah diatur ke beranda rumah. Mahu menyertai Hasnah bersantai mengambil angin di luar rumah kerana pada waktu tengah hari keadaa. di dalam rumah kayu agak panas walaupun berkipas. Mahu memerap dalam bilik dengan membuka penghawa dingin dia bosan pula.

" Nek. Atiya tu lain macam je dengan Iqa sekarang ni nek. Kalau Iqa bertanya baru nak bercakap. Kalau tak. Diam je. Tadi. Dia bergaduh dengan Harris tak nak naik rumah. Kena ugut dengan ayah dia barulah ikut. Itupun muncung je", adu Afiqah duduk di kerusi kayu.

" Adalah tu tak puas hati dengan ayah dia. Harris tu nampak je macam ikut kata anak. Kalau benda dia tak berkenan di hati tak adalah dia nak ikutkan si Tiya tu", pujuk Hasnah yang sedang mengait beg permintaan Maimun rakan mengajinya yang berkenan melihat beg Hasnah letakkan Al Quran bila datang mengaji. Sambil-sambil sahaja Hasnah mengambil upah mengait. Bukan mahu kumpul duit sangat pun. Dalam tempoh tiga bulan dia hanya menerima satu tempahan sahaja. Nak hilangkan bosan katanya.

" Atau dia tak suka Iqa balik dengan ayah dia?",

" Tak suka apanya. Hari tu dia juga memujuk rayu menangis nak Iqa baik balik dengan Harris",

" Itu dulu nek. Ni dah lima bulan",

" Pandailah ayah dia pujuk anak dia Iqa",

" Tapi Iqa tak senang hati nek",

" Sibuk fikir Atiya. Kamu dengan Harris tu?",

" Kenapa pula Iqa dengan Harris? Iqa dengan Harris okay je",

" Baguslah kalau okay. Nenek takut tak okay je", pandai sahaja Hasnah mengikut perkataan digunakan Afiqah.

" Nenek ada nak salahkan Iqa lah tu?",

" Mana pulak nak salahkan kamu",

Afiqah mengeluh perlahan. " Iqa dah belajar terima Harris semula",

" Eloklah. Rumah tangga mana tak ditimpa badai. Yang penting sama-sama mengakui silap dan perbetulkan. Nenek bukan nak masuk campur urusan rumah tangga kamu berdua. Cuma nak menasihat. Nanti-nanti nenek tak ada..", belum sempat ayat dihabiskan cepat sahaj Afiqah mencelah.

" Hah..Mulalah nak merepek tu. Cicit nenek ni nak tengok muka Oyang dia yang selalu membebel pada umi dia. Nanti dia cari manalah Oyang yang kuat membebel kat umi tu", Afiqah ketawa kecil dengan katanya sendiri.

" Kalau tak bebel. Kalau tak cakap tak faham. Orang dulu-dulu orang tua cakap berlapik pun faham. Tapi orang sekarang. Cakap terang-terang pun tak faham-faham",

" Ha..baby baby. Dengar tu Oyang bebel dekat umi. Baiklah Oyang zikir ke tenang juga baby kat dalam kan", perutnya diusap perlahan.

" Ibu dia lah berzikir", balas Hasnah dengan raut wajah bosan.

Afiqah ketawa dengan jawapan Hasnah. Huh! Langsung tak fikir lama ada sahaja jawapannya.

" Harris tidur sini malam ni?",

" Tak. Atiya nak tidur rumah sana", tadi ketika Atiya mahu masuk ke kereta sempat dia mendengar bicara dua beranak itu apabila Atiya memberitahu mahu tidur di rumah dan Harris bersetuju sahaja.

" Habis tu kamu?",

" Iqa kat sinilah teman nenek", tegas dan laju sahaja jawapannya.

" Ikut kamulah Iqa", malas pula dia mahu masuk campur. Cucu dan cucu menantunya ini keduanya sudah pandai berfikir. Yang seorang belajar luar negara. Yang ini walaupun setakat lulusan STPM sahaja bukan tak cerdik. Cerdik. Tapi entahlah budak zaman sekarang. Pelik-pelik cara berfikir. Kita yang tua ni juga pening. Ketus Hasnah dalam hati.

Afiqah hanya diam. Perjanjian dan persetujuannya dengan Harris begitu. Mana mungkin dia akan merubah keputusannya walaupun tengah hari tadi dia sudah tewas dengan pujuk rayu lelaki itu. Dan dia tahu Harris takkan memaksa dia mengikut lelaki itu pulang ke rumahnya. Bukan degil atau keras kepala. Tetapi dia hanya mahu berhati-hati dalam membuat keputusan.

USAI sahaja Afiqah solat Asar kereta Harris masuk ke halaman rumah. Berulang alik ke rumah sini ke rumah sana dan ke pejabat sudah menjadi rutin sejak mereka bersama semula lima bulan ini. Afiqah yang melihat pun penat. Biarlah. Dia tahu tahap kesabaran Harris tinggi. Jika tidak masakan lelaki itu setuju dan sanggup sahaja menerima permintaannya.

Pintu bilik ditolak dari luar. Afiqah hanya memandang daun pintu yang terbuka. Langkah Harris mendekatinya buat Afiqah kaku berdiri di tempatnya tadi. Saat Harris datang memaut lembut belakang lehernya dan mengucup dahinya buat Afiqah mula tersedar dan menolak lembut dada lelaki itu supaya menjauh.

" Tak boleh ke abang balik nak kiss isteri abang?", tiada nada rajuk namun manja dan bersahaja suaranya.

" Ada bau. Pening", Afiqah mencari alasan padahal baju di tubuh lelaki itu memang nampak sudah bersih.

" Abang dah mandilah sebelum datang sini", hidung Afiqah sempat ditarik perlahan dan sengaja dia memaut dagu Afiqah dan menciumi pipi isterinya itu.

" Hish. Dah mandi pun bau lagi?", tepisnya perlahan.

" Bau apa? Sawit? Getah? Ke bau pesona asmara abang?", usik Harris nakal. Dia lupa sudah wajah serius Afiqah siang tadi apabila dia cuba bergurau intim dengan isterinya itu.

" Gatal!", marah Afiqah dan terus menyarung tudung.

" Nak ke mana tu?",

" Rumah Mira dengan Atun",

" Tak cakap pun dengan abang?", berlapis dahi Harris dengan jawapan isterinya.

" Saya cakaplah ni",

Harris mengeluh perlahan. " Nak buat apa pergi rumah Mira. Dia tak kerja ke hari ni?", Harris duduk di birai katil melihat Afiqah merapikan tudung di hadapan cermin.

" Awak tak tahu cerita suami dia pukul dia lepas tu bawa lari anak-anak dia", Afiqah berpaling memandang Harris.

" Hah? Talib bawa lari anak-anak dia?", bukan kepalang dia terkejut sampai berdiri. Apakah dia terlalu sibuk hari ini sehingga langsung tidak sempat mengambil tahu hal semasa. Tak pula Azizan atau Rohaya bercerita.

" Baru je tadi. Belum Asar Atun call saya beritahu",

" Jom abang ikut. Suruh Atun jumpa kita dekat sana je", Harris tidak senang hati juga mendengarnya. Yalah. Talib dan dia bersaudara. Saudara dua pupu. " Agaknya mak pun tak tahu ni. Kalau tahu bising mak tu. Anak dua pupu dia buat anak orang macam tu",

Amboi. Pandainya dia bercakap. Dia tu tak sedar? Buat anak orang macam mana? ketus Afiqah dalam hati.

Harris memandang Afiqah bagai terdengar sahaja suara hati isterinya. " Abang pun tak baik. Tapi abang sentiasa belajar untuk jadi baik",

" Saya tak cakap apa pun", cepat dia menafi.

" Abang dengar kata hati Iqa",

" Oh..Konon boleh baca hati oranglah",

Harris ketawa. Jemari Afiqah dicapai dan Afiqah langsung tidak menepis. " Kelebihan tu terpakai pada hati isteri abang je", sekali lagi hidung Afiqah dicuit.

" Hish. Tangan tu tak boleh duduk diam. Lepaslah. Saya boleh jalan sendiri",

" Nak romantik sikit pun tak boleh", dilepaskan tangan Afiqah sambil merungut dan mengikut juga langkah isterinya keluar dari bilik.

Happy reading..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience