BAB 24

Romance Series 62817

PANDANGAN mata Hasnah menumpu kepada Afiqah yang leka dengan kerja sulamannya. Ketika bersarapan pagi dia nampak Afiqah muram sahaja. Zahlia pula keluar bekerja tanpa bersarapan dahulu. Harris pula dilihat diam sahaja waktu bersarapan dan asyik memandang ke arah isterinya. Jelas tingkah laku Harris nampak seperti orang yang bersalah. Entah apa yang berlaku antara 2 beradik dan lelaki itu.

Ketika Harris mahu keluar juga Afiqah tidak menghantar suaminya itu ke pintu seperti kebiasannya dan Atiya pula mencari Afiqah di bilik untuk bersalaman sebelum ke sekolah.

Langsung tidak menyoal apa halnya Hasnah hanya melihat sahaja keduanya. Malas mahu masuk campur kerana faham resam rumah tangga yang ada pasang surutnya.

Setelah tiga hari Hasnah sudah tidak boleh bertenang melihat hubungan keruh Afiqah dan Harris kerana Atiya juga sudah mempersoalkan hubungan dingin umi dan ayahnya. Hari ini dia mahu memainkan peranan di belakang tabir memulihkan hubungan keduanya.

" Nek kata nak ke rumah Mak Eton lurut daun kelapa sawit nak buat penyapu lidi", tegur Afiqah ketika Hasnah duduk di hadapannya.

" Petang-petanglah. Pagi ni duduk rumah buat kerja rumah dulu. Kita nak masak apa tengah hari ni?", sengaja Hasnah menyoal kerana tadi dia tidak sengaja terdengar Harris membuat permintaan kepada Afiqah untuk dimasakkan asam pedas tengah hari ini. Namun permintaan Harris tadi hanya disambut dengan kebisuan oleh cucunya itu.

" Hmm..tak pernah nenek tanya masak apa waktu macam ni. Selalunya masuk dapur baru tanya nak masak apa nak makan apa",

" Saja la. Hari ni nenek macam teringin nak makan asam pedas pula",

Mendengar jawapan Hasnah membuatkan dia terus mengalih pandang ke wajah Hasnah. " Asam pedas?", berkerut pula dahi Afiqah. Kenapa selera nenek dengan Harris sama pula hari ni?

" Buatlah asam pedas ikan kembung. Nenek dah beli ikan dengan Pak Mad tadi", Selalunya Hasnah akan membeli bahan basah dengan Pak Mad, penjual ikan yang menjaja ikan rumah ke rumah.

" Yalah. Iqa masakkan asam pedas ikan hari ni", walaupun sangsi dengan permintaan Hasnah diturutkan sahaja kerana kadang kala ada Hasnah membuat permintaan jika teringin makan sesuatu. Kebetulan selera Hasnah dan Harris hari ini sama pula. Seperti berjanji-janji. Baru sahaja dia merancang malas mahu mengikut permintaan Harris pagi tadi kerana masih marahkan lelaki itu dengan peristiwa malam itu. Sudahnya neneknya pula membuat permintaan menu yang sama. Atau Harris sedang menggunakan nenek sebagai orang tengah sekarang ni? Yalah. Boleh pula selera sama hari ini!

" HMM..sedapnya umi masak asam pedas", Atiya sudah tersenyum lebar. Asam pedas memang kegemarannya dan Harris. Dia menarik kerusi dan melabuhkan punggung. " Siap kangkung belacan dengan telur masin. Yummy.. Terima kasih umi. Love you", ucap Atiya menyambut pinggan yang sudah berisi nasi dari tangan Afiqah.

" Love you too", balas Afiqah dengan senyum manis. Seronok mendapat penghargaan dari anak itu.

" Ayah yang minta umi masakkan asam pedas hari ni tahu. Sebab sayang ayah umi masakkan. Terima kasih sayang", ucap Harris mengundang rasa menyampah di hati Afiqah apabila lelaki itu memangilnya begitu. Nak membodek la tu!

"Sama-sama", datar balasan Afiqah bagai tiada perasaan. Tidak seperti menyambut ucapan Atiya tadi. Ah! Dia memang tak pandai sorokkan perasaan tika ini! Dia duduk di sebelah Hasnah yang dari tadi hanya diam dan memerhati. Akid yang duduk di kerusi kanak-kanak ditarik lebih rapat dengannya.

" Makanlah", ujar Hasnah dan laju Atiya menadah tangan mengetuai bacaan doa. Selalunya begitulah. Atiya yang akan membacakan doa makan waktu tengah hari. Makan malam pula dibacakan oleh Harris.

Berselera Atiya dan Harris makan. Dua kali Harris menambah nasi. Atiya pula menolak untuk menambah kali kedua kerana bimbang mengantuk dan tertidur dalam kelas nanti.

Usai makan selalunya Atiya yang membantu membasuh pinggan dan mengemas meja tapi tengah hari ini Harris menyuruh Atiya bersiap kerana dia yang akan membantu isterinya. Hasnah yang faham keadaan itu cepat sahaja membawa Akid keluar dari dapur. Jangan bergaduh sampai melayang pinggan mangkuk sudah!

" Abang tolong sayang ya", suara Harris kedengaran gemersik di telinga Afiqah saat lelaki itu menggelar dirinya abang.

Diam. Tiada balasan dari Afiqah Harris anggap yang isterinya setuju dengan pertolongannya. Suasana di dapur hanya terdengar bunyi pinggan yang berlaga dan bunyi air yang mengalir dari paip. Keduanya langsung tidak bersuara. Awalnya Harris mahu memujuk namun terfikir pula dia sedang berada di dapur. Buatnya Afiqah hilang sabar dilayangkan kuali ke kepala. Tambah biol kepala dia nanti. Tahan lagi buatnya isterinya itu tikam jantungnya dengan pisau dapur tidak ke hilang terus nyawa dia.

Siap mengemas di dapur Afiqah terus keluar meninggalkan Harris yang masih membasuh pinggan di sinki. Sebenarnya kerja begitu memang sudah biasa Harris lakukan sejak dia tinggal berdua dengan Atiya dulu.

" SAMPAI bila kita nak macam ni sayang. Dah tiga hari tahu. Tak baik gaduh lama-lama", punggung dilabuh di birai katil. " Ya. Sayang memang patut marahkan abang", suara Harris memecah hening suasana dalam bilik. Lagi-lagi panggilan sayang dan gelaran abang meniti di bibir Afiqah. Bohong jika Afiqah tidak terasa apa-apa kerana dia rindu. Rindu Harris memanggilnya seperti itu.

" Walaupun marahkan abang sayang tetap tolong masakkan makanan permintaan abang. Sedap. Sedap sangat. Sedap macam sayang" Harris ketawa dengan bicaranya sendiri memancing suara Afiqah. Sengaja berbicara intim begitu. Namun Afiqah tetap diam. " Abang tahu sayang marahkan abang. Kalau sayang letak racun pun dalam asam pedas tu abang sanggup makan", berani juga dia cuba bergurau begitu sedangkan hatinya berdegup kencang menanti bicara Afiqah.

" Iqa tak bodoh macam tu lah nak letak racun macam tu je. Senang sangat kena tangkap dengan polis", akhirnya Afiqah bersuara juga.

Tanpa sengaja Harris tertawa dengan jawapan bersahaja isterinya. Dalam pada yang sama cuba menyorok gugup dengan tawanya. " Oh..ada hatilah nak letak racun. Nak abang mati cepat", sengaja meraih simpati.

Afiqah berpaling. " Dah tak sabar nak mati ke? Ke tak sabar nak Iqa mati. Senang boleh balik pada Kak Lia", sinis suara Afiqah. Entah. Dia lupa mahu bersopan santun sekarang. Sengaja menggunakan perkataan yang tidak baik saat hatinya tersakiti.

" Iqa.. ", Harris mendekat. Tubuh Afiqah yang sedang berdiri mengadap jendela dipaut perlahan namun cepat ditepis isterinya.

" Iqa tahu abang tak ingat Iqa. Patut Iqa lebih bertimbang rasa dengan abang. Tapi..Tapi Iqa tak boleh bila tengok abang berpeluk dengan Kak Lia. Kalau abang bukan suami Iqa, Iqa langsung tak kisah abang nak peluk ke nak buat apa pun dengan Kak Lia. Tapi.. abang suami Iqa..", suaranya dikawal perlahan agar tidak menimbul syak Hasnah yang berada di luar.

" Abang dah cakap kan. Abang tak peluk Lia. Lia yang peluk abang. Masa Iqa nampak tu abang terkejut dan usaha nak lepaskan diri",

" Kudrat Kak Lia tu kuat sangat ke sampai susah nak lepaskan diri?",

Aduh! Kepalanya digaru sambil mencari ayat untuk diolah.

" Jom. Duduk. Abang jelaskan baik-baik. Abang nak Iqa dengar dan hadam apa yang abang nak cakap", bahu Afiqah ditekap perlahan. Namun tangan lelaki itu tetap ditepis laju.

" Kalau Iqa tak nak dengar penjelasan abang sampai bila-bila Iqa akan salah faham dengan apa yang Iqa lihat malam tadi. Apa yang kita lihat dan telahan atau sangkaan kita tak semestinya sama dengan apa yang sebenarnya terjadi. Deria penglihatan kita tak selalunya betul. Sayang pilih? Nak dengar penjelasan abang atau nak biar hati Iqa terus berteka teki, sakit hati, benci, menyampah...",

" Cakap je lah nak cakap", celah Afiqah. Sebal pula mendengar pujukan Harris yang sengaja meletakkan dirinya dalam keadaan serba salah. Dia buat hal!

" Jom. Duduk. Kalau berdiri penat. Panjang abang nak jelaskan ni. Kalau buat karangan mungkin 3 muka surat baru siap",

Ya Allah. Menyampahnya! Bentak Afiqah dalam hati namun diturutkan juga langkah Harris mendekati katil. Entah kenapa dia boleh terlembut hati pula. Harris dah hembus ayat apa ni! Dalam geram dan sakit hati dia menurut juga.

Harris mendudukkan Afiqah di birai katil dan duduk di sebelah isterinya. Dicapai tangan Afiqah diusap lembut sambil mata mereka sambil bertatapan.

" Cakap je lah. Nak raba-raba tangan orang kenapa", cepat ditarik jemarinya.

" Bukan Iqa je suka raba abang. Tapi abang lagi suka raba-raba Iqa", menayang sengih buat hati Afiqah makin sakit. Harris tidak membiarkan apabila tangan Afiqah ditarik perlahan dan mata mereka saling bertatapan semula.

" Tak ada apa berlaku antara abang dan Lia. Lia terlalu sedih sebab tu dia peluk abang",

Mendengar bicara Harris yang seakan menyebelahi perbuatan Zahlia buat Afiqah mahu menjauh.

" Dengar dulu..", jeda Harris " Lia ada breast cancer",

Afiqah kaku. Telinganya berdesing dan semua yang ada di hadapannya dirasakan seperti sedang berhenti. Sunyi. Sepi. Terasa seperti tidak terpijak di bumi. Jika dia sedang berdiri tadi tentu dia sudah terkulai lemah di situ.

Walaupun hubungannya bersama Zahlia tidak baik sejak kematian ibubapanya Afiqah sangat sayangkan kakak kandungnya itu. Beberapa ketika barulah Afiqah bersuara. " Kak Lia ada cancer. Kenapa tak beritahu Iqa. Tak beritahu nenek?", suaranya terketar-ketar.

" Abang dah suruh beritahu Iqa dan nenek. Lia tak nak. Bila dah jadi macam ni. Isteri abang merajuk macam ni Abang terpaksa beritahu Iqa", sejak dia tinggal bersama Afiqah selepas dia hilang ingatan mana pernah Afiqah merajuk begini dengannya. Sampai tiga hari tidak berbaik lagi. Biarpun ada rajuk isterinya itu akan memujuk diri sendiri. Tapi kali ini dingin Afiqah buat dia tidak senang duduk. Nak pula bila berkait dengan Zahlia bekas isterinya. Mana dia boleh diam diri sahaja.

" Kasihannya Kak Lia..", air matanya mula mengalir laju. Langsung tidak mampu ditahan. Jika dia yang mendengar rasa sesedih ini apatahlagi Kak Lia yang menghadapinya.

Tubuh Afiqah ditarik dalam pelukan. Makin kuat tangisan Afiqah saat berada dalam dakapan lelaki itu. Usapan tangan Harris bukan buat dia terpujuk malah hatinya bertambah sedih dan sayu.

Diam dari tangisnya Afiqah bersuara. " Kita ajak Kak Lia tinggal sini dengan kita abang", Afiqah mendongak mencari wajah Harris.

" Tak boleh", cepat Harris membantah.

" Kenapa? Kasihan Kak Lia abang. Lia je adik dia. Lia dan nenek je keluarga yang Kak Lia ada. Takkan Kak Lia nak hidup seorang diri",

" Abang setuju Lia di sini kalau Iqa ikut abang balik rumah kita. Asalkan bukan tinggal serumah dengan Lia", tegas suara Harris.

" Balik rumah abang? Tak nak. Lia nak tinggal sini. Jaga nenek jaga Kak Lia. Rawatan kanser sakit abang. Kalau Kak Lia tak boleh bangun uruskan diri sendiri macam mana. Nenek tak larat nak angkat Kak Lia", dia sudah melihat rakan sekelasnya yang juga mengidap kanser beberapa tahun lepas dan baru meninggal dua bulan lepas.

" Habis Iqa nak abang angkat? Macam tu?",

Afiqah diam.

" Abang kahwin semula dengan Kak Lia?",

" Astaghfirullahaladzhim. Iqa mengarut apa ni?", kuat lengkingan suara Harris saat mendengar cadangan sembarangan isterinya. Tidak peduli jika suaranya mungkin akan didengari Atiya dan Hasnah. Tubuhnya sudah tegak berdiri sambil mencerlung tajam memandang Afiqah.

Afiqah bagai tiada di situ kerana langsung tidak terkejut dengan teriakan kasar Harris Kepalanya terus terlayar permintaan Zahlia supaya dia meminta cerai daripada Harris. " Patutlah..", mendatar dan perlahan suara Afiqah. Namun dapat ditangkap Harris.

" Patutlah apa?",

" Patutlah Kak Lia nak abang semula. Rupanya sebab ni. Sebab dia sakit ni..",

" Afiqah. Dengar sini", dagu Afiqah dipaut membawa pandangan mereka saling bertatapan.

Jantung Afiqah mula berdebar laju melihat riak serius dan mendengar datar suara Harris. Harris nak lepaskan aku sekali lagi? Ah! Kau yang mulakan Iqa. Terbit sesal kerana berbicara lancang tadi. Rasakan! Itulah. Kerana mulut badan binasa!

" Abang ingat ke. Abang tak ingat ke. Andai sampai abang mati pun abang tak ingat Iqa. Iqa tetap isteri abang. Jangan cabar abang buat benda bukan-bukan. Benda mengarut macam ni! Iqa ingat senang ke abang nak belajar terima Iqa saat abang tak ingat Iqa. Berbulan abang ajar hati abang setia pada Iqa walaupun hati abang meronta inginkan Zahlia. Iqa ingat mudah ke abang nak lepaskan Zahlia sebab tanggungjawab abang pada Iqa dan Akid. Jangan kata abang merungut atau mengungkit tapi abang nak Iqa tahu. Abang dah pilih Iqa. Boleh tak hargai abang. Mengarut tahu tak. Mengarut semua tu nak suruh abang balik semua pada Lia", keras suara Harris kali ini buat Afiqah terkedu.

" Iqa..Iqa ..minta maaf..", redup pandangan Afiqah meruntun jiwa lelaki Harris.

Sekali lagi tubuh Afiqah ditarik dalam dakapannya. Ubun-ubun isterinya dikucup penuh kasih. Pelukan dieratkan. Kacau bilau juga hati Harris tadi apabila Afiqah minta dia bersama semula dengan Zahlia.

" Gila! Kerja gila semua tu Iqa", masih keras suara Harris. " Mulut tu jangan cakap sembarangan", dagu Afiqah dipaut kasar membawa Afiqah memandangnya. " Faham?",

Afiqah hanya mengangguk dan memeluk Harris lebih erat. Iqa sayang abang. Hatinya berbisik halus.

" OYANG..umi dengan ayah gaduh ke? Umi dengan ayah nak pisah ke nek", Atiya yang sedang bersiap tadi terkejut dengan teriakan ayahnya Mahu sahaja dia berlari keluar tetapi tubuhnya belum disarung baju.

" Taklah", Hasnah juga kebimbangan. Apalah onar Afiqah sehingga Harris menengking begitu.

" Tapi ayah marah umi. Ayah tak pernah macam tu", bimbang sungguh hatinya. Harris bukan lelaki panas baran. Harris seorang lelaki yang tenang orangnya.

" Jangan risau. Tak ada apa. Pergi pakai tudung. Nanti ayah keluar hantar Tiya sekolah agama",

" Tiya takutlah Oyang",

" Pakai tudung takut? Orang tak pakai tudunglah takut. Tak menutup aurat berdosa", sengaja Hasnah mengalihkan topik.

" Bukan..Tiya takut umi dan ayah bercerai lagi",

Hasnah terkaku. Anak zaman sekarang fikirannya lain benar. " Taklah. Kita doa baik-baik untuk umi dan ayah. Dah. Cepat siap. Dah solat Zohor belum?",

" Dah..", Atiya berlalu namun kepalanya tetap tertoleh ke arah pintu bilik Afiqah dan Harris yang bertutup.

Hasnah hanya memandang tingkah Atiya. Hatinya juga sudah tidak senang kerana dia sudah nampak bibit pertelingkahan cucunya itu. Dan sekarang terbukti cucunya itu sedang berkonflik.

LAMA pelukan mereka seperti langsung tidak mahu dilepaskan.

" Mesti nenek dengan Tiya dengar suara abang..", suara Harris bernada kesal. Dia tidak menjangka ayat itu yang keluar dari mulut Afiqah tadi. Rasa terkejut buat dia tidak dapat mengawal suaranya.

Ada ke patut suruh aku kahwin semula dengan Lia. Gila ke apa? Kata sayang aku. Lepas tu senang je nak lepaskan aku macam tu je! Dia ingat aku suka kahwin cerai kahwin cerai ni. Gerutu Harris tidak puas hati.

" Harapnya tadi Tiya, Akid dengan nenek ditulikan sekejap",

Jawapan Afiqah buat Harris ketawa pula. " Sayang..",

" Maaf. Iqa buat abang..",

Tidak sempat berkata lanjut bibir Afiqah dikucup. " Jangan cakap lagi macam tu. Hmm?",

Afiqah mengangguk laju.

" Abang nak hidup lama dengan Iqa. Dengan anak-anak kita, cucu kita. cicit cuit ciat kita InsyaAllah. Jadi..Jangan sebut lagi macam tadi. Abang tak suka",

"Mana ada cicit cuit ciat", dia ketawa. Maaf..", seketika ucap maaf meniti pula di bibir mungil wanita itu.

" Dimaafkan dengan syarat",

" Syarat?",

" I want you", mata dikerdip nakal. Hatinya tetap mengucap syukur. Mujurlah terpujuk juga isterinya kali. Buatnya dia buat degil seperti cerita Salmiah yang mengatakan betapa gigih dia memujuk Afiqah untuk kembali bersama dulu tidak ke makin haru. Apakah kerana aku hilang ingatan Afiqah memberi aku ruang dan peluang sekarang ni? Apakah kerana aku hilang ingatan buat Afiqah lebih bertolak ansur dan bertimbang rasa dengan aku sekarang ni?

" Hish. Zohor pun belum. Tiya pun tak hantar ke sekolah lagi tu",

" Lepas Zohor. Lepas hantar Tiya boleh?", manja suara Harris.

" Tetap tak boleh",

" Abang tak peduli", tubuh Afiqah dicempung dan dibawa ke katil.

" Abang.. Tiya nak sekolah", ujar Afiqah saat mereka saling berbaring dan bertatapan.

" Peluk abang sekarang..",

" Pelukan manja-manja ke pelukan ketat-ketat?", mahu pula Afiqah melayan karenah lelaki ini sedangkan tiga hari ini bukan main walang hatinya dengan perbuatan Harris.

" Peluk sampai Lia dan perempuan lain tak boleh ambil abang dari Iqa", berkerut dahi Afiqah mendengar permintaan lelaki itu.

" Kalau abang setia dengan Iqa datanglah seribu Zahlia dan seribu perempuan lain. Abang tetap pilih Iqa. Tapi kalau abang tak setia dengan Iqa. Tak ada orang ganggu pun abang tetap pilih untuk tak setia",

" Pedih! Tak nak dengar macam tu", Harris bangun dan mahu berlalu.

" Solar Zohor lepas tu hantar Tiya ke sekolah", ujar Afiqah dengan senyuman di bibirnya.

Langkah Harris terhenti dan berpaling memandang wajah Afiqah lalu ditarik tubuh itu dalam dakapannya.

" Terima kasih sayang", pelukan Harris makin erat apabila teringatkan janjinya dengan Zahlia. Ah! Macam mana nak beritahu Iqa fasal janji aku mahu menemani Lia nanti? Apakah Iqa akan bertolak ansur lagi? Sengaja cari kusutlah kau ni Harris? Pandai lagi berjanji!

Happy reading..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience