Aku terkejut daripada tidur apabila terasa badanku seperti digoyang-goyangkan. Aku meraup wajah dan menggosok mata berkali-kali.
“Abang Aakil. Abang Aakil.” Kedengaran suara Isra memanggil aku. Aku bangun terduduk sambil tangan kiriku meraba-raba mencari suis lampu di sebelah katil. Suis ditekan dan lampu menerangi sebahagian ruang bilik tidur aku.
“Isra nak apa?” Aku memegang tangannya. Mataku mengeleh pada jam digital di meja katil. Jam 12.30 malam. Perhatian aku beralih kepada Isra yang cuba naik dan duduk di katil aku. Aku membiarkan sahaja. Dah kenapa pulak Isra ni?
“Isra mimpi buruk ke? Pastu tak boleh nak terlelap semula?” Aku menyoal.
“Hrmm,” dia menarik selimut menyelubungi badannya.
“Ok, Isra tidur lah sini. Abang ada.”
Badan aku disandarkan pada dinding bilik sambil menepuk-nepuk peha Isra. Lama aku menunggu Isra terlelap sehingga aku tersengguk-sengguk menahan mata yang lali. Sejam kemudian, selepas aku yakin Isra sudah lena, aku keluar membawa sebiji bantal ke ruang tamu. Aku berbaring di sofa dan terlelap di situ.
Pagi keesokannya, aku dikejutkan dengan suara Mama.
“Aakil, kenapa tidur kat luar ni?”
Aku bangun dan membetulkan duduk di sofa.
“”Isra terkejut semalam. Dia masuk bilik Aakil pastu tidur kat situ. Aakil pun tidur la kat luar.”
“Oh~! Dah la. Bangun dulu solat subuh. Kalau Isra tak bangun lagi, nanti Aakil tidur je lah kat bilik dia dulu.”
Aku menganggukkan kepala sementara mata masih terpejam.
***
TOK! TOK! TOK!
Kedengaran pintu bilik diketuk.
“Aakil, bangun sarapan. Papa ada belikan roti canai ni.” Mama melaung dari luar bilik. Aku menarik selimut menyelubungi muka, rasa ingin dibuai mimpi lagi.
Tidak lama kemudian, kedengaran pintu bilik dibuka.
“Abang Aakil, sarapan!” Tangan kecil Isra cuba menarik selimut. Aku mengalah dan keluar dari bilik bersama-sama Isra. Kami berdua mengambil tempat duduk masing-masing. Isra duduk di depan Mama bersebelahan dengan Papa, manakala aku duduk di sebelah kiri Isra.
“Aakil, baca doa makan.” Ujar Papa.
Aku menadah tangan dan membaca doa. Sebaik kami mengaminkan doa makan, Isra pula bersuara.
“Papa dah tak marah Abang Aakil?”
Kami semua diam, mata dilirik ke arah Papa.
“Tak, Papa dah tak marah. Isra makan la. Aakil, nanti lepas makan, kita pergi rumah Makcik Laila. Kita ceritakan perkara sebenar. Isra ikut sekali ya?”
Aku dan Isra hanya menganggukkan kepala, akur dengan permintaan Papa.
“Betul ke abang ada jumpa beberapa orang budak yang main kat taman semalam?” Mama mengajukan soalan.
“Kebetulan jumpa kat kedai tadi. Abang saje je tanya, tak mengharap sangat pun. Anak Safwan, Mail nama dia. Mail tu ada main kat taman semalam. Dia lah yang cerita kat abang cerita yang sebenar. Bukan Aakil yang tolak dia. Budak tu bergaduh. Sebab tu habis luka kat kaki dan tangan dia.” cerita Papa lalu mengeluh panjang.
“Dah lah. Kita makan dulu. Tak baik juga kita bercakap depan rezeki.” Ujar Papa lagi.
Kami akur dan kembali menjamu selera semula.
***
Papa memberi salam sebaik sampai di hadapan pagar rumah Makcik Laila. Seketika kemudian, Makcik Laila keluar dari muka pintu lalu menjemput kami masuk.
“Waalaikumussalam. Jemputlah masuk. Ramainya Tuan Amran bawak tetamu datang.” Katanya hairan apabila melihat beberapa orang budak dan ibu bapa masing-masing di belakang kami.
“Hurm, mereka ada benda sikit nak beritahu kamu pasal hal semalam.” Selamba sahaja Papa mengujar.
Sebaik kami duduk di ruang tamu, Makcik Laila memanggil anak lelakinya keluar. Dia berdiri di sisi ibunya.
“Nama kamu Syamil, kan?” soal Papa. Budak lelaki itu menganggukkan kepalanya.
“Syamil, betul ke anak pakcik tolak kamu semalam, sampai luka kaki dan tangan kamu tu?”
Syamil hanya berdiam diri.
“Macam ni lah. Kalau kamu tak nak cerita, biar budak-budak ni yang cerita. Laila, budak-budak ni ada bermain dengan anak kamu di taman semalam. Mail, Azam, Fiq. Kamu bertiga cerita apa yang berlaku semalam. Kami semua nak dengar.”
Mail memberanikan diri untuk bercerita.
“Sebenarnya semalam, sebelum Syamil dapat luka tu, dia berebut buaian dengan seorang budak perempuan ni. Budak tu tengah main buai, lepas tu tiba-tiba je Syamil pergi tolak budak perempuan tu sebab nak duduk atas buai. Abang budak perempuan tu naik marah, tapi takdelah pulak tolak anak makcik. Dia terus balik bawak adik dia yang luka. Lepas daripada main buaian tu, Syamil bergaduh dengan Azam. Itu je lah yang saya tahu makcik.”
“Betul ke apa yang Mail cakap tu, Azam?” Bapanya menyoal.
“Betul abah.” Azam mengaku.
“Bertuah betul budak ni. Habis tu kenapa kamu cerita kepada mak kamu lain pula Syamil?” Bapa Azam menyoal lagi.
Syamil mengetap bibirnya sebelum membuka mulut untuk bercakap.
“Ibu tiba-tiba tanya semalam, Syamil takut. Syamil pun tahu apa yang Syamil cerita kat mak semalam.”
“Ish, ish, ish, kamu ni. Tak baik kamu menipu macam tu. Kesian anak Tuan Amran dah kena marah, kena rotan. Padahal dia takde buat salah apa-apa pun pada kamu.” Kata bapa Azam.
“Ni, betul ke kamu tolak anak Tuan Amran semalam?” Makcik Laila mencubit bahu Syamil, memaksa dia untuk bercakap perkara yang sebenar. Syamil menganggukkan kepalanya ketakutan. Merah padam muka Makcik Laila apabila Syamil mengaku bersalah. Dia menundukkan mukanya kerana tidak dapat bertentang mata dengan keluarga aku.
“Laila, aku datang ni bukannya nak bergaduh. Kamu pun kena tahu cerita sebenar. Jangan main tuduh je anak orang. Kamu berdua ni, Syamil, Azam. Baik kamu minta maaf dengan satu sama lain. Dan Syamil, kamu pun kena minta maaf dengan Isra sebab dah tolak dia. Lepas minta maaf, kita lupakan lah perkara yang dah jadi, kita buka buku baru. Faham?” suara Papa tegas.
Syamil dan Azam laju menganggukkan kepala masing-masing.
Share this novel