Kereta Mercedes putih kepunyaannya meluncur laju di atas lebuh raya. Perjalanan dari Bera ke Cherating mengambil masa lebih kurang tiga jam. Hampir jam 3 petang, aku sampai di perkarangan rumah Mama dan Papa. Kereta diparkir di sebelah kereta Myvi merah kepunyaan Isra.
Aku turun dari kereta lalu menggalas beg sandang di bahu. Kemudian aku membawa keluar beg bagasi yang berisi baju dari dalam bonet. Aku melangkah masuk ke dalam rumah dan bersalaman dengan Mama dan Papa. Tangan Makcik Piah dan Bibik Chandie juga aku salam sebagai tanda hormat. Mereka berdua pun aku sudah anggap seperti keluarga sendiri juga.
“Mana Isra, Ma?” aku menyoal. Dicari-cari juga kelibat adiknya di belakang bibik dan Makcik Piah, tetapi tiada.
“Lama kamu tak balik, itu yang kamu tanya dulu?” luah Mama selepas melihat keterujaan aku.
“Mama sihat?” tanya aku demi menjaga hati dia.
“Hurm, sihat.” Balasnya acuh tak acuh.
“Bukan Aakil tak nak balik, Papa yang tak kasi. Dia kata balik masa cuti raya je. Kerja lagi penting.” Mama hanya mencebikkan mulutnya.
“Apa dalam beg sandang kamu tu?” tanya Papa.
“Hadiah. Untuk Isra,” aku jawab sambil menunjukkan isi kandungan beg itu kepada Mama dan Papa.
“Wah, comelnya. Mana kamu dapat tu?” soal Mama pula.
“Aakil minta dengan kawan.”
“Dah lah pergi masuk letak beg kamu dulu. Isra dah tertidur kat balkoni di laman belakang. Kamu pergi lah kejut dia.” kata Papa.
Aku meletakkan beg di dalam bilik tidur dan terus ke balkoni. Hati sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan adiknya. Mesti dia gembira aku dah balik. Keluar sahaja dari pintu dapur, aku sudah dapat melihat sofa panjang, buaian dan meja kopi yang menghiasi ruang balkoni yang terbuka. Isra pula sedang tidur di atas sofa.
Aku melabuhkan sebelah lutut ke lantai dan memanggil namanya perlahan berkali-kali. Dia menggeliat seketika sebelum membuka mata.
“Abang Aakil ke tu?” katanya sambil menahan mulut untuk menguap.
“Hurm. Bangunlah, asyik tidur je. Abang ada hadiah nak bagi ni.”
Mata Isra terus cerah sebaik mendengar perkataan ‘Hadiah’.
“Sebut hadiah je, terus cerah mata. Nah! Jeng, jeng, jeng!”
Aku menunjukkan beg sandang aku kepadanya. Melihat isi kandungan beg itu, Isra melekapkan kedua-dua tangannya ke pipi.
“Ala, comelnya. Abang dapat kat mana ni?”
“Abang mintak dengan kawan abang. Untuk Isra.”
Aku menghulurkan beg itu kepadanya. Tanpa membuang masa, Isra terus membuka zip beg sandang dan mengeluarkan anak bulus yang bermisai itu. Pipinya diraba-diraba pada bulu si kucing yang berwarna oren dan putih itu.
“Terima kasih abang.” ucap Isra sambil menggosok badan si kucing tu.
“Isra berilah nama kat kucing tu. Dia takde nama lagi.”
Isra diam seketika untuk berfikir.
“Hurmmm, panggil Omel lah. Dia ni kan comel sangat.” Kata Isra sambil mengangkat anak kucing itu ke dalam pelukannya. Aku cuma ketawa melihat telatahnya.
***
Kami sekeluarga keluar makan di restoran tepi pantai berdekatan dengan Cherating. Sempena menyambut kepulangan aku, Mama beria-ria mengajak kami makan seafood di luar. Bibik Chandie pun ikut sekali. Makcik Piah pula tidak ikut sekali kerana ada hal keluarga yang perlu diuruskan. Seronok dapat makan di tepi pantai malam-malam macam ni, dengan angin pantainya dan udara pun sejuk.
Sudah sahaja menjamu selera, Mama dan Papa mengajak kami bersantai di tepi pantai sambil melihat persembahan kumpulan buskers yang dijemput hadir malam ini. Ada ramai penonton yang hanya duduk di atas pasir pantai, manakala ada segelintir yang menghayati persembahan dengan berdiri sahaja. Masing-masing dengan cara tersendiri melayan lagu yang dinyanyikan kumpulan buskers.
Dari tempat Mama dan Papa duduk, mata aku melirik pada susuk tubuh Isra yang berjalan jauh dari kumpulan buskers menuju ke arah pantai. Lama kemudian, Papa menyiku tubuh aku, menyuruh aku pergi menemani Isra yang berjalan seorang diri. Aku mencabut selipar jepun yang dipakai dan berjalan kaki ayam di atas pasir pantai sambil memegang selipar. Dengan langkah yang panjang, sekejap sahaja aku sudah dapat mengejar Isra.
“Isra, termenung jauh nampak,” seru aku apabila sudah berada di sebelah dia.
Dia berhenti berjalan dan menoleh ke arahku. Tingginya yang hanya paras dengan dadaku membuatkan dia melangkah sedikit ke belakang untuk memandang aku.
“Mana ada termenung. Is tak suka sangat tempat crowded macam tu,” bibirnya dimuncungkan ke arah pentas buskers.
“Oh!”
“Abang, kita duduk dulu lah baru cakap. Abang tinggi sangat lah. Sakit leher Isra.” katanya sambil melabuhkan punggungnya ke atas pasir.
‘Dia tu yang pendek, cakap aku pulak yang tinggi sangat’. Desis aku dalam hati.
“Abang ok ke?” aju Isra.
“Ok je. Kenapa Isra tanya?”
“Takdelah. Tadi Mama tanya abang macam-macam kan. Pasal girlfriend lah, pasal calon menantu lah, pasal kahwin lah. Abang tak stress ke, balik sini je, Mama dah duduk tekan pasal kahwin.” Aju dia lagi dengan nada usikan.
“Hurmmm… Biasalah mak ayah kita kan. Mesti dia orang nak anak diaorang kahwin. Biarlah hotel kat Kuantan tu stabil dulu. Lagipun abang takde girlfriend pun nak bawak balik jumpa Mama dan Papa.”
“Iye ke takde? Is tak percayalah.”
“Iye. Lama dah abang takde girlfriend. Sibuk Is tanya pasal abang, Is tu bila nak kahwin?” aku cuba menduga.
“Is tak nak kahwin.”
Jawapannya membuatkan aku mengangkat kening.
“Kenapa?” akhirnya aku menyoal.
“There is no one that I am attracted to.” Dia menjongketkan kedua-dua bahunya.
“Hai, takkan takde kot.”
“Hurm, memang takde.”
“Habis tu, Is tak pernah dating?”
“Tak pernah,” lekas Isra mengiyakan.
“Hai, takkan Isra tak pernah suka siapa-siapa kot?”
“Suka tu pernah lah. Setakat crush masa sekolah rendah dulu tu ada lah. Lepas naik sekolah menengah pulak, tak terlintas pun kat hati ni nak dating bagai. Sampailah ke hari ini, masih suci dengan cinta.” Akhirnya dia tergelak.
Aku terpegun mendengar pengakuan Isra.
“Jangan heboh kat Mama sudah lah. Kalau Mama tahu Isra tak nak kahwin, tak tahulah apa yang dia akan buat.”
“Mama tahu.”
“Habis tu, Mama cakap apa kat Isra?”
“Dia tak paksa. Dia cakap jodoh untuk setiap manusia tu ada, serahkan je pada Tuhan.”
“Tu je? Habis tu kenapa dengan abang, Mama sampai perlu busybody macam tadi tu?”
“Abang tu dah tua. Mestilah Mama takut.” Sindir Isra.
“Belum tua lah. Abang baru je 29, ok.”
“Ei, dah nak masuk 30 pun, tak mengaku tua.” Ejek dia lagi.
“Yelah, yelah. Abang dah tua.” Aku biarkan sahaja Isra menang dengan perbahasannya.
“Abang dengar Isra dah bukak kedai buku kat Kuantan. Kerja lama dengan papa macam mana?” soal aku ingin tahu.
“Haah, Book Cafe. Dah buka 3 bulan. Nanti abang datanglah bila-bila ada masa free. Kerja dengan papa tu, Isra ambik cuti tanpa gaji setahun. Lagipun Isra dah janji nak ceburi bidang ni setahun. Kalau gagal dan dapat result yang tak memuaskan hati papa, papa suruh kerja balik dengan dia.”
“So, Isra kena usaha keras lah ni?”
“Iye. Abang tahu je lah Papa tu macam mana kan. Kalau bab berbisnes ni, garang macam rimau.”
“Tahu pun. Tengok dia hantar abang urus hotel yang jauh-jauh dari rumah pun, Is dah boleh agak prinsip bisnes Papa macam mana kan.”
“Hurm,” dia menganggukkan kepalanya, bersetuju dengan apa yang aku cakap.
Kami terus ralit berborak sambil melihat ombak menghempas pasir pantai. Banyak yang kami bualkan setelah lama tidak berjumpa. Entah kenapa malam itu, saat aku berborak dengan Isra terasa sangat singkat.
Share this novel