Selesai mandi dan memakai baju yang bersih selepas pulang dari sekolah tadi, aku terus menarik kerusi di sebelah katil. Buku latihan dibuka bagi menyiapkan kerja sekolah. Memandangkan peperiksaan percubaan PMR sudah dekat, makin bertambah latihan dan kerja sekolah yang cikgu berikan.
Setelah hampir satu jam aku menghadap kerja sekolah, tumpuan aku beralih kepada bunyi orang berborak di sebalik pintu bilik aku yang tertutup rapat. Sikit-sikit aku dapat menangkap perbualan mereka.
“Isra buat apa sandaran di pintu kamar Aakil? Aakil tengah busy tu, dia tengah siapkan kerja sekolah, enggak bisa main sama Isra.”
Aku bangun dari kerusi sebaik mendengar suara Bibik Chandie. Aku membuka pintu bilik, lantas badan Isra yang duduk bersandar di pintu jatuh terduduk di lantai. Mujur aku membuka pintu secara perlahan.
“Isra buat apa kat sini?” Aku tanya sambil membantu Isra untuk bangun berdiri. Dia tidak menjawab pertanyaan aku.
“Abang tengah buat kerja sekolah lagi. Tak boleh main dengan Isra.”
Isra tidak berganjak dari pintu bilik aku. Bibik Chandie cuba memujuk Isra untuk tengok rancangan di TV tapi tidak diendahkannya. Aku menghela nafas pendek.
“Macam ni, Isra pergi tengok TV dulu. Lepas Asar nanti, abang bawak Isra pergi jalan-jalan kat luar, boleh?” aku memujuk.
“Betul ke ni? Tak tipu?”
“Betul~. Bagi abang siapkan kerja sekolah dulu, lepas abang solat Asar nanti, abang bawak Isra pergi jalan-jalan. Kita pergi kedai beli ais krim, ok?”
Isra mengangguk kepala laju. Seronok betul bila disebut dapat keluar jalan-jalan. Dia berlalu pergi ke ruang tamu dengan Bibik Chandie. Aku menutup semula pintu dan menyambung siapkan kerja sekolah yang terbengkalai sebentar tadi.
Selepas solat Asar, seperti yang dijanjikan pada Isra, aku membawa dia keluar jalan-jalan di kawasan perumahan. Cuaca pula memang sesuai dengan angin sepoi-sepoi bahasa. Kami singgah di kedai runcit untuk membeli ais krim lalu berjalan beriringan ke taman permainan. Alang-alang sudah keluar, elok sahaja kami ambil angin bermain di taman sekejap.
Aku duduk di kerusi taman sementara memerhati Isra bermain buaian. Selang beberapa minit kemudian, buaian yang diduduki Isra dikerumuni oleh beberapa orang budak sebayanya. Aku mula berasa tidak senang hati lalu bangun berdiri. Dari jauh, aku ternampak Isra jatuh terduduk di lantai. Ada seorang budak lelaki menolak dia jatuh.
Aku bergegas lari ke arah Isra. Aku menepis budak-budak yang berdiri mengelilingi dia. Ada seorang budak lelaki sedang duduk di buaian yang Isra main sebentar tadi. Budak itu buat tidak peduli sahaja selepas menolak Isra. Aku menarik Isra untuk berdiri dan menyapu baju dan seluarnya yang sedikit kotor. Aku menilik tapak tangannya yang luka digeser batu.
Aku berpaling kepada budak lelaki tadi. Beberapa orang rakannya sudah mengambil beberapa langkah ke belakang. Barangkali mereka sudah perasan riak wajahku yang makin memerah menahan marah. Aku menarik kolar baju budak lelaki yang sedang duduk di buaian itu.
“Kau tolak adik aku ke tadi? Mintak maaf cepat!” aku mengarah.
“Tak nak!” Budak itu membantah.
Aku semakin panas. Eii, sudah buat salah tapi tak mahu mengaku silap. Aku menarik nafas panjang, cuba mengawal amarah yang membuak di dada. Aku berpaling semula kepada Isra. Tapak tangannya aku teliti lagi. Luka geseran tadi sudah mula berdarah sedikit.
“Jom balik. Luka tu kena cuci dan letak ubat.”
***
“Bibik Chandie. Bibik. Tolong bukak pintu pagar untuk Aakil.” Aku melaung kuat.
“Ada apa si, Aakil? Terjerit-jerit panggil bibik. Bibik sedang tolong Makcik Piah masak di dapur?” Bibik Chandie muncul di muka pintu. Raut wajahnya berubah risau apabila melihat aku sedang mendukung Isra di belakangku.
“Ya Allah! Apa yang jadi ini? Kenapa dengan Isra?” tanya Bibik Chandie dengan nada risau.
“Nanti Aakil cerita kat bibik. Bibik tolong bawak Isra ke bilik dulu. Suruh dia mandi dan salin baju. Aakil nak ambik first aid kit kat dapur. Tapak tangan Isra tu luka sikit.”
Aku turunkan Isra dan Bibik memimpinnya masuk ke dalam rumah. Aku mengekori mereka dari belakang dan masuk ke dapur untuk mengambil first aid kit.
“Kenapa riuh sangat kat depan tadi tu?” tanya Makcik Piah yang sedang sibuk memasak.
“Tadi kat taman Isra tengah duduk atas buaian, lepas tu ada budak lelaki ni datang berebut buaian dengan dia. Tak semena-mena dia pergi tolak Isra jatuh buai. Habis luka tapak tangan dia. Budak tu pulak, selamba je duduk atas buai. Aakil suruh dia minta maaf kat Isra tapi budak tu tak nak. Geram pulak Aakil tengok perangai budak tu. Kalau ikutkan hati, Aakil nak je tolak dia jatuh buai tu jugak. Biar dia rasa apa yang dia buat kat Isra.”
“Pastu, Aakil tolak ke tak budak tu?” tanya Makcik Piah bimbang. Tangannya yang lincah membuat kerja tiba-tiba berhenti mendengar aku bercerita.
“Taklah Makcik Piah. Nampak tak adil la pulak kalau budak besar lawan budak kecil macam tu. Nanti apa pulak kata mak ayah budak tu.”
“Yelah, bagus lah kamu tak buat apa-apa kat budak tu. Risau pulak Makcik Piah. Kita sebagai manusia ni, biar orang balik batu kat kita takpe, jangan kita baling racun kat orang. Takde orang yang suka. Dah lah, pergilah bawak ubat tu, sapu kat luka Isra. Nanti risau pulak Mama dan Papa.”
Aku berlalu keluar dari dapur dan masuk ke bilik Isra. Bibik Chandie suka menyalin pakaian Isra dan sedang mengeringkan rambut Isra dengan tuala. Aku duduk di katil dan membuka kotak first aid. Aku menyapu ubat krim di lukanya.
Tiba-tiba, aku terdengar pintu rumah dibuka secara kasar. Tidak lama kemudian, Papa menjerit-jerit memanggil nama aku. Aku bergegas keluar dari bilik Isra menuju ke ruang tamu. Papa sedang berdiri dalam keadaan marah. Mukanya ketat menahan marah. Mama pula ada berdiri di sebelah Papa dalam cubaan meredakan kemarahannya.
“Tadi Papa dengar, Aakil ada tolak anak lelaki Makcik Laila jatuh buai kat taman, kan? Papa nak Aakil mengaku salah Aakil sekarang!” suaranya tinggi dan tegas.
“Mana ada Aakil tolak dia jatuh. Budak tu yang ….”
“Oh, Aakil tak nak mengaku ya?” Papa mengambil rotan yang diselit di belakang TV.
“Abang, awak dengar lah apa yang Aakil nak beritahu dulu.” Pujuk Mama.
“Awak jangan masuk campur.” Papa menepis tangan Mama.
“Kamu mengaku tak yang kamu tolak budak tu?” soal Papa lagi. Suaranya lantang.
“Aakil tak tolak budak tu!” Tegas aku.
Tiba-tiba bahuku terasa perit. Rupa-rupanya Papa telah menghayun rotan terkena pada bahuku. Darahku menyirap menahan marah. Sungguh tak adil Papa menghukum sebelum mendengar cerita yang sebenar. Jari-jemariku dikepal kuat.
“Papa nak kamu ikut Papa. Kita pergi mintak maaf dengan anak makcik Laila sekarang.”
“Aakil tak tolak dia. Kenapa Aakil nak kena minta maaf pulak.”
Satu lagi hayunan rotan terkena pada bahuku. Aku mengetap gigi menahan sakit.
“Abang, cuba lah bawak mengucap. Dengarlah dulu apa yang anak abang nak cakap tu. Awak janganlah percaya cakap orang bulat-bulat.” Kata-kata Mama tidak diendahkan Papa.
“Nak ke tak nak ikut Papa pergi minta maaf!?”
“Tak nak!”
Papa mengakat tangannya untuk menghayun rotan itu lagi. Aku memejam mata untuk menerima hayunan rotan itu.
“Papa! Papa! Jangan pukul Abang Aakil. Abang Aakil tak salah!”
Sayup-sayup aku mendengar teriakan Isra. Aku terasa seperti badan aku dipeluk lalu aku membuka mata. Isra memeluk kemas leher aku. Kaki Papa bergerak ke belakang dan rotan terluncut dari tangannya. Nampak gayanya, hayunan rotan tadi seperti terkena pada badan Isra.
“Ja…ngan pu…kul A…bang A…akil.”
Nafas Isra berubah pendek seperti susah bernafas. Darah aku bertukar sejuk. Tangan aku lekas mengusap belakang badannya yang terkena rotan. Dia terkejut ke? Mama ada cakap Isra tak boleh terkejut, kalau terkejut boleh kena panic attack.
“Papa tak pukul abang. Papa tak pukul. Papa tak pukul.” Suaraku menggeletar.
“Bibik, pergi ambil ubat Isra kat dapur!” arah Mama.
“Aakil, bawa Isra ke bilik dia. Nafas dia kena stabil dulu, baru boleh bagi ubat. Pergi cepat!”
Aku bangun mendukung Isra ke bilik meninggalkan Mama dan Papa di ruang tamu. Tangan aku tidak berhenti daripada mengusap belakang badan Isra.
Share this novel