Selimut yang menyelubungi Isra ditarik hingga sampai ke dadanya. Aku menarik nafas panjang lalu meneliti jarum jam di tanganku. Sudah pukul 8 malam. Aku kembali memikirkan keadaan Isra semenjak dia sedar dari koma petang tadi. Hati aku kembali sebak apabila membayangkan keadaan Isra meratap kehilangan Hasmah dan Jalil. Kedua-duanya bekerja sebagai pembantu rumah dan driver suaminya. Jadi, dia turut merasa kehilangan mereka kerana sudah menganggap mereka seperti kawan rapat.
Memikirkan yang suaminya masih tidak tahu bahawa Isra sudah sedar, aku mengeluarkan telefon daripada beg tanganku lantas menghantar mesej kepadanya. Selang beberapa minit kemudian, telefon berdering menandakan panggilan masuk.
“Betul ke Isra dah sedar, sayang?” suara seorang lelaki di hujung talian, suaminya Amran.
“Hurmm, petang tadi dia sedar. Tapi dia dah tidur balik, lepas nangis puas-puas tadi.”
“Jadi sayang dah beritahu dia ke apa yang terjadi pada arwah Jalil dan Hasmah?” soal Amran.
“Hurm. Ima sedih sangat tengok dia, bang. Lagipun dia baru umur 9 tahun.”
“Sayang kena kuat. Apa yang Isra perlukan sekarang adalah kasih sayang seorang ibu, sayang je yang dia ada. Lagipun dia dah anggap sayang macam ibu angkat dia, kan?” pujuk Amran. Aku mengiyakan sahaja.
“Abang nak datang jenguk Isra tak esok?”
“Meeting esok habis jam 3, lepas tulah abang pergi jenguk Isra.”
“Ok. Abang, terima kasih tau.”
“Tiba-tiba je? Sayang terima kasih pasal apa?”
“Terima kasih sebab sokong keputusan Ima nak jadikan Isra anak angkat kita.”
“Abang tahu, sayang dah lama nak anak perempuan kan. Lagipun anak Jalil pun abang dah anggap macam keluarga abang sendiri. Rasa tak adil pulak kalau abang tak ambil tanggungjawab untuk jaga dia.” Terang Amran.
Sebaik mendengar penjelasan Amran, aku terus berasa lega. Kemudian, aku teringat pasal Aakil.
“Aakil, macam mana? Dia tahu dah kita nak ambil Isra jadi anak angkat kita?”
“Sayang jangan risau. Nanti abang beritahu dia.”
“Ok lah kalau macam tu. Jumpa abang esok.” Kataku sebelum menamatkan panggilan.
***
Pagi keesokan harinya.
“Mama Ima?” panggil suara kecil Isra. Aku menoleh ke arah katil dan melihat Isra sudah bangun dan duduk di katilnya.
“Isra dah bangun,” kataku sambil bangun dan menuju ke arahnya.
“Isra nak pergi tandas.”
Aku memimpin dia ke tandas yang berada di sebelah kanan bilik. Aku mengambil kesempatan itu untuk meminta dia mandi dan menyalin pakaian hospital dengan yang baru. Sebaik dia membersihkan diri, aku membawa dia untuk sarapan pagi di kantin. Doktor Lee pun sudah bagi kebenaran untuk makan di situ. Cuma tidak boleh makan makanan dan minuman ringan.
“Isra nak makan apa?”
Dia hanya mengarahkan jari telunjuk kepada nasi goreng dan sosej rebus yang dipotong seperti bentuk sotong. Kami duduk di meja dan Isra mula menjamu hidangan tadi.
“Sedap tak?” aku tanya.
Isra cuma menganggukkan kepalanya. Aku sambung menyuap nasi ke mulutku sambil memerhati tingkah laku Isra. Aku cuba bertanyakan pelbagai soalan, tetapi dia cuma menjawab dengan anggukan dan gelengan kepala sahaja. Selesai makan pagi, kami pulang semula ke bilik wad. Aku membenarkan Isra untuk tengok televisyen sementara menunggu Doktor Lee datang untuk membuat pemeriksaan.
“Hi, Isra.” Ujar Doktor Lee dengan riang.
“Isra macam mana, ok?” tanyanya sambil menghulurkan sebatang lolipop kepada Isra.
“Isra ada sakit kat mana-mana? Kaki, tangan, kepala?”
Isra menggeleng.
“Isra ingat apa yang berlaku pada Isra?”
Isra menggeleng.
“Isra tahu apa yang jadi pada Isra?”
Lama Isra diam. Kemudian dia mengangguk.
“Apa yang jadi pada Isra? Boleh Isra beritahu doktor?”
Isra memandang aku lama, kemudian dia berpaling kepada Doktor Lee.
“Mama Ima cakap, Isra accident, Ummi dan Abbi…dah takde.” Ujar Isra lantas menundukkan muka ke arah lantai.
Selepas pemeriksaan, Doktor Lee memanggil aku untuk mengikutnya keluar.
“Puan Fatima, Isra enggan bercakap ke?”
Mendengar pertanyaan Doktor Lee, laju sahaja aku menganggukkan kepala. Memang aku juga risau pasal perkara yang sama.
“Puan jangan risau. Memang biasa budak-budak tak mahu bercakap selepas lalui kemalangan atau peristiwa buruk. Apatah lagi, dia juga terpaksa menerima kenyataan ibu bapanya sudah tiada. Nasihat yang saya boleh bagi pada Puan, Puan kena teruskan bagi dorongan untuk galakkan dia bercakap.”
Panjang lebar Doktor Lee menerangkan. Dia juga ada menerangkan perkara lain sebelum berlalu pergi. Konklusinya, buat masa ini, kesihatan Isra masih normal. Cuma perlu tunggu keputusan CT scan.
Petang itu, dalam jam 6, aku membawa Isra ke taman permainan. Bagus juga dapat menghirup udara petang. Selain itu, aku juga harap dapat ceriakan Isra sedikit sebanyak. Mungkin dia akan lebih ceria kalau dapat bergaul dengan kawan sebaya.
Aku duduk di bangku taman sambil memerhati Isra bermain buai. Sedikit demi sedikit aku dapat nampak dia mula mengukir senyuman. Aku berasa lega sejurus melihat senyuman yang dipaparkan anak kecil itu.
“Ima.” Namaku dipanggil membuatkan aku menoleh ke arah kanan.
“Abang,” aku bangun dari kerusi lalu mencium tangannya.
“Isra mana?”
Aku menunjukkan ke arah buaian. Dia masih di situ. Kali ini, kelihatan dia sedang berborak dengan seorang budak perempuan di buaian sebelahnya. Aku tersenyum lebar melihat adegan itu.
“Doktor cakap apa pasal Isra?” tanya Amran.
“Isra ok. Tapi kena tunggu CT scan, baru boleh discharge. So, 2 hari lagi kena warded. Kalau takde masalah, hari Isnin dah boleh keluar wad.”
Kemudian, Amran menghulurkan satu beg kertas.
“Ada apa dalam ni?” soal aku.
“Abang ada singgah rumah arwah Jalil tadi. Abang ada ambik beberapa barang favourite Isra. Harap-harap dapat ceriakan dia.”
Aku membelek-belek isi kandungan beg itu. Ada kain selimut baldu berwarna pink pastel dan beberapa buku cerita kanak-kanak. Ada juga yang tebal seperti novel.
“Macam mana abang tahu semua benda ni?” aku hairan.
“Arwah selalu cerita pasal anak dia kat abang. Arwah cakap setiap kali gaji mesti dia belikan buku cerita untuk anak dia. Dia selalu bangga dapat cakap Isra tu suka membaca.” Amran tersenyum mengenangkan kisah lama bersama arwah.
"Ohhh, boleh jadi sweet jugak abang ni ek?" aku ambil peluang untuk menyendanya. Sebenarnya, dalam hati berasa kagum dengan sikap prihatin suaminya itu.
"Kenapa? Sayang jeles ke?" gurau dia pula. Kami berdua tertawa kecil.
Kami duduk di taman sehingga hampir Maghrib sebelum mengajak Isra pulang ke bilik wad. Elok biarkan Isra bermain sepuas hatinya daripada duduk bersedih di bilik. Sebaik dia berdiri di hadapan kami, Amran menghulurkan beg kertas tadi kepada Isra.
“Tadi pakcik singgah kat rumah Isra. Pakcik ada bawak beberapa barang favourite Isra.”
Laju Isra membelek isi kandungan beg itu. Kemudian dia melilit erat tangan ke leher Amran membuatkan dia terkedu. Aku melirik senyum lalu menepuk belakang Amran. Dia menoleh ke arahku dan aku mengangkat thumbs up. Misi menceriakan Isra. Clear!
Share this novel