Pen diletakkan di atas meja. Jari-jemarinya diramas seketika bagi menghilangkan kebas. Kemudian, jam di pergelangan tangan diteliti. Sudah jam 12 tengah hari. Mama masih khusyuk menonton televisyen manakala Isra sudah tertidur di atas kerusi sofa. Aku mengambil komik yang terluncut daripada tangan Isra lalu meletakkannya kembali di atas meja. Kemudian, badan kecilnya aku angkat dan baringkan semula di katil.
Aku kembali duduk di sofa apabila Mama berpaling kepada aku. Nampak gayanya seperti baru bangun dari lelap.
“Isra mana?” soal Mama. Soalannya membuktikan tekaan aku tepat.
“Isra tidur kat sofa tadi. Aakil dah angkat dan letak dia kat katil.”
“Aakil habis dah buat kerja sekolah?”
“Siap dah. Mama, Aakil lapar lah.” Kata aku apabila terasa perut mulai berbunyi.
“Aakil nak makan apa?”
“Hurm, nasi ayam je lah.”
“Mama keluar sekejap untuk pergi beli. Aakil tolong tengok-tengokkan Isra ya.”
Kepala dianggukkan tanda faham. Mama mengambil beg tangan kemudian keluar dari bilik wad. Aku mengemas buku-buku di atas meja dan dimasukkan kembali ke dalam beg, meninggalkan komik sahaja di atas meja. Salah satu komik diambil dan dibaca sementara menunggu Mama pulang. Nak tidur sekejap pun tak boleh sebab perlu menjaga Isra. Baik baca komik sahaja.
Sejam kemudian, Mama pulang membawa seplastik makanan bungkus. Tanpa mengejutkan Isra, kami berdua mengisi perut yang kosong. Selesai makan, aku dan Mama kembali duduk di sofa sambil menonton rancangan di TV.
“Papa ada beritahu Aakil apa-apa tak?”
“Papa? Oh, pasal nak ambil Isra sebagai anak angkat Mama dan Papa ke?” aku menduga. Mama hanya menganggukkan kepalanya.
“Aakil ok ke?” suara Mama dengan nada bimbang.
“Aakil ok je. Kenapa, Mama risau pasal Aakil ke? Takut Aakil tak suka Isra tinggal serumah dengan kita?” aku menduga lagi, semakin ingin tahu isi hati Mama. Pertanyaan aku membuatkan Mama terkedu. Mungkin tidak menduga aku bersikap begitu terbuka membincangkan perihal Isra. Lama kemudian, baru Mama bersuara.
“Mama tak nak kamu kecil hati dengan Mama. Mama takut kamu rasa Mama dah tak sayang kamu nanti. Mama nak Aakil tahu, Aakil tetap anak Mama. Kasih sayang Mama pada Aakil takkan berubah. Sama juga dengan Isra.” Terang Mama.
“Mama tak perlu risau pasal Aakil. Aakil sedia terima dia dalam keluarga kita.” Aku meyakinkan Mama. Aku tak mahu Mama risau pasal keadaan aku, prioriti sekarang adalah keadaan Isra. Aku rasa lebih baik Mama fokus kepada Isra daripada risau pasal keadaan aku. She needs her more than I do.
“Terima kasih, sayang anak Mama.” Ucap Mama lalu dicium dahi aku dan dipeluknya erat.
***
Petang itu, aku mempelawa Isra untuk keluar jalan-jalan di taman permainan. Selepas bermain buaian dan jongkang-jongkit, aku singgah di kedai untuk belikan ais krim dan air coca-cola. Aku kembali duduk di kerusi taman di mana Isra sedang menunggu. Mama pula sedang berborak dengan beberapa orang wanita tidak jauh dari tempat duduk Isra. Sekali-sekala dia mencuri pandang kepada Isra.
Aku menghulurkan sebatang ais krim kepada Isra. Wajahnya bertukar ceria kerana dapat makan ais krim. Aku membuka penutup air coca-cola untuk diminum. Ketika itu, aku perasan Isra merenung tajam pada botol air yang aku sedang pegang.
“Isra nak minum ke? Tapi, Mama cakap tak boleh minum air bergas.”
Isra tidak berkelip memandang botol air coca-cola. Kesian pula aku tengok. Akhirnya aku mengalah. Takpelah minum seteguk dua je kan? Aku mencuri pandang ke arah Mama. Dia masih rancak berborak. Aku cepat-cepat menghulurkan botol tersebut kepada Isra.
“Minumlah. Abang cover untuk Isra sekejap. Cepat minum sementara Mama tak tengok kat sini.” Ujar aku.
Isra meneguk air coca-cola dan botolnya dihulurkan kembali kepada aku. Mission success! Isra tersenyum kehiburan melihat aku mengangkat thumbs up. Dia kembali kepada ais krim di tangannya. Sikit demi sikit dimakannya. Kakinya yang tidak mencecah lantai digoyang-goyangkan kegembiraan.
HONG! PING! PING! PING!
Bunyi hon kenderaan yang membingitkan bergema di ruang udara, diselangi beberapa bunyi hon dari kenderaan lain. Taman permainan ini tidak jauh daripada jalan raya. Mungkin berlaku kemalangan di situ berdasarkan bunyi bising daripada hon-hon kenderaan yang masih berkumandang.
Perhatian aku teralih kepada ais krim yang jatuh ke lantai. Aku menoleh ke arah Isra. Mungkin dia terkejut dengan bunyi bising tadi. Aku memandangnya hairan apabila kedua-dua tangan kecilnya meramas rambut di kepalanya seperti dalam kesakitan. Nafasnya bertukar laju dan kelihatan seperti dia sukar bernafas. Tangan kirinya dibawa ke dada sementara tangan kanannya masih meramas bahagian kepalanya.
“Isra! Kenapa ni Isra?”
Aku memegang kedua-dua bahunya. Nafasnya masih laju. Aku juga perasan tangannya menggeletar. Aku panik. Aku terus mengangkat Isra lantas berdiri sambil melaung,
“Doktor, doktor, kecemasan, kecemasan!”
Seorang doktor lelaki berlari laju ke arah aku dan Isra.
“Apa yang berlaku?” soal doktor itu.
“Tadi ada bunyi bising, lepas tu dia terus jadi macam ni.”
“Ikut saya, bawa dia ke kecemasan!”
Aku berlari mengikut doktor itu dari belakang. Dari tepi, anak mata aku menangkap kelibat Mama yang turut berlari mengikuti langkah kami dari belakang. Sampai di kecemasan, aku membaringkan Isra di katil lalu doktor meminta aku menunggu di luar.
Jantung aku masih berdegup laju. Tangan aku masih menggigil kesejukan, panik dan takut melalui peristiwa tadi. Aku masih tercungap-cungap menarik nafas ketika Mama muncul dan memegang kedua-dua belah bahuku.
“Isra! Isra, macam mana?”
“Mama. Mama. Relax. Doktor tengah check keadaan dia kat dalam.” Aku cuba menenangkan Mama. Mama terduduk di kerusi. Mukanya tertunduk ke lantai. Jelas dari gerak tubuhnya, dia masih panik dan risau dengan keadaan Isra. Aku perlahan-perlahan kembali menenangkan diri. Nafas aku kembali seperti biasa. Orang kata, dalam keadaan cemas sentiasa kena kawal diri untuk tenang.
“Waris kepada Safaa Isra binti Jalil. Sila masuk ke bilik kecemasan.”
Mendengar pengumuman daripada speaker itu, aku memegang bahu Mama, meminta dia kekal duduk di kerusi.
“Mama, biar Aakil yang pergi. Mama tenangkan diri dulu kat sini.” Ujar aku sebelum berlalu masuk ke bilik kecemasan.
Seorang jururawat wanita membawa aku pergi ke katil Isra. Doktor lelaki tadi ada berdiri di sisi katil Isra.
“Doktor?”
“Keadaan dia dah stabil. Saya dan cucuk ubat penenang dan dia pun sudah terlelap.”
“Apa yang berlaku pada adik saya tadi tu, doktor?”
“Kami tak berapa pasti lagi, kami perlu lakukan beberapa ujian lagi. Kamu boleh bawa dia ke wad semula. Nanti saya akan terangkan berkenaan ujian yang perlu diambil.”
Aku hanya menganggukkan kepala tanda faham. Doktor dan jururawat tadi berlalu pergi. Akhirnya, aku menarik nafas lega sebaik mendengar penjelasan doktor. Alhamdulillah, keadaan Isra stabil. Berkali-kali aku menggumam kata-kata syukur di dalam hati.
Share this novel