BAB 9 : POV Isra

Romance Series 2056

Bingkai gambar yang berisi gambar aku, Ummi dan Abbi ditatap penuh rindu. Lepas baca Yasin tadi, perasaan aku terus dibuai rindu. Apatah lagi sudah 14 tahun pemergian mereka.

‘Ummi, Abbi, Is rindu sangat kat Ummi dan Abbi. Nanti kalau Is ada masa terluang, Is pergi jenguk kubur Ummi dan Abbi, ya?’ Suara aku hanya di dalam hati.

Bunyi ketukan pintu mematikan lamunan aku.

“Isra, bibik sudah siap masak. Ayuk makan sementara lauknya masih panas.” Panggil Bibik Chandie tanpa membuka pintu.

“Ok, bik.”

Aku melipat telekung solat dan sejadah sebelum ke dapur. Bibik Chandie sudah menghidangkan roti bakar dan nasi goreng cina di atas pinggan. Aku memilih untuk membasahkan tekak dengan air kopi dahulu sebelum menjamah roti.
“Bibik dah kemas baju? Kita kan nak pergi tidur rumah Mama dan Papa hari ni.”

“Udah, begnya sudah diletak di sana.” Bibik Chandie menjuihkan bibirnya ke arah ruang tamu.

“Aik, excited nampak. Mesti tak sabar nak jumpa Abang Aakil ni kan?” Aku mengusik.

“Iyalah, Bibik sudah jaga dia dari kecil sampai dewasa. Kita kan jarang-jarang ketemu lepas Aakil sambung belajar di UK. Balik-balik Malaysia pula, nah Tuan Amran hantar dia pergi kerja jauh-jauh lagi, di Cameron Highland sana. Memang bibik rindu sama dia.” Luah bibik.

Aku ketawa melihat telatah Bibik Chandie.

“Lepas ni, boleh la jumpa selalu. Abang Aakil pun dah pindah ke Kuantan.”

“Kuantan? Bukan duduk sama Mama di Cherating?” tanya Bibik Chandie hairan.

“Oh, tak. Papa suruh dia handle hotel yang baru bukak kat Bandar Kuantan tu. So, Abang Aakil sewa dekat-dekat situ lah.”

“Kenapalah tak sewa rumah berdekatan perumahan kita ni aja?” suara bibik kecewa. Aku ketawa lagi mendengar rintihan bibik sambil mengangkat kedua bahuku kerana tidak mahu menjawab pertanyaannya. Aku menghabiskan nasi goreng sebelum kembali ke bilik untuk memakai tudung. Baik gerak awal, nanti Mama belebel pulak kalau lambat sampai.

***

Aku memarkir kereta di laman hadapan rumah Mama. Selepas aku habis belajar diploma, Mama dan Papa membuat keputusan untuk tinggal di rumah arwah Ummi dan Abbi di kampung, manakala aku dan Bibik Chandie tinggal sahaja di Kuantan. Kata mereka, sudah penat dengan kehidupan di bandar. Biarlah duduk dan menghirup udara kampung pula, lagi bagus.

Mama, Papa dan Makcik Piah keluar menyambut aku di luar. Aku bersalaman dengan mereka semua sebelum kami masuk ke dalam rumah. Pelbagai memori lama timbul kembali sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah. Aku memerhati ke sekeliling rumah. Walaupun tapak rumah yang sedia ada sudah diperbesarkan dengan tambahan bilik tidur dan bilik air, namun masih ada sebahagian tempat yang mengekalkan kedudukan lama. Hati aku diselubungi perasaan sebak mengenang arwah Ummi dan Abbi.

“Teringat arwah ke?” Mama menepuk belakang aku.

“Haah, Ma.”

“Isra, kamu duduk la dulu. Papa ada benda sikit nak cakap dengan kamu ni?” kata Papa. Dia sudah duduk di salah satu kerusi di ruang tamu.

“Mama, Papa nak cakap apa?” aku berbisik pada Mama yang berdiri di sebelah aku.

“Mood Papa tak berapa elok sejak kamu ambik cuti 3 bulan lepas. Mama pun tak tahu dia nak cakap apa, kamu pergi je lah dengar.” Bisik Mama hampir di telinga aku. Jawapan Mama sikit pun tidak membantu. Tiba-tiba aku berasa ketat perut, nervous la pulak. Apa lah yang Papa nak luahkan ni?

Aku duduk di hadapan Papa. Mama pula sudah berlalu ke dapur bersama Makcik Piah dan Bibik Chandie. Aku menarik nafas panjang sebelum memandang muka Papa.

“Macam mana kedai buku kamu tu? Business ok tak?”

“Ha? Oh, Ok je, Pa. 3 bulan ni, Isra fokus pada marketing dan customer satisfaction.”

“Sales bulan lepas berapa?"

Aku menelan air liur sebelum menjawab pertanyaan Papa.

“Hampir RM 100k, Pa.”

“Total sales untuk 3 bulan lepas?”

“RM 280k, Pa.” Muka aku tundukkan ke arah lantai, tidak mampu menatap muka Papa. Hati aku berdebar-debar menunggu dia bersuara.

“Oh, bagus. Bagus. Dah lepas target. Target sales kamu sepatutnya dalam range RM 240k, kan? Ni dah capai lebih dari target ni. Bagus. Bagus.”

Aku menghembus nafas lega mendengar pujian Papa. Bukan senang mahu mendapat pujian lelaki itu dalam bab bisnes. Sepanjang aku menjadi pembantu sekretari Papa lepas tamatkan diploma dua tahun lepas, setahu aku Papa memang seorang yang tegas dan berpendirian dalam bisnes.

“Tak sia-sia kamu kerja bawah Papa dulu.”

“Semua tu… Is belajar dari Papa.” Balas aku bagai memuji dia, dengan harapan untuk mengambil hati Papa.

Wajah Papa bertukar murung membuatkan aku hairan dan risau.

“Kenapa Papa tiba-tiba sedih ni?”

“Kamu betul ke tak nak kerja dengan Papa?”

“Kenapa? Papa risau ke Is ceburi bisnes sendiri?”

Papa menganggukkan kepalanya.

“Kan Papa dah janji nak bagi Is masa setahun untuk ceburi bisnes ni. Kalau tak menjadi, atau Is putus asa dalam masa setahun ni, Is kan dah janji dengan Papa yang Is akan sambung balik kerja sebagai sekretari Papa. Buat masa ni, memang Is betul-betul nak buat apa yang Is suka. Papa pun tak suka paksa Is, kan.”

Papa hanya mengeluarkan keluhan. Kesian pula aku melihat raut wajah Papa. Dia betul-betul risau dan ambil berat pasal keadaan aku.

Mama muncul dari dapur bersama sedulang air. Dia menghidangkan air teh kepada kami. Aku mengambil segelas cawan lalu dihulurkan kepada Papa.

“Papa janganlah macam ni. Kan Papa dah janji dengan Is. Papa janganlah sedih. Is boleh buat. Kalau Is tak boleh buat, Is cari Papa, ok?” Aku cuba memujuk Papa.

Cawan yang aku hulurkan diambilnya.

“Yelah. Tapi janji dengan Papa, kalau ada masalah dengan kedai kamu tu, terus cari Papa. Sekurang-kurangnya Papa boleh bantu.”

“Ya. Ya. Ya. Malu bertanya sesat jalan. Is janji Is cari Papa kalau ada masalah.” Aku mengiyakan sahaja. Kata-kata aku membuatkan Mama dan Papa tergelak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience