Keesokkan harinya, aku dan Amran pergi berjumpa Doktor Lee di biliknya untuk berbincang berkenaan Isra. Apa yang terjadi semalam membuatkan hati aku tidak tenteram. Mujur keadaan Isra kembali stabil. Pagi-pagi tadi Isra sudah sibuk menjalani beberapa ujian untuk mengenal pasti simptom yang dihadapinya semalam. Tujuan kami berjumpa Doktor Lee hari ini juga adalah untuk mengetahui keputusan ujian tersebut. Harap-haraplah tiada berita buruk, Ya Allah. Aku hanya berdoa di dalam hati.
Aku dan Amran duduk di kerusi di hadapan meja Doktor Lee. Masing-masing dengan raut wajah bimbang untuk mendengar keputusan ujian kesihatan Isra.
“Tuan, Puan, saya dah dapat keputusan ujian kesihatan Isra.” Ucap Doktor Lee sambil menghulurkan beberapa helaian kertas kepada kami.
“Berdasarkan keputusan ujian itu, kita tak perlu risau berkenaan serangan jantung. Jantung Isra tidak mempunyai sebarang masalah.”
Kami menghela nafas lega mendengar berita itu.
“Jadi, apa sebenarnya yang terjadi pada Isra semalam tu Doktor?” aku menyoal.
“Based on beberapa test yang anak Tuan dan Puan jalani pagi tadi, ini diagnosis saya.” Katanya sambil menunjukkan skrin di komputernya.
“Panic attack?” Amran membaca tajuk artikel yang terpapar di skrin komputer itu.
Doktor Lee menganggukkan kepalanya. Kemudian dia menerangkan satu-persatu simptom berkenaan diagnosis itu.
“Panic attack ni, ia datang secara mengejut. Pesakit akan tiba-tiba rasa takut, panik dan anxiety atau gelisah. Mereka akan ada kesukaran bernafas, ada yang berpeluh, menggeletar, dan rasa jantung mereka berdegup kencang seakan-akan terkena serangan jantung.”
“Boleh dirawat tak Doktor?” soal Amran. Aku hanya diam tidak berkutik mendengar penjelasan doktor. Air mata yang bergenang ditahan agar tidak tumpah.
“Tuan, Puan jangan bimbang. We have medications for this type of attack. The bigger problem is… it’s related to her psychology.”
“Psikologi? Maksud Doktor?”
“Panic attack ni dia ada trigger. Macam kes Isra semalam, trigger dia adalah bunyi kuat yang membuatkan dia terkejut. Boleh jadi trigger dia adalah bunyi hon kenderaan. Pokok pangkalnya, trigger dia boleh berubah. Ia tidak spesifik. Di kemudian hari, mungkin dia boleh terkejut apabilla mendengar bunyi guruh atau kilat. Hari lain, mungkin dia terkejut disebabkan trigger yang lain. Apa yang terjadi semalam, boleh berulang lagi jika berlaku sebarang trigger. Apa yang saya maksudkan dengan psikologi dia tadi ialah dia masih terkesan dengan kemalangan yang mengorbankan ibu bapa dia. This panic attack might be the psychological side effect from the car accident."
“So, apa nasihat Doktor untuk rawatan Isra?”
“Saya boleh rekomen seorang kawan saya. Dia Doktor Pakar Psikologi Kanak-Kanak. Saya ada tulis surat recommendation, Tuan boleh bawa surat ni untuk berjumpa dia.” Katanya lalu menghulurkan sekeping surat dan business card. Amran mengambil surat itu dan memapah aku keluar dari bilik Doktor Lee.
Sepanjang perbincangan tadi, aku hanya membiarkan Amran bertanyakan soalan. Aku hanya berdiam diri mendengar perbualan mereka. Sebaik kami berada di luar bilik Doktor Lee, Amran menarik aku ke dalam pelukannya. Dia menggosok-gosok belakang badanku beberapa kali. Air mata yang ditahan tadi akhirnya menitis jua.
“It’s ok. We’re gonna get through this. Abang ada untuk sokong sayang. We should explain this to Isra. She needs to know.”
“Takpe, nanti Ima terangkan kat dia. Macam yang abang cakap, Ima kena kuat.”
***
Aku menguatkan hati untuk menerangkan kepada Isra berkenaan kejadian semalam. Isra hanya mendengar tanpa mengatakan sepatah perkataan. Apabila ditanya samada dia faham atau tidak, hanya anggukan sahaja yang diberikan.
“Baguslah kalau Isra faham. Isra jangan takut. Isra kena tahu, Mama sentiasa ada untuk Isra. Tak kisah lah Isra sakit atau tak, Mama tetap akan sayang Isra.”
Isra membalas dengan memeluk leherku. Aku turut memeluknya erat.
“Dah, jom. Mama dah kemas barang-barang Isra. Isra dah boleh keluar wad.” Aku berkata sambil menghulurkan tangan untuk memimpin Isra. Isra menyambut tanganku dengan senyuman.
Beg yang berisi pakaian diberikan kepada Amran untuk diangkat. Kami bertiga menaiki lif untuk turun ke parking kereta. Amran memasukkan beg ke dalam bonet kereta sementara aku membuka pintu kereta untuk Isra.
Tidak lama kemudian, kereta yang dipandu Amran meluncur laju di atas jalan raya. Hampir satu jam kemudian, Amran memberhentikan keretanya di hadapan tanah perkuburan. Aku mencabut tali pinggang keledar lalu menoleh ke belakang untuk memandang Isra.
“Isra, kita nak lawat Ummi dan Abbi. Isra pun mesti rindu dengan mereka, kan?”
Isra hanya membisu. Apabila pintu kereta dibuka, Isra menyambut tangan aku untuk dipimpin. Kami berjalan menuju kubur arwah dengan langkah yang berat. Sebaik sampai di hadapan kubur arwah Jalil dan Hasmah, Isra mulai teresak-esak. Mulutnya tidak berhenti menggumam memanggil Ummi dan Abbi.
Aku menenangkan Isra sementara Amran membaca surah Yasin. Sesudah bacaan doa kepada arwah, Amran bersuara,
“Jalil, anak kau aku ambil sebagai anak angkat aku dan Ima. Kau tak perlu risau pasal makan minum dia, aku akan jaga dia macam anak aku sendiri. Aku akan sayang dia macam anak aku sendiri. Kau dan Hasmah boleh lepaskan dunia ini dengan tenang. Pasal yang masih hidup di sini, kau biarlah aku yang uruskan. Kau tak perlu risau.” Panjang lebar Amran meluahkan azamnya.
***
Kami sampai di rumah dengan hati yang masih sebak. Kepulangan kami disambut oleh Bibik Chandie, Makcik Piah dan Aakil yang berdiri di muka pintu.
“Hi, gadis manis, nama bibik, Chandie. Boleh aja panggil Bibik Chandie, ya.”
“Boleh panggil, Makcik Piah.” Makcik Piah membahasakan dirinya.
Kedua-dua mereka memperkenalkan diri masing-masing. Aakil pula bergerak mengambil beg baju yang dipegang papanya lalu dibawa masuk ke dalam.
“Hai, semua ada kat sini? Nak sambut Isra ke ni?”
“Mestilah Tuan Amran. Tuan Amran selalu cerita pasal Isra. Sampai kami pun tak sabar nak jumpa dengan dia.”
“Yelah, yelah. Jom kita sambung di dalam. Kesian Isra berdiri lama-lama kat sini.”
Aku memimpin Isra masuk ke dalam rumah menuju ruang tamu lalu duduk di situ. Bibik Chandie dan Makcik Piah beransur ke dapur dan pulang membawa sedulang minuman dan sebiji kek. Bibik Chandie pula menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu sebaik sahaja dia meletakkan kek itu di atas meja di hadapan Isra. Amran menepuk tangannya mengiringi lagu yang dinyanyikan Bibik Chandie. Kami turut menepuk tangan untuk meriahkan lagi suasana. Isra mengukir senyuman dengan sambutan yang diterimanya. Sikit demi sikit, kesedihan di raut wajahnya pudar digantikan dengan senyuman yang menawan.
Aku menghela nafas pendek, lega ambila nampak Isra tersenyum. Sebenarnya, aku agak bimbang melihat dia murung selepas melawat kubur arwah ibu bapanya tadi. Nampaknya, aku perlu berterima kasih kepada Bibik Chandie kerana merancang untuk menyambut kepulangan Isra dengan meriah. Sekurang-kurangnya berjaya mengukir senyuman di bibir Isra.
“Isra, mulai hari ni, Isra dah jadi anak pakcik. Boleh panggil papa je lepas ni. Kalau Isra masih segan untuk panggil Papa, boleh cuba perlahan-lahan. Papa tak paksa kamu.” Ujar Amran bersahaja. Mungkin tidak mahu kelihatan terlalu memaksa dan serius. Isra hanya membalas dengan anggukan kepala.
“Bibik Chandie dah siapkan bilik Isra. Isra pergi ikut Bibik dulu. Nanti Mama ikut. Mama ada benda nak cakap sikit dengan Aakil.” Kata aku sambil mengisyaratkan kepada Bibik Chandie untuk membawa Isra pergi. Isra memimpin tangan Bibik Chandie lalu menaiki tangga ke tingkat atas.
Tinggal aku, Amran dan Aakil sahaja di ruang tamu. Makcik Piah telah berlalu ke dapur untuk mencuci pinggan mangkuk.
“Aakil, Mama harap Aakil layan Isra macam adik Aakil sendiri. Buat masa sekarang, Isra perlukan ruang dan masa untuk sihat semula. Mama harap Aakil dapat tolong Isra biasakan diri kat rumah kita. Aakil boleh tolong Mama, kan?” aku menyuarakan hasrat aku.
“Boleh Mama.”
“Pastu ada satu benda lagi Mama nak minta pertolongan Aakil. Aakil ingat tak apa yang terjadi masa Aakil datang melawat Isra semalam?”
Aakil menganggukan kepalanya laju.
“Doktor pesan, apa yang berlaku semalam mungkin akan terjadi lagi kalau dia terkejut dengan bunyi bising. Jadi, Mama nak minta Aakil tolong tengok-tengokan juga keadaan Isra. Kalau Aakil perasan, Isra macam susah nak bercakap kan? Kalau jawab pun sepatah dua je. Itu disebabkan dia masih sedih dengan kehilangan ibu bapa dia. Mama nak Aakil cuba rangsang Isra untuk bercakap.”
“Rangsang Isra untuk bercakap? Maksud Mama?” soal Aakil hairan.
“Maksudnya, Aakil kena selalu bercakap dengan dia. Mungkin cuba tanya dia soalan, supaya dia jawab dan bersuara. Tapi tak perlu paksa dia, biarkan dia perlahan-lahan buka hati untuk bercakap dengan kita, boleh?”
“Oh, Aakil faham, Ma. Nanti Aakil cuba bercakap dengan Isra.”
“Bagus lah kalau macam tu.” Aku menggosok kedua-dua bahu Aakil. Lega dan gembira kerana anaknya menerima kehadiran Isra dalam keluarganya.
Share this novel