Lama aku duduk termenung di atas katil. Bila difikirkan balik, ruang bilik wad yang menempatkan katil aku ini memang besar dengan ruang menunggu yang luas, siap ada sofa dan meja lagi. Puas memandang ke sekeliling bilik, mata aku tertancap pada anak lelaki Mama Ima, Aakil, yang sedang khusyuk menulis di ruangan menunggu. Barangkali sedang menyiapkan kerja sekolah. Mama Ima telah keluar mengikuti Doktor Lee selepas memeriksa keadaan aku. Tinggal aku dan Aakil sahaja di dalam bilik wad.
Petang semalam, Pakcik Am, suami Mama Ima ada datang melawat. Aku mengepal hujung selimut pink yang dibawa Pakcik Am semalam. Aku tersentuh dengan keprihatinan yang dipamerkan oleh dia. Mengimbau cerita semalam, Mama Ima dan Pakcik Am ada menyuarakan hasrat mereka untuk menjadikan aku anak angkat mereka. Disebabkan arwah Ummi dan Abbi kedua-duanya dibesarkan di rumah yatim piatu, aku tidak mempunyai saudara mara yang boleh membela aku.
Aku bersyukur dengan pelawaan mereka, dan jika diberi pilihan, memang aku tidak mahu tinggal di rumah anak yatim. Aku lebih rela tinggal dengan kawan Ummi berbanding tinggal dengan orang baru dan asing di rumah anak yatim. Tetapi perasaan aku yang belum bersedia untuk benar-benar menganggap mereka sebagai ibu dan bapa membuatkan aku serba salah. Sebetul-betulnya aku masih belum dapat menerima hakikat bahawa Ummi dan Abbi telah kembali ke rahmatullah.
Lamunan aku mati di saat aku perasan Aakil menoleh ke arahku. Aku lekas melarikan pandangan ke arah televisyen. Terasa pipi aku mulai membahang dan bertukar kemerahan. Perlahan-lahan aku mencuri pandang ke arah Aakil semula. Aakil masih memandang ke arah aku tajam. Kali ini aku tidak berpaling. Tidak lama kemudian, Aakil melambai kepada aku, memanggil aku untuk pergi lebih dekat pada dia.
Aku turun daripada katil dan menyarung selipar hospital. Aku berjalan perlahan ke arahnya. Sebaik aku berdiri di hadapannya, Aakil menepuk ruang sofa yang kosong di sebelahnya. Aku faham lalu melabuhkan punggung di sebelahnya. Aakil pula menyelongkar beg mencari sesuatu. Dia mengeluarkan beberapa buah komik dari dalam begnya dan diletakkan di atas meja.
“Isra suka membaca, kan? Nak baca komik Abang Aakil tak?” soal Aakil sambil menghulurkan salah satu komik kepada aku.
Laju aku mengangguk, teruja dengan peluang yang ada di depan mata. Komik yang dihulur disambut dengan gembira. Aakil tergelak kecil melihat telatah aku. Dia beralih semula membuat kerja sekolah, membiarkan aku membelek helaian komik sendirian.
Komik berjudul Naruto itu mula dibelek. Mata aku tertarik pada lakaran di setiap helaian sehingga aku tidak peduli untuk membaca komik berbahasa Inggeris. Setakat nak faham jalan cerita, bolehlah faham sikit-sikit bahasa omputih ni.
Sedang aku ralit membelek helaian komik walaupun agak perlahan kerana ingin memahami setiap baris perkataan, Mama Ima kembali ke bilik wad.
“Aik Isra, baca komik Abang Aakil ke tu?”
Aku menaikkan muka untuk memandang wajah Mama Ima lalu menganggukkan kepala.
“Boleh baca ke bahasa omputih tu?”
“Sikit-sikit,” jawab aku perlahan hampir-hampir berbisik. Kepala ditundukkan kerana malu.
“Pandainya Isra. Kalau ada yang Isra tak faham, tanyalah Mama. Nanti Mama terangkan maksud perkataan tu kat Isra.”
Sekali lagi aku menganggukkan kepala tanda faham. Aakil cuba menyembunyikan ketawa kecil daripada didengari Mama Ima tetapi gagal.
“Kamu ketawakan Mama, ya?” Mama Ima bersuara.
“Apa? Aakil tak cakap apa-apa pun.” Aakil mengangkat kedua-dua bahunya. Kemudian dia menolak sebuah kamus kepada aku.
“Kalau tak faham, cari dalam kamus je. Jangan kacau Mama, ok?” kata Aakil.
Aku cuma menganggukkan kepala.
Aakil pula menyambung membuat tugasannya.
Mama Ima mengeluh pendek melihat kami berdua lantas mengalihkan perhatiannya kepada televisyen yang masih terpasang. Remote TV yang berada di atas meja diambil dan siaran TV dialih beberapa kali hingga ada yang menarik perhatiannya. Aku kembali membaca buku komik yang berada di tangan. Sekali-sekala kamus dibuka kerana ada perkataan yang tidak difahami. Beberapa jam berlalu dalam keasyikan membaca komik Abang Aakil sehingga mata aku lali dibuai mengantuk.
Share this novel