SURAT yang baru diterima, dipegang kemas. Debaran yang dirasakan beberapa waktu yang lalu, sudah hilang seluruhnya. Digantikan dengan rasa lega dan bersyukur. Tak disangka, bos memanggil untuk memberitahu bahawa dia dinaikkan pangkat kerana prestasi pekerjaannya yang cukup memberangsangkan. Faiq Raihan mengemaskan barangnya kerana akan berpindah ke bilik yang dikhaskan untuk jawatan barunya. Kata Encik Idham, posisinya yang lama, bakal diisi dengan orang baru.
Entah mengapa, terdetik di hatinya untuk meninggalkan nota buat pekerja baru di situ nanti. Diambil sticker note dan dicoretkan satu kata-kata yang mungkin boleh dijadikan pembangkit semangat buat pekerja baru itu nanti. Setelah itu, Faiq Raihan terus bergerak ke bilik barunya. Lebih dekat dengan bilik bos. Ini bermakna, jawatannya sangat tinggi. Baru seminit duduk, Encik Idham datang menjenguk ke biliknya.
“Faiq, mari ikut saya jumpa klien.” Ajak Encik Idham. Faiq Raihan hanya menurut. Bila lagi nak dapat pengalaman begini? Kalau sebelum ini jawatannya cuma biasa-biasa, tidak memerlukan untuk dia keluar bertemu macam-macam orang, kini tidak lagi. Allah telah memberikannya rezeki untuk merasai pengalaman yang bukan semua orang perolehi ini.
Faiq mengekori Encik Idham dari belakang. Pertama kali dalam hidupnya menaiki kereta bersama dengan bosnya sendiri. Sampai di sebuah restoran mewah, kereta diberhentikan dan mereka diturunkan betul-betul di hadapan restoran. Encik Idham salah seorang VIP bagi restoran itu. Faiq Raihan masih membisu dan hanya mengikut sehingga mereka duduk di sebuah meja. Seorang lelaki dan perempuan sedang menunggu di situ.
“Eh, cik Raihan?” spontan Faiq bersuara apabila terlihat wajah itu.
“Kamu kenal?” Encik Idham menyoal. Faiq hanya mengangguk dan tersenyum. Sekurang-kurangnya, dia merasakan, Allah sedang membantunya saat ini.
“Macam mana korang kenal?” lelaki di sebelah Raihan menyoal. Wajahnya tanpa riak membuatkan Faiq menelan air liur. Gerun pula dirasakan. Entah-entah, suami kepada Raihan lelaki ini.
“Abang ni! Tak habis-habis nak mengenakan oranglah! Inilah abang kepada budak yang Raihan cerita tadi. Tak sangka jumpa lagi.” Raihan menjawab soalan lelaki itu.
“Oh, ini ke orangnya. Saya Imran, suami Raihan. Macam mana dengan Faiz?” pemuda itu menghulurkan tangan dan berjabat tangan dengan Faiq.
‘Jadi, betullah lelaki ni suami dia?! Macam mana aku nak mintak tolong kalau dia dah kahwin?” Faiq Raihan kembali runsing.
“Dia masih macam selalu. Tanya mana kakak. Umur dia 5 tahun.” Jawab Faiq Raihan. Kelihatan tenang namun hati bergelora hebat.
“Oh, 5 tahun. By the way, tak payah percaya sangat cakap abang Imran ni. Saya belum kahwin pun. Dia ni memang selalu kenakan orang.” Penjelasan Raihan yang tiba-tiba membuatkan Faiq kembali tenang. Tapi, kalau bukan suami, siapa lelaki ini?
“Alaaa… awak ni…. Apa beza? Nanti kita kahwin jugak.” Bicara lelaki itu membuatkan Faiq kembali berdebar.
“Eiiii…. Menggatalnya. Siaplah Abang nanti. Raihan bagitahu kakak biar dia ajar abang cukup-cukup.” Ugut gadis berkaca mata itu.
“Eh, jangan-jangan…. Habis abang nanti.” Terus Imran mengalah. Encik Idham ketawa melihat gelagat mereka. Setelah diterangkan, barulah Faiq tahu lelaki itu adalah anak sulung Encik Idham manakala gadis itu anak perempuannya yang paling bongsu. Patutlah tampak seperti sudah kenal lama.
Share this novel